PERSOALAN berkaitan qada puasa dan fidyah sering kali dibangkitkan, lebih-lebih lagi kita kita sedang menuju ke bulan Ramadan yang berbaki 47 hari.
Kepada mereka yang belum habis menggantikan puasa, bolehlah berbuat demikian sekarang dan usah menangguh-nangguhkan kewajipan berkenaan kerana ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam.
Sedang membuat kiraan baki puasa qada, tiba-tiba ingatan terarah kepada ‘hutang-hutang’ lama ketika diri masih jahil tentang kewajipan tersebut.
Barangkali ada yang pernah culas atau meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja suatu masa dahulu bermula selepas baligh hinggalah sekarang.
Jika telah insaf, bagaimana caranya untuk membayar fidyah berkenaan? Perlukah ibadah tersebut digantikan semula?
Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, puasa Ramadan merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan perkara fardu.
Lantaran itu, katanya, sesiapa yang mengingkari kewajipan berkenaan akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad, demikian yang disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.
Baca juga Adakah anda tergolong dalam golongan wajib membayar fidyah puasa?
“Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan dengan ulama.
“Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasik. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja,” katanya sebagaimana dipetik menerusi kemusykilan agama di laman web jabatan mufti berkenaan.
Bukan itu sahaja, Ibn Hajar al-Haytami menyebut, sesiapa yang meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada bulan Ramadan dan berbuka puasa dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran, maka dirinya telah melakukan dosa besar yang ke-140 dan 141.
Disebabkan itu Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan agar pelakunya segera bertaubat kepada ALLAH SWT dan menyesal atas perbuatan tersebut.
“Malah, menjadi kewajipan untuk orang yang meninggalkan puasa tersebut menggantikan hari-hari yang ditinggalkannya,” tegasnya.
Fidyah ikut kadar pihak berkuasa agama
Bukan sekadar mengqadakan puasanya sahaja, malah individu berkenaan perlu membayar fidyah mengikut kadar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.
Baca juga Wajib qada solat walaupun sudah puluhan tahun tinggalkan
Menurut Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, jika seseorang meninggalkan puasanya dengan sengaja bermula dari akil baligh, maka dia perlu menggandakan bayaran fidyah mengikut tahun puasa yang ditinggalkan.
Berikut cara kiraannya: (Tahun Semasa- Tahun Ganti) x (Bilangan Hari yang Ditinggalkan) x Nilai Secupak Beras.
“Oleh itu, dia perlu membayar fidyah berpandukan formula kiraan bayaran fidyah seperti yang telah ditetapkan.
“Namun, kami menyarankan agar perkara ini dirujuk secara langsung kepada pihak Zakat Pulau Pinang atau pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing agar pengiraan dan kadar bayaran dibuat dengan lebih teliti,” katanya sepertimana dipetik daripada artikel tersebut.
Bagaimana pula jika terlupa bilangan puasa yang ditinggalkan sebelum ini?
Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan
Dalam hal itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, para ulama menetapkan bahawa kaedah penentuan bilangan hari bagi puasa qada terbahagi kepada dua iaitu tahdidi dan taqribi.
“Tahdidi bererti menentukan dengan tepat bilangan hari yang ditinggalkan, manakala taqribi adalah menggunakan anggaran berapa hari yang ditinggalkan,” katanya.
Jabatan itu turut merujuk pandangan Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni yang menyatakan: “Apabila tanggungan ibadahnya yang sangat banyak, dia wajib terus menerus melakukan qada. Jika dia tidak tahu jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulang-ulang qada puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.”
“Ibn Qudamah menukilkan kata-kata Imam Ahmad dalam satu riwayat yang sahih, berkenaan seseorang yang meninggalkan solat dan lupa berapa banyak yang ditinggalkannya: ‘Dia hendaklah ulang-ulang sampai dia tidak meragui lagi bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lalaikan. Dia hanya melakukan yang wajib sahaja’,” ungkapnya.
Justeru, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menegaskan, qada puasa wajib dilakukan mengikut bilangan yang tepat.
“Sekiranya terlupa atau tidak tahu bilangan hari puasa ditinggalkan, maka hendaklah dia menggunakan kaedah taqribi iaitu dengan menganggarkan beberapa hari puasa yang ditinggalkan mengikut sangkaannya yang paling kuat dan ahwat (lebih berhati-hati).
Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah
“Sekiranya bayaran fidyah yang wajib dilunaskan itu melebihi tahap kemampuannya, maka dibenarkan untuk membayarnya secara ansuran.
“Namun, perlu diingatkan bahawa bayaran tersebut perlu dijelaskan dengan kadar segera sebelum datangnya Ramadan yang seterusnya kerana fidyah merupakan perkara wajib yang perlu diselesaikan,” pesannya.