Besarnya fadilat amal istighfar ini pada 4 waktu terbaik…
KELEBIHAN istighfar banyak disebut dalam al-Quran dan hadis. Sama ada seseorang itu beristighfar untuk dirinya sendiri atau kepada saudara mukmin yang lain.
Melalui satu hadis, terdapat kebaikan bagi orang yang memohon keampunan orang-orang mukmin.
Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang memohon keampunan untuk orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, ALLAH akan tuliskan untuknya bagi setiap Mukmin itu satu kebaikan”.
Baca Juga Tangani tiga masalah ini dengan solat taubat dan istighfar
Melalui satu ceramah ringkas di laman media sosial, Mudir Madrasah Ribat Al Musthofa, Ustaz Muhaizad Muhammad berkongsi ada empat waktu terbaik untuk mengamalkan istighfar ini.
Ujarnya, kalau boleh jangan tinggalkan istighfar ini (astaghfirullah lil mukminina wal mukminat) sebanyak 27 kali.

JANGAN tinggalkan istighfar ini (astaghfirullah lil mukminina wal mukminat) sebanyak 27 kali sebelum dan selepas maghrib/subuh.
“Sebelum subuh, 15 minit dan selepas subuh 15 minit, sebelum maghrib 15 minit dan selepas maghrib 15 minit, sesiapa yang menjaga empat masa tersebut maka ALLAH SWT akan menjaga seluruh masanya.
“Sesiapa yang minta keampunan bagi orang mukmin dan mukminat maka dia akan dapat pahala sebanyak mana orang mukmin. Misalnya orang mukmin itu jumlahnya satu bilion maka kita akan dapat seribu juta pahalanya,” katanya.
Baca Juga Istighfar bukan sekadar memohon keampunan ALLAH, tetapi juga dibuka pintu rezeki
Ganjaran melazimi istighfar
Istighfar merupakan ubat kepada hati. Portal myhadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berkongsi satu hadis iaitu ganjaran kepada mereka yang sentiasa melazimi istighfar.
Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda “Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, ALLAH SWT akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

SIFAT seorang mukmin yang sentiasa membasahi lidahnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan istighfar.
Jelas laman berkenaan, maksud lafaz istighfar itu bukan sekadar menuturkannya di bibir, tetapi ia satu pengakuan seorang hamba untuk memohon keampunan bukan sahaja terhadap dosa-dosa dan kesilapan yang telah dilakukan, bahkan terhadap sebarang kekurangan dalam melaksanakan segala perintah ALLAH SWT.
“Seseorang Muslim akan sentiasa memohon keampunan dan bertaubat kepada ALLAH SWT kerana itulah jalan orang yang bertakwa.
“Dengan beristighfar, ALLAH SWT akan akan mengurniakan keampunan dan manfaat bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat nanti syurga yang menanti.
“Lazimilah istighfar ibarat musafir di padang pasir yang keputusan bekalan makanan, yang bermain dibenak fikiran dan bibirnya hanyalah air.
“Begitulah sifat seorang mukmin yang sentiasa membasahi lidahnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah dengan istighfar,” kongsi JAKIM.