IMAM Al Ghazali dalam karya agungnya, Ihya Ulum al-Din, menggambarkan hati (qalb) sebagai pusat aktiviti bagi seluruh tubuh badan. Hati ibarat raja yang memerintah dan mengawal keseluruhan anggota badan manusia.
Keadaan hati manusia adakala sihat dan adakalanya sakit. Hati yang sihat ialah hati yang bersih dan jernih sehingga mampu menyerap dan memantulkan cahaya Ilahi dan hidayah-NYA. Sebaliknya, hati yang sakit ialah hati yang kotor dan dipenuhi debu (dosa) yang banyak.
Oleh itu, pentingnya untuk kita sebagai hamba-NYA sentiasa muhasabah dan sucikan jiwa agar tidak terus menjadi titik hitam kerana noda dan dosa.
Berikut merupakan kajian yang dilakukan oleh Hj Huzili Hussin dan Shuhairimi Abdullah, Pensyarah Pusat Kemahiran Komunikasi & Keusahawanan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia mengenai cara-cara untuk pulihkan hati manusia yang mengalami kerosakan akibat pengaruh dalaman dan persekitaran mengikut pandangan Imam Al Ghazali.
Di antara pandangan tersebut adalah:
1. Bermujahadah melawan nafsu
Imam Al Ghazali telah mengaitkan perlakuan luaran manusia mempunyai hubungan rapat dengan hati sebagai raja kepada badan.
Rosaknya akhlak, tingkah laku, tuturkata dan tindakan seseorang adalah mempunyai kaitan rapat dengan kerosakan fungsi hati.
Justeru, untuk menghasilkan hati yang baik maka seseorang manusia mesti melemahkan runtunan nafsu yang sentiasa mendorong mereka melakukan kejahatan dan maksiat kepada ALLAH SWT.
2. Memasukkan sifat-sifat mahmudah (yang terpuji) ke dalam hati :
Untuk membentuk hati seseorang manusia supaya menjadi soleh dan terpuji serta boleh mengenal petunjuk ALLAH SWT maka seseorang itu mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan sifat mazmumah (tercela) yang bertapak di dalam hatinya.
Baca juga Memelihara lidah, ilmu, amal, bersangka baik ubat terbaik melawan penyakit hati – Pendakwah
Seseorang manusia sanggup berpantang daripada memakan makanan tertentu dan menelan ubat pahit semata-mata untuk mengubati penyakit lahiriah yang menimpa diri mereka.
Untuk mengubati penyakit batiniah, mereka juga perlu melakukan perkara yang sama iaitu semangat pengorbanan dan kesabaran yang tinggi dalam menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi ini.
Penyakit-penyakit hati seperti sombong takbur, riak, ujub (bangga diri), hasad dengki, tamak, bakhil, pemarah dan sebagainya lagi jika tidak diubati dengan segera akan membawa kepada kerosakan yang parah dalam sistem hidup manusia.
3. Menjaga makan minum dan lari dari persekitaran yang merosakkan diri :
Sentiasa memberi penekanan kepada soal makan minum yang halal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Hadis Riwayat Dailami).
Selain itu, jika kita berada dalam persekitaran manusia yang berakhlak buruk, hindari dan jauhilah persekitaran sebegitu agar diri tidak terjerumus dengan perkara yang lalai sehingga merosakkan diri sendiri.