MENJADI ibu pada zaman kini semestinya bukan suatu tanggungjawab kecil. Selain sibuk menitipkan didikan amali dan rohani dalam diri anak-anak, ada pula soal ekonomi negara tidak menentu yang perlu difikirkan.
Gara-gara tuntutan hidup, ada wanita yang terpaksa bertungkus lumus di pejabat dari 8 pagi sehingga 5 petang kemudian menyambung pula tugas di rumah sebagai ibu dan isteri.
Baca juga Tiga jenis kepenatan yang disukai ALLAH
Tidak kurang juga golongan suri rumah yang melakukan kerja-kerja sampingan di samping menguruskan rumah tangga dengan niat membantu meringankan beban suami.
Dalam mengejar isi dunia bagi menyara keluarga, pendakwah bebas dari Singapura, Ustazah Sumah Fadalee berpesan agar kita tidak lupa juga mengingati ALLAH SWT sambil memohon keampunan daripada-NYA.
Berzikir di mana sahaja termasuk ketika memasak
Sehubungan itu, beliau galakkan para ibu untuk sentiasa membasahkan lidah dengan nama-nama ALLAH. Masakan tidak, walaupun amalan itu terlihat kecil, namun hakikatnya ada fadilat besar di sebalik perbuatan zikir.
Kata Sumah, zikir antara amalan mudah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Menurutnya, beliau gemar mengisi masa tatkala menyediakan juadah dengan melafazkan zikrullah, terutamanya zikir taubat nasuha.
Baca juga Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah
“Banyak amalan untuk kita memohon kemaafan kepada ALLAH SWT. Di samping kita masak atau buat sesuatu, (bacalah) ‘Astaghfirullah Rabbal Barroya, Astaghfirullah Minal Khotoya’ (zikir taubat nasuha).
“Kita buat sesuatu itu sambil berzikir. Membasahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir kepada ALLAH SWT,” ujar beliau dalam suatu perkongsian bersama portal Islam, Syukran.com.
Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh
Baca doa pada makanan yang dimasak
Selain itu, para ibu juga jangan mudah merungut ketika menyiapkan santapan buat keluarga, kata Ustazah Sumah.
Sebaliknya, bacalah doa sambil mengaup dan mengacau makanan yang dimasak supaya ada sifat kasih sayang dalam keluarga apabila juadah itu dijamah.
Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun
“Kalau kita menyiapkan makanan kepada keluarga, jangan rasa jemu (dan) merungut. Selain daripada itu (memasak), kita baca Bismillah, dengan nama ALLAH YANG MAHA PENGASIH, lagi MAHA PENYAYANG.
“Mudah-mudahan dalam masakan kita ini, apabila kita makan bersama keluarga, (akan) ada sifat kasih sayang antara satu sama lain,” jelasnya.
Baca juga Benarkah Membaca Surah Tertentu Bakal Peroleh Anak Yang Hebat, Lawa
Di samping itu, antara doa yang sering beliau lazimi dan boleh dijadikan amalan bagi golongan ibu di luar sana adalah ayat ke-200 daripada surah Ali Imran.
Titip Ustazah Sumah, “Saya juga ada baca surah Ali Imran, ayat 200. Mudah-mudahan (dengan membaca surah itu), ALLAH berikan keluarga itu sabar dan taqwa.”
Sumber: Ustazah Sumah Fadalee, Syukran.com
Foto: Hijabista & Pexels