Suami tidak reda isteri bertudung labuh, perlukah isteri mentaatinya?
“AWAK tak payah pakai tudung labuh, pakai tudung biasa sahaja, nampak macam mak cik laa..”
Jika kata-kata yang diungkapkan itu oleh seorang sahabat, mungkin ia masih boleh diterima kerana pakaian kita adalah hak kita. Namun jika ia merupakan perintah atau suruhan dari seorang suami. Perlukan sang isteri mentaatinya?
Situasi di atas bukanlah rekaan atau cerekarama di televisyen, akan tetapi ia berlaku pada hari ini dalam masyarakat Islam.
Satu persoalan telah diutarkan kepada Mufti Wilayah apabila suami memerli isteri memakai tudung labuh. Katanya malu dengan kawan-kawan. Memadai menutupi aurat dengan memakai tudung bersaiz 45. Adakah wajib mengikuti arahan suami?
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mufti menjelaskan di laman Irsyad al-Fatwa, secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen.
“Perkara utama yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut kehendak syarak.

ISLAM tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen paling penting adalah memenuhi syarak-syarak yang ditetapkan oleh agama.
Bersandarkan firman-NYA: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya KAMI telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Surah Al-A’raf ayat 26)
Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh ALLAH SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa.
Baca Juga Lima jenis wanita yang disebut dalam al-Quran, jauhi nombor 3, 4 dan 5
Antara kriteria menutup aurat dengan sempurna ialah tidak memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit. Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab menyatakan wajib penutup aurat itu dengan suatu yang tidak menunjukkan sifat warna kulit seperti kain yang tebal, kulit atau kertas. Sekiranya tipis, maka ia tidak menepati syarat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.
Merujuk pada situasi soalan yang diajukan, Mufti menjelaskan, peranan suami adalah mendidik kepada perkara makruf dan isteri wajib mentaatinya dan perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak.

SEBAIK-BAIK wanita perhiasan dunia ialah wanita solehah.
“Melibatkan tudung bersaiz 45 pula, apabila boleh digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak.
“Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 mahupun 45 pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.
Baca Juga Wanita berpakaian tapi ‘telanjang’, ciri pengikut Dajjal
“Memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat.
“Namun memakai tudung saiz 60 lebih sopan, warak dan terpuji. Sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan memelihara hak kedua-dua pasangan,” jelas Mufti di laman artikel berkenaan.