Apa nak buat kalau makmum terkentut pada tahiyat akhir solat Jumaat, adakah perlu solat Zuhur?
UMAT Islam sedia maklum semua jenis kentut akan membatalkan wuduk dan solat melainkan ada penyakit tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Ketetapan itu pernah disentuh oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada baginda tentang perihal dirinya yang diganggu khayalan terdapat sesuatu (hadas seperti kentut) dalam solatnya.
Nabi SAW lantas bersabda: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Tetapi, bagaimana jika seseorang terkentut ketika tahiyat akhir solat Jumaat? Adakah dia perlu menggantikan semula dengan solat Zuhur empat rakaat, dan adakah dia hilang pahala solat Jumaat tadi bersama imam?
Turut disyorkan Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat
Baca juga Surah-surah yang dibaca Nabi SAW pada hari Jumaat, jom amalkan
Mengikut penerangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang itu terkentut, tidak salah untuk dia mengambil semula wuduk dan kembali solat bersama imam. Jika dia sempat satu rakaat bersama imam, maka dia dikira mendapat Jumaat itu.
Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang sempat mendapat satu rakaat daripada solat maka dia dapat solat itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain)
Walau bagaimanapun, jika dia tidak sempat satu rakaat bersama imam, maka dia perlu solat empat rakaat solat Zuhur.
Namun, bagaimana pula jika dia sudah berada pada tahiyat akhir, tetapi kerana sakit perut dia menghabiskan solat itu sendiri dan berpisah daripada imam. Dalam hal ini, solat Jumaatnya dikira sah kerana dia sempat mendapat rakaat pertama dengan imam.
Baca juga Terpilih jadi imam di kampung Orang Asli, pelajar tahfiz ini kongsi pengalaman
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/582) berkata:
“Jika seseorang solat bersama Imam dengan satu rakaat dalam solat Jumaat kemudian berpisah (mufaraqah) daripada Imam itu kerana uzur atau selainnya, maka kami katakan tiada batal solatnya dengan mufaraqah, kerana telah sempurna Jumaatnya, seperti mana jika imam berhadas dan ini tiada khilaf padanya.”
Oleh itu, sebelum menunaikan solat Jumaat, sebaik-baiknya pastikan perut dalam keadaan baik dan ‘hajat’ telah pun ditunaikan agar tidak mengganggu ibadah nanti.
Turut disyorkan Khunsa tidak boleh jadi imam, berikut perinciannya
Sumber: Tzkrh & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Foto: Pexels & Unsplash