MENJADIKAN laman media sosial sebagai tempat untuk meluahkan perasaan sudah sebati dalam kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila ada yang memburuk-burukkan suami, isteri, tunang, ibu bapa dan adik-beradik di laman sosial.
Rentetan daripada perbuatan itu, Ketua Jaringan Industri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ia merupakan perbuatan yang sangat memalukan, tidak boleh dicontohi dan tidak sepatutnya berlaku dalam kehidupan umat Islam yang memahami agama dengan baik.
“Imam al-Ghazali menegaskan, setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh diluahkan kepada mereka yang layak untuk menyelesaikan masalah itu sahaja seperti kaunselor, ustaz atau ustazah, peguam, kawan rapat serta hakim ketika berada dalam kamar mahkamah.
“Selain mereka, adalah tidak digalakkan (makruh) kita menceritakan masalah yang berlaku dalam rumah kecuali mereka yang boleh dipercayai sahaja. Larangan itu bertujuan untuk mengelak daripada penyebaran cerita yang tidak benar sehingga menimbulkan fitnah seterusnya mengeruhkan lagi keadaan.
“Jika hal ini berlaku, maka hukum berbuat demikian adalah haram kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih besar,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi, contoh yang kita boleh teladani ialah apa yang berlaku kepada Hindun, isteri Abu Sufian, yang berjumpa Nabi SAW dan mengadu beliau mengambil duit Abu Sufian tanpa pengetahuan suaminya itu untuk membeli keperluan diri dan anak.
“Kata Hindun, beliau lakukan itu kerana Abu Sufian sangat kedekut. Lantas baginda bersabda: “Ambillah daripada duit sekadar memenuhi keperluan kamu dan anak-anak.”
“Hadis ini menjelaskan, meluahkan masalah rumah tangga dan sebagainya kepada orang yang layak adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, tujuan berbuat demikian mestilah untuk mencari jalan penyelesaian dan bukan menambahkan lagi masalah atau menyebarkan fitnah,” ungkapnya.
Hukum menyindir seseorang di laman sosial
Tambahnya, berkaitan perbuatan menyindir seseorang dalam laman sosial hukumnya adalah haram kerana ia termasuk dalam perbuatan menghina dengan kata-kata atau perbuatan. Selain itu, kita juga akan turut tergolong dalam kategori mereka yang menyebarkan fitnah.
“Lebih berat lagi, perbuatan menyindir di laman sosial akan mendatangkan kemudaratan lebih besar terhadap perpaduan manusia secara umum dan umat Islam secara khususnya. Atas dasar itu, ulama seperti al-Qurtubi menegaskan, larangan itu bersifat umum meliputi semua pihak sama ada Muslim atau kafir.
“Orang Muslim diarah oleh ALLAH SWT supaya bersatu padu dan dilarang berpecah belah seperti firman-NYA yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)
BACA JUGA Tiga kesalahan bergurau yang boleh mendatangkan dosa di media sosial
“Bagi orang kafir pula, kesan daripada sindiran itu akan mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif menghina serta memusuhi agama Islam.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah selain ALLAH, kerana mereka kelak, akan mencerca ALLAH secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am, ayat 108)
Tegas Izhar lagi, umat Islam dilarang menyindir atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada seseorang di laman sosial. Apabila hal ini dapat dipelihara, persaudaraan antara kita akan dapat dijaga dan diperkukuhkan. Bagi menyelesaikan ketidakpuasan hati antara manusia, kita disarankan supaya bersemuka untuk menyelesaikan masalah dan berbincang secara jujur.
“Tidak perlulah kita mengambil jalan singkat dengan menghebahkan perbalahan yang berlaku di dalam laman sosial. Ia bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, tetapi akan lebih mengeruhkan lagi keadaan,” jelas beliau ketika sesi soal jawab agama diadakan di laman media sosial.