Browsing Category

Uncategorized

Dosa
Gaya Hidup, Uncategorized,

Penyebar fitnah undang kecelakaan dalam masyarakat

FITNAH sering dikaitkan dengan tuduhan palsu kepada individu lain dengan ‘dosa yang lebih besar daripada membunuh’ dan menghubungkannya dengan surah al-Baqarah ayat 191. Hakikatnya fitnah dalam ayat tersebut membawa maksud syirik kepada ALLAH SWT bukan bermaksud tuduhan palsu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Celakalah golongan pelampau”. Baginda mengulangkannya sebanyak tiga kali (Hadis Riwayat Muslim).

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, Imam al-Nawawi menyatakan golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadis ini ialah golongan yang melampaui batas dalam pengucapan mereka.

“Lidah mereka bebas berkata-kata tanpa ada batasan sehingga menjadi penyebab kepada kerosakan yang berlaku dalam masyarakat,” jelasnya.

“Penyebar maklumat palsu, tidak benar atau tidak dipastikan kesahihannya melalui media sosial dan sebagainya boleh dikategorikan sebagai golongan pelampau yang akan mendapat kecelakaan”

“Bahkan, golongan seumpama ini lebih dahsyat kerana penyebaran berita melalui media sosial sangat cepat berlaku dan sangat merosakkan,” tegas Dr Sukki.

DR SUKKI OTHMAN

Cerita dan berita rekaan

Kalimah ‘fitnah’ berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang mengandungi beberapa makna seperti ibtila’ atau ujian.

“Ibn Athir menyatakan, pada asalnya perkataan fitnah digunakan oleh orang Arab dengan maksud ujian, kemudian penggunaanya berkembang dan mempunyai pelbagai makna.”

“Kalimah fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari menyebut bahawa: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.”

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

“Dalam ayat ini, perkataan fitnah menunjukkan maksud syirik yang merupakan jenayah yang lebih besar daripada perbuatan membunuh dalam bulan-bulan haram,”

Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi maksud yang lebih spesifik, iaitu merujuk kepada tuduhan palsu yang direka cipta untuk memburukkan seseorang atau sesuatu pihak yang boleh membawa kepada porak-peranda.

Dr Sukki berkata hukumnya adalah jelas haram. “Nabi SAW mengecam sekeras-kerasnya perbuatan fitnah sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”(Hadis Riwayat al-Bukhari),”

“Maksud mengadu domba seperti kata ulama ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai daripada seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan mereka. Perkara ini juga termasuk menerusi tulisan yang disebarkan seperti dalam Facebook, Whatsapp, Instagram, blog dan lain-lain,” katanya.

Baca juga Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam

Selalulah melakukan tabayyun

Solusi kepada hal ini boleh diatasi melalui konsep pencerahan atau tabayyun. Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Ahmad Sunawari Long menyarankan setiap orang melakukan tabayyun iaitu menyemak dan menyiasat setiap berita yang diterima sebelum dihadam.

DR AHMAD SUNAWARI

“Setiap berita yang diterima harus disiasat tentang kesahihan, sumber dan kandungannya terlebih dahulu. Fikir sejenak sebelum bertindak. Logik akal dan hukum agama hendaklah menjadi pengukur dalam menerima dan menyibarkan berita seperti dalam ungkapan: “Kalau tidak pasti jangan kongsi,” katanya.

Terdesak menjadi orang pertama menularkan sesuatu berita menyebabkan fitnah berleluasa. Ramai yang teruja menokok berita lalu mensensasikannya bagi menambah rasa terhadap berita yang disampaikan.

“Sudah menjadi naluri manusia biasanya ingin menjadi yang pertama kerana untuk disanjungi atau dipuji. Demikian juga dalam penyebaran berita, mereka melakukannya kerana ingin cepat diketahui oleh pihak lain tanpa memeriksa terlebih dahulu tentang kesahihannya asalkan ia menjadi orang pertama menyampaikan berita,”

Ujar Dr Ahmad Sunawari, dalam keghairahan menjadi yang pertama, berlaku kegopohan untuk menyemak kesahihan, ketepatan dan sumber berita.

“Lebih parah jika berita yang disampaikan langsung hilang daripada inti cerita sebenar atau sumber asal sehingga boleh menjatuhkan maruah atau merosakkan reputasi orang yang dimaksudkan.”

“Akhinya berita bertukar menjadi fitnah, lalu merosakkan hubungan kemanusiaan, individu dan keluarga,” keluh beliau kesal.

Baca juga Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

Untitled design - 2022-08-30T104830.227
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka, Uncategorized,

Merdeka Jiwa – Awang Sariyan

BERSEMPENA sambutan Hari Kebangsaan negara kita yang ke-65 dengan tema keluarga Malaysia teguh bersama , ayuh kita semarakkanya dengan sajak kemerdekaan terbaik yang pernah dihasilkan oleh tokoh-tokoh hebat dan Sasterawan Negara.

Sajak kemerdekaan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh ini penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat. Ia masih segar dan sesuai untuk dideklamasikan bagi anak-anak atau sesiapa sahaja yang cintakan tanah air tercinta.

MERDEKA bermula di jiwa.

Merdeka Jiwa
Karya Awang Sariyan

Sebermula
Merdeka bermula di jiwa
Merdeka daripada syirik kepada Yang Esa
Merdeka daripada tahayul, khurafat dan wasangka.

Merdeka daripada takluk kepada dunia
Merdeka daripada perhambaan kepada manusia
Merdeka daripada mendewa-dewakan penguasa

Merdeka daripada tuntutan hawa
Merdeka daripada sifat lagha
Merdeka daripada hasad, khianat dan haloba

Merdeka daripada penjajahan minda
Merdeka daripada dualisme
Merdeka daripada sekularisme

Merdeka daripada kejahilan atma
Merdeka daripada kejumudan idea
Merdeka daripada ujub dan riyak

CADANGAN GAMBAR UTAMA 1
Isu, Uncategorized,

Mantapkan pegangan akidah, banteras penyeleweng Islam

UMAT Islam di Malaysia perlu memantapkan akidah berlandaskan pegangan  Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran agama.

Seruan itu dibuat oleh Penolong Pengarah Kanan (Ketua Unit Kajian Dan Kawalan Aqidah) Jabatan Agama Islam Perak, Ahmad Muzammil Bin Mohamed Shapawi ketika mengulas berkenaan perkembangan terbaharu penyebaran ajaran sesat di tanahair.

 

USTAZ MUZAMMIL

Jelas beliau lagi, ada sesetengah individu merasanya dirinya sebagai manusia lemah dan telah lama hidup berdosa, lalu ingin  kembali ke pangkal jalan tanpa ilmu dan gagal bertemu guru yang benar.

“Hal ini menyebabkan mereka terperangkap dalam ajaran songsang. Bagi ketua ajaran pula, menggunakan tiga lingkaran ini iaitu harta, wanita dan kuasa bagi mengekalkan dan mengaktifkan ajaran tersebut,” katanya.

Tambah Ahmad Muzammil, sehebat mana pun guru tersebut, indah bagaimana pun pakaiannya walaupun berserban, berjubah, sesungguhnya dia tidak boleh menghapuskan dosa manusia lain, sebaliknya dia hanyalah hamba ALLAH seperti Kita semua.

“Kembalilah kepada ALLAH SWT. Tidak ada istilah fast track ke syurga. Melainkan melaksanakan amalan yang benar sesuai syarak dan tidak melanggar ketentuan yang telah ditetapkan oleh ALLAH dan Rasul,” ujarnya.

Mudah terpengaruh

Senario yang berlaku ini amat menepati kata-kata Imam al-Shafie iaitu : “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan as-Sunnah.”

Imam al-Shafie menggambarkan bahawa wujud manusia yang mudah terpengaruh dengan keajaiban dan perkara-perkara ganjil yang mampu dilakukan oleh manusia lain, lalu mengangkatnya sebagai guru. Padahal tanpa disedarinya, individu yang diagung-agungkan itu mengamalkan ajaran sesat.

Terbaharu, sebuah pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah telah membawa beberapa kepercayaan yang terpesong dengan mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas yang lepas.

Lantaran itu, pusat berkenaan ditutup enam bulan berkuat kuasa 3 Ogos lepas berikutan aduan terdapat perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak bagi siasatan lanjut dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan membatalkan pendaftaran terekat tersebut atau sebaliknya.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

DATUK MOHD YUSOF

Bagaimanapun sewaktu di tanah suci, ada dalam kalangan pengikutnya nampak perbuatan dilakukan Habib Shah Firdaus tidak betul dan hilang kepercayaan, jadi sebahagian mereka balik ke Malaysia dan melaporkan kepada jabatan mufti negeri.

Sebelum ini jelasnya, tiada apa-apa isu melibatkan pusat itu malah ia turut berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.

Selidik dahulu sebelum sertai

Menerusi perkongian daripada Bernama, terkini pihak berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.

visa furada

DATUK IDRIS AHMAD

“Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).

“Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang Mursyid, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.

Seterusnya, Mengambil petikan artikel Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menasihati agar umat Islam di Malaysia perlu memantapkan aqidah masing-masing berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam.

Hadirlah ke kelas-kelas agama dan dengarlah ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah yang telah mempunyai tauliah dari Majlis Agama Islam negeri-negeri.

Ini kerana, penelitian, proses saringan dan ujian yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebelum sesuatu tauliah dikeluarkan adalah bagi memastikan penceramah yang ditauliahkan berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak sesat atau menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.

Kaedah yang dikemukakan oleh Imam al-Shafie adalah sangat penting untuk difahami supaya umat Islam boleh menilai dakwaan-dakwaan batil individu-individu yang memimpin ajaran sesat.

Di samping itu, umat Islam di Malaysia seharusnya peka dengan fatwa negeri-negeri di Malaysia yang mewartakan ajaran-ajaran yang didapati sesat dan menyeleweng dari pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

UMAT Islam perlu sentiasa sensitif dengan sebarang bentuk penyelewengan yang bertujuan menyesatkan akidah Islamiah.

punca harta haram
Hukum, Uncategorized,

Mesin ‘claw’ didik amalan judi dalam kalangan kanak-kanak

SEGELINTIR masyarakat percaya bahawa permainan mesin ‘claw’ dapat mencabar kecekapan diri dan ada juga yang tertarik dengan hadiah yang ditawarkan iaitu patung yang beraneka pilihan.

Permainan ini mungkin nampak senang pada mata kasar namun apabila telah mencubanya, ia tidaklah semudah yang disangkakan.

Permainan dengan konsep ini sebenarnya masih berleluasa dan ia kerap dijumpai di pusat beli belah dan juga pusat hiburan kanak-kanak.

Sehingga ke hari ini, masih ramai yang tidak tahu mahupun keliru, iaitu hukum bermain mesin tikam atau ‘claw’. Ia ada dijelaskan dalam artikel Al-Kafi siri ke 1210 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Mesin ‘claw’ adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi untuk memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Baca juga Bukan semua ‘gharar’ diharamkan dalam Islam, berikut perinciannya  

Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain.

SESUNGGUHNYA judi membawa kepada kesengsaraan hidup dunia dan akhirat.

Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta.

Ia kerana orang yang kalah buat pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang dan akan berlanjutan sehingga ia puas dengan hasil yang diperolehi.

Kadang kala, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin serta permusuhan akan berlaku.

Permainan tersebut akan membiasakan diri agar bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.

Konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin ‘claw’ ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar.

Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Berikut merupakan ciri-ciri judi yang perlu diketahui:

a) Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.

b) Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.

c) Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.

Baca juga Perkahwinan bukan perjudian

Jelaslah, hukum main permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar.

Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjauhkan diri kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam.

Foto: Canva

Penuhi enam hak sesama Muslim
Isu, Uncategorized,

Penuhi enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah.

PENUHI enam hak sesama Muslim, jamin keteguhan ukhuwah

Tahukah anda bahawa wujudnya hak tertentu yang perlu dipenuhi oleh setiap Muslim terhadap satu sama lain?

Islam sememangnya agama yang mementingkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Betapa syumulnya Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia sehinggakan hak sesama saudara seagama juga pernah digariskan Nabi SAW sendiri dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

Hak muslim ke atas muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah berkata: Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang maka penuhilah. jika apabila dia meminta nasihat kepadamu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa: يرحمك الله). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Hadis riwayat Muslim)

Penuhi enam hak sesama Muslim

MUNGKIN enam hak yang disebutkan itu nampak kecil tetapi kesannya besar menguatkan talian ukhuwah sesama umat Islam.

Enam hak sesama Muslim yang patut dipraktikkan adalah seperti berikut:

1. Mengucapkan salam
Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam. Apabila seorang Muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenali atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam.

Hukum mengucapkan salam adalah sunat muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Selain menjadi suatu doa yang dapat menggugurkan dosa, perbuatan memberi salam juga menjadi pengikat tali persaudaraan sesama kaum Muslimin.

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

2. Memenuhi undangan
Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan.

Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Saling menasihati
Lumrah sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, maka sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya.

Penuhi enam hak sesama Muslim

MASIH ramai yang menggunakan frasa Inggeris, ‘Excuse me’ apabila bersin. Sebaliknya, gunakanlah perkataan yang telah diajarkan oleh Nabi SAW.

4. Mendoakan ketika bersin
Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ini bertepatan dengan saranan hadis Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut ‘Alhamdulillah’. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya ‘Yarhamukallah’. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) ‘Yarhamukallah’ maka hendaklah menyebut ‘Yahdikumullah wa Yuslih baalakum’. (Hadis riwayat al-Bukhari)

5. Menziarahinya ketika sakit
Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi jika dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri.

Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit.

Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian ALLAH SWT.

Baca juga Ikhlaskan hati, usah mengeluh menjaga orang sakit kerana ganjaran besar menanti

6.Mengiringi jenazah

Mengiringi jenazah itu bukan sahaja mengandungi doa, malah ia sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah pernah bersabda:

Sesiapa yang menziarah jenazah seorang Muslim dengan penuh perasaan keimanan, dia tetap ada bersama mayat sehinggalah mayat tadi disolatkan dan turut serta sehingga selesai ia dikebumikan, maka dia pulang dengan mendapat dua qhirat. Setiap satu qhirat ganjarannya sama seperti gunung Uhud. Dan sesiapa yang solat jenazah, kemudian dia pulang tanpa menunggu sehingga mayat tersebut dikebumikan, sesungguhnya dia mendapat satu qhirat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sematkan azam agar dapat melaksanakan keenam-enam hak ini kerana kita hidup di dunia bukannya berseorangan. Sebaliknya ALLAH mencipta manusia dengan pelbagai bangsa, bersuku-suku dan berpuak-puak supaya kita dapat saling kenal mengenali.

Foto: Freepik & Pexels

Mengejek dosa orang lain
Hukum, Uncategorized,

Ketahui 5 cara hapuskan dosa mengumpat

BERGOSIP atau mengumpat memang enak. Namun sedarkah anda sebenarnya dosa mengumpat sangat besar dan boleh mendatangkan ancaman azab di alam kubur dan di akhirat kelak.

Orang yang suka mengumpat biasanya mengeluarkan kata-kata yang tidak jujur dan berbohong. Ini adalah tabiat yang sering kita lakukan walaupun tau ianya adalah satu dosa.

Dalam surah Al-Hujarat ayat 12, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada bersangka buruk kerana sebahagiannya adalah dosa. Janganlah kamu mencari keburukan orang dan janganlah kamu menggunjing (mengumpat) satu sama lain.

“Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Sudah tentu kamu rasa jijik dengan dia. Dan bertakwalah kepada ALLAH Sesungguhnya ALLAH penerima taubat dan maha penyanyang kepada hamba-NYA.”

Berdasarkan firman ALLAH itu, orang yang mengumpat adalah sama seperti memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai).

Sudah terang lagi bersuluh, ALLAH sangat melarang umatnya bercakap tentang keaiban orang lain, maka sudah tentu mengumpat adalah haram.

Menerusi perkongsian pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, di laman sosial YouTubenya telah berkongsi 5 cara untuk menghapuskan dosa mengumpat yang boleh kita amalkan:

Baca juga Mengumpat itu haram tetapi ketahui 6 jenis situasi yang dibenarkan

1. Meminta maaf kepada orang yang diumpat

Perlu diketahui bahawa dosa dengan manusia sangatlah berat jika tidak dimaafkan oleh orang tersebut. Sabda Baginda Rasulullah:

“Barang siapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau apa-apa perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Seseorang boleh menjadi muflis di akhirat nanti disebabkan dosa-dosa ghibah yang dilakukan ketika hidup. Imam Nawawi ada berkata bahawa “Jika ia berbentuk ghibah (umpatan), maka harus minta dihalalkan.” (Riyadh al-Salihin 41-42)

2. Menyebutkan kebaikan orang yang diumpati

Ini merupakan salah satu cara bertaubat daripada perbuatan mengumpat dan dilakukan di hadapan orang yang mendengar umpatan itu.

Ini merupakan salah satu cara bertaubat daripada perbuatan mengumpat. Jika dahulu yang disebutkan adalah keburukannya, maka gantilah dengan menyebutkan banyak kebaikannya. Sebagaimana Fatwa Syaikh bin Baz, beliau berkata yang bermaksud:

“Engkau sebutkan kebaikan-kebaikan yang engkau ketahui mengenai dirinya sebagai ganti keburukan yang telah engkau sebutkan. Jika dahulu yang disebutkan adalah keburukannya, maka gantilah dengan menyebutkan banyak kebaikannya.”

3. Taubat nasuha

Mesti diingat, mengumpat atau dosa lain yang tidak dibasuh dengan taubat, akan meninggalkan kesan karat pada hati. Janganlah berlengah sehingga seluruh hati diselaputi tompokan hitam kerana pada waktu itu, kalbu tidak lagi menerima limpahan Nur dari ALLAH.

TAUBAT nasuha adalah taubat yang dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Bagaimanapun bagi dosa besar, ia hanya akan diampuni dengan melakukan taubat nasuha, sekali gus setiap Muslim bertanggungjawab mengetahui perkara yang dikategorikan sebagai dosa besar seperti mengumpat.

Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:

“Setiap anak adam (manusia) berbuat kesalahan, dan sebaik-baiknya orang yang bersalah adalah yang bertaubat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Baca juga Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

4. Banyakkan berzikir

Biarpun amalan zikir sangat mudah dilakukan tetapi ganjaran dari ALLAH amatlah besar. ALLAH memberikan keampunan dan ganjaran pahala buat hamba-NYA yang sering berzikir kepada-NYA.

ALLAH berfirman yang bermaksud; “… Laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) ALLAH, ALLAH telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzab, ayat 33-35)

Jelaslah dengan perbanyakkan zikir dapat membantu seseorang untuk menghapuskan dosa-dosa ghibah yang telah dilakukan. Ini menunjukkan bahawa kepentingan berzikir telah menyamai dengan berbagai bentuk ibadat lain seperti jihad, haji, umrah dan seumpamanya.

5. Bersedekah

Sesungguhnya banyak kelebihan dan ganjaran yang ALLAH berikan kepada hamba-NYA yang bersedekah.

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

PERLU diingat bahawa bersedekah tidak akan mengurangkan harta atau rezeki.

Sebagaimana hadis ini, amalan yang boleh menghapuskan dosa mengumpat adalah bersedekah. Tidaklah sedekah itu menjadi sia-sia kerana akan dihapuskan dosa-dosa dilakukan Muslim dan muslimat.

Kesimpulannya, ghibah atau mengumpat merupakan salah satu dosa yang tak terampunkan sehingga orang yang mengumpat perlu melakukan banyak cara untuk mendapatkan keampunan dari ALLAH kerana dosa mengumpat adalah lebih besar daripada zina.

Foto: Sinar Plus & Pexels

pexels-michael-burrows-7129750
Berita Semasa, Uncategorized,

4 langkah mudah bangun tahajud dan qiamullail

QIAMULLAIL adalah anugerah istimewa ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang beriman. Kemampuan terjaga di malam hari daripada tidur yang selesa dan meninggalkan dakapan orang tersayang semata-mata kerana ALLAH, bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan.

Tidak hairan sekiranya ALLAH menjelaskan hanya sebahagian kecil hamba-NYA sanggup bangun berqiamullail. Kesanggupan seorang hamba bangun menghadap Tuhannya adalah kemuliaan bagi orang beriman.

Kemuliaan ini akan melahirkan sifat yang terpuji dan ketinggian iman kepada seseorang. ALLAH menggesa hamba-NYA agar melakukan solat malam dalam erti kata untuk membangunkan ketinggian rohani dalam diri seseorang.

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta bertahajudlah padanya, sebagai solat tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa):

“Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku daripada sisi-MU hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.” (Surah al-Isra’, ayat 79-80)

Baca juga Nak qiamullail tak semestinya kena berjaga tengah malam…

4 langkah mudah yang boleh dilakukan ialah:

1. Berniat dan berazam

Azam yang kuat perlu ada dalam diri seorang mukmin yang mahu bangun malam bagi beribadah. Tidak memadai sekadar angan-angan kosong ataupun tidur dalam keadaan tidak bercadang mahu bangun.

Apabila bertekad mahu bangun, seseorang itu pasti melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan dia bangun untuk menunaikan solat dan memberikan impak yang positif kepada orang yang kuat keazamannya. Tanpa azam yang tinggi, orang yang terjaga malam pun belum tentu kuat untuk mendirikan solat sunat dua rakaat sekalipun.

ALLAH akan memberi ganjaran kepada niat dan azam hamba-NYA yang mahu bangun menyembah-NYA pada waktu malam. Oleh itu, apabila seseorang itu tidak bangun sehingga subuh, ALLAH tetap memberikan ganjaran lumayan atas keinginannya itu.

Saidatina Aisyah RA menyatakan perkara ini berdasarkan penjelasan yang didengari daripada suaminya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berniat mengerjakan solat pada waktu malam, tetapi tertidur, pasti Allah menetapkan baginya ganjaran solatnya. Sementara tidurnya adalah sedekah untuknya.”  (Hadis Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

2. Tidur sekejap di siang hari

Qailullah ialah tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas zohor. Pejamkan mata 15-30 minit. Ia bertujuan merehatkan diri dan menghilangkan rasa mengantuk akibat tidak cukup tidur ataupun keletihan.

NABI Muhammad telah mengamalkan amalan qailullah sejak usia muda untuk memudahkan baginda bangun melakukan ibadah di tengah malam.

Rehat yang baik seperti ini membantu seseorang itu bangun pada malam hari. Anas bin Malik melaporkan daripada Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda: “Mohon pertolongan bagi berpuasa pada siang hari dengan sahur, dan berqiamullail dengan qailullah”.

Jelaslah bahawa tidur sekejap di siang hari itu memudahkan seseorang untuk bangun solat di waktu malam serta dapat merehatkan diri dan fikiran walaupun hanya sekejap.

3. Berwuduk sebelum tidur

Wuduk bukan sahaja berfungsi sebagai sarana untuk membersihkan diri dari hadas kecil. Namun begitu, wuduk juga mempunyai banyak fadilat dan manfaat untuk kehidupan seharian terutama apabila dilakukan sebelum tidur. Tidak hairanlah, jika Nabi Muhammad selalu berpesan kepada setiap umat Islam agar sentiasa memperhatikan wuduknya.

Salah satu kelebihan berwuduk sebelum tidur ialah perasaan akan lebih tenang dan tenteram.  Selain itu, air wuduk juga dapat menjadikan otot-otot dalam badan lebih relaks dan kualiti tidur juga akan sentiasa terjaga. Dalam hadis al-Bara’ Bin A’zib, Rasulullah berkata:

“Apabila kamu ingin masuk tidur, maka ambillah wuduk dengan cara berwuduk untuk solat.”

Setiap muslim yang berwuduk, ALLAH akan mengampuni kesalahannya. Berwuduk sebelum tidur juga dapat meningkatkan darjat seseorang dan akan sentiasa diberi kesabaran apabila berhadapan dengan perkara yang tidak disukai. Oleh itu, setiap muslim hendaklah berwuduk sebelum tidur agar sentiasa sentiasa dilindungi dan dirahmati.

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

4. Menjaga pemakanan

Bagi mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam. Elakkan makan terlalu banyak terutamanya makanan yang berat seperti nasi, mi, pizza, burger dan sebagainya.

Makanan yang diambil pada waktu malam terutamanya selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam bagi memproses semua makanan ini. Dalam proses ini, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Kesannya, orang yang banyak makan pasti berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak.

BAGI mereka yang mahu bangun malam, kawalan makanan perlu dihadkan terutama pada waktu malam.

Sekiranya dia dapat bangun pada pertengahan malam, dia juga berasa malas bagi melaksanakan solat. Rasulullah menasihati para sahabat supaya bersederhana dalam perihal makan dan tidak berlebihan agar tidak memudaratkan kesihatan dan memberi kelebihan untuk sesiapa yang ingin menunaikan solat malam juga dipermudahkan.

Solat tahajud dan qiamullail adalah tawaran yang sangat berharga diberikan oleh ALLAH kepada hamba-NYA agar kita dapat mendekatkan diri untuk menjadi lebih baik. Ia merupakan satu kerugian jika kita meninggalkan atau tidak melakukan solat tersebut. Pada awalnya, pastilah sukar untuk bangun di tengah malam, namun sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat ganjaran.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat keistimewaan bagi mereka yang bangun untuk menunaikan solat tahajud dan qiamullail.

Foto: Pexels

Untitled design (1)
Berita Semasa, Uncategorized,

Haram guna duit Raya anak? Berikut perinciannya

MENJADI tradisi umat Islam apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk berkongsi rezeki dengan memberi duit raya khusunya kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Rezeki mereka juga bertambah dengan adanya tradisi pemberian duit raya membolehkan mereka mendapatkan sejumlah duit yang banyak.

Bagi anak-anak yang masih kecil dan belum akil baligh, mereka sememangnya tidak pandai untuk menguruskan wang mereka sendiri. Peranan ibu bapa adalah sangat penting bagi memastikan duit raya yang mereka dapat itu diuruskan dengan sebaiknya.

Duit raya yang diberikan kepada kanak-kanak itu adalah kepunyaan mereka secara mutlak dan ibu bapa adalah pemegang amanah yang besar bagi menguruskan duit tersebut sehingga mereka sudah bijak untuk menguruskan duit mereka sendiri.

Hukum menggunakan duit raya anak adalah sama sekiranya kita menggunakan duit orang lain iaitu berhutang dan hutang tersebut wajib dibayar balik. Amanah dalam menjaga duit anak-anak ini sangat penting dalam Islam agar tidak disalahgunakan oleh ibu bapa kerana haram jika digunakan kepada perkara yang tidak berfaedah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi (2159)

Baca juga Dilema Terima Duit Raya Daripada Kaki Judi

Bagi pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, beliau menjawab isu ini dalam ceramahnya. Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli barang yang tidak sepatutnya iaitu sport rim dan barang keperluan kereta yang lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri sendiri.

“Namun, boleh gunakan duit raya anak sekiranya dalam keadaan yang terdesak seperti bekalan elektrik akan dipotong jika tidak dibayar yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.

“Hal ini membolehkan duit raya tersebut digunakan untuk membayar bil tersebut tetapi perlu dibayar dengan segera,” katanya.

Terdapat tiga cara untuk uruskan duit anak dengan betul.

1. Asingkan

Pastikan duit raya setiap anak diasingkan bagi mengelakkan percampuran dan kekeliruan duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak mendapat jumlah duit raya yang sepatutnya mereka dapat dan tidak bercampur dengan duit yang lain.

Baca juga Boleh guna duit raya anak, tapi jangan sampai memudaratkan mereka

2. Tabung khas

TIDAK kira jumlah duit Raya itu banyak atau sedikit, ibu bapa boleh menyimpan wang tersebut dalam tabung khas anak-anak.

Pastikan setiap anak mempunyai tabungan khas sendiri yang boleh mendorong mereka untuk rajin menabung serta pengurusan duit raya juga mudah untuk disimpan dan tidak berlaku kehilangan duit jika disimpan dengan betul.

3. Simpan dalam bank

Kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank merupakan langkah yang bijak dalam menyimpan duit anak. Kaedah ini sangat berguna untuk masa hadapan kanak-kanak kerana dapat memberikan pulangan yang baik setiap tahun

AKAUN simpanan merupakan sejenis akaun bank di mana anda boleh menyimpan wang simpanan anda dengan selamat.

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sesuka hati kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan duit anak-anak untuk membeli barang yang tidak penting, maka wajib ke atas ibu bapa untuk mengantikan duit yang telah digunakan.

Semoga ALLAH SWT memberikan kita kefahaman yang baik untuk terus mengikut syariat-NYA dan tidak menggunakan duit anak-anak sesuka hati sebaiknya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Foto: Pexels & Redaki.com

Jendela Dunia, Uncategorized,

Polemik larangan berhijab di Karnataka terus memuncak

SUDAH dua bulan berlalu, namun polemik larangan berhijab di institusi pendidikan di Karnataka, India terus memuncak. Situasi berkenaan menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Kemelut itu bermula apabila sebuah prauniversiti di daerah Udupi, Karnataka melarang enam mahasiswi Muslim menghadiri kelas mereka gara-gara mengenakan tudung.

Insiden berkenaan sekali gus menjawab dasar Kerajaan Negeri Karnataka yang memerintahkan setiap institusi pendidikan yang diuruskan oleh kerajaan menyeru pelajar Islam supaya tidak memakai tudung sejak bulan lalu.

Malah, ia turut didukung oleh parti pemerintah di Karnataka, Bharatiya Janata (BP) yang turut menaungi Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Lebih menggamatkan keadaan apabila Gabenor Kerala, Arif Khan dilaporkan berkata, hijab bukanlah bahagian penting dalam pakaian bagi wanita Islam pada 13 Februari lalu.

Portal berita dnaindia.com melaporkan, Arif juga menggesa mahasiswi dan pihak kolej untuk meneruskan pengajian serta pendidikan masing-masing.

“Hijab bukan sebahagian daripada Islam. Hijab disebut sebanyak tujuh kali dalam al-Quran, tetapi ia tidak berkaitan dengan etika berpakaian wanita. Ia adalah satu konspirasi untuk menghalang gadis-gadis Islam daripada maju.

“Kontroversi hijab adalah satu konspirasi untuk menghentikan pendidikan gadis Muslim. Ini kerana mereka sedang mencapai apa yang diinginkan. Saya cadangkan supaya mereka kembali ke kelas dan belajar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal tersebut.

Larangan berhijab

MAHKAMAH TINGGI KARNATAKA mengenakan larangan sementara terhadap pemakaian semua simbol agama di sekolah sementara badan kehakiman berkenaan mempertimbangkan larangan bertudung.

Larangan tersebut membuatkan komuniti Muslim di India bangkit melakukan demonstrasi balas mempertahankan pegangan mereka.

Terbaharu, sarjana Islam dan Setiausaha Agung Jamiyyathul Ulama Sunni Seluruh India, Kanthapuram A P Aboobacker Musliyar menggesa Kerajaan Negeri Karnataka menarik balik perintah tersebut.

Beliau menyifatkan larangan berhijab itu sebagai diskriminasi. Ini kerana sekatan yang sama tidak dikenakan terhadap agama dan bahagian lain.

“Sekatan sebegitu akan menggalakkan permusuhan dalam kalangan pelbagai bahagian.

“Justeru, pihak berkuasa perlu menjauhkan sekatan tersebut,” ujarnya dipetik menerusi portal berita deccanherald.com.

KANTHAPURAM

Dalam pada itu, Kanthapuram turut mempersoalkan tindakan pihak berkaitan yang membenarkan penganut agama Sikh memakai serban di semua tempat dan biarawati pula dibolehkan memakai pakaian keagamaan mereka.

“Lalu mengapa sekatan tersebut (larangan berhijab kepada wanita Muslim di institusi pendidikan) hanya dikenakan pada satu bahagian?,” soalnya.

Baca juga Model Di Sebalik Kempen ‘Hands Off My Hijab’ Dilantik Editor Vogue-Scandinavia

Sejak mula tercetusnya perintah larangan tersebut, ramai wanita Islam mengadakan demonstrasi menentangnya dengan slogan hands off my hijab (lepaskan tudung saya).

Serangan keganasan

Susulan daripada kes larangan berhijab itu, Sinar Islam Plus difahamkan, ia membawa kepada insiden serangan keganasan baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9 malam Isnin, seorang pelajar dari Udupi di Karnataka yang juga salah seorang pempetisyen dalam kes larangan hijab, Hazra Shifa mendakwa, abangnya telah diserang oleh sekumpulan penyokong sayap kanan.

Ia dikatakan mempunyai perkaitan rapat dengan keputusan wanita itu untuk terus memakai tudung, lapor portal berita ndtv.com.

Larangan berhijab

SUSULAN kes larangan berhijab, terdapat dakwaan seorang lelaki diserang.

Ujar Hazra Shifa, abangnya yang dikenali sebagai Saif telah diserang di sebuah hotel di daerah Udupi.

“Abang saya diserang dengan kejam oleh segerombolan. Hanya kerana saya terus mempertahankan hijab saya yang merupakan hak saya. Harta benda kita juga musnah. Mengapa?

“Tidak bolehkah saya menulis hak saya? Siapa yang akan menjadi mangsa mereka seterusnya? Saya menuntut tindakan diambil terhadap penjahat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya.

NDTV kemudiannya turut menemu bual seorang pegawai polis di Balai Polis Malpe berkaitan insiden serangan berkenaan.

Jelas pegawai polis tersebut, terdapat 20 hingga 30 orang terlibat dan kebanyakan mereka dikenali oleh mangsa.

“Mereka ialah rakannya. Tertuduh sering mengunjungi hotel tersebut yang merupakan milik ayah Saif.

“Pencetus rusuhan itu ialah bapa Saif yang bertindak balas terhadap kontroversi pertikaian hijab. Kenyataan yang dilontarkannya telah mencetuskan kumpulan tersebut sampai ke hotel dan melontar batu ke arah Saif.

“Beliau ditampar dan dipukul oleh tertuduh dalam kumpulan berkenaan. Gerombolan tersebut dalam keadaan mabuk,” jelasnya kepada ndtv.com.

Bermula akhir tahun lalu, demonstrasi bantahan terhadap hijab di Karnataka semakin ‘merebak’ ke negeri lain ekoran pelajar sekolah dihalang daripada memakainya.

Justeru, untuk meredakan ketengan itu, Kerajaan Negeri Karnataka telah menutup sementara sekolah, tetapi ia mula dibuka secara beransur-ansur kini.

Menerusi perintah interim, Mahkamah Tinggi Karnataka telah mengenakan larangan untuk tempoh tertentu terhadap pemakaian semua simbol agama di sekolah sementara badan kehakiman berkenaan mempertimbangkan larangan bertudung.

Foto: NDTV, decanherald.com & indiatoday.in

landmarks of modern city
Muamalah, Uncategorized,

Fahami konsep pelaburan atau perniagaan berasaskan perkongsian untung rugi

 

DR SHAMSIAH MOHAMAD (Berpengalaman sebagai penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah)

 

SALAH satu kontrak Syariah yang boleh digunakan dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan adalah kontrak musyarakah. Kontrak musyarakah merujuk kepada situasi di mana dua orang atau lebih sama-sama menyumbang modal dan keuntungan yang diperoleh akan dikongsi berdasarkan nisbah dipersetujui bersama, manakala kerugian pula hendaklah ditanggung bersama berdasarkan sumbangan modal masing-masing.

Sebagai contoh, Ahmad dan Ali ingin memulakan perniagaan menjual barangan runcit berdasarkan kontrak musyarakah. Modal yang diperlukan ialah sebanyak RM30,000. Ahmad dan Ali, masing-masing menyumbang modal sebanyak RM15,000.

Ini bermakna isbah sumbangan modal mereka adalah 50:50. Antara unsur atau rukun yang penting untuk diberi perhatian dalam kontrak musyarakah selain pihak yang berkontrak serta ijab dan qabul adalah modal, keuntungan dan kerugian. Kenapa modal sangat penting untuk diberi perhatian? Ini kerana daripada modal inilah terhasilnya keuntungan setelah modal tersebut digunakan untuk menyediakan perkara-perkara yang berkaitan sama ada ia melibatkan projek perniagaan atau pelaburan.

Malah nisbah sumbangan modal oleh setiap rakan kongsi inilah yang mesti dijadikan asas dalam pembahagian tanggungan kerugian oleh mereka. Dalam perbincangan para fuqaha’, modal boleh berbentuk mata wang dan boleh juga berbentuk bukan mata wang (in-kind) seperti tanah, bangunan dan lain-lain.

Jika modal yang disumbang berbentuk bukan mata wang, maka penilaiannya hendaklah dibuat semasa akad musyarakah dimeterai. Penilaian ini sangat penting kerana melaluinya dapat ditentukan nisbah sumbangan modal pihak berkenaan. Perlu diambil perhatian bahawa modal tidak boleh dalam bentuk hutang.

Contohnya Ahmad dan Ali ingin melakukan akad musyarakah. Kebetulan Ali ada memberi hutang kepada Ahmad sebanyak RM20,000. Ali tidak boleh menjadikan hutang dia yang dalam tanggungan Ahmad sebagai modal musyarakah.

Begitu juga mana-mana hutang yang diberikan oleh Ali kepada pihak lain, kesemuanya tidak boleh dijadikan modal. Selain modal, perkara berkaitan pembahagian keuntungan dan tanggungan kerugian juga mesti diberi perhatian oleh mereka yang terlibat dalam kontrak musyarakah.

Pembahagian keuntungan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut: i) Ditentukan kadar perkongsian keuntungan semasa akad musyarakah dilakukan sama ada berdasarkan nisbah sumbangan modal seperti 50:50 atau peratus seperti 50% atau mana-mana nisbah atau peratus lain yang dipersetujui bersama. ii) Keuntungan tidak boleh dalam bentuk amaun tetap seperti RM100. iii) Peratus pembahagian keuntungan tidak boleh disandarkan kepada sumbangan modal seperti 10% daripada jumlah sumbangan modal.

Ini kerana ia juga termasuk dalam kategori memberikan keuntungan dalam bentuk amaun tetap. Contohnya, sumbangan modal adalah RM20,000. Maka jika diputuskan bahawa keuntungan yang diberi adalah 10% daripada sumbangan modal, maka ini bermakna jumlah keuntungan yang dijanjikan adalah RM2000. Sebagaimana keuntungan, kerugian juga MESTI ditanggung oleh semua rakan kongsi.

Namun perkongsian tanggungan kerugian itu mesti berdasarkan nisbah atau peratus sumbangan modal masing-masing sahaja. Ini bermakna mereka tidak boleh membuat persetujuan semasa akad dilakukan bahawa satu pihak sahaja menanggung kerugian atau memutuskan mana-mana nisbah atau peratus yang menyalahi nisbah atau peratus sumbangan modal.

Jika sumbangan modal adalah 50% misalnya, maka pihak berkenaan hanya menanggung kerugian sebanyak 50% sahaja. Ini bermakna, tidak boleh dibuat persetujuan bahawa dia akan menanggung sebanyak 30% misalnya sedangkan peratus sumbangan modalnya adalah 50%.

Sebagai penutup bicara, saya merumuskan bahawa dalam apa jua transaksi urusniaga yang kita lakukan, kita mesti jelas apa yang menjadi kontrak pendasarnya dan seterusnya memastikan segala syarat-syaratnya dipenuhi agar transaksi uruniaga kita patuh Syariah. Wallahu a’lam.