DOA merupakan kekuatan dan perisai bagi seorang mukmin. Sebagai umat Islam kita disarankan untuk memperbanyakkan berdoa kerana sesungguhnya hanya ALLAH sebaik-baik tempat untuk mengadu dan meminta.
Seperti yang dikongsi oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun, berikut merupakan 10 doa pengubat jiwa yang boleh diamalkan setiap hari dan mudah-mudahan ALLAH menerima permohonan kita.
1. DOA MENJADI HAMBA YANG SELALU MENGINGATI ALLAH DAN BERSYUKUR
Daripada Muadz bin Jabal RA, beliau berkata Rasulullah sering berdoa ketika sujud dengan membaca:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya ALLAH, bantulah aku untuk berzikir dan bersyukur kepada-MU serta beribadah kepada-MU dengan baik.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
2. DOA MEMOHON ILMU BERMANFAAT
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
Maksudnya: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku mohon kepada-MU ilmu yang berguna, rezeki yang baik dan amal yang diterima.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
3. DOA DIMUDAHKAN URUSAN
Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya ALLAH, tidak ada kemudahan kecuali yang Engkau mudahkan dan perkara yang susah Engkau boleh jadikan mudah apabila Engkau menghendakinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
BACA JUGA Inilah doa Nabi Sulaiman untuk rezeki yang melimpah
4. DOA NABI YUNUS AS MEMOHON KEAMPUNAN KETIKA DI DALAM PERUT IKAN
لَا إِلٰهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya ALLAH). MAHA SUCI ENGKAU (daripada melakukan aniaya, bantulah daku), sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Al-Anbiya ayat 87)
5. DOA MEMOHON PERLINDUNGAN DARIPADA BALA, SENGSARA DAN TAKDIR YANG BURUK
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
تَعَوَّذُوا بِاللهِ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاء
Maksudnya: “Mintalah perlindungan kepada ALLAH daripada bala yang berat, hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk, dan kegembiraan musuh (terhadap masalah yang menimpa).” (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih)
6. MOHON PERLINDUNGAN DARIPADA SIFAT SEDIH, LEMAH, MALAS, PENGECUT, BAKHIL DAN BELENGGU HUTANG
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW pernah berdoa:
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ العَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبَنِ وَالبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksud: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung kepada-MU daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung kepada-MU dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-MU daripada cengkaman hutang dan penindasan orang.” (Hadis Riwayat Bukhari)
7. DOA DILANCARKAN PERCAKAPAN
Ketika diperintahkan berdakwah kepada Fir’aun, Nabi Musa sering membacakan doa:
رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِِي وَٱحۡلُلۡ عُقۡدَةࣰ مِّن لِّسَانِی یَفۡقَهُوا۟ قَوۡلِی
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” (Surah Taha ayat 25-28)
8. DOA NABI IBRAHIM BERTAWAKAL KEPADA ALLAH KETIKA DILEMPAR KE DALAM API
Doa ini boleh diamalkan apabila kita rasa berat untuk menanggung ujian, ketika dalam kesedihan atau di saat kita amat berharap kepada pertolongan. Nabi Ibrahim membaca doa ini ketika penduduk kampungnya menyalakan api yang besar untuk membakar Baginda kerana tidak beriman dengan berhala yang mereka sembah. Bacaannya seperti berikut:
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: “Cukuplah ALLAH sebagai penolong kita dan DIA adalah sebaik-baik tempat berserah.” (Surah Ali-Imran ayat 173)
9. DOA AGAR SENTIASA DIBERI KESEJUKAN HATI
Daripada Abdullah bin Abu Aufa RA, Rasulullah SAW pernah berdoa:
اللَّهُمَّ بَرِّدْ قَلْبِي بِالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَالْمَاءِ الْبَارِدِ، اللَّهُمَّ نَقِّ قَلْبِي مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ دَّنَسِ
Maksudnya: “Ya ALLAH, sejukkanlah hatiku dengan salju, embun, dan air sejuk. Ya ALLAH, sucikanlah hatiku daripada segala kesalahan sebagaimana Engkau menyucikan pakaian putih daripada kotoran”. (Hadis Riwayat Tirmizi)
10. DOA DI MALAM HARI JIKA MENGALAMI KESUKARAN UNTUK TIDUR
Doa ini boleh diamalkan sebelum tidur, khususnya bagi sesiapa yang mengalami masalah tidur malam. Rasulullah SAW pernah ajarkan doa ini kepada Khalid Al-Walid RA yang mengalami kesukaran untuk tidur malam ketika itu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ، وَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat ALLAH yang sempurna dari kemarahan, seksaan dan kejahatan hamba-hamba-NYA, dan daripada godaan syaitan serta jangan sampai mereka (syaitan) hadir (di hadapanku).” (Hadis Riwayat at Tirmizi)
Doa-doa ini boleh dibacakan pada bila-bila masa sama ada di waktu pagi, selepas solat fardu atau sunat, ketika masa lapang, di waktu petang, ketika dalam kenderaan, di tempat kerja, di rumah, dan lain-lain waktu.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus
Sumber Facebook: Ustazah Asma’ Harun