RAMADAN datang lagi. Perasaan kali ini agak berbeza. Ramai yang berkorbar-kobar, malah ada juga yang berazam untuk menggunakan kesempatan yang diberikan bertemu bulan penuh rahmat itu dengan menyulam ibadah sebanyak-banyaknya.
Boleh dikatakan, ia ibarat ‘qada’ semua hajat yang tidak kesampaian ketika dua musim Ramadan sebelum ini kerana tidak dapat mengimarahkan masjid dan surau dek kekangan Covid-19.
Alhamdulillah kita sudah boleh merapatkan saf, selain menghidupkan Ramadan di rumah-rumah ALLAH.
Sudah tentunya ia memberikan keinsafan dan memahat momen terindah buat semua umat Islam di Malaysia, bahkan juga seantero dunia.
Bercakap dengan bulan yang penuh dengan keagungan dan keberkatan itu, solat tarawih menjadi antara ibadah yang begitu dinanti-nantikan saban tahun.
Maklum sahajalah, ia hanya menjelma selama sebulan sahaja dalam setahun. Andai terlepas, maka kita perlu menunggu bulan Ramadan seterusnya pada tahun depan. Itu pun jika ALLAH SWT mengurniakan umur yang panjang.
Selain solat tarawih, terdapat satu solat yang sering kali dilazimkan apabila kita melakukan solat sunat. Ibadah yang dimaksudkan itu ialah solat sunat witir.
Bagi yang sudah biasa melakukan solat-solat sunat yang lain, barangkali mereka tiada masalah berbangkit tentang solat witir. Namun, saat Ramadan, ada segelintir orang mengalami kekeliruan mengenainya.
Baca juga Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya
Lazimnya, kita akan menunaikan solat witir sebagai ‘penutup’ kepada solat sunat yang dilakukan. Cuma apabila tibanya Ramadan, kebanyakan kita akan mengikut imam melakukan solat sunat witir selepas selesai mengerjakan solat tarawih.
Kemudian, apabila kita bangun sebelum bersahur, tidak perlu lagi menunaikan solat witir selepas menunaikan solat sunat yang lain. Ini kerana kita tidak boleh menghimpunkan dua witir pada satu malam.
Akan tetapi, seandainya seseorang sudah menunaikan solat witir selepas Isyak dalam bilangan rakaat tidak ganjil, contohnya hanya melakukan dua rakaat, adakah individu berkenaan boleh menyambung witir tadi selepas bangun daripada tidur dalam bilangan rakaat yang ganjil?
Menjawab kemusykilan warganet, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, hukum membahagikan witir kepada dua waktu pada satu malam yang sama merupakan khilaf di sisi ulama Mazhab Syafie.
Pada asasnya, jelas beliau, witir hanya dibenarkan sekali pada satu-satu malam kerana terdapat larangan daripada Rasulullullah SAW tentang pelaksanaan solat sunat berkenaan sebanyak dua kali pada malam yang sama.
Ia sebagaimana direkodkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Daud: “Tidak ada dua witir pada satu malam.”
“Para ulama Mazhab Syafie bersepakat bahawa tidak diharuskan berniat melakukan dua witir pada satu malam, bahkan haram melaksanakannya ke atas individu yang mengetahui larangan tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Perkara itu, kata Dr Syed Shahridzan, ia jelas dinyatakan oleh Imam Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj iaitu: “Jika seseorang mengerjakan witir, kemudian bertahajud atau tidak bertahajud sama sekali, maka dia tidak boleh mengulanginya, iaitu tidak dituntut untuk mengulanginya (solat witir). Jika dia mengulanginya dengan niat witir secara sengaja dan mengetahui (larangan mengulangi witir), maka haram dia melakukan begitu dan hukumnya tidak sah seperti mana yang difatwakan oleh ayahanda (Imam al-Ramli al-Kabir) -Rahimahullah Ta ‘ala- berdasarkan hadis yang menyatakan, ‘Tiada dua witir pada satu malam’ dan ini adalah hadis yang memberi makna larangan”.
Melihat kenyataan tersebut, ujar Dr Syed Shahridzan, ia merupakan larangan bagi mereka yang berniat untuk melakukan dua witir pada satu malam.
Namun begitu, bagi mereka yang berniat untuk menyambung witir yang dikerjakan pada awal atau pertengahan malam, kemudian niat menyambung rakaat-rakaat yang berbaki pada akhir malam, ia merupakan khilaf dalam kalangan ulama Mazhab Syafie.
Dalam kitab Ithmid al-‘Ainain menyatakan: “Ibn Hajar berfatwa bahawa sesiapa yang telah mengerjakan solat witir tiga rakaat, maka dia diharuskan mendirikan rakaat yang berbaki dengan niat witir, ini berlainan dengan pendapat al-Ramli”.
Berdasarkan kenyataan di atas, kata pendakwah tersebut kemudian membangkitkan hukum seseorang yang telah melakukan solat witir pada awal malam sama ada satu atau tiga rakaat, adakah boleh dia berniat untuk menyambung rakaat witir yang berbagi dengan rakaat yang genap?
Maka di sini katanya, berlaku khilaf di antara dua ulama besar Mazhab Syafie, yang mana Imam Ibn Hajar mengharuskan dan manakala Imam al-Ramli tidak mengharuskan kerana ia seolah-olah melakukan dua witir dalam satu malam.
“Begitupun dalam hal ini, orang awam boleh memilih mana-mana di antara kedua-dua pendapat imam-imam besar dalam Mazhab Syafie.
“Sebagai makluman, guru-guru kami dari Hadramaut memilih pandangan Imam Ibn hajar dalam isu ini. Ini kerana pandangan Ibn Hajar bukan bermakna mendirikan witir sebanyak dua kali, namun ia menjurus kepada niat menyambung solat witir yang sama pada penghujung malam,” jelas beliau.
Dr Syed Shahridzan kemudian berkongsi satu cara untuk melakukan solat witir pada akhir malam bagi sesiapa yang telah menunaikannya pada awal malam.
Beliau memetik pandangan yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar dalam Tuhfah al-Muhtaj.
“Caranya adalah dengan mengerjakan satu rakaat bagi tujuan menggenapkan solat witir yang dikerjakan pada awal waktu, setelah itu dilakukan witir dengan rakaat yang ganjil sebagai solatnya terakhir pada malam itu.
“Amalan ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat antaranya Saidina Uthman, Ali dan Ibn Umar RA sepertimana yang diriwayatkan di dalam musnad Imam Ahmad. Amalan ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi sebagai pandangan kedua (daif) di dalam Mazhab Syafie dalam karyanya, Minhaj al-Tolibin,” ungkapnya.
Menyimpulkan tentang perkara itu, Dr Syed Shahridzan sekali lagi menegaskan, haram berniat mendirikan dua solat witir pada satu malam bagi sesiapa yang mengetahui larangan tersebut.
Baca juga Berpuasa, Tetapi Tak Solat
“Bagi sesiapa yang tidak berniat untuk mengerjakan dua witir pada satu malam, tetapi hanya berniat untuk menyambung witirnya yang dilakukan pada awal malam ke penghujung malam, maka berlaku khilaf antara Imam Ibn Hajar dan Ramli.
“Ia tidak sah di sisi Imam Ramli, tetapi rakaat yang bersambung kemudian menjadi sunat mutlak. Namun begitu, ia sah sebagai solat witir dan diharuskan oleh Imam Ibn Hajar,” ungkapnya.
Foto: Freepik & Bernama