KEFARDUAN solat yang disyariatkan kepada setiap umat Islam tidak boleh diambil mudah. Masakan tidak, ibadah fardu tersebut wajib didirikan waima seseorang itu dalam keadaan sakit mahupun bermusafir.
Pendek kata, jika tidak ditunaikan apabila tiba waktunya, maka ia akan dianggap sebagai hutang. Kalau sudah begitu istilahnya, maka mahu atau tidak ia tetap perlu dilunaskan segera.
Apatah lagi andai melibatkan ‘hutang’ kita dengan ALLAH SWT. Bukan itu sahaja, solat juga merupakan amalan pertama yang akan dihitung dan dinilai oleh-NYA di hari akhirat kelak.
Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amal yang pertama dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Maka, jika solatnya baik, sungguh dia orang yang beruntung dan berhasil. Dan jika solatnya rosak, sungguh dia telah gagal dan rugi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Barangkali ada orang pernah meninggalkan solat ketika ‘zaman jahiliah’ dan kini sudah pun bertaubat. Malah, dirinya pula terpanggil untuk menunaikan solat-solat sunat yang lain.
Seandainya kita belum habis lagi mengqada (mengganti) solat yang sudah lama ditinggal itu, bolehkah seseorang itu menunaikan solat sunat yang lain?
Maklum sahajalah, bulan Ramadan hampir tiba kurang sebulan lagi. Siapa yang tidak mahu menghidupkan malam mereka dengan solat tarawih yang hanya datang setahun sekali sahaja.
Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani menjelaskan, sebenarnya tiada masalah jika kita mahu mendirikan solat sunat.
Namun, sebaik-baiknya biarlah kita menunaikan kewajiban yang fardu terlebih dahulu, ungkapnya.
“Yang fardu itu menjadi keutamaan kepada diri kita, kemudian barulah kita lakukan ibadah sunat seperti solat sunat yang lain.
“Pun demikian, seandainya kita mempunyai peluang dan ruang, maka qada solat itu menjadi keutamaan. Jangan sampai peringkat kita banyak melakukan perkara-perkara yang sunat, tetapi meninggalkan ibadah yang wajib,” pesannya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ahmad Dusuki mengingatkan agar kita menjaga solat fardu dengan sebaik-baiknya.
Baca juga Tak Sah Solat Bila Baca Rukun Qauli Dalam Hati? Ini Penjelasannya
“Ketahuilah, qada (solat) itu merupakan satu amalan baik yang dilakukan dalam hidup kita agar boleh jawab di hadapan ALLAH SWT bahawa kita sudah pun mengqadakan solat yang ditinggalkan.
“Pada masa sama, kita telah berusaha untuk melakukan amal soleh yang terbaik dalam kehidupan kita,” katanya.
Bagaimana pula cara untuk mengqada solat yang bertahun-tahun ditinggalkan?
Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel yang disiarkan di laman web Majlis Ulama ISMA (MUIS) bertajuk 3 Langkah Kalau Tinggal Solat Bertahun.
Naib Pengerusi 1 MUIS, Mohd Suhail Mohd Sufian menyenaraikan tiga langkah mudah untuk menyelesaikan solat tertunggak tersebut.
Caranya adalah sepertimana berikut:
1. Senaraikan bilangan solat yang perlu digantikan.
Andai sedikit, bolehlah ia diselesaikan terus. Namun begitu, jika berpuluh tahun jumlahnya, maka buatlah perancangan dengan rapi dan elok.
Jika kurang pasti berapa bilangan solat yang ditinggalkan, maka lakukan takhmin iaitu anggaran bilangan yang berbaki dengan sebaiknya. Pilihlah angka kemungkinan yang paling tinggi.
2. Kaitkan dengan solat sunat sepertimana imam-imam mazhab mengaitkannya dengan solat sunat.
Menurut Imam Malik dan Hanbali, haram melakukan solat sunat tertentu jika masih ada solat fardu yang masih belum diqadakan lagi.
Justeru, saat orang lain solat sunat, qadalah solat fardu yang tertinggal. Insya-ALLAH lama-kelamaan akan selesailah sembahyang yang lampau. Ketahuilah, itulah sebenar-benar tanda yang terzahir bahawa seseorang sudah bertaubat kepada ALLAH SWT.
Baca juga Solat cepat sangat macam ‘ribut’, hati-hatilah sebab takut tak sah, kena ulang balik
3. Jangan tambah bilangan solat yang perlu diganti.
Satu-satunya cara adalah dengan mendisiplinkan diri dan tidak mengulangi dosa besar tersebut!
Demikianlah pesanan ALLAH SWT sebagaimana disebutkan dalam Surah Ali Imran, ayat 136 yang bermaksud: “Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat ALLAH, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya, dan sesiapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada ALLAH? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui.”
Maksud ayat ‘tidak meneruskan perbuatan dosa’ antara lain adalah dengan cover balik kesilapan yang dilakukannya. Paling penting, putuskan segala maksiat yang berterusan di dalamnya.
Justeru, sama-samalah kita menjaga Rukun Islam kedua itu dengan baik. Siapa lagi yang mahu menjaga tiang agama kita kalau bukan diri sendiri.
Foto: 123rf