ISU berkahwin di luar negara terutama di sempadan Siam atau Thailand tidak pernah lekang menjadi buah mulut masyarakat sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama apabila melibatkan kaum wanita berkahwin tanpa wali mujbir.
Wali Mujbir ialah wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin gadis itu terlebih dahulu.
Menurut Mazhab Syafie, wali mujbir itu terdiri daripada bapa kandung, datuk sebelah bapa dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin.
Perlu difahami dengan jelas, seorang wanita perlu mempunyai wali untuk menjadikan ikatan perkahwinan itu sah di sisi syarak. Namun ‘trend’ berkahwin di siam ini seolah mengabaikan apa yang digariskan oleh Islam.
Memetik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Jabatan Perdana Menteri) di laman artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-256: Nikah Siam Tanpa Wali Mujbir menjelaskan peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali, maka ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak.
Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda “Seorang wanita yang berkahwin tanpa izin walinya maka pernikahannya adalah batil, batil, batil. Dan apabila mereka (wali) bersengketa, maka pemerintah adalah wali bagi wanita yang tidak memiliki wali”. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain, daripada Abi Musa al-Asy’ari RA, Rasulullah SAW bersabda “Tidak sah pernikahan kecuali dengan adanya wali” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibn Majah)
Baca juga Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya
Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali mujbir kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya. Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah maka perkahwinan tersebut sah walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.
Hukum perkahwinan di luar negara
Menurut Muhammad Bin Ismail as-Syaikh Daud al-Fathani dalam Matla` Badrain “Sultan berkuasa mengahwinkan seorang perempuan apabila wali Aqrab ghaib sejauh 2 marhalah, atau sedang dalam ihram, atau enggan kurang dari tiga kali untuk mengahwinkan seorang perempuan yang telah mukallaf yang diminta dikahwinkan dengan lelaki yang kufu’, jika wali aqrab ghaib kurang daripada dua marhalah, tidaklah boleh dikahwinkan oleh sultan, kecuali mendapat keizinan daripadanya”.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan kahwin lari di selatan thailand.
Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.
Baca juga Tidak Sah Perkahwinan Berwalikan Selain Bapa Kandung Jika Masih Hidup Dan Sihat
Perkahwinan lari meninggalkan wali lebih dua marhalah
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan perkahwinan lari meninggalkan wali lebih dua marhalah mengikut Mazhab Al-Syafie.
Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut Mazhab Al-Syafie.
Walaupun statusnya adalah sah, namun Pejabat Mufti menasihatkan agar sebaik-baiknya, pasangan yang ingin berkahwin, contohnya di negara Thailand atas apa-apa sebab termasuk sebab tidak mendapat izin wali atau tanpa kebenaran poligami daripada isteri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk berkahwin di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing.
“Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami jika ingin berpoligami tapi tidak mendapat izin daripada isteri, mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya.
Baca juga Sanggup ikat perut demi majlis kahwin gah, ketahui mahar terbaik dalam Islam
“Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.
“Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di sini”, jelas artikel berkenaan
SUMBER : IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-256 : NIKAH SIAM TANPA WALI MUJBIR