AKAD nikah atau ijab qabul merupakan ikrar pernikahan.
Yang dimaksud dengan akad nikah ialah ijab daripada pihak wali perempuan atau wakilnya dan qabul dari pihak calon suami atau wakilnya. Akad nikah merupakan syarat wajib dalam proses atau upacara perkahwinan menurut Islam. Akad nikah boleh dijalankan oleh wali atau diwakilkan kepada seorang jurunikah.
Blog Universiti Malaysia Kelantan, Fakulti Tekonologi dan Warisan menyebut, ‘akad nikah bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan,’
Sebenarnya, ada adab yang patut dilakukan selesai sahaja majlis pernikahan agar istiadat itu kelihatan lebih murni dan indah. Ustaz Yaakob Yusra, Pengasas MADAD Centre berkongsi di laman media sosialnya tentang empat panduan yang sunat dilakukan selepas istiadat pernikahan.
1. Solat sunat selepas akad nikah.
Lafaz Niat : “Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”
Maksud: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana ALLAH Ta’ala
Rakaat pertama : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun.
Rakaat kedua : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas.
Membaca doa selepas salam.
2. Sujud Syukur.
Lafaz Niat : ” sahaja aku sujud syukur kerana ALLAH Taala”
Takbiratul ihram iaitu mengangkat tangan sebagaimana takbir dalam solat.
Sujud sebanyak satu kali.
Membaca doa seperti yang biasa dibacakan dalam solat.
Memberi salam.
3. Suami meletakkan tapak tangan diatas ubun-ubun isteri lalu membacakan doa.
“Ya ALLAH, aku memohon kepada-MU dari kebaikannya dan kebaikan apa yang ENGKAU tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-MU dari kejahatannya dan kejahatan yang ENGKAU tetapkan padanya. Ya ALLAH berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
4. Isteri bersalaman dengan suami sambil mencium tangan suami lalu mengucapkan dua kalimah syahadah
Ini adalah empat perkara sunat dilakukan sejurus pengantin berdua sah diijabkabul sebagai suami isteri.
Namun berhati-hati, tidak digalakkan untuk mencium ubun-ubun isteri kerana ia adalah acara dalam agama lain.
Selalunya, saudara-mara yang akan mengarahkan pengantin lelaki mencium isteri dan sebaiknya menolaknya dengan berhemah.
Semoga empat perkara sunat menjadi panduan kepada para pengantin di luar sana.