Muslimah solat dengan pakaian ketat, sah atau tidak?
MENUTUP aurat adalah syarat sah solat, baik bagi lelaki mahupun perempuan. Oleh itu, sekiranya aurat kita terdedah tanpa sengaja semasa solat, maka kita diwajibkan untuk menutupnya dengan segera dan boleh meneruskan ibadah seperti biasa.
Namun, jika orang yang solat itu lalai dan membiarkan auratnya terbuka tanpa segera ditutup, maka solatnya akan terbatal dan hendaklah dimulakan semula.
Secara umumnya, aurat ketika solat bagi kaum muslimah adalah keseluruhan tubuh badan selain muka dan tapak tangan.
Malah, ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa golongan wanita juga harus mengenakan pakaian labuh yang tidak menampakkan tubuh badan sebagai salah satu syarat sah solat.
Pun begitu, apakah hukum di sebalik melaksanakan solat dalam keadaan berpakaian baju atau seluar ketat? Adakah sah solat yang dilakukan?
Jatuh haram, jika lelaki ajnabi tengok
Untuk pengetahuan, menurut para ulama, kadar yang dikira menutup aurat ketika solat adalah tidak menampakkan warna kulit.
Justeru, makruh hukumnya bagi seorang perempuan menunaikan solat dalam keadaan berpakaian ketat. Solatnya pula tetap sah asalkan pakaian tersebut menutup aurat.
Pun begitu, perkara ini hanya dibenarkan jika wanita itu berada bersama mahramnya seperti sesama jemaah Muslimah lain.
Maka, jika ada lelaki bukan mahram yang melihat, maka hukumnya adalah HARAM bagi perempuan melaksanakan solat ketika berpakaian ketat walaupun solatnya itu sah.
Hal tersebut ada dijelaskan oleh ulama Syeikh Khatib as-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj. Katanya:
“Adapun nampak bentuk badan itu maka tidak membatalkan akan tetapi makruh hukumnya bagi perempuan dan khilaful awla bagi lelaki. (Kitab Mughni al-Muhtaj)
4 tip menunaikan solat tanpa telekung
Berikut tip yang perlu dititikberatkan oleh kaum Muslimah apabila ingin menunaikan solat tanpa telekung.
1. Memakai pakaian yang longgar dan tidak jarang.
Pakaian yang dipakai haruslah jenis kainnya tebal dan mampu menyembunyikan warna kulit dan tidak menampakkan sifat anggota badan.
Kain yang terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota badan yang ada di sebalik kain tersebut maka ia tidak sah dibawa bersolat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.
Sekiranya kain tersebut dapat menyembunyikan warna kulit tetapi menampakkan bentuk dan ukuran tubuh badan, maka sah bersolat dengannya kerana ia tidak dapat dielakkan sekalipun memakai kain tebal.
Begitu pun, ulama mazhab Syafie berpendapat hukum memakai kain sedemikian adalah makruh dan sebaik-sebaiknya dielakkan.
Selain itu, makruh hukumnya bagi pemakaian baju t-shirt ketat yang menampakkan bentuk pinggul dan dada.
2. Tudung labuh melepasi dada.
Tudung yang dibolehkan ketika solat ialah tudung yang menutup rambut wanita dengan sempurna, tidak jarang sehingga menampakkan leher dan labuh sehingga menutupi dada.
3. Menutup kaki.
Kaki antara aurat yang wajib ditutup bagi wanita ketika solat. Dalam sebuah riwayat daripada Ummu Salamah RA, beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW,
“Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan).” Nabi SAW menjawab: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Bagi pemakaian stoking pula harus dari jenis kain yang tebal dan tidak menampakkan warna kulit si pemakai.
4. Menutup pergelangan tangan.
Dalam mazhab Syafie, aurat wanita di dalam solat adalah keseluruhan anggota badan wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan yang zahir dan batin, iaitu dari hujung jari sehinggalah ke pergelangan tangan.
Jadi, pastikan bahagian tangan ditutup sehingga ke pergelangan tangan ketika menunaikan solat tanpa telekung.
Anda juga boleh memakai sarung lengan (handsock) untuk mengelakkan aurat lengan anda terselak sewaktu solat.
Apa pun, diingatkan bahawa aurat wanita di dalam solat sama sahaja seperti auratnya ketika di luar solat.