KAIN pelikat begitu sinonim dengan masyarakat Melayu, memakai ketika hendak menunaikan solat berjemaah di masjid bukanlah satu perkara asing lagi.
Namun pernah atau tidak ketika solat, kain yang dipakai menjadi longgar sehingga nak tertanggal?
Perkara ini sering menjadi persoalan terutama kepada kaum lelaki. Bolehkah dibetulkan ketika dalam solat dan adakah perbuatan ini membatalkan solat.
Berikut merupakan pencerahan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi laman sesawangnya terhadap persoalan seseorang mengetatkan kain ketika sedang sembahyang.
Perbuatan tersebut merupakan tindakan termasuk dalam pergerakan yang banyak. Sekiranya seseorang melakukannya melibatkan tiga pergerakan secara berturut-turut, maka solatnya akan batal.
Oleh itu, seseorang hendaklah mengelakkan diri mereka daripada melakukan perkara tersebut jika ia tidak menganggu solatnya.
Jika ia menggangu solat, maka hendaklah melakukannya dengan dua pergerak atau tiga pergerakan secara berasingan agar tidak membatalkan solat.
Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi: Jika seseorang melakukan sesuatu perbuatan dalam solatnya yang bukan daripadanya daripada jenis perbuatan solat (seperti menambah rukuk atau sujud dengan sengaja), maka batal solatnya kecuali jika dia terlupa. Namun jika bukan daripada jenis perbuatan solat maka batal sekiranya perbuatan itu melibatkan pergerakan yang banyak, manakala pergerakan yang sedikit tidak membatalkan solat. (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:32)
Perlu sentiasa peka
Imam al-Nawawi menjelaskan dalam menentukan sama ada perbuatan tersebut dikira banyak atau sedikit ialah apabila ia melibatkan tiga kali pergerakan secara berturut-turut maka ia dikira sebagai pergerakan yang banyak.
Adapun jika kurang daripada tiga kali pergerakan atau lebih tetapi secara berasingan, maka ia dikira sebagai pergerakan yang sedikit.
Baca juga Indahnya pemergian sang hamba, bila husnul khatimah miliknya dicemburui seisi dunia
Oleh itu, dalam masalah atau isu ini, kita digalakkan untuk mengikat dan mengetatkan kain pelikat sebelum solat.
Dan sekiranya ketika sedang solat kain pelikat longgar sehingga menganggu solat maka hendaklah mengikatnya dengan pergerakan yang sedikit dan berasingan.
Dalam apa jua tindakan yang dilakukan, sebagai Muslim kita haruslah sentiasa peka dan mengambil berat akan segala tindak-tanduk yang dilakukan terutama dalam perkara yang melibatkan ibadah.
Jadi, untuk mengelakkan solat daripada terbatal, perlulah membuat persediaan yang sempurna sebelum mendirikan solat. Berikut merupakan 11 perkara membatalkan solat yang harus diketahui:
• Semua perkara yang membatalkan wuduk
• Terkena najis jika tidak segera dibuangkan
• Terbuka aurat dan tidak segera ditutup kembali
• Berkata-kata dengan sengaja, sekalipun sedikit, termasuklah ketawa
• Tidak boleh berkata-kata dengan sengaja yang selain daripada Al-Quran, zikir atau doa
• Makan dan minum
• Tiga kali bergerak berturut-turut seperti bergerak tiga langkah berturut-turut atau memukul tiga kali berturut-turut
• Berubah niatnya. Contohnya, niat memutuskan solat atau sangsi iaitu ragu-ragu dalam kehendaknya untuk memutuskan solatnya itu
• Menambah rukun fi’li iaitu perbuatan dengan sengaja. Contohnya, menambah bilangan rukuk dan sujud.
• Meninggalkan salah satu daripada rukun-rukun solat seperti tidka membaca Al-Fatihan atau tidak iktidal
• Meninggalkan salah satu daripada syarat-syarat solat seperti tidak menghadap kiblat
• Murtad, iaitu keluar daripada agama Islam