BENARKAH haram potong kuku dan rambut ketika haid?
Bagi golongan wanita, apabila kuku dan rambut yang dipelihara melewati tahap rimas, pasti timbul hasrat untuk mengerat buang anggota-anggota tersebut.
Kebetulan, fenomena biologi sebulan sekali turut datang menjengah, maka hajat tadi terpaksa dihentikan memandangkan ada yang kata wanita dilarang memotong kuku dan rambut dalam keadaan haid atau nifas.
Namun, sejauh manakah kebenaran di sebalik dakwaan tersebut?
Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati
Jelas Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sememangnya terdapat ramai ulama Syafie yang menyentuh larangan memotong kuku, rambut, atau mengeluarkan darah atau bahagian daripada tubuh, dalam keadaan berjunub.
Perkara ini didasari pandangan Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin yang menegah perbuatan memotong kuku dan rambut atas sebab anggota itu akan dikembalikan pada Hari Akhirat dalam keadaan berjunub.
Pun begitu, tiada nas atau dalil yang melarang wanita dalam keadaan haid atau berhadas besar untuk mengerat kuku, rambut serta bulu lain pada tubuh.
Oleh itu, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa tidak makruh atau haram bagi wanita memotong kuku, rambut serta bulu sewaktu haid.
Dalam pada itu, wanita juga tidak perlu menyimpan kuku dan rambut yang terputus ketika sedang haid atau nifas untuk dibawa sekali sewaktu melaksanakan mandi wajib.
Baca juga Amalan yang boleh dilakukan oleh wanita ketika haid
Wajib tanam kuku dan rambut yang dipotong?
Dalam hal ini, para fuqaha berpendapat bahawa hukumnya sunat menanam kuku dan rambut yang dipotong memandangkan Ibnu Umar pernah melakukannya.
Pihak Mufti Wilayah Persekutuan turut senada dengan pandangan berkenaan berdasarkan Islam yang menganjurkan umatnya menjaga kebersihan persekitaran.
Baca juga Boleh atau tidak memakai kuku palsu dalam Islam? ini penjelasannya
Pada masa sama, menanam kuku dan rambut yang dipotong juga dapat mengelakkan kemungkinan anggota-angota itu disalahgunakan untuk tujuan seperti perbuatan jahat sihir, menyambung rambut dan lain-lain.
Semoga perkongsian kali ini dapat memberi pencerahan buat para wanita di luar sana yang masih keliru tentang isu mengerat rambut dan kuku ketika berhadas besar.
Haram potong kuku dan rambut ketika haid? Ini penjelasannya
Sumber: Al-Kafi #1413: Benarkah bulu atau kuku yang dipotong perlu ditanam & Al-Kafi #607: Hukum memotong kuku atau rambut ketika haid dan nifas
Foto: Unsplash & Google