RAMADAN sudah semestinya sinonim dengan ibadah puasa yang wajib dikerjakan oleh umat Islam untuk melatih diri daripada menahan lapar dan dahaga.
Namun, pernahkan kita mendengar penggunaan gajet juga perlu puasa? Terutama di bulan mulia ini, tidaklah ingin mengatakan gajet itu sesuatu yang buruk, akan tetapi bermula dari gajet inilah ia sebenarnya boleh mengurangkan pahala puasa tanpa kita sedar.
Memetik perkongsian Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Norhisham Muhamad menjelaskan puasa bukan sekadar tidak minum dan makan, namun penggunaan gajet juga perlu puasa.
Menurut beliau, umat Islam yang menjalani ibadah puasa perlu menahan diri daripada segala bentuk yang merosakkan kesucian hati. Hal ini termasuk perbuatan menyebarkan aib sendiri atau orang lain di media sosial.
“Dalam menggunakan aplikasi media sosial melalui peralatan seperti smart phone, tab dan sebagainya, adakala kita terlupa untuk menjaga adab semasa berpuasa kerana menganggap ia perkara biasa yang dilakukan orang ramai tanpa disedari boleh mendatangkan dosa dan mengurangkan pahala berpuasa di bulan Ramadan.
“Segelintir masyarakat kini lebih memilih membuka aib yang berlaku seperti pergolakan rumah tangga yang sepatutnya tidak didedahkan kepada umum.
“Kawal jari-jari kita daripada suka menyebarkan fitnah dan berita palsu. Imam al-Ghazali menjelaskan, ada 20 jenis dosa yang muncul disebabkan lidah dan boleh dikias dengan jari dalam dunia moden ini.
Baca Juga [Video] Isteri ‘menderita’ suami berbuka di masjid
Antaranya ialah ghibah, fitnah, berbohong, memaki, sumpah palsu dan sebagainya yang dilakukan oleh jari dan disebarkan dengan jari. Justeru, penggunaan lidah juga perlu dijaga sewajarnya,” katanya.
Puasa lambang ketaatan Muslim
Apabila ditanya, apakah yang membuatkan orang Islam kuat dan mampu menahan lapar dan dahaga di siang hari, sedangkan makan dan minum itu satu keperluan untuk hidup?
Merujuk jawapan Pegawai Masjid dan Guru Takmir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Faidhi Azis menjelaskan ia adalah kerana keimanan dan ketakwaan yang menjadikan orang Islam kuat dan mampu menahan lapar dan dahaga.
Ujarnya, bagi orang Islam, ibadah puasa bukanlah kerana semata-mata untuk menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, sebaliknya ia lambang ketaatan orang Islam mematuhi arahan Tuhan yang lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-NYA.
“Untuk itu, apa sahaja titah perintah ALLAH Azzawajalla, orang Islam taat dan patuh akannya kerana keimanan dan ketakwaannya kepada Tuhan yang MAHA PENCIPTA.
“Sekiranya berpuasa hanya sekadar menahan makan dan minum, semua orang boleh melakukannya, tetapi bezanya, keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap ALLAH SWT.
Baca Juga “Budaya” kejut sahur kawasan kejiranan perlu dihentikan
“Maka apa sahaja tawaran dan ganjaran pahala yang telah dijanjikan oleh ALLAH pada bulan Ramadan, orang Islam akan menuruti jalan tersebut dengan berpuasa bersungguh-sungguh dan penuh beriman.
“Akhirnya, destinasi ibadah puasa pada bulan Ramadan ini ialah menuju ke arah menjadi hamba-NYA yang lebih bertakwa, tidak sekadar berlapar dan dahaga,” jelasnya.
Ikuti kami juga di telegram