‘Travel’ jarak jauh tanpa bermalam, adakah kita masih diizin solat jamak dan qasar?
SOLAT jamak dan qasar merupakan suatu keringanan diberikan ALLAH SWT untuk memudahkan hamba-hambaNYA beribadah meskipun sedang berada dalam perjalanan jauh.
Daripada Ibnu Abbas RA bahawa, “Nabi SAW menjamakkan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjamakkan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?
Kebiasaannya, ibadah ini dimanfaatkan apabila kita pulang ke kampung pada musim perayaan atau melancong ke mana-mana. Dalam kedua-dua situasi, kebanyakan orang akan bermalam di kawasan tersebut.
Namun, bagi sesetengah perjalanan jauh, ada masanya kita memilih untuk tidak bermalam di destinasi dan sebaliknya pulang semula ke rumah.
Dalam hal sebegitu, adakah kita masih dibenarkan melakukan solat jamak dalam perjalanan ke suatu tempat meskipun tidak bermalam di situ?
Turut disyorkan Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?
Syarat sah solat jamak dan qasar
Bagi menjawab persoalan itu, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar, iaitu:
1. Jarak perjalanan melebihi 81 km.
Seseorang dibolehkan melaksanakan solat musafir sekiranya destinasi yang dituju adalah sejauh dua marhalah atau 81 km dan ke atas.
Individu itu juga hendaklah berniat tidak akan menetap di tempat tersebut melebihi tiga hari (tidak termasuk perjalanan pergi dan balik).
Jika dia tinggal lebih daripada empat hari, maka ia dianggap dia telah bermukim di situ dan tidak lagi dibenarkan melakukan solat musafir. Sebaliknya, dia hanya dibolehkan bersolat jamak dan qasar semasa dalam perjalanan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Demi ibadah haji sanggup berjalan kaki ke Mekah, 2 kisah ini wajar dijadikan inspirasi
- Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?
- Bercuti atau balik kampung, jangan lupa sunnah Rasulullah SAW ini ketika bermusafir.
2. Tahu tempat yang ingin dituju.
Selain itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu serta orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
3. Perjalanan bukan untuk tujuan maksiat.
Di samping itu, orang yang melakukan sesuatu perjalanan atas tujuan maksiat seperti menjual arak, menyamun atau mengamalkan riba’ juga tidak layak ke atas solat jamak dan qasar.
Hal ini kerana solat musafir merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.
Hukum solat jamak tanpa bermalam
Melihat kepada tiga syarat tersebut, pihak Mufti menjelaskan bahawa tidak ada syarat sah yang mewajibkan seseorang bermalam di suatu tempat untuk membolehkannya melaksanakan solat jamak dan qasar.
Sebaliknya, hukum syarak hanya menetapkan waktu maksimum bermusafir iaitu tiga hari, tidak termasuk hari pergi dan hari keluar.
Ketetapan itu adalah berdasarkan hadis al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dengan itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menetapkan bahawa dibenarkan bagi seseorang yang musafir ke suatu destinasi yang melebihi dua marhalah untuk melakukan solat musafir seperti jamak dan qasar, sekalipun dia hanya balik hari dan tidak bermalam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Unsplash