Nak didik anak kecil berpuasa, Ustazah Asma’ kongsi tips untuk ibu ayah…
BILANGAN hari menuju Ramadan sudah semakin hampir. Pastinya setiap masyarakat Islam akan teruja untuk menyambutnya.
Dalam pada itu, ibu ayah yang sentiasa mementingkan didikan agama pasti akan tertanya-tanya bagaimana hendak melatih anak-anak sejak kecil untuk berpuasa.
Memperincikan jawapan tersebut, pendakwah, Ustazah Asma’ berkata, para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh adalah tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif (kewajipan) dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.
Saidina Ali bin Abi Talib RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

PARA ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh adalah tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Bilakah waktu yang sesuai seorang kanak-kanak itu perlu dididik untuk berpuasa?
Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab Majmu’ yang bermaksud:
“Al-Shirazi dan ulama mazhab al-Syafie menyatakan apabila seorang anak itu mampu berpuasa, maka wali wajib menyuruhnya berpuasa ketika berusia tujuh tahun, dengan syarat dia sudah mumayyiz. Dan memukulnya sekiranya dia tidak berpuasa ketika usia 10 tahun. Anak perempuan sama seperti anak lelaki tanpa khilaf.”
Maksud tujuh tahun ialah setelah sempurna usia tujuh dan memasuki usia lapan. Juga setelah sempurna usia sepuluh tahun dan memasuki usia sebelas tahun. Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
BACA JUGA Risau anak merengek lama ketika ibu tengah solat, bolehkah batalkan sembahyang? Ini penjelasannya
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah menilai sejauh mana kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa serta memastikan ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada mereka.
Bagaimana mendidik anak-anak berpuasa?
Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga untuk mendidik anak-anak berpuasa ialah:

IBU bapa adalah watak utama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak.
1. Menjadi ‘role’ model pada anak-anak.
Ibu bapa adalah watak utama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Jadi, pamerkanlah akhlak yang baik dengan mempraktikkan ibadah-ibadah semasa Ramadan seperti tadarus al-Quran, berterawih dan amalan bersedekah.
Sekiranya ibu itu tidak berpuasa (uzur syarie) elakkan makan di hadapan anak-anak.
2. Berbicara mengenai puasa
Menjelaskan kepada anak-anak mengenai puasa secara santai seperti berkongsi kisah nabi-nabi, cara puasa Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan kisah-kisah teladan.
Mengajar anak-anak cara membaca niat puasa, memberitahu syarat wajib dan syarat sah puasa, rukun puasa, ganjaran bagi orang yang berpuasa dan keistimewaan berpuasa Ramadan.
BACA JUGA Anakku, ibu ayahmu adalah penentu syurga dan nerakamu!
Mengucapkan kata-kata semangat kepada anak-anak supaya timbulnya perasaan teruja menunggu kehadiran Ramadan.
3. Mengajar anak-anak berpuasa secara berperingkat mengikut waktu solat
Fasa pertama : Puasa hingga waktu Dhuha
Fasa kedua : Puasa hingga waktu Zohor
Fasa ketiga : Puasa hingga waktu Asar
Fasa terakhir : Puasa hingga waktu Maghrib
Fasa begini dilakukan supaya tubuh serta minda anak-anak bersedia dan mereka tidak rasa terbeban jika terpaksa untuk terus berpuasa sepenuh hari.

PENTINGNYA bagi ibu bapa untuk menyediakan diri dengan ilmu yang mantap mengenai puasa Ramadan supaya ia dapat diwariskan pada anak-anak seterusnya generasi yang akan datang.
4. Memberi ganjaran kepada anak
Berilah dakapan dan pujian atas kejayaan usaha mereka melaksanakan puasa tanpa mengambil kira mereka berjaya berpuasa penuh atau tidak.
Menyediakan makanan kegemaran anak-anak untuk berbuka.
Jika perlu, berikan hadiah supaya mereka lebih bersemangat untuk meneruskan puasa sehingga ke akhir Ramadan.
5. Mendoakan anak-anak diberikan kefahaman agama:
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Maksudnya: “Ya ALLAH, berikan kefahaman agama kepadanya dan ajarkannya takwil (tafsir al-Quran). (Hadis Riwayat Ahmad)
BACA JUGA Perlu ke asingkan saf kanak-kanak ketika solat? Hadamkan penjelasan agamawan ini
Berdasarkan kepada perkara di atas, Ustazah Asma’ menyimpulkan bahawa:
1. Kanak-kanak merupakan golongan yang tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, digalakkan untuk melatih mereka berpuasa sedari umur sempurna tujuh tahun mengikut pendekatan yang dikongsikan di atas.
2. Ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui tahap kemampuan anak-anak supaya sebarang kemudaratan tidak berlaku.
3. Oleh itu, pentingnya bagi kita untuk menyediakan diri dengan ilmu yang mantap mengenai puasa Ramadan supaya ia dapat diwariskan pada anak-anak seterusnya generasi yang akan datang.
Semoga kita semua lebih bersedia dan bersemangat menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang lebih baik.