JARANG sekali kita melihat orang yang melakukan ibadah korban, menyembelih sendiri haiwan korbannya.
Boleh dikatakan hampir kebanyakan daripada masyarakat kita lebih gemar mewakilkan tugas itu kepada orang lain.
Masakan tidak, ada yang begitu ‘alergi’ apabila melihat darah haiwan korban. Tidak kurang juga mereka yang mempunyai alasan tersendiri.
Ketahuilah bahawa sunat hukumnya apabila kita menyembelih sendiri haiwan korban masing-masing. Ia sebagaimana perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ketua Pembangunan dan Kesedaran Syariah, Bank Rakyat, Mohd Hanafiah Mohd Nawawi menjelaskan, bagi orang lelaki, sebenarnya mereka digalakkan menyembelih sendiri binatang korbannya, tetapi dengan syarat memiliki kemampuan.
“Jika tiada kemampuan, maka dibolehkan baginya mewakilkan kepada pihak lain. Ia berdasarkan Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim bahawa Rasulullah SAW telah menyembelih binatang korbannya sendiri sebanyak 63 ekor unta dan 37 ekor lagi diwakilkan kepada Saidina Ali untuk disembelihkan.
“Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Kitab al-Majmu’ menyebut, seseorang sama ada lelaki ataupun perempuan boleh mewakilkan kepada orang lain untuk melaksanakan sembelihan korban,” jelasnya.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kita perlu menitikberatkan tentang pemilihan wakil untuk menyembelih haiwan korban masing-masing.
“Sekiranya ingin mewakilkannya kepada orang lain, maka sebaiknya biarlah ia diserahkan kepada seorang Muslim yang pakar terutamanya dalam bidang sembelihan dan mengetahui syarat-syarat (sembelihan) serta sunah-sunahnya,” jelasnya.