SEPERTIMANA memasuki rumah, rezeki juga ada pintu. Malah, rezeki bagi setiap orang sememangnya sudah ditentukan oleh ALLAH SWT. Namun begitu, ia bukanlah bermakna kita hanya duduk goyang kaki sahaja tanpa perlu berusaha untuk mencarinya.
Sesungguhnya rezeki tidak datang bergolek. Sedangkan burung pun keluar dari sarangnya untuk mencari makanan, inikan pula manusia yang punya akal fikiran waras dikurniakan Sang Pencipta.
Ketahuilah, setiap insan mempunyai rezeki yang berbeza antara satu sama lain. Malah, kurniaan YANG MAHA ESA tidak boleh diukur sebagaimana rumus Matematik yang kita pelajari.
Lihat sahaja pada seorang petani yang boleh membesar dan menyekolahkan lima anaknya sehingga ke menara gading. Benarlah bahawa rezeki ALLAH SWT itu tidak sama seperti ilmu hisab duniawi.
DIA boleh memberikan rezeki-NYA dari pelbagai arah kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.
Begitupun, adakalanya kita lalai lantaran begitu asyik dibuai kenikmatan duniawi sehingga terlupa bahawa rezeki itu datang daripada ALLAH SWT.
Tanpa disedari, ada perbuatan yang dilakukan sebenarnya menghalang rezeki daripada masuk.
Berikut Sinar Islam Plus senaraikan penyebab pintu rezeki tidak terbuka sebagaimana dipetik menerusi portal kalam.sindonews.com, portaljember.pikiran dan mentalkaya.com:
1. Perilaku maksiat yang dilakukan.

JAUHI perbuatan maksiat yang boleh menjebakkan diri ke lembah kebinasaan dan menzalimi diri.
Pendakwah terkemuka Indonesia, Ustaz Abdul Somad berkata, meskipun rezeki sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT, namun ia boleh menjadi ‘batal’ disebabkan sikap manusia itu sendiri.
Benar, ALLAH SWT sama sekali tidak mengubah rezeki tersebut, namun dek kerana kemaksiatan yang kita lakukan, kurniaan tersebut ‘berubah’.
Firman ALLAH SWT: “Dan jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti KAMI akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat KAMI), maka KAMI seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan.” (Surah al-A’araf, ayat)
Ustaz Abdul Somad menambah, terdapat tiga sebab ALLAH SWT mencabut barakah atau rezeki tersebut. Ia termasuklah membiarkan anak yatim, mengabaikan masjid sepi dan tidak mempedulikan orang susah.
2. Perbuatan zina.
Dalam hal itu, para ulama bersepakat bahawa perbuatan zina memberikan implikasi buruk kepada pelakunya sama ada di dunia mahupun akhirat.
Antara dampaknya termasuklah menyebabkan pelakunya fakir, gundah gulana dan terputus pintu rezeki.
Baca juga Zina Bukan Sekadar Persetubuhan Semata-mata, Hadam Dulu Penjelasan Ini
3. Sering melaksanakan traksasi riba.
Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH dan tinggalkan sisa riba (yang belum dikutip) jika kamu orang-orang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, maka umumkanlah perang daripada ALLAH dan Rasul-NYA…” (Surah al-Baqarah, ayat 278-279)
Ketahuilah bahawa ancaman dan azab ALLAH itulah yang merupakan penghalang rezeki seorang hamba.
Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu
4. Sumpah palsu.

USAH terlalu mudah melafazkan sumpah kerana banyak berbuat demikian antara sifat orang munafik.
Apa yang dimaksudkan dengan sumpah palsu itu adalah seseorang yang sedar dan sengaja melakukannya. Lazimnya, ia dilakukan oleh para peniaga untuk melariskan jualan.
Baca juga Jangan lafaz sumpah sewenang-wenangnya, ini sebab-sebabnya
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga golongan manusia yang ALLAH tidak akan berbicara dengan mereka pada hari kiamat, tidak melihat mereka, tidak mensucikan dosanya dan mereka akan mendapatkan seksa yang pedih.”
Abu Dzar berkata: “Rasulullah SAW menyebutnya tiga kali.”
Abu Dzar berkata lagi: “Mereka gagal dan rugi, siapakah mereka wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Orang yang melakukan isbal (memanjangkan pakaian), orang yang suka memberi dengan menyebut-nyebutkannya (kerana riak) dan orang yang menjual dagangan dengan bersumpah palsu (hingga menyebabkan orang percaya dan membelinya).” (Hadis Riwayat Muslim)
5. Menyembunyikan barang.
Kebiasaannya ia dilakukan dengan niat untuk memonopoli jual beli demi meraih laba yang besar. Perbuatan itu mendapat ancaman yang sangat nyata daripada Rasulullah SAW.
Baginda bersabda: “Barang siapa menimbun makanan atas kaum Muslimin, maka ALLAH akan menghukumnya dengan penyakit kusta dan kebangkrapan.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
6. Mensyirikkan ALLAH SWT.

UMAT Islam diwajibkan menjauhi diri daripada amalan khurafat dan syirik.
Bukan sahaja mendapat dosa besar dan tidak mendapat keampunan ALLAH SWT, perbuatan khurafat tersebut menyebabkan pintu rezeki tertutup.
Ingatlah, hanya ALLAH SWT sahajalah tempat kita meminta petunjuk, memohpn pertolongan, perlindungan dan sebagainya. Tiada sesiapa yang lebih kuat selain daripada-NYA.
Baca juga Elak Menunjuk-Nunjuk Ketika Beribadah, Kelak Dibimbangi Membawa Kepada Syirik
7. Lalai dalam solat.
Solat menjadi tiang agama dan tanda pengabdian diri kepada Sang Pencipta. Andai ibadah yang difardukan itu ditinggalkan, maknanya kita kurang mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh-NYA. Disebabkan itulah lalai dalam solat itu berpotensi untuk memicu penutupan pintu rezeki kita.
Baca juga Penyihir Rusia akui sukar menyihir Muslim yang menjaga solat
8. Menderhaka kepada ibu bapa.
Sejahat mana pun orang tua kita, jangan sesekali menderhaka kepada mereka. Sikap mazmumah seperti itu sebenarnya membuatkan rezeki kita sukar untuk berkembang.
Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui
9. Memakan harta haram.

ELAKKAN diri daripada terlibat dalam mendapatkan wang dan harta dengan cara menyalahi syarak.
Ia bukan sekadar menjamah makanan yang dilarang dalam Islam seperti anjing dan khinzir serta minuman memabukkan. Harta haram sebenarnya termasuklah apa jua perolehan yang didapatkan dengan cara tidak baik dan menyalahi syariat.
Secara tidak langsung, perbuatan itu mempengaruhi pintu rezeki kita juga. Justeru, jamahlah makanan dan minuman yang halal dan diperoleh daripada sumber yang baik.
Baca juga Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar
10. Memutuskan silaturahim.
Perbuatan itu antara perkara yang dibenci oleh ALLAH SWT dan terputus pintu rezekinya. Justeru, janganlah sesekali melakukannya.
11. Kedekut sesama manusia.
Kadangkala kita terlalu berkira-kira untuk bersedekah kepada keluarga, sanak saudara, anak yatim dan mereka yang memerlukan bantuan. Usahlah bersikap sedemikian kerana kikir membuatkan rezeki semakin tertutup.
Hakikatnya, berinfak pula akan meluaskan pintu rezeki kita. Siapa tahu, barangkali ALLAH SWT akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu
12. Bersikap tidak adil.
Siapa pun kita dan apa jua jawatan yang disandang, pasakkan diri dengan bersikap adil di mana-mana sahaja. Ini kerana sikap yang bertentangan dengan keadilan akan membuatkan pintu rezeki tertutup.
Demikianlah antara penyebab mengapa pintu rezeki kita tidak terbuka. Sama-samalah kita bermuhasabah dan elakkan diri daripada melakukannya.
Ingatlah, sentiasa bersyukur dengan apa jua nikmat kurniaan ALLAH SWT biarpun sekecil zarah. Sifat itu sebenarnya antara salah satu pembuka pintu rezeki yang ampuh.
Foto: Freepik, Pexels, Unsplash & 123rf