DOA merupakan senjata bagi umat Islam. Ia berfungsi sebagai simbol penyerahan dan pengharapan seorang hamba kepada YANG MAHA PENCIPTA.
Betapa hebatnya kuasa doa bila diiringkan ‘permintaan kudus kepada Ilahi’ itu dengan amal, perbuatan dan ketulusan. Facebook ‘Tanyalah Ustaz‘ merekodkan tentang ‘The Power of Du’a atau ‘Kuasa Doa yang luar biasa’ dan setiap Muslimin patut tahu. Berikut enam formula ‘the power of doa’ :
FORMULA 1
Sebelum ini kita selalu berdoa, ‘ YA ALLAH berikanlah aku kekuatan.’ Jika kita berdoa begitu, maka ALLAH akan sentiasa memberi ujian untuk melihat sejauh mana kekuatan kita.
Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
‘ Ya ALLAH lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi ini, Ya ALLAH keluarkan aku dari kesulitan ini, Ya ALLAH bantulah aku ‘.
FORMULA KE 2
Selain daripada itu, jika sebelum ini mungkin selalu berdoa, ‘ Ya ALLAH berilah aku…’. Jadi, selepas ini kita tukar sedikit cara doa itu dengan ‘ Ya ALLAH kurniakanlah aku…’
Kerana apa? Jika kita sebut beri maka bila-bila masa ALLAH boleh ambil balik. Namun, jika sebut kurnia, maka ALLAH akan kurniakan kita sesuatu sampai bila-bila insya-ALLAH.
FORMULA KE 3
Seterusnya, selalu kita dengar dan nampak orang berdoa, ‘ semoga DIMURAHKAN rezeki ‘. Selepas ini, latihkan diri untuk membaca doa begini, ‘semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat.’
Dua perbezaan doa itu dapat dilihat daripada dimurahkan menjadi dilimpahkan.
Ini kerana setiap doa yang diungkapkan harus betul dengan keyakinan DIA akan kabulkan di waktu yang tepat dan DIALAH sebaik-baik pendengar.
FORMULA KE 4
Selain itu, selalu kita berdoa seperti ini, contohnya, ‘ Ya ALLAH, kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah’, Dan setiap kali itu jugalah kita akan berasa kecewa bila doa tidak dimakbulkan-NYA.
Kalau selama ini, hanya minta pada ALLAH sekadar nikmat sahaja. Kita sebenarnya tidak benar-benar ikhlas meminta pada-NYA supaya diberikan nikmat yang lebih bernilai.
Maka hari ini, tukarlah cara berdoa seperti ini, contohnya, ‘ Ya ALLAH, sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan aku dengan diri-MU maka makbulkan ya ALLAH, Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ENGKAU lebih memandangku ya ALLAH, maka kurniakanlah. Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ibadahku lebih bertambah dan solatku lebih khusyuk maka izinkanlah nikmat ini ENGKAU pinjamkan padaku ya ALLAH. Kerana ENGKAU sahajalah sebaik-baik perancang dan ENGKAULAH RABB Yang MAHA MENGETAHUI atas segala sesuatu yang terbatas bagiku.’
Bilamana kita berdoa seperti di atas ini, matlamat dan objektif dalam doa itu bukan terfokus pada nikmat semata, akan tetapi lebih ikhlas kerana hubungan kita pada ALLAH yang memberikan nikmat itu.
FORMULA KE 5
Teknik berdoa seterusnya adalah apabila berdoa, kita selaku hamba akan meminta pelbagai perkara pada ALLAH, sehingga lupa bersyukur dengan setiap rezeki yang sudah dikurniakan di hadapan.
Jadinya, bersyukurlah dahulu atas apa ALLAH telah beri, maka DIA akan tambahkan lagi.
Sebagai contoh, ‘ Ya ALLAH, aku bersyukur umurku masih panjang lagi pada hari ini, maka ENGKAU jadikanlah hariku sebagai ibadah kepada-MU. Dan redalah kepadaku ya ALLAH.’
Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT
FORMULA KE 6
Satu lagi cara berdoa adalah dengan mendoakan orang lain. Sebagaimana yang diketahui, mendoakan orang lain, seluruh malaikat di arasy akan turut mengaminkan doa kita.
Satu contoh, ‘ Ya ALLAH, sahabatku ini dalam kesulitan dan kesempitan ya ALLAH, bantu lah dia ya ALLAH, lapangkan kesulitannya, permudahkan perjalanan hidupnya ya ALLAH.’
Moga ALLAH makbulkan setiap permintaan kita sebagai hamba-NYA yang sentiasa memerlukan pertolongan dan pergantungan ini.
Dengan setiap formula doa yang ditunjukkan di atas ini dapat dilihat betapa pentingnya untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian dan semoga menjadi asbab makbulnya doa-doa yang dipohon.