ALLAH SWT telah menganugerahkan kepada manusia nikmat yang sangat banyak dan besar. Di antara nikmat yang terbesar setelah nikmat iman dan Islam, adalah nikmat berbicara dengan lidah.
Lidah, salah satu anggota yang sentiasa dirakam dan bakal dihisab di sana. Ketajaman lidah tidak sama dengan pedang, luka disebabkan pedang mungkin boleh sembuh tetapi luka disebabkan lidah pasti lebih parah sehingga boleh meragut nyawa.
Suatu hari Imam al-Ghazali bertanya kepada pelajarnya, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?” Lalu pelajarnya menjawab “Pedang.” Imam Ghazali berkata: “Itu benar, tetapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah lidah manusia.
Hari ini kita lihat lidah dan tangan terlalu laju bekerja, meluah segala isi di dada tanpa ingat dunia. Kadang maruah manusia dicarik dirobek tanpa belas kasihan seolah tiada iman tetapi hanya nafsu yang meraja.
Dikhuatiri saat ia dikunci di akhirat kelak seluruh anggota lain pasti akan mendakwa atas setiap apa yang pernah dilontarkan tanpa tapisan.
Penceramah, Ustazah Asma Harun berkongsi di laman Facebooknya mengenai budaya memaki, memfitnah yang dilihat semakin berleluasa di media sosial tanpa mengira umur dan pangkat.
Jelas beliau, adakah budaya begini yang kita ingin hiaskan sebagai identiti generasi akan datang? Media sosial dijadikan platform melepas amarah dan membunuh karakter seseorang sehingga tidak sedar kata-kata yang keluar itu amat melampau.
Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam Syurga lalu Baginda menjawab “Taqwa kepada ALLAH dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Ujar Ustazah Asma lagi, lidah yang sepatutnya digunakan ke arah kebaikan telah diheret menuju kebatilan. Daripada Abu Musa RA beliau berkata ‘Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang kaum muslimin selamat daripada lisan dan tangannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
“Banyak yang terkandung di dalam hati dan apa yang terlintas dalam fikiran ingin diluahkan, tetapi perlu diingat bahawa segalanya perlu dikawal supaya ia tidak menyakitkan orang lain hingga kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.
Baca juga 3 perkara ini sering dianggap remeh, tetapi boleh merosakkan rumah tangga!
Media sosial tempat muflisnya amal
“Media sosial bukan tempat untuk bebas menulis apa sahaja, setiap yang kita komen, emoji dan share akan kekal setelah kita mati, maka jagalah tutur kata dan tangan ketika menulis.
“Daripada menyindir lebih baik mendiamkan diri, daripada mengumpat lebih baik bertaubat, daripada mengeji lebih baik mengaji dan daripada banyak menyoal lebih baik berdoa.
“Jika lidah banyak dipimpin hawa nafsu, ketahuilah sebenarnya hati kita sedang hanyut, sebaliknya jika suka menyebut tentang kebaikan, hati kita sedang subur dan sejahtera.
“Alangkah sedihnya andai amalan yang telah banyak kita lakukan selama hidup puluhan tahun akhirnya hilang dan sia-sia. Bahkan ada yang jatuh MUFLIS akibat tidak menjaga lidah”. Katanya
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin