UMAT Islam di England akhirnya dapat meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan penuh gembira dan bersyukur selepas mendapat kebenaran melakukan solat sunat itu tanpa penjarakan fizikal, semalam.
Ia adalah kebenaran buat kali pertama kerajaan England sejak wabak Covid-19 menyerang seluruh dunia hingga mengakibatkan berjuta orang mati hingga hari ini.
Kesatuan Organisasi Muslim Walsall, Mohammed Arif, berkata masyarakat Muslim di England bersyukur kerana menganggap kebenaran itu sekali gus dapat meraikan dua perayaan dalam satu masa.
“Kami sebenarnya mempunyai dua perayaan dalam satu masa iaitu, meraikan lebaran Hari Raya Aidiladha dengan penuh kesyukuran dan kebebasan dapat melakukan solat sunat Aidiadha dalam keadaan dapat bersentuhan bahu ke bahu bersama saudara Islam yang lain selepas sudah terlalu lama tidak berjumpa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Green Lane Masjid (GLM), Kamran Hussain, berkata ribuan umat Islam hadir melaksanakan ibadah solat Aidiadha di Leicester’s Victoria Park, namun solat sunat sama di Small Heath Park di Birmingham yang biasanya mampu menarik sehingga 60,000 orang dibatalkan.
Anjur solat sunat di beberapa tempat dalam satu masa
Penganjur GLM sebaliknya terpaksa mengadakan empat solat berjemaah berasingan tempat di luar yang mampu memuatkan 500 orang dalam satu masa.
“Kami mengadakan perbincangan bersama Public Health England dan beberapa doktor bagi menggariskan beberapa peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP). Ia bagi mengelakkan peningkatan jangkitan wabak dan memutuskan bahawa tiada kepentingan umum untuk menghimpunkan semua jemaah dalam satu masa,”katanya.
Tambahnya lagi, setelah lebih setahun umat Islam solat dengan penjarakan fizikal, dia merasakan perasaan yang luar biasa dan terharu apabila kali ini dapat melakukan solat berjemaah dalam jarak yang dekat.
“Agak pelik rasanya setelah sekian lama kami tidak dapat solat dalam keadaan yang dekat, namun kami tetap menyediakan ruang untuk jemaah yang ingin bersolat dengan penjarakan antara satu sama lain.
“Dalam masa yang sama juga, kami turut menyediakan bas yang dijadikan pusat vaksinasi di tempat solat bagi mereka yang belum mendapatkan suntikan pencegahan wabak Covid-19,” katanya yang turut menegaskan pemakaian pelitup muka dan gel pembasmi kuman tetap digalakkan.
Aidiladha yang bermaksud ‘perayaan korban’ disambut umat Islam seluruh dunia semalam, namun ada sesetengah negara yang menyambutnya pada hari ini (21 Julai 2021). Ia disambut selepas Hari Raya Aidilfitri setiap tahun dan telah diraikan sederhana pada Mei yang lalu disebabkan masih berada di bawah peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia.
Kekalkan perintah SOP
Di Masjid London Central, para pemimpin mengatakan bahawa mereka tidak banyak merancang untuk mengubah polisi larangan mereka, walaupun kerajaan telah membatalkan semua sekatan Covid-19.
“Kami masih akan mengikuti larangan pencegahan itu walaupun setelah mendapat ‘pembebasan’. Kami tidak sesukanya untuk membuka ‘pintu’ dan membiarkan kehidupan rakyat merasa kembali normal, walaupun secara teknikalnya telah diizinkan.
“Kami mahu melakukan pencegahan ini dengan sebaik-baiknya untuk memastikan rakyat selamat kerana kami tahu peningkatan kes akan pasti meningkat jumlahnya sekiranya diberi kebebasan secara rasmi kepada orang ramai,” kata jurucakap masjid, Monir Ahmad.
Sumber: The Guardian