Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?
AL-QURAN adalah panduan terulung bagi setiap insan yang bergelar Muslim. Mana tidaknya, kalam suci itu mengandung pelbagai kisah para Anbia, hukum-hakam, penawar kesembuhan serta 1001 lagi khazanah berharga untuk diteladani oleh umat Islam.
Dari sudut lain, al-Quran turut boleh diibaratkan sebagai bicara ALLAH SWT kepada seluruh manusia menjadikan statusnya begitu tinggi dan mulia.
Justeru, al-Quran tidak boleh diperlakukan sembarangan atas tanda mengagungkan kalimah ALLAH. Malah ada adab tertentu perlu dijaga apabila ingin menyentuh kitab suci itu, apatah lagi melafazkannya.
Baca juga Jaga adab ketika dengar bacaan al-Quran, Ustaz Hariri tegur penonton majlis Tilawah
Antara adab membaca al-Quran yang seringkali dititip kepada kita adalah seperti menutup aurat dan mengambil wuduk.
Namun, bagi segelintir orang, al-Quran bukan sahaja dibaca selepas solat. Ada juga yang gemar melafazkan bacaan ketika berehat, menunggu waktu berbuka puasa mahupun sebelum tidur.
Oleh itu, persoalan yang timbul, adakah pada waktu-waktu sedemikian, kita tetap perlu menutup aurat seperti memakai tudung atau memakai seluar melebihi paras lutut ketika membaca al-Quran?
ARTIKEL BERKAITAN:
- Berdosakah jika kita terlupa ayat al-Quran yang pernah dihafal?
- Selamatkan diri dari Dajjal dengan menghafal 10 ayat terawal Surah al-Kahfi
- Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam
Dedah aurat
Bagaimana pula hukum membaca al-Quran tanpa menutup aurat? Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.
Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.
“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.
Walaupun tidak diwajibkan, namun membaca al-Quran dalam keadaan menutup aurat adalah cara seseorang itu mengagungkan syiar Islam, seterusnya menjadi bukti ketakwaan bagi dirinya. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam Surah Al-Hajj, ayat 32 yang bermaksud:
“Demikianlah (ajaran ALLAH) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama ALLAH maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” (Surah Al-Hajj, ayat 32)
Malah Al-Hakim Al-Tirmidzi menyebut dalam kitab Nawadir al-Usul, bahawa antara cara menghormati dan mengagungkan al-Quran adalah berpakaian seperti ketika bertemu raja untuk memohon suatu permintaan.
Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran
Hadirkan kekhusyukan
Antara adab membaca al-Quran
Memetik portal Bernama, antara adab lain ketika membaca al-Quran adalah:
1. Memilih tempat, waktu dan posisi yang sesuai.
2. Menyucikan anggota badan yang terlibat semasa membaca al-Quran.
3. Datangkan niat dan keikhlasan yang sempurna hanya kepada ALLAH SWT.
4. Membaca al-Isti’azah (Auzubillah) dan al-Basmalah (Bismillah).
5. Selesaikan semua urusan sebelum memberi fokus kepada bacaan.
6. Hadirkan diri agar dapat merasai kekhusyukan ketika bersama dengan al-Quran.
7. Menangislah ketika sedang membaca al-Quran.
8. Memberi penekanan terhadap ayat-ayat al-Quran untuk memahami makna-maknanya serta menyedari akan hakikat-hakikat yang terkandung di dalamnya.
Ringkasnya, membaca Al-Quran adalah syiar (tanda atau simbol) agama yang perlu sentiasa dihidupkan, dan hal ini perlu dilakukan dengan cara baik seperti menutup aurat.
Foto: Pexels & Unsplash
Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?