Bonceng motor bersama tunang sebagai penghantar makanan, alasan cari duit kahwin…
ALLAH SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan. Bahkan Islam tidak menyekat seseorang untuk bergaul dengan berlainan jantina.
Tetapi ia mestilah didasari etika khusus supaya dapat mencegah perkara-perkara yang akhirnya meruntuhkan keperibadian seorang Muslim contohnya zina.
Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya” (Hadis Riwayat Muslim)
Satu isu yang tular kini dan seakan menjadi budaya apabila golongan muda dilihat berdua-duaan membonceng motosikal sebagai penghantar makanan demi mencari wang untuk mendirikan rumah tangga.
BACA JUGA Hebatnya sabar, 90 kali ALLAH sebut dalam kalam-NYA
Tampil memberikan pencerahan, penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) berpandangan, matlamatnya sangat bagus dan jelas apabila kedua-dua pihak saling membantu ke arah perkahwinan. Tetapi harus diingat, bahawa cara dan usaha ke arah matlamat perlu tepat dan selari dengan ajaran agama.

USTAZ HADI ZAHALAM
“Perlu difahami bahawa, status tunangan tidak menjadi lesen untuk bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Walaupun kenderaan yang ditunggang bersifat lebih terbuka tetapi terdapat sisi yang masih tidak menjamin penjagaan kehormatan antara kedua-dua jantina.
“Misalnya perihal aurat, pemakaian, percakapan dan pergaulan.”
Disebutkan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa: “Seorang perempuan menumpang (di belakang) seorang lelaki yang ajnabi, dan seorang lelaki menumpang di belakang seorang perempuan yang ajnabiyyah, maka ia adalah dilarang mengikut konsep sad al-zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada keharaman serta suatu langkah berjaga-jaga dari syahwat yang diharamkan. (Rujuk, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah)
BACA JUGA Lepas takbiratul ihram kepala mula melayang entah ke mana, Dr Hadi kongsi 5 formula khusyuk solat
Oleh itu, terdapat beberapa etika yang boleh dijadikan panduan sepanjang berurusan dengan berlainan jantina, antaranya:
1. Menundukkan pandangan dan menutup aurat.
2. Tidak berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan.
3. Tidak melunakkan suara.
4. Tidak menyentuh kulit berlainan jantina.

WALAUPUN tujuan yang ingin dicapai itu murni, tetapi langkah yang diambil mestilah tidak melanggar hukum syarak.
Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti saat berjanji setia dan lain-lainnya. Perkara ini direkodkan oleh Aisyah RA dalam sebuah hadis: Maksudnya: “Demi ALLAH, tangan Rasulullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekalipun dalam bai’ah (perjanjian, mereka hanya membai’ah dengan ucapan sahaja,” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
“Seperti yang diketahui, ada kaedah menyebutkan matlamat tidak menghalalkan cara. Walaupun tujuan yang ingin dicapai itu murni, tetapi langkah yang diambil mestilah tidak melanggar hukum syarak.
“Islam tidak menyempitkan perhubungan antara tunangan kerana dalam tempoh itu, kedua-dua pihak dibenarkan untuk mengenali keperibadian masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Namun, perhubungan tersebut perlu dijaga dan dibatasi dengan hal-hal berkeperluan sahaja dan mengikut panduan yang disebutkan,” katanya.
Beliau menegaskan lagi, supaya pasangan yang merancang untuk mendirikan rumah tangga menjaga perhubungan di awal perkenalan kerana keberkatan dalam urusan rumah tangga akan terlihat setelah setiap arahan agama diikuti semenjak awal perkenalan.