Benarkah bernikah di bulan Syawal itu Sunnah? Sila hadam penjelasan ini.
TIBA sahaja Syawal, bulan kemenangan itu pastinya dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri, jamuan rumah terbuka, juadah enak serta puasa sunat enam hari.
Tidak kurang juga, wujud segelintir yang percaya bahawa berkahwin di bulan Syawal termasuk tuntutan sunah dan ajuran syarak berdasarkan hadis berikut:
Kata ‘Aisyah RA: “Rasulullah SAW menikahiku di bulan Syawal, dan mengadakan malam pertama denganku di bulan Syawal. Isteri manakah yang lebih mendapat perhatian baginda selain dariku?” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Empat perkara sunat dilakukan selepas akad nikah
Hal itu disentuh oleh pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin menerusi sebuah hantaran di laman sosial miliknya.
Menurutnya, berbeza dengan pandangan yang dipegang masyarakat, teks hadis tersebut tidak menggambarkan sebarang tuntutan khas daripada Rasulullah SAW sendiri untuk membina rumah tangga pada bulan Syawal mahupun mana-mana bulan lain.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa ‘Aisyah RA hanya menceritakan tentang waktu pernikahannya dengan baginda sahaja dan menyukai sekiranya wanita lain berkahwin pada bulan yang sama beliau dikahwini baginda kerana karakternya yang begitu berbangga akan hubungan eratnya dengan suami tercinta.
Turut disyorkan Puasa enam pada bulan Syawal perlu berturutan atau boleh dipisahkan? Ini penjelasannya
Baca juga Ini 12 cara sambut Aidilfitri menurut sunnah Rasulullah SAW
Selain itu, Kamilin berkata, Rasulullah SAW pernah sahaja menikahi isteri-isterinya pada bulan seperti Muharram, Syaaban dan Zulkaedah.
“Sekiranya hanya kerana kelangsungan perkahwinan baginda dengan ‘Aisyah RA pada bulan Syawal boleh dihukum sunnah, nescaya kita perlu mensunnahkan juga perkahwinan pada bulan-bulan lain.
“Ini kerana perkahwinan baginda dengan para isterinya yang lain tidak terhad pada bulan Syawal semata, bahkan pelbagai bulan lain mengikut persefahaman dan keadaan,” tulisnya.
Tambahnya, hadis berkenaan terbit kerana Nabi SAW ingin memecahkan tradisi masyarakat Arab ketika itu yang menganggap bulan Syawal membawa sial.
Baca juga Janganlah kedekut hulur duit raya kerana kita akan dapat 3 pahala ini
Baca juga Telusuri sejarah Aidilfitri dirasmikan menjadi perayaan Muslimin
Ulas pensyarah tersebut, “Jika kita melihat konteks hadis pula, masyarakat arab pasca Jahiliyyah dahulu sememangnya dipenuhi unsur khurafat dalam kepercayaan mereka, sehingga mereka tidak menggemari perkahwinan pada bulan Syawal kerana dianggap membawa sial.
“Justeru Rasulullah SAW mahu memecahkan tradisi karut ini dengan berkahwin pada bulan Syawal.”
Kata Kamilin, perkara yang sunnah itu adalah untuk berkahwin apabila sudah berkemampuan melakukannya, tanpa terikat kepada waktu-waktu tertentu.
Dalam erti kata lain, berkahwinlah pada bila-bila masa sahaja asalkan sudah layak dan berkemampuan.
Ketahuilah dalam Islam, tiada waktu buruk atau bulan sial untuk sebuah perkahwinan. Semua waktu adalah baik.
Sumber: Facebook Dr Kamilin Jamilin
Foto: 123RF & Unsplash