KENTUT berlaku disebabkan proses pencernaan di dalam perut hasil yang kita makan. Kentut ini adalah sesuatu yang normal bagi setiap manusia dan perkara ini tidak dapat dielakkan. Ia juga merupakan suatu nikmat yang diberikan ALLAH kepada setiap manusia.
Hal ini kerana,ramai yang mengalami kembung perut dan sakit perut sehingga menganggu kehidupan manusia gara-gara hanya tidak boleh kentut. Nampak nikmat ini kecil, tetapi sebenarnya sangatlah besar.
Menerusi video ceramah oleh Ustaz Abdul Somad, jika ketika solat terasa seperti terkentut, jangan terburu-buru untuk membatalkan solat. Hendaklah seseorang itu memerhatikan dua perkara sebelum mengambil keputusan untuk membatalkan solat.
Perkara yang pertama, adakah semasa rasa terkentut itu, ada mengeluarkan bunyi?
Perkara kedua, adakah mengeluarkan bau?
Sekirannya tidak ada perkara ini, maka perlu meneruskan solat seperti biasa kerana boleh jadi apa yang dirasakan itu adalah disebabkan waswas syaitan.
Terlebih dahulu, hendaklah difahami perkara-perkara yang membatalkan solat. Antara perkara yang membatalkan solat adalah disebabkan kentut. Mengenai menahan kentut ketika solat pula, jumhur ulama berpendapat jika menahan kentut ketika solat itu, hukumnnya makruh.
Makruh menahan diri daripada membuang air kecil atau besar ketika hendak solat
Menurut apa yang dijelaskan Ustaz Azhar Idrus, menahan kentut di dalam solat itu tidak membatalkan solat dan ia tidak pernah dibicarakan langsung oleh Nabi SAW.
Walaupun begitu, terdapat hadis yang melarang daripada menahan keinginan untuk makan ketika telah dihidangkan dan menahan kencing atau buang air besar ketika di dalam solat.
Baca juga Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui
Rasulullah SAW bersabda “Tidak ada solat (tidak sempurna solat) dihadapan makanan,begitu juga tidak ada solat (tidak sempurna solat) sedang ia menahan air kencing dan air besar” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Hadis tersebut menurut Imam Muhyiddin Syaraf An-Nawawi hukumnnya adalah makruh bagi orang yang solat ketika hidangan makanan telah berada dihadapannya, ia menahan keinginannya untuk makan lalu solat. Begitu juga hukumnya makruh bagi orang yang menahan diri daripada membuang air kecil atau besar ketika hendak solat.
Jelas beliau lagi, jika keinginan untuk membuang air kecil atau besar ketika hendak menunaikan solat itu hanyalah rasa sedikit, maka boleh meneruskan solat.
“Jika memang ibarat dihujung tanduk, maka dahulukan untuk membuang hajat selepas itu baru menunaikan solat.
“Makruh adalah sesuatu yang tidak disukai oleh ALLAH. Menahan kentut ketika solat boleh menganggu fikiran untuk khusyuk menyebabkan solat di dalam keadaan makruh.
“Ketika didapati waktu solat masih lagi panjang atau lama, maka dibolehkan untuk melepaskan sahaja angin itu, solat terbatal. Lalu mengambil air wuduk semula dan menunaikan solat.
Baca juga Syaitan dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang
“Jika waktu solat yang dilakukan sangat dekat dengan waktu solat seterusnya, maka disarankan untuk menahan kentut dan meneruskan sahaja solat”, katanya.
Doa sebelum melaksanakan solat
Sebagai manusia, ALLAH akan hadirkan dengan pelbagai ujian untuk menguji hamba-NYA dan salah satunya adalah penyakit waswas.
Orang yang selalu hadir ke masjid juga akan ALLAH uji dengan penyakit ini. Kadang-kadang baru sahaja nak tunaikan solat namun penyakit waswas datang sehingga terfikir sudah ada wuduk atau belum.
Seorang sahabat bernama Usman bin Abil ‘Ash pernah datang kepada Rasulullah SAW mengadu berkenaan gangguan yang dialami ketika solat.
Nabi SAW menjawab “Itu adalah syaitan. Namanya Khinzib. Jika kamu berasa diganggu, mintalah perlindungan kepada ALLAH daripada gangguannya dan meludahlah ke kiri tiga kali. Usman berkata: “Saya pun melakukannya, kemudian ALLAH menghilangkan gangguan itu daripadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW mengajar supaya meminta perlindungan kepada ALLAH dengan mengucapkan A’uzubillahi minas syaitanir rajiim dengan lafaz bukan membaca dalam hati dan ia tidak membatalkan solat.
Kemudian hendaklah meludah sedikit dengan meniupkan di sebelah kiri dan tidak mengganggu orang lain serta tidak mengotori Masjid.