SERINGKALI kita menonton perlawanan bola sepak yang melibatkan pemain Muslim dan pasukan dari negara Timur Tengah atau Afrika Utara, pasti akan ada pemain merayakan kejayaan yang diraih dengan melakukan sujud syukur.
Seperti yang diketahui, kebanyakan pemain bola sepak akan memakai seluar pendek ketika bermain di padang. Namun, timbul pelbagai persoalan yang menjadi tanda tanya setiap umat Islam akan apa hukumnya jika pemain bola sepak melakukan sujud syukur ketika dalam keadaan tidak menutup aurat.
Memetik penjelasan agamawan terkemuka, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di laman maktabahalbakri menjelaskan isu dan hal ini berkait rapat dengan sujud syukur itu, adakah wajib untuk dilakukan dengan syarat-syarat seperti dalam solat, menurut aurat dengan sempurna dan seumpamanya.
“Berkenaan dengan menutup aurat, Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. Manakala mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.
Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa peha itu bukan aurat.
“Namun, ditegaskan bahawa meskipun lutut dan pusat bukan aurat dalam mazhab Syafie, namun para ulama menegaskan bahawa ia tetap wajib ditutup berdasarkan kaedah: “Jika suatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan dengan perkara yang lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib”.
“Dalam kes ini, apa-apa di antara pusat dan lutut tidak akan sempurna melainkan jika pusat dan lutut turut ditutup. Al-Khatib asy-Syirbini menyebutkan di dalam al-Iqna’: Aurat ialah apa yang ada antara pusat dan lutut.
Aurat antara pusat dan lutut
“Adapun pusat dan lutut bukanlah aurat. Akan tetapi ia wajib ditutup sebahagiannya kerana apa-apa yang perkara wajib tidak menjadi sempurna melainkan dengannya, maka hal itu jua menjadi wajib”.
“Terdapat pandangan para ulama yang membenarkan untuk sujud syukur tanpa melibatkan syarat-syarat solat seperti dengan berwuduk serta menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna. Ini adalah pendapat kebanyakan salaf serta sebahagian al-Malikiyyah”.
“Begitu juga ia adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani dan al-San’ani. Hal ini kerana:
“Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wuduk, menghadap kiblat dan menutup aurat dengan sempurna seperti di dalam solat perlu mendatangkan dalil.
“Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat,” katanya di laman berkenaan.
Jelas Zulkifli lagi, sekiranya syarat-syarat ini diperlukan pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadis menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
“Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada ALLAH SWT. Ia dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada syarat-syarat seperti solat, sudah tentu ia tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwuduk, mencari kiblat, menutup aurat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.
“Mantan Mufti Besar Arab Saudi ketika ditanya berkenaan isu sujud syukur tanpa wuduk, maka beliau menjawab: Sujud tilawah adalah sujud yang terpisah daripada solat (mustaqil), jika di luar solat, boleh sujud dalam keadaan tidak berwuduk mengikut sujud yang betul, dan ini sama juga dengan sujud syukur.
“Hal ini kerana kedua-dua sujud ini berlaku dengan sebab-sebab yang mungkin berlaku semasa seseorang itu tidak dalam keadaan suci.
“Boleh jadi seseorang itu membaca al-Quran dengan tidak melihat mushaf tanpa wuduk, apabila dia melalui ayat sujud tilawah ataupun datangnya berita yang menggembirakannya, sedangkan dia tidak beada dalam keadaan suci, maka dia boleh sujud tanda syukur kepada ALLAH dan ini merupakan perkara yang baik.
“Di dalam hadis “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan, baginda lantas sujud kepada ALLAH”.
“Al-Lajnah al-Daimah di dalam fatwanya menyebut: Pandangan yang paling tepat mengenai sujud syukur dan tilawah bagi pembaca al-Quran dan pendengarnya ialah tidak disyaratkan untuk bersuci (berwuduk) kerana kedua-dua sujud ini bukan hukum solat.
Hukum sujud syukur pemain bola sepak tidak menutup aurat
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, agamawan tersebut menyimpulkan, pendapat yang lebih dekat adalah pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur boleh dilakukan dengan tidak menutup aurat dengan sempurna seperti pemain bola sepak yang terdedah lutut dan sebahagian pehanya.
“Ini dengan melihat bahawa tiada dalil yang menjadi pemutus akan perlunya syarat-syarat sah solat seperti menutup aurat, berwuduk dan menghadap kiblat. Bahkan sujud syukur ini bukanlah solat yang memerlukan syarat sedemikian.
“Justeru, dibolehkan untuk pemain bola sepak muslim meraikan gol dengan melakukan sujud syukur walaupun dengan pendedahan lutut dan sebahagian peha”.
“Bahkan ia boleh jadi satu cara untuk pemain bola Muslim untuk menunjukkan syiar Islam dan boleh jadi juga dalam satu bentuk dakwah kepada yang bukan Islam untuk menyatakan bahawa orang Islam apabila mendapat nikmat akan tetap mengingati ALLAH dengan bersujud kepada-NYA,” ungkap beliau.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus