JANGAN abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT.
Sebagai hamba ALLAH yang daif, kita sering diingatkan untuk berdoa memohon keampunan dan rahmat dari Ilahi.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan doa sebagai teras bagi ibadah itu sendiri. Sabda baginda, “Doa merupakan teras bagi ibadah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Doa antara ibadah yang mudah dilakukan pada bila-bila waktu dan di mana sekalipun. Pun begitu, masih ada adab yang perlu diikuti ketika berdoa.
Baca juga Fahami etika berdoa ketika solat
Masakan tidak, apabila meminta duit orang tua pun kita akan menggunakan bahasa yang lembut tanda memujuk, apalagi memohon pertolongan daripada YANG MAHA PENCIPTA.
Oleh itu, Sinar Islam Plus menyenaraikan 10 adab ketika berdoa yang perlu dijaga supaya doa yang dipanjat akan dimakbulkan ALLAH SWT:
1. Berwuduk sebelum berdoa.
Kita disunatkan berwuduk dahulu sebelum berdoa. Selain itu, pastikan kebersihan diri juga terjaga seperti memakai pakaian yang bersih dan menutup aurat serta berdoa di tempat yang suci daripada kekotoran.
Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar
2. Berdoa menghadap kiblat.
Kita juga disarankan berdoa menghadap kiblat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW:
Abdullah bin Zaid RA berkata, “Rasulullah SAW telah keluar pada suatu hari menuju ke tanah lapang untuk baginda melakukan istisqa’ (doa meminta agar ALLAH turunkan hujan). Lalu beliau berdoa dan beristisqa’ kemudian menghadap ke arah kiblat dan baginda membalikkan rida’ baginda.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Baca juga Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?
3. Memulakan dan mengakhiri doa dengan memuji ALLAH serta selawat ke atas Nabi SAW.
Setiap doa yang dipohon haruslah dimulakan dengan memanjatkan pujian kepada ALLAH serta berselawat ke atas Rasulullah SAW. Lakukan yang sama semasa pengakhiran doa.
Baca juga Rupanya ada hukum-hakam selawat yang ramai tidak tahu
4. Berdoa dengan suara yang lembut.
Doa ditujukan kepada ALLAH YANG MAHA PENDENGAR. Tidak perlu menguatkan suara kerana setiap doa pasti akan didengari oleh-NYA. Dalam masa sama, gunakan suara yang lembut untuk elak mengganggu orang lain ketika berdoa di tempat awam.
5. Berdoa dalam keadaan khusyuk dan merendah diri.
ALLAH SWT. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepadaNYA, antaranya, “Dan (ingatlah kisah) Nabi Ayub, ketika ia menyeru TUHANnya, “Ya TUHANku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit, sedang ENGKAU sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Surah al-Anbiyaa, ayat 83)
Firman ALLAH juga, “Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru TUHANnya, “Ya TUHANku, janganlah ENGKAU membiarkan aku hidup seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan ENGKAUlah waris yang paling baik.” (Surah al-Anbiyaa, ayat 89)
Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita
6. Berdoa dengan penuh yakin.
Selain itu, kita perlu yakin bahawa doa yang dipohon tersebut akan diperkenankan oleh ALLAH SWT.
7. Memahami isi dan maksud doa yang dilafaz.
Berusaha untuk memahami isi dan maksud bagi doa yang dilafazkan seperti membaca terjemahan doa tersebut. Dengan memahami doa berkenaan, kita akan lebih khusyuk ketika membacanya.
8. Memohon sebanyak 3 kali.
Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Abdullah Bin Mas’ud berkata, “Baginda Rasulullah SAW jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon, baginda memohon sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH
9. Berdoa pada waktu yang mustajab
ALLAH SWT telah menetapkan beberapa waktu yang sesuai untuk kita berdoa, antaranya:
– Malam Lailatul Qadr,
– Dua pertiga malam,
– Setelah solat lima waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati tanpa mengeluarkan suara)
– Waktu antara azan dan iqamah
– Waktu berbuka puasa dan bersahur
– Hujan yang lebat
Baca juga Berdoa Di Dalam Tandas, Ini Hukumnya
10. Tujuan doa hanya untuk kebaikan
Doa yang dipohon bukan bertujuan untuk melakukan dosa atau memutuskan silaturahim dan jangan memohon dimakbulkan doa tersebut dengan segera.
Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir
Sumber: Utusan & Soul Fitness Centre
Foto: Unsplash