KAJIAN mengenai rahsia solat yang dilakukan melalui sains bertujuan untuk menyelidik hikmah daripada pergerakan ibadat solat yang sempurna kepada kesihatan manusia.
Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Haji Wan Nudri Wan Daud, solat merupakan suatu aktiviti fizikal unik yang ditunaikan secara berterusan dan memainkan peranan penting dalam memelihara kesinambungan sistem fisiologikal manusia yang meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi.
Ujar beliau “solat menyamai senaman yang boleh meningkatkan pengaliran oksigen ke otak seterusnya meningkatkan kecerdasan otak serta dapat mengurangkan kadar denyutan jantung selain dapat merawat sakit pinggang,”
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pelbagai penyelidik kesihatan dari seluruh dunia, kebaikan solat dapat dibuktikan oleh sains dengan penemuan pemulihan penyakit sendi dan tulang serta merendahkan kandungan lemak dalam badan.
Manfaat gerakan solat dalam kesihatan
Melalui kajian yang dilakukan oleh Idah Faridah, Pelajar Jurusan Tadris IPA Biologi, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Syekh Nurjati, Kota Cirebon, Jawa Barat mengenai gerakan solat dalam konsep sains dan Islam.
Berikut ialah beberapa manfaat pergerakan di dalam solat sebagaimana kajian tersebut:
1. Berdiri tegak (Qiyam)
Berdiri tegak atau qiyam merupakan permulaan kepada senaman pernafasan, pencernaan dan tulang.
2. Takbir
Takbir merupakan aktiviti mengangkat tangan dan meregangkannya, sehingga rongga dada mengembang seperti paru-paru.
Ia juga dianggap sebagai latihan pernafasan awal kepada paru-paru yang merupakan alat untuk kita bernafas. Paru-paru kita dilindungi pada bahagian rongga dada yang terdiri daripada tulang rusuk yang melengkung dan tulang belakang yang cembung.
Dan mengangkat tangan bermakna meregangkan otot bahu supaya aliran darah yang membawa kepada oksigen lancar.
3. Rukuk
Rukuk memudahkan pengaliran darah dan limfa ke bahagian leher. Aliran akan lebih lancar apabila rukuk dilakukan dengan betul iaitu meletakkan perut dan dada lebih tinggi daripada leher.
Rukuk juga ialah senaman untuk pundi kencing, ia dapat mengelakkan gangguan prostat.
Manakala penekanan pada pundi kencing oleh tulang belakang dan tulang kemaluan akan melancarkan air kencing. Limfa berfungsi menyaring dan memusnahkan kuman di dalam darah.
4. Sujud
Sujud melancarkan peredaran darah untuk mengelakkan buasir. Letakkan tangan sejajar dengan bahu atau telinga, ia akan mengepam limfa dari ketiak ke leher.
Baca juga Bersujudlah selalu, agar wajah kekal berseri sepanjang hari
Selain itu, sujud bermaksud penyerahan diri sepenuhnya kepada ALLAH SWT. Hakikatnya, kita adalah manusia dan hamba yang lemah. Dengan sujud inilah kita mengakui bahawa kita adalah makhluk yang lemah.
Sujud juga mampu menghilangkan stress atau tekanan. Ketika dalam posisi ini otot leher yang kaku secara fizikal akibat tekanan akan diregangkan.
Segala beban di jiwa mampu dilepaskan ketika dalam keadaan sujud ini.
5. Duduk antara dua sujud
Duduk di antara dua sujud boleh mengaktifkan kelenjar peluh kerana pelipat paha dan betis bertemu sehingga dapat mengelakkan sebarang komplikasi.
Urat-urat di atas pangkal kaki dimampatkan sehingga darah mampu memenuhi seluruh tapak kaki bermula dari buku lali sehingga saluran darah di pangkal kaki mengembang.
Komposisi tubuh ketika solat
Seterusnya, hasil kajian oleh Prof IR Dr Fatimah Ibrahim dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya mendapati, setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
“Ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyyat akhir.
Tambahnya lagi, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Kajian juga mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.
Ujarnya lagi, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Setelah dikaji rahsia pergerakan solat ini, ternyata banyak kesannya terutama kepada kesihatan.
Justeru beliau komited untuk melakukan lebih banyak kajian secara meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit-sakit yang lain seperti jantung dan sebagainya.