UMUM mengetahui dalam Islam, anjing merupakan salah satu haiwan yang termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat.
Merujuk kepada Mazhab Syafie, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis. Menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan atau hajat adalah haram di sisi Islam.
Sepertimana yang dikatakan oleh Imam al-Nawawi; “Ketahuilah, tidak ada perbezaan di kalangan kami antara jilatan anjing dengan selainnya; daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah. (Rujuk Al Minhaj bi Sharh Sahih Muslim)
Walaupun hukum asalnya adalah haram namun terdapat rukhsah (kelonggaran) bagi mereka yang membela atau memegang anjing yang didahulukan hajat dan keperluan selari dengan kehendak syarak.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 14-15 Ogos 2017 telah membincangkan mengenai Hukum Pemeliharaan Anjing Sebagai Haiwan Peliharaan Oleh Orang Islam.
Melalui sidang tersebut, mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
Mesyuarat memutuskan bahawa hukum memelihara anjing di rumah oleh orang Islam sebagai haiwan peliharaan (pet) adalah haram melainkan untuk tujuan muktabar yang termasuk dalam keperluan dan kemaslahatan. Antaranya adalah untuk tujuan:
i. Perburuan; anjing yang digunakan bukanlah anjing “comel” dijadikan “teman” untuk bermanja, tetapi anjing yang garang atau tahan lasak dan sesuai dijadikan untuk berburu. Walau bagaimanapun, Islam hanya membenarkan perburuan adalah untuk mendapatkan makanan, bukan memburu kerana sukan, suka-suka dan berseronok-seronok kerana Islam tidak membenarkan haiwan dibunuh atau diseksa atau diusir dari tempat yang lazim mereka tinggal, hanya untuk suka-suka.
ii. Anjing pemandu jalan; untuk dijadikan anjing pemandu jalan seperti untuk orang buta sekiranya amat memerlukan dan tiada orang lain yang dapat membantu.
iii. Keselamatan; untuk tujuan keselamatan pihak berkuasa seperti Polis dan Kastam, dan juga untuk mengawal keselamatan di sekitar rumah.
iv. Membantu penternakan haiwan.
Memelihara anjing sebagai ‘pet’ seolah menghina agama Islam
Menurut Majlis Fatwa Pulau Pinang lagi, perbuatan memegang anjing secara sengaja, tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam akan menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan uruf di Malaysia.
“Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai mughallazah namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja.
“Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
Baca juga Ini hukumnya jadikan ‘teddy bear’ sebagai bantal peluk
“Perbuatan mana-mana orang Islam yang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) akan disalah tafsir dan dilihat seolah-olah cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
“Oleh yang demikian, mereka perlu segera meninggalkan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada ALLAH” Jelas artikel Majlis Fatwa berkenaan.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang turut menasihatkan umat Islam agar tidak menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.