AYAT seribu dinar, antara ayat al-Quran paling popular dalam kalangan peniaga. Kebanyakannya digantung di kedai-kedai makan untuk membuka pintu-pintu rezeki.
“Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH nescaya DIA akan mengadakan baginya jalan keluar. (2) Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Sesiapa yang bertawakal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-NYA. Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (3) (Surah At-Talaq ayat 2-3).
Pendakwah, Ustaz Masri Ramli menjelaskan bagaimana cara untuk beramal dengan ayat di atas ini dalam konteks peniaga adakah dengan menggantung di dinding atau baca sebelum buka pintu kedai. Dalam ayat ini ALLAH menyebutkan tentang dua sifat yang perlu dimiliki oleh seseorang. Pertama adalah takwa dan kedua ialah tawakal.
“Takwa bagi seorang peniaga ialah dia meniaga tanpa mengabaikan kewajipan kepada ALLAH, dan tanpa melanggar aturan syariat, apatah lagi menzalimi pelanggan.
“Antaranya ialah sentiasa menunaikan solat walau sesibuk mana pun. Usahakan untuk berjemaah dan buatkan jadual penggiliran solat kepada staf.
“Tidak menggunakan gambar-gambar yang membuka aurat untuk iklan. Jika dia jual produk syarikat yang ada model tidak tutup aurat, janganlah sebarkan poster tersebut.
“Tidak menggunakan ayat-ayat promosi yang tidak berakhlak, tidak memburukkan atau dengki kepada pihak pesaing, menjual produk yang bermanfaat dan jujur ketika berniaga.
Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan
“Tidak keterlaluan mendakwa produknya bagus atau ‘over claim’ di dalam perniagaan, antara bentuk penipuan ialah over-claim dalam mempromosi produk. Contohnya seperti menjual penapis air, janganlah over-claim dengan mendakwa ia adalah produk perubatan mengubati penyakit,” ungkapnya.
Masri mengatakan lagi, konsep tawakal bagi seorang peniaga pula ialah dia berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan menyerahkan urusan hasilnya kepada ALLAH.
“Nabi SAW memberikan permisalan tawakal dengan seekor burung yang keluar pagi dan pulang di waktu petang. Ia keluar tanpa mengetahui adakah akan ada makanan untuknya atau tidak. Akan tetapi ia tetap keluar berusaha.
“Begitulah manusia. Manusia perlu berusaha seperti burung tadi, dalam masa yang sama hatinya perlu meletakkan pergantungan kepada ALLAH kerana DIA-lah yang menentukan dia akan dapat atau tidak.
“Abu al-Qasim al-Qusyairi (seorang tokoh sufi) berkata: Tawakal itu tempatnya di hati. Adapun pergerakan yang terzahir tidaklah menafikan tawakal apabila seorang hamba benar-benar meyakini bahawa semuanya daripada ALLAH. Seandainya urusannya mudah, maka itu daripada kemudahan ALLAH, seandainya urusan dia sukar, maka itu daripada takdirnya. (Dinukilkan oleh Ibn Hajar dalam Fathul Bari).
Baca juga Tidak kira ketika musibah atau selesa, jangan lupa memuji ALLAH’
“Imam Ibnu Katsir menyebutkan sesiapa yang bertaqwa kepada ALLAH dalam apa-apa yang ALLAH suruh lakukan, dan meninggalkan apa yang dilarang. ALLAH akan menjadikan untuknya jalan keluar dan memberikan rezeki kepadanya daripada jalan-jalan yang tidak disangka,” katanya di laman facebook beliau.
kuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus