Badar Kubra dan Nuzul Quran, antara peristiwa penting mengangkat keagungan Ramadan…
FIRMAN ALLAH SWT, dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah”.
Pada 17 Ramadan 1444 Hijrah bersamaan 8 April 2023 (Sabtu) merupakan satu tarikh penting kepada umat Islam seluruhnya, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia mengenangkannya. Apakah tarikh besar itu?
Benar, 17 Ramadan itu adalah suatu peristiwa ‘Nuzul al-Quran’, di mana ia menjadi rakaman sejarah kehidupan junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW.
Ia berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610 M, tahun ke-41 keputeraan Baginda Nabi SAW, ketika sedang beribadat di Gua Hira’.
Namun terdapat pendapat lain mengenai tarikh sebenar Nuzul al-Quran iaitu pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW, ayat al-Quran pertama yang diturunkan oleh ALLAH SWT melalui utusan malaikat Jibrail adalah lima ayat daripada surah al-‘Alaq dengan maksudnya;
“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”, (al-‘Alaq ayat 1-5).
Sesungguhnya, al-Quran itu suatu mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW bukan hanya kepada baginda tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari kiamat.
Bersempena peristiwa Nuzul al-Quran pada Ramadan kali ini, sama-samalah kita merenung kembali, sejauh manakah al-Quran dapat kita hayati dan amalkan secara tuntas.
Baca Juga Al-Quran lalui dua peringkat sebelum diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
Dua peristiwa agung di bulan Ramadan
Dalam satu ceramah Badar al-Kubra Negeri Kelantan yang disampaikan oleh Presiden PAS Malaysia, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau berkongsi dua peristiwa agung yang berlaku ketika Nuzul al-Quran.
Jelasnya, setiap kali tibanya tarikh 17 Ramadan kita akan menyambut dua peristiwa agung di dalam sejarah Islam iaitu Peristiwa Badar Kubra dan Nuzul Quran.
“Al-Quran diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada seluruh manusia. Diturunkan kepada nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Al-Quran merupakan mukjizat yang berbeza daripada mukjizat nabi-nabi yang sebelumnya.
“Sebelum diturunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, seluruh dunia berada dalam keadaan kesesatan dan kekufuran.
“Khususnya orang Arab pada ketika itu yang penuh dengan kejahatan seperti merompak, berperang sesama sendiri dan mengambus anak perempuan hidup-hidup.
“Inilah antara contoh yang menunjukkan kekerasan hati masyarakat Arab jahiliah sebelum diturunkan al-Quran yang menjadi hidayah yang menunjukkan jalan yang benar buat mereka.
Baca Juga Antara 17 Ramadan Dan Malam Lailatulqadar, Ini Penjelasan Tentang Tarikh Nuzul Al-Quran
“Kitab-kitab sebelum al-Quran hanya diturunkan untuk satu kaum dalam satu zaman sahaja. Berbeza dengan al-Quran yang diturunkan untuk seluruh manusia di sepanjang zaman sehingga hari kiamat.
“Al-Quran merupakan mukjizat ilmu berbeza dengan nabi-nabi terdahulu seperti taufan pada zaman Nabi Nuh, ketahanan daripada dibakar api kepada Nabi Ibrahim serta Tongkat Nabi Musa,” katanya.
Ingatlah asas kemuliaan umat Islam terdapat pada al-Quran sebagai sumber utama yang mampu mendatangkan kebaikan dalam kehidupan.
Mudah-mudahan kita mengambil peluang dalam bulan penuh barakah ini untuk meningkatkan mutu dan nilai ibadah seharian dengan al-Quran.
Ikuti kami juga di telegram