SIFAT nifak atau munafik adalah terminologi dalam Islam yang merujuk kepada mereka yang berpura-pura mengikuti ajaran agama namun sebenarnya tidak mengakuinya dalam hatinya.
Dalam sedar atau tidak, hari ini ramai yang mempunyai sifat nifak sehingga lama kelamaan perkara itu sudah menjadi sebati dalam diri dan hati sehingga sukar dirawat lagi.
Sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan namun dengan berusaha mencari jalan untuk berubah dan mensucikan hati itulah sebaik-baiknya.
Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar melalui satu ceramahnya berkongsi mengenai satu amalan yang boleh dipraktikkan sebagai usaha untuk ALLAH SWT hilangkan dalam hati sifat munafik ini.
“Untuk ALLAH bersihkan seratus peratus sifat munafik dan selamat daripada neraka hendaklah sembahyang 40 waktu beserta takbiratulihram yang pertama bersama imam bukan datang rakaat kedua atau rakaat ketiga atau keempat”
“Solat Jemaah di masjid bersama imam Sebanyak 40 waktu, nescaya ALLAH akan membersihkan jiwa dan hati daripada sifat nifak” ungkapnya.
Seperti yang dikongsi oleh Ustaz Wadi, amalan yang boleh dilakukan dan diamalkan agar ALLAH buangkan segala sifat nifak ini adalah dengan hadir ke masjid dan solat 40 waktu bersama Imam bermula daripada awal waktu sehingga selesainya solat.
Penceramah bebas, Sidi Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani RA atau lebih lebih dikenali sebagai Tokku Pasir Gudang berkongsi mengenai cara hindarkan diri daripada penyakit syak dan nifak di kuliah subuhnya melalui kitab pengajian Kurnia Rabbani Limpahan Rahmani.
Menurut Syeikh Abdul Qadir antara perkara yang merosakkan, mencacatkan ketaatan kita kepada ALLAH salah satunya ialah mempunyai sifat nifak (sifat Munafik).
Para Ulama membahagikan nifak itu kepada dua:
1. Nifak akidah – zahirkan diri Islam dan sembunyikan kekufuran.
2. Nifak amal – dalam hati masih ada iman, tapi perbuatannya itu tidak mempunyai kesempurnaan, daripada sudut keikhlasan pada ALLAH dan kesungguhan mentaati ALLAH dalam segala keadaan.
“Menelusuri sejarah Nabi SAW pada zaman baginda, ramai yang menyimpan sifat munafik di dalam hati sehingga memburukkan Islam. Malah mereka berbangga berkawan dengan kafir dan Yahudi.
“Walaupun meletakkan nama mereka Islam dan bersama kelompok Islam, watak mereka sangat prejudis terhadap Islam, malah menunjukkan provokasi terang-terangan di hadapan Rasulullah SAW.
“Seperti memperkecil kemenangan, mengambil kesempatan menghina, mencari kekuatan di sisi orang kafir dan sentiasa memperlihatkan Islam tiada masa hadapan. Itulah watak dan suara mereka sejak zaman berzaman.
Baca juga Bahaya tiga serangkai ini, boleh menghapuskan pahala
“Walaupun sikap yang mereka tunjukkan itu amat bertentangan dengan Islam, namun baginda bersabar dengan membawa kekuatan dan kesungguhan dakwah.
“Nabi SAW sentiasa mengigatkan agar mereka yang bersama Nabi sentiasa menyiasat dan meneliti dalam kehidupan, andai ada sifat munafik dalam diri ini maka buanglah sejauh-jauhnya”. Katanya
ALLAH SWT berfirman “Orang Munafik berada di tempat paling dahsyat dalam Neraka, di paling bawah.” (Surah An-Nisa’ ayat 145)
Syeikh menyebut tentang sifat Munafik yang ada dalam diri kita. Ini yang Nabi SAW sentiasa tekankan agar orang Islam sentiasa bersihkan hati daripada mempunyai sifat ini.
Nabi SAW bersabda “Ada empat sifat siapa yang memilikinya dia adalah benar-benar munafik, dan siapa ada memiliki salah satu antara empat dia juga ada sifat munafik sehingga dia tinggalkan.”
Empat sifat munafik tersebut adalah:
1. Bila diberi amanah, dia khianat.
2. Bila bercakap dia bohong – bohong dalam nak ambil harta orang lain, nak fitnah orang dan kepentingan diri.
3. Bila berjanji dia khianat – termasuk melanggar waktu dijanjikan.
4. Bila berbalah, dia melampau.