RAMADAN sudah pun berlalu pergi. Turut serta dengan pemergian itu adalah peluang untuk meraih keberkatan berlipat ganda.
Maka, semangat membara yang muncul tatkala menghidupkan bulan suci tersebut akhirnya kian menyejuk.
Tidak kurang juga mereka yang mula diselubungi rasa lesu setelah sebulan lamanya mengabdikan diri kepada ALLAH SWT.
Apa-apa perkara pun jika dilakukan berulang kali tanpa henti untuk suatu tempoh yang lama lambat-laun pasti akan menimbulkan perasaan lemah dan lesu dalam diri.
Kata Rasulullah SAW, perkara ini sememangnya adalah sesuatu yang lazim dalam tabiat jiwa manusia.
“Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu). Maka, barangsiapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunnahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunnah) itu, maka dia akan binasa.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Pendakwah dan pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menitipkan suatu doa yang boleh diamalkan untuk kembali menyegarkan jiwa yang lesu tersebut, iaitu
رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah ENGKAU pesongkan hati kami sesudah ENGKAU beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya ENGKAU jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” (Surah Ali Imran, ayat 8)
Berlalunya bulan Ramadan bukan sebagai suatu tiket untuk kita kembali ke arah kemaksiatan yang dilakukan sebelum ini. Bahkan kita harus kekal beristiqamah melaksanakan ibadah kepada ALLAH SWT.
Berikut adalah antara tips kekalkan semangat beribadah selepas Ramadan:
1. Baca al-Quran satu muka sehari
Andai dalam bulan Ramadan kita berjaya selesaikan satu juzuk sehari, apa kata dalam hari-hari selepas ini, kita berusaha konsisten untuk membaca satu muka surat al-Quran sehari.
Sabda Rasulullah SAW: “Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Quran) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagai mana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) berdasarkan akhir ayat yang engkau baca. ”(Hadis riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)
2. Berpuasa tiga hari dalam sebulan
“Saidatina Muazah pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah RA: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.” (Hadis riwayat Muslim)
Baca juga Kadangkala rasa seperti tiada masa beribadah, tetapi…
3. Gantikan tarawih dengan witir
Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Abu Hurairah agar tidak meninggalkan tiga perkara dan salah satunya adalah agar dia tidak meninggalkan solat witir
Kata Abu Hurairah: “Kekasih aku (Rasulullah SAW) berpesan kepada aku tiga perkara (yang tidak aku tinggalkan sehingga aku mati) iaitu: Puasa tiga hari sebulan, solat duha dan solat witir sebelum tidur.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Mudah-mudahan perkara ini dijadikan peringatan buat kita kekal beristiqamah melaksanakan amalan sepertimana yang dilakukan dalam bulan Ramadan.
Amalan yang dilakukan itu sedikit pun tidak apa asalkan konsisten.
Foto: Pexels