USAH tinggalkan doa iftitah, pembuka bicara dengan ALLAH ketika solat…
Solat fardu lima kali sehari yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam merupakan pasak agama yang mengetatkan iman kita terhadap agama.
Maka, tidak hairanlah mengapa ramai berusaha menyempurnakan solat menjadi tanda ketaatan kepada ALLAH YANG MAHA PENCIPTA.
Ketahuilah bahawa solat yang sempurna tidak terletak pada melunaskan rukun-rukunnya sahaja. Bahkan ia juga terdiri daripada beberapa perkara sunat bertujuan memperindah ibadah yang dilakukan itu.
Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar
Perkara sunat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu sunat ab’adh dan hai’ah. Kedua-duanya berfungsi sebagai pelengkap kepada sebarang kekurangan ada pada solat dan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri dalam ibadahnya.
Jika ditinggalkan perkara-perkara sunat itu, solat yang dilaksanakan tetap sah. Pun begitu, kita digalakkan oleh para ulama untuk melakukannya dengan tujuan mencantikkan ibadah.
Malah ulama Islam, Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya, Munyatul Musolli menyifatkan perkara sunat ab’adh sebagai anggota badan manakala sunat hai’ah pula adalah seperti rambut. Walaupun manusia mampu hidup tanpa anggota tersebut asalkan masih memiliki nyawa, hakikatnya kedua-duanya penting menyerikan penampilan diri.
Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains
Menyentuh tentang sunat hai’ah, ada suatu perbuatan yang sering ditinggalkan oleh umat Islam ketika solat tanpa menyedari fadilat besar yang tersembunyi di sebaliknya.
Perkara sunat yang dimaksudkan itu adalah bacaan doa iftitah.
Doa iftitah pembuka bicara dengan ALLAH
Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, doa iftitah diibaratkan sebagai suatu pembuka bicara dalam pertemuan kita bersama ALLAH SWT ketika solat.
Selain itu, doa tersebut juga mengandungi pujian dan tasbih yang mengagungkan ALLAH sehinggakan Rasulullah SAW menyaksikan pintu langit terbuka menyambut munajat tersebut sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.
Baca juga Jangan terus beredar selepas solat, ini sebab-sebabnya
Menerusi hadis tersebut, Saidina Abdullah bin Umar menceritakan kisah seorang sahabat yang membaca bacaan zikir yang agak kuat di dalam solatnya.
Selesai solat, Rasulullah bertanya: Siapakah lelaki yang membaca zikir yang didengarinya itu. Sahabat tersebut telah mengucapkan lafaz ini:
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا ، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Pada mulanya sahabat tersebut mendiamkan diri kerana bimbang andai beliau telah melakukan kesalahan dalam solat. Namun akhirnya beliau mengaku juga.
Lalu Rasulullah bersabda: “Aku takjub dengan kalimah-kalimah zikir ini kerana pintu langit telah terbuka disebabkan ucapan lafaz (memuji ALLAH ini). (Hadis Riwayat Muslim)
Mendengarkan perkataan Rasulullah ini, Saidina Abdullah bin Umar berazam untuk tidak akan sekali-kali meninggalkan lafaz doa iftitah ini sepanjang usianya.
Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT
Doa iftitah ada pelbagai jenis
Seperti yang diriwayatkan dalam hadis, ada beberapa bentuk bacaan doa iftitah.
Antara bacaan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh Rabi’ah al-Jurasyi dalam sebuah hadis. Beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah RA: ‘Apakah yang telah dibaca oleh Nabi SAW sekiranya Baginda bangun beribadah di malam hari? Dengan apakah Baginda beriftitah?’
“Aisyah menjawab: “Baginda bertakbir sepuluh kali, bertasbih sepuluh kali, tahlil sepuluh kali dan beristighfar sepuluh kali, kemudian membaca doa‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي sepuluh kali, kemudian membaca اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Namun, bacaan doa iftitah yang afdal di sisi para ulama Syafie dan kini amalkan oleh kita adalah:
Maksudnya: “ALLAH MAHA BESAR, segala puji bagi ALLAH. MAHA SUCI ALLAH pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada TUHAN yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan TUHAN. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi ALLAH, TUHAN yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-NYA sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.”
Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita
Dalam melazimi doa iftitah, jangan lupa juga berusaha memahami makna di sebalik bacaan itu. Selain dapat meningkat khusyuk ketika solat, doa iftitah juga mengandungi pelbagai pujian kepada ALLAH SWT yang mendekatkan diri kita kepada-NYA.
Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Facebook Prof Madya Dr Ahmad Sanusi & akuislam.com
Foto: Unsplash, Google, Freepik, & Facebook