Belanja kawan berbuka puasa, nampak biasa tetapi pahalanya luar biasa…
APA sahaja amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini pasti ganjaran kepada setiap amalan itu akan dilipatgandakan oleh ALLAH SWT. Tidak kira sama ada kecil mahupun besar.
Salah satu amalan yang dipandang biasa oleh masyarakat adalah memberi makan kepada orang berbuka puasa. Ketahuilah, walaupun ia dipandang biasa di mata manusia tetapi ganjaran pahalanya melimpah-ruah di sisi ALLAH SWT.
Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi hantaran di laman sosial Facebook berkongsi, selain hanya berpuasa, Rasulullah SAW juga menggalakkan para sahabat memberi makan orang berbuka puasa.
Hal ini berdasarkan sabda Baginda SAW “Barangsiapa yang memberi makan orang berbuka puasa, dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berbuka, tidak kurang sedikit pun dari pahala mereka.”
“Seperti kisah Sa’d ibn Ubadah yang pernah menjamu Baginda Nabi berbuka sehingga Rasulullah SAW sendiri mendoakan ke atas beliau:
“أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ
“Telah berbuka puasa disisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”
“Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, atas sebab itulah beberapa orang dari salafusoleh sangat menitik beratkan perkara ini. Abdullah ibn Umar dikatakan tidak berbuka melainkan bersama dengan anak yatim dan fakir miskin. Amalan yang sama dilakukan oleh Daud al-Ta’i, Malik ibn Dinar dan al-Imam Ahmad ibn Hanbal.
“Ambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini menjamu sahabat, jiran, anak yatim, pelajar tahfiz atau sesiapa pun. Ramadan menyediakan kita ruang dan peluang yang luas untuk meraih pahala yang tidak boleh dijangka,” katanya.
Baca Juga Ketahuilah, kalau malas bersahur serupa puasa orang Yahudi
Ganjaran puasa 36 kali
Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.”
Mengenai fadilat di atas pula, memetik perkongian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali.
“Pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah,” ujarnya.
Imam al-Tabari menerangkan: “Barang siapa yang menolong seorang mukmin dalam melakukan amal kebaikan, maka orang yang menolong tersebut akan mendapat pahala sama dengan si pelaku kebaikan tadi. Rasulullah SAW memberi khabar bahawa orang yang mempersiapkan segala klengkapan perang bagi orang yang ingin berperang, maka dia akan mendapat pahala orang yang pergi berperang. Begitu pula orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa atau menyumbang tenaga melalui pengagihan makanan bagi orang yang berpuasa, maka dia pun akan mendapatkan pahala orang yang berpuasa.”
Baca Juga Perhatikan enam golongan yang tetap tidak boleh makan, minum walaupun puasa Ramadannya telah batal
Antara sikap dan tokoh ulama dalam memberi makan orang yang berpuasa, antaranya;
1. Hasan al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
2. Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
3. Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
4. Abdullah bin Umar RA berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.