Browsing Category

Personaliti

Untitled design - 2022-11-14T155851.643
Personaliti,

Tok Wali Pak Su Mid, ulama tinggi gaya bahasa dan unsur kiasan

DIKENALI sebagai sosok tubuh yang petah berkias ketika hidupnya terutama kepada orang yang meminta nasihat darinya. Itulah Tok Wali Pak Su Mid, ulama terulung negeri Kedah.

Wafatnya beliau pada 11 November 2022, jam 6 petang dalam usia 96 tahun telah memberikan kesan amat mendalam kepada sesiapa sahaja yang mengenali Allahyarham.

Beliau bukan sekadar meninggalkan nama, namun setiap tutur kata dan nasihat yang diberikan oleh beliau seolah masih terngiang-ngiang sehingga ke hari ini.

Pengerusi Arkib Pusat di Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia – PMPS, Tengku Yusuff telah berkongsi manaqib atau riwayat hidup ringkas Pak Su Mid di laman Facebooknya sebagai tanda ingatan kepada ulama yang mulia ini.

SYEIKH Haji Abdul Hamid Bin Haji Ismail dijemput ilahi pada 11 November 2022, jam 6 petang dalam usia 96 tahun. 

Nama sebenar Pak Su Mid ialah Syeikh Haji Abdul Hamid Bin Haji Ismail (1926 – 2022) dan beliau dilahirkan di Ayer Hitam, Jerlun, Kedah pada tahun 1926. Ayahnya bernama Haji Ismail bin Jabugis manakala ibunya Selasiah binti Lebai Yusof.

Allahyarham mempunyai empat orang adik beradik, iaitu Fatimah, Mohamad, Mad Salleh dan Haji Abdul Hamid.

Keturunan asal Pak Su Mid berasal dari Banjar. Allahyarham mula tinggal di Bukit Tembaga, Kuala Nerang pada tahun 1965 dan beliau berkahwin pada tahun 1973.

Baca juga Inilah 10 Muslim hebat yang mengubah dunia

Gemar menadah ilmu

Ketika hayatnya, beliau telah menuntut ilmu daripada beberapa orang ulama tempatan seperti Tuan Guru Haji Abu Bakar Palestin di Ayer Hitam. Dikatakan bahawa beliau juga turut belajar dari seorang wali ALLAH yang disebut dengan nama Syeikh Abdullah Harun, di Stesen Kereta Api Lama Alor Star, Sungai Korok.

Semasa mudanya beliau bekerja dan berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar pada siang harinya. Manakala pada sebelah malamnya beliau akan menadah ilmu bersama guru-guru beliau. Pak Su juga bersahabat baik dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang.

KITAB dari Arifbillah Pak Su Mid

Antara kitab yang sering menjadi rujukan Pak Su Mid adalah:

1) Hilyatul Auliyak
2) Futuhat Makkiyyah Ibn Arabi
3) Khozinatul Asror

Beliau pernah berkata bahawa, beliau cuma membaca kitab-kitab yang pengarangnya seorang Wali ALLAH sahaja.

Amalan utama Pak Su Mid hanya al-Quran dan puasa setiap hari. Setiap kali diminta amalan dan nasihat, maka beliau akan berpesan supaya berdamping dengan al-Quran. Sewaktu keadaannya sihat, Allahyarham telah berpuasa lebih dari 30 tahun.

Kalam Pak Su Mid mempunyai gaya bahasa yang tinggi dan unsur kiasan yang mendalam. Beliau gemar berkias dalam percakapan.

ANTARA pesanan terakhir beliau

Di antara nasihat atau kata-kata hikmah Pak Su Mid ialah:

1. Pastikan diri sentiasa dalam keadaan berwuduk.

2. Bergelut bersungguh-sunguh dengan al-Quran. Pegang al-Quran dan kata: Ya ALLAH, ini kitab ENGKAU yang aku beramal. Barangsiapa yang beriman kepada ALLAH maka ALLAH akan memberikannya hidayah.

3. Setiap malam bangun untuk tahajud. Menangis atas segala dosa. Ambil air mata dan sapukan kepada seluruh tubuh badan dengan niat sebagai benteng daripada api Neraka.

4. Bila ada Istiqamah, barulah malaikat turun dengan membawa berita kita akan menjadi ahli Syurga. Jangan takut dan jangan sedih.

5. Nak cekap dalam agama ini kena kuasai ilmu alat.

6. Sesiapa tidak membaca al-Quran, dia benci kepada ALLAH.

7. Semua ilmu dan penyelesaian hidup ada dalam al-Quran.

Untitled design - 2022-11-10T171452.205
Personaliti,

Inilah 10 Muslim hebat yang mengubah dunia

SIAPA cakap orang islam tidak hebat? Buktinya kejayaan yang dikecapi merekalah asbab utama kepada adanya pelbagai ilmu yang masih kekal pada hari ini, malah menjadi rujukan kepada seantero dunia.

Jika ditelusuri sejarah perkembangan Islam, ramai yang menyumbangkan ilmu mereka kepada umat manusia. Namun jika dikaitkan dengan perkembangan masa kini, terdapat beberapa Muslim di mana, nama dan sumbangan mereka masih menjadi tatapan dan sumber kepada pengkaji.

Seperti dikongsi laman MADADcentre.com, terdapat sepuluh nama Muslim yang disenaraikan sebagai orang-orang hebat. Jasa dan bakti yang dicurahkan mereka tidak lain tidak bukan demi kepentingan umat manusia sepanjang zaman.

Berikut merupakan nama dan sumbangan mereka:

1. Ibn Sina (bapa perubatan moden)

Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

2. Abu Rayhan al-Biruni (bapa geodesi)

Dilahirkan di Khwarazm (kini Uzbekiztan) di Asia Tengah yang pada masa itu terletak dalam sempadan Kerajaan Parsi, Al-Biruni mempelajari matematik dan astronomi daripada Abu Nasr Mansur.

Karya agungnya ialah Rasa’ll al-Biruni, sebuah ensiklopedia astronomi dan matematik. Kejayaannya yang terpenting ialah menentukan musim dan pasang sudut air laut, menentukan kedudukan garis lintang dan garis bujur bumi, mencipta jam dan kalendar, mencipta rumus trigonometri dan mencipta alat menyukat ketumpatan.

3. Ibn al-Nafis (bapa fisiologi peredaran darah)

Ala-al-din Abu al-Hassan Ali ibn Abi-Hazm al-Qarshi al-Dimashqi dilahirkan pada tahun 1213 M di Damsyik. Merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1213 – 1288 M.

Merupakan orang pertama yang menggambarkan peredaran darah dalam tubuh manusia (pada 1242) dengan tepat. Lukisan kontemporari proses ini masih lagi wujud. Khususnya, dia merupakan orang pertama yang diketahui telah mendokumentasikan aliran paru-paru. Namun karyanya tidak ditemui sehinggalah pada 1924 di Berlin.

4. Ibn Khaldun (bapa sains sosial moden dan sejarah budaya)

Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains arab yang hidup antara tahun 1332 – 1395. Lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang di kurniakan ALLAH boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian).

5. Hasan Ibn Al-Haytam (bapa optik moden / kamera)

Beliau sering dikenali sebagai Ibn al-Haitham, dan kadangkala sebagai al-Basri bersempena tempat kelahirannya di bandar Basra. Beliau juga dikenali dengan nama gelaran Ptolemaeus Secundus (“Ptolemy Kedua”) atau nama ringkas “Si Ahli Fizik” di Eropah Zaman Pertengahan.

Beliau juga merupakan manusia pertama yang memperincikan secara tepat pelbagai bahagian mata dan memberi penjelasan saintifik mengenai proses penglihatan. Abu Ali Hasan menyangkal teori penglihatan Ptolemy dan Euclid menyebut bahawa mata menghantar sinaran visual kepada objek yang dilihat. Menurutnya, sinaran berasal dalam objek yang dilihat dan bukan dalam mata.

6. Zahrawi al-Ansari (bapa pembedahan moden)

Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi dikenali di Barat dengan gelaran Abulcasis dan dianggap sebagai “Bapa Bedah Moden”. Al-Zahrawi merupakan seorang ahli bedah yang tinggal di al-Andalus pada zaman Pertengahan dan dianggap pakar bedah terulung pada zamannya.

Beliau mempelopori bidang pembedahan dengan prosedur serta alat-alat pembedahan yang memberi kesan yang kuat bukan sahaja di dunia Timur, tetapi juga di dunia Barat sehinggalah ke zaman sekarang sehinggakan beberapa hasil kajiannya masih digunakan dalam dunia perubatan. Beberapa alat pembedahan yang dicipta beliau termasuk alat-alat pemeriksaan telinga dan saluran kencing.

Beliau merupakan ahli perubatan pertama yang memerikan kandungan luar rahim (ectopic pregnancy) dan juga ahli perubatan pertama yang memerikan sifat keturunan penyakit hemofilia.

7. Muhammad al-Idrisi (ahli geografi dan kartograf hebat)

Abdullah Muhammad Al-Idrisi lahir 1099 Masihi di Ceuta, Sepanyol dan meninggal pada 1166 Masihi, merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup di Sicily.

Sumbangan utama tokoh ini ialah menghasilkan peta bebola perak seberat 400 paun untuk Raja Roger II, lengkap dengan membahagikan dunia kepada tujuh iklim, laluan perdagangan, teluk, tasik, sungai, bandar-bandar besar, bukit dan lembah serta gunung-ganang. Beliau juga mencatatkan jarak dan ketinggian sesuatu tempat dengan tepat.

8. Al-Khawarizmi (bapa algebra dan algoritma / matematik)

Al-Khawarizmi ialah seorang pakar dalam bidang matematik, astronomi dan geografi dari Iran juga dikenali sebagai bapa algebra.

Al-Khawarizmi ialah seorang tokoh yang pertama kali memperkenalkan aljabar dan hisab. Banyak lagi ilmu pengetahuan yang beliau pelajari dalam bidang matematik. Beliau juga menghasilkan konsep-konsep matematik yang begitu terkenal yang masih digunakan sehingga sekarang.

9. Ibn Batuta (penjelajah hebat sepanjang zaman)

Merupakan seorang Berber Maghribi dari golongan Muslim Sunni. Beliau merupakan cendekiawan dan ulama Mazhab Maliki, dan kadang-kalanya berkhidmat sebagai qadi atau hakim. Beliau tersohor sebagai penjelajah dan pengembara dan menulis mengenai pengembaraannya selama hampir 30 tahun merangkumi lebih kurang 117,000 km.

Penjelajahannya meliputi daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China, jarak yang jauh lebih hebat dari Marco Polo yang hidup hampir seera dengan beliau.

10. Abbas Ibn Firnas (bapa penerbangan)

Abbas Ibn Firnas merupakan salah seorang pakar sains Islam yang meninggal pada tahun 888.
Pada tahun 875, Ibn Firnas mencipta pelayangnya sendiri dan melayang turun dari menara. Penerbangan itu agak berjaya, dan disaksikan oleh kumpulan mereka yang dijemputnya.

Bagaimanapun, pendaratannya gagal. Belakangnya tercedera, dan pengkritiknya mengatakan bahawa dia tidak mengambil kira cara burung mengepak ketika menjunam.

“Ibn Firnas was the first man in history to make a scientific attempt at flying.”
—Philip Hitti, History of the Arabs

Baca juga Sahih Al-Bukhari Karya Imam Al-Bukhari Jadi Rujukan Utama Selepas Al-Quran

Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam 

 

SUMBER: madad.centre.com

Untitled design (92)
Personaliti,

Tok Selehor, ulama sufi yang kental jiwa Melayu

TOK SELEHOR merupakan seorang ulama yang telah memasyhurkan nama sebuah desa di jajahan Tumpat, kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan olehnya kepada para pelajar yang membina pondok-pondok pengajian di Kampung Selehor.

Nama penuh Tok Selehor ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, di pinggir Sungai Selehor pada tahun 1871.

Pada zaman itu di Kelantan, pengajian al-Quran dipandang suatu perkara yang amat mustahak, anak-anak muda yang tidak menghabiskan 30 juzuk al-Quran dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar mendapat pasangan.

Tok Selehor amat beruntung kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan didikan bapanya sendiri.

Haji Uthman bercita-cita agar anaknya menjadi seorang ulama, kerana pada pandangannya anak yang soleh itu dapat memberikan faedah besar kepadanya, sama ada ketika hidup dan setelah meninggal dunia.

TANAH perkuburan Tok Selehor.

Oleh kerana hasrat itulah, beliau telah menghantar anaknya mendalami bahasa Arab di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdul Malek di Sungai Pinang, sebelum menyambung pengajian di Pattani, Selatan Thailand selama tujuh tahun.

Wilayah Pattani ketika itu amat masyhur sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam yang ulung. Abdul Rahman sempat berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rashid, di Kuala Bekah. Namun Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thailand gara-gara kehebatan pengaruhnya.

Abdul Rahman kemudian menyambungkan pengajian di bawah seliaan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong, Tumpat. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat Sharif, dari Kampung Kok Keli, Tumpat yang menjadi murid Tok Selehor selama lapan belas tahun.

Handal bermain senjata

Semasa belajar di Patani, beliau pernah berulang-alik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Tok Selehor tidak takut kepada musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan sebagainya, kerana kehandalannya bersilat dan bermain keris.

Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor cenderung membaca buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai membaca syair malah mengarang juga.

PONDOK Tok Selehor, Kok Pasir, juga menempatkan kemudahan kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua.

Tok Selehor membuka pondok pengajian pertamanya pada tahun 1918 (1340 Hijrah) di tepian Sungai Selehor. Selepas beberapa tahun sahaja, pondoknya berkembang pesat kerana ramainya pelajar-pelajar dari dalam dan luar Kelantan dalam belajar. Penuntutnya datang bukan sekadar anak tempatan bahkan dari Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang. Ketokohan Tok Selehor turut memikat pencinta ilmu dari Palembang, Jawa dan Siak, Indonesia.

Beliau mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi paling diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hilam oleh Ibn `Ataillah merupakan kitab yang paling masyhur diajarkan kepada orang ramai, kerana isi kandungan kitab ini mendorong manusia memperbaiki dan mendampingi diri kepada ALLAH SWT serta menjauhi sifat-sifat keji seperti sombong, hasad dengki, riak dan sum’ah (Bahagia apabila mendapat pujian).

Dikritik pada zamannya

Tok Selehor pernah mengadakan perayaan Maulidur Rasul dan beliaulah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu. Berzanji dan perarakan besar-besaran diadakan sehingga ribuan orang hadir ke majlis Maulid anjurannya.

Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar zaman itu, tetapi beliau tidak berhenti kerana ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasul.

Tok Selehor telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935, jam 8.30 malam pada usia 64 tahun.

Hari ini, pondok Tok Selehor yang bertempat di Kok Pasir, Tumpat Kelantan merupakan pusat pengajian pondok yang sangat terkenal di negeri Kelantan dan Malaysia amnya.

PUSAT pengajian pondok Tok Selehor ini telah melahirkan ramai alim ulama yang terkenal.

Terletak di atas tanah seluas tiga ekar, pusat pengajian itu terkenal dengan tempat bersuluk (bersunyian dan menyendiri untuk merapatkan diri dengan ALLAH) iaitu satu tempat dalam tanah yang menyerupai sebuah kubur. Keadaan itu dapat memberikan satu pengalaman yang benar-benar takutkan ALLAH dan alam akhirat.

Pusat pengajian pondok ini telah melahirkan ramai alim ulama yang terkenal di Kelantan dan negara jiran. Dalam masa yang sama turut memberikan kemudahan penempatan kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua.

PROFIL TOK SELEHOR

Nama penuh: Abdur Rahman bin Utsman bin Senik

Tempat lahir: Kampung Lubuk Jong, Tumpat Kelantan

Tarikh lahir: Tahun 1289 H/1872 M

Tarikh meninggal: Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M

Kisah An-Nu'aiman ibnu Amr Al-Ansary
Personaliti,

Kisah pelawak zaman nabi, Nu’aiman bin Amru

AN-NU’AIMAN ibnu Amr Al-Ansary atau Nu’aiman adalah salah seorang sahabat Nabi yang merupakan penduduk Madinah dari kalangan kaum Ansar.

Beliau berasal dari Bani an-Najjar Madinah dan antara umat Islam terawal berada di bandar Madinah. Nu’aiman juga merupakan salah seorang daripada orang-orang yang berjanji setia kepada Rasulullah SAW pada Perjanjian Aqabah Kedua.

Pendakwah bebas, Ustaz Zulkifli Ahmad @ Ustaz Zul Pandan, berkongsi di laman Facebook beliau mengenai kisah seorang pemuda yang sering menghiburkan nabi dengan lawak jenakanya.

Nu’aiman bin Amr bin Rafa’ah, seorang sahabat nabi yang memiliki watak yang sangat nakal dan kreatif. Sehinga siapa sahaja yang berada dengannya akan ketawa dan bahagia.

Walaupun demikian Nu’aiman merupakan seorang ahli badar yang pernah mengikuti perang bersama Rasulullah.

PADA waktu perang Badar, dia turut berjihad bersama Rasulullah . Di kalangan para sahabat, Nu’aiman terkenal sebagai sahabat yang suka bergurau. 

Kisah gurauan ‘muslihat hadiah’

Pada suatu ketika, Nu’aiman melihat seorang penjual madu keletihan mengelilingi Madinah. Tidak ada seorang pun yang mahu membeli madunya. Nu’aiman lalu berjumpa peniaga madu tersebut lantas mengajaknya ke rumah Rasulullah.

Nu’aiman menyuruh peniaga itu menunggu dan dia membawa madu tersebut untuk diberikan kepada Rasulullah.

Kata Nu’aiman “Ya Rasulullah aku tahu engkau menyukai madu, ini aku hadiahkan madu ini kepadamu”

Lalu dia tersenyum sendirian dan berkata kepada penjual madu itu. “Aku akan pergi kerana masih ada urusan lain, sebentar lagi tuan rumah ini akan keluar dan membayar harga madu tersebut”.

Si penjual madu terus merasa gembira kerana dagagannya akhirnya terjual.

DALAM sebuah riwayat disebutkan bahawa Nabi adalah orang yang murah senyum dan berhati bersih. Kadang kala baginda tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya. 

Akan tetapi selepas lama menunggu, tiada seorang pun yang keluar dari rumah tersebut, akhirnya peniaga tersebut memutuskan untuk mengetuk pintu rumah Rasulullah.

“Wahai penghuni rumah bayarlah harga maduku”

Rasulullah yang berada di dalam rumah terkejut, Kemudian Rasulullah berkata, “Ini pasti idea Nu’aiman”, baginda hanya tersenyum. Tanpa bercakap banyak, baginda terus membiayai harga madu itu.

Selepas daripada kejadian tersebut, Rasulullah telah bertemu Nu’aiman dan bertanya akan kejadian madu tersebut, tanya baginda kepada Nu’aiman “Mengapa kamu lakukan hal ini?” Nu’aiman menjawab, “Saya ingin mendapatkan kebaikanmu wahai Rasulullah SAW, Saya tidak mempunyai apa-apa (wang untuk membeli hadiah itu)”.

Lalu Rasulullah pun tersenyum dan orang sekeliling baginda turut tertawa.

Walaupun kejadian itu diibaratkan menyusahkan Rasulullah, namun baginda tidak sesekali marah dan tetap menyanyangi sahabatnya itu.

RASULULLAH SAW banyak menerima gurauan Nu’aiman tetapi dengan perkara yang tidak melampaui batas. 

Antara hikmah yang boleh diambil daripada kisah Nu’aiman ini adalah nabi sangat meraikan semua orang, baginda bukanlah seorang yang tidak boleh diajak berjenaka.

Dari kisah ini juga antara gambaran yang boleh dinyatakan adalah, perwatakan baginda bukanlah seorang berperwatakan keras dan garang kerana sikap inilah, baginda sangat disenangi semua orang.

Di sisi lain juga, bukanlah semua para sahabat nabi itu bersikap serius dan tidak boleh diajak berjenaka, bahkan ada juga yang gemar membuat lawak dengan baginda.

Tandanya, keimanan bukanlah milik orang yang sopan dan baik sahaja bahkan iman juga menyentuh mereka yang suka berjenaka seperti Nu’aiman.

Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

Sehinggakan nabi mengiktiraf Nu’aiman dengan berkata “Demi ALLAH yang aku tahu dia mencintai ALLAH dan Rasul-NYA (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Untitled design - 2022-08-26T162106.911
Personaliti,

Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

PEMIMPIN ialah individu yang bertanggungjawab menjaga dan memerintah sesebuah organisasi, negeri mahupun negara.

Lebih hebat lagi seorang pemimpin Islam adalah insan contoh kepada ummah dengan memperlihatkan sifat qawwam dari segi kata-kata, tingkah laku dan tindakan yang baik mengikut keperibadian Rasulullah SAW.

Qawwam berasal daripada perkataan ‘Qaim’ yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.

Daripada Abdullah bin Amr’, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil akan berada di atas tempat- tempat yang tinggi daripada cahaya di sisi ALLAH ialah mereka yang berlaku adil dalam menetapkan keputusan, keluaga mereka, dan jawatan yang mereka pegang” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Baca juga Petanda akhir zaman dan kiamat, surutnya air Sungai Furat

Di dalam al-Quran, ALLAH SWT ada menukilankan kisah seorang pemimpin atau maharaja yang dikurniakan kuasa pemerintahan yang diredai oleh-NYA. Beliau sebagai contoh maharaja yang memiliki kekuasaan timur dan barat, tetapi tidak melupakan prinsip iman dan akhlak.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Muhammad Harriz Saiful Ezuan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah mengenai ibrah kisah Zulqarnain daripada surah al-Kahfi.

ALLAH SWT berfirman di dalam kalamNYA surah Al-Kahf ayat 83-84, “(83) Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepadamu kisahnya” (84) “Sesungguhnya KAMI telah memberi kedudukan kepadanya di bumi, dan KAMI telah memberi jalan kepadanya untuk mencapai setiap sesuatu”.

ZULQARNAIN, kisah seorang pemimpin atau maharaja yang dikurniakan kuasa pemerintahan yang diredai oleh-NYA. 

Siapa Zulqarnain?

Menurut ulama qiraat, Imam Mujahid, dalam sejarah dunia, terdapat empat orang maharaja yang diberi peluang menguasai timur dan barat. Dua antaranya adalah daripada orang Mukmin, manakala dua yang berbaki lagi adalah orang bukan Muslim.

Maharaja dalam kalangan orang Mukmin yang dipilih oleh ALLAH SWT ialah Nabi Sulaiman A.S dan Zulqarnain, manakala maharaja daripada kalangan kafir pula ialah Nebuchadnezzar dan Namrud.

Ibnu Kathir menjelaskan, sesungguhnya Zulqarnain merupakan maharaja yang sangat adil. Baginda berjiwa kental, sangat pintar dan tidak pernah kalah di dalam peperangan yang disertainya.

Terdapat spekulasi, adakah Zulqarnain itu individu yang sama dengan Alexander the Great?

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani, Zulqarnain bukanlah Alexander the Great. Pandangan ini diasaskan dari perkiraan beza zaman antara dua raja itu.

Selain daripada perbezaan taklukan kuasa antara keduanya, Zulqarnain hidup sama ada sebelum atau semasa zaman Nabi Ibrahim. Pandangan ini turut disandarkan kepada athar Ibnu Abbas. Bahkan di dalam al-Quran menegaskan Zulqarnain merupakan maharaja yang beriman.

Sementara Alexander the Great merupakan raja Yunani yang tidak beriman. Waktu beliau hidup hampir dengan zaman Nabi Isa. Sedangkan jarak antara zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Isa kira-kira 2 ribu tahun.

FITNAH AD-DAJJAL adalah seburuk-buruk fitnah yang paling dahsyat dan bahaya. 

Mengapakah identitinya kabur?

Kenapa ALLAH tidak ceritakan pada kita manusia yang hebat ini? Sehingga banyak kajian yang perlu dilakukan untuk mengenal pasti siapa beliau.

Identiti dan maklumat Zulqarnain dikatakan kabur, kerana sedikitnya kisah yang diceritakan sehingga sukar didapati terutama daripada hadis-hadis sahih seperti yang ditegaskan oleh Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi.

Antara sebab yang diberi para ulama adalah kerana itu bukan fokus utama dalam penceritaan. Jika ia menjadi fokus maka sikap itu hanya boleh disandarkan kepada karakter.

ALLAH telah menegaskan bahawa kisah Zulqarnain adalah semata-mata sebagai peringatan dan refleksi panduan bagi umat sepanjang zaman untuk mengambil teladan darinya.

AYAT 94 daripada surah al-Kahfi

Contoh pemimpin yang prihatin

Kisah zulqarnain antara ibrah yang paling hebat untuk diambil sebagai teladan kepada segenap insan yang bergelar pemimpin. Maharaja Zulqarnain antara contoh pemimpin yang wajar dicontohi.

Dalam surah al-Kahf, ALLAH menceritakan kesungguhan Zulqarnain ‘turun padang‘ memantau keadaan rakyatnya. Hal ini kita boleh rujuk dari ayat 86 hingga ayat 96.

Sepanjang pemerintahannya, Zulqarnain berusaha melaksanakan sekian banyak perkara seperti:

• Memberi peringatan kepada rakyatnya terlebih dahulu agar jangan melakukan kejahatan. Sekiranya ingkar, beliau akan menggunakan kuasanya untuk menghukum pesalah, agar kejahatan itu tidak memberi kesan kepada rakyat yang lain.

• Menjejaki rakyatnya yang miskin. Ada dalam kalangan mereka tidak memiliki fasiliti hidup yang cukup. Zulqarnain membantu mereka.

• Menjadi pelindung kepada rakyatnya yang lemah dari ancaman Yakjuj dan Makjuj. Zulqarnain bukanlah pemimpin yang gemar mengambil kesempatan atau memeras ugut rakyat.

Ibrah dari kisahnya, sebagai seorang pemimpin sentiasalah meletakkan ALLAH SWT sebagai rujukan utama kerana itulah syarat kekuasaan yang diredai oleh ALLAH.

pexels-fuzail-ahmad-2344997
Personaliti,

10 wasiat Imam Syafie sebagai pedoman Muslimin

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya.

Imam syafie atau nama sebenarnya ialah Muhammd bin Idris bin al-Abbas, bin Usman, bin Syafi’ bin as-Saib bin Ubai merupakan salah seorang daripada empat orang imam yang terkenal dalam bidang masing-masing.

Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat fasih dalam bidang fiqh dan pakar dalam bidang perdebatan.

Selain kitab sebagai panduan, Imam Syafie telah meninggalkan wasiat untuk dijadikan rujukan dan panduan umat Islam pada hari ini.

Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

HAK di dalam konsep Islam sangatlah banyak. Di antara hak-hak yang paling penting adalah hak kepada ALLAH SWT. 

1. Hak kepada diri

Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak kepada Malaikat maut

Mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi dan membuat persediaan untuk mengadapi kematian dan merasa cinta kepada ALLAH SWT.

Baca juga Imam Nawawi mengabdikan diri dengan ilmu sehingga sanggup tidak berbaring ketika tidur

3. Hak kepada kubur

Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak kepada Munkar dan Nakir

Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

5. Hak kepada mizan (neraca timbangan amal pada hari kiamat)

Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

Selawat

JADIKAN zikir sebagai amalan yang sentiasa meniti di bibir.

6. Hak kepada sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)

Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7. Hak kepada Malaikat Malik (penjaga neraka)

Menangis lantaran takutkan ALLAH SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

8. Hak kepada Malaikat Ridhwan (malaikat penjaga syurga)

Sentiasa reda dengan Qada ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9. Hak kepada Nabi SAW

Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadis), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredaan ALLAH.

10. Hak kepada ALLAH SWT

Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Tsabit bin Qurra
Personaliti,

Tsabit bin Qurra, Bapa Ilmu Statistik yang disegani

PENEMUAN agung Tsabit bin Qurra tentang pergerakan matahari dan bulan serta jam matahari memberi sumbangan besar kepada mereka yang mahu berlayar. Bayangkan para pelaut tersohor seperti Christopher Colombus tidak pernah tersesat di tengah samudera ketika melakukan pelayaran mengelilingi dunia disebabkan penemuan tersebut.

Malah, hasil dapatan Tsabit itu mampu mengukur keluasan bumi dengan menggunakan garis bujur dan lintang secara tepat. Demikian begitu hebatnya fikrah ilmuan Islam yang memiliki nama lengkap Abu’l Hasan Tsabit bin Qurrabin Marwan Al-Sabi Al-Harrani dengan izin ALLAH SWT.

Figura masyhur yang dilahirkan di Harran, Turki pada tahun 836 Masihi itu bukan calang-calang orang. Buktinya, karya-karya rujukan sejarah mengabadikan nama beliau sebagai seorang ahli astronomi, matematik, geografi,pakar perubatan dan lain-lain lagi. Maka tidak hairanlah jika orang Barat juga mengenalinya, tetapi dengan nama Thebit.

Darjah ketinggian ilmunya bukan hanya dilihat dari segi penemuan terbaharunya, tetapi juga kebolehannya bertutur dalam bahasa asing. Ilmuan masyhur abad kesembilan itu fasih berbahasa Arab dan Greek.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

Menelusuri salasilahnya, tidak banyak rujukan yang memerihalkan tentang kehidupan Tsabit ketika muda. Apa yang pasti, figura hebat yang berasal daripada masyarakat Sabian itu pernah bekerja sebagai penukar wang di Harran sebagaimana yang dilaporkan laman web muslimheritage.com.

Tsabit bin Qurra

KEFASIHAN Tsabit bertutur dalam tiga bahasa asing begitu dikagumi. Ia menjadi titik tolak buatnya untuk menggali lebih banyak disiplin ilmu lain.

Dek kerana kemahiran berbahasa yang dimilikinya membuatkan seorang ilmuan terkemuka di Baghdad, Muhammad Ibnu Musa Ibnu Syakir mengaguminya. Disebabkan itu, beliau menjemput Tsabit ke Baghdad untuk mendalami ilmu matematik dan perubatan daripadanya serta saudaranya.

Peluang keemasan terbentang luas di hadapan mata tidak disia-siakan begitu sahaja oleh Tsabit. Sebaliknya, kesempatan yang ada digunakan dengan sebaik-baiknya.

Dalami pelbagai cabang ilmu

Maka bermulalah episod Tsabit bermusafir di Baghdad. Di situlah popularitinya mula memuncak sehinggakan namanya begitu gah meniti pada bibir masyarakat sebagai salah seorang saintis yang hebat.

“Malah, anak lelakinya yang bernama Sinan dan cucunya, Ibrahim ialah sarjana yang terkenal, iaitu masing-masing sebagai ahli fizik dan pengarah hospital di Baghdad serta pakar matematik yang penting,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Jika sudah namanya seorang ilmuan, sudah tentulah pelbagai disiplin ilmu yang dikuasai oleh Tsabit. Di antara karya-karya yang dihasilkannya, penulisan matematik cetusannya paling banyak dikaji, kata muslimheritage.com.

Tsabit bin Qurra

ANTARA sebahagian halaman daripada terjemahan bahasa Arab yang dilakukan oleh Tsabit bin Quraa untuk Apollonius Conics.

Sementara itu, portal berpengaruh di Indonesia, Republika menjelaskan, antara monumentalnya agung ialah Kitab al-Mafrudat (kitab data) yang mana ia sangat popular pada zaman pertengahan iaitu ketika era Khalifah Abbasiyah. Karya itu antara lain mengandungi penerangan tentang geometri dan algebra geometri.

“Selain itu, Tsabit turut menghasilkan Kitab Fi Ta’lif an-Nisab (susunan nisbah) yang menjelaskan teori majmuk nisbah. Ia kemudian melahirkan idea nombor nyata dan penemuan pengiraan pengamiran,” katanya.

Bukan itu sahaja, memetik artikel islampos.com, cendekiawan tersebut juga merupakan pelopor bidang statistik. Penemuan berkenaan dan ketinggian ilmu yang dimilikinya itu menyebabkan beliau mendapat jolokan Bapa Ilmu Statistik.

Dalam bidang astronomi pula, antara dapatan penting Tsabit ialah jam matahari yang mana ia menggunakan sinar suria tersebut untuk mengetahui peredaran masa dan menentukan waktu solat. Bahkan, ilmuan berkenaan turut membuat kalendar tahunan berdasarkan sistem matahari. Selain itu, beliau dikenali sebagai individu yang membaharui sistem Ptolemy.

Tsabit dilaporkan meninggal dunia pada tahun 901 Masihi di Baghdad. Meskipun jasadnya telah tiada, namun segala penemuan dan usahanya itu diteruskan oleh warisnya iaitu anak dan cucunya. Malah, ia berkekalan dimanfaatkan sehingga pada hari ini.

PROFIL

Tsabit bin Qurra

ILUSTRASI Tsabit bin Qurra.

Nama penuh: Abu’l HasanTsabit bin Qurra bin Marwan Al-Sabi Al-Harrani.

Gelaran: Thebit dan Bapa Ilmu Statistik. Asal: Harran, Turki.

Tahun kelahiran: 836Masihi.

Tahun kematian: 901Masihi.

Sumbangan: Menterjemahkan banyak karya ahli matematik Yunani selain mengarang kitabnya sendiri, pengasas ilmu keseimbangan dan statistik serta pencipta jam matahari.

Karya agung: Fi’al-Qarastun, al-Mafrudat, Fi Ta’lif an-Nisab dan banyak lagi.

Foto: trtworld.com, alchetron.com, muslim.okezone.com & en.wikipedia.org

Imam Nawawi
Personaliti,

Imam Nawawi mengabdikan diri dengan ilmu sehingga sanggup tidak berbaring ketika tidur

NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi pada halwa telinga ramai. Begitu juga saat kita menelaah karya-karya ilmiah Islamik. Masakan tidak, beliau antara ulama tersohor dalam Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa panggilan Nawawi hanyalah jolokannya sahaja. Sebaliknya, nama penuh ulama itu ialah Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf Al-Nawawi.

Menurut salasilahnya, beliau dilahirkan pada bulan Muharam 631 Hijrah (1233 Masihi) di Kampung Nawa, berhampiran ibu kota Damsyik, Syria. Kalimah an-Nawawi sebenarnya diambil berdasarkan kepada kampung halamannya.

Sesungguhnya, kisah kehidupan cendekiawan Islam hebat yang zuhud itu begitu menarik untuk ditelusuri dan diinsafi. Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila diriwayatkan bahawa kehidupan Imam Nawawi tidak seperti kanak-kanak lain.

Bayangkan pada usianya yang masih mentah, beliau ‘membenci’ sebarang aktiviti yang menjauhkan dirinya daripada menghafaz al-Quran!

Baca juga Sahih Al-Bukhari Karya Imam Al-Bukhari Jadi Rujukan Utama Selepas Al-Quran

Demikian fakta yang dilaporkan oleh islamicfinder.org. Malah, figura masyhur itu acap kali menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya.

Imam Nawawi


KETINGGIAN akhlak dan ilmu Imam Nawawi dikagumi ramai.

“Sehinggakan pada suatu ketika, apabila kanak-kanak memaksanya bermain dengan mereka, Imam Nawawi akan menangis kerana masa yang disia-siakanya.

“Maka tidak hairanlah beliau mampu menghafaz al-Quran pada usia yang masih muda lagi,” katanya dipetik daripada laporan laman sesawang berkenaan.

Menjadi resam ilmuan sentiasa berasa tidak cukup dengan ilmu di dada. Begitu juga yang dirasakan oleh Imam Nawawi. Beliau hanya tinggal di Nawa sehingga umurnya mencecah 18 tahun.

Ulama masyhur itu kemudian berhijrah ke Damsyik. Di situlah beliau menggali ilmu hadis, fiqh dan prinsip Islam daripada ramai ulama besar Islam.

Antara yang pernah menjadi gurunya ialah Ishaaq ibn Ahmad al-Maghrabi al-Maqdisi, Abdul Rahmaan al-Anbari dan Abdul Azeez al-Ansaari. Malah, beliau juga berkesempatan belajar Sahih Muslim daripada Abu Ishaaq Ibrahim al-Waasiti.

Keperibadian mengagumkan

Imam Nawawi


SEPANJANG hidupnya, Imam Nawawi mengabdikan diri dengan menggali ilmu dan mengajar.

Pada usia 24 tahun, Imam Nawawi mula mengajar di Mazhab Ashrafiyah. Ketinggian ilmu dan reputasi kecemerlangannya sebagai ulama mula terserlah selepas itu.

Baca juga Rupanya karya Imam Al-Qurtubi pernah dibakar oleh musuh Islam 

Malah, ia turut diperakui oleh para ulama dan penduduk Damsyik. Tidak keterlaluan dikatakan, beliau mengabdikan diri dengan menguasai ilmu. Apa tidaknya, seluruh hidupnya hanya dihabiskan untuk belajar dan mengajar sahaja.

Malah, ada kisah yang menyatakan, Imam Nawawi tidak berbaring ketika tidur melainkan dengan berehat di atas bukunya sahaja. Seperti kebanyakan ilmuan lain, ulama yang menjadi rujukan ramai itu menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

Namun begitu, beliau begitu mahir dalam ilmu fiqh dan hadis. Istimewanya, beliau juga diketahui mampu menghafaz fiqh Mazhab Syafie, hukum fiqh, usul dan furu’.

Bukan itu sahaja, kemampuan beliau mengetahui secara terperinci tentang mazhab-mazhab sahabat dan tabiin beserta kesilapan para ulama, pandangan dan ijmak membuatkannya dikagumi ramai. Malah, Imam Nawawi juga tahu mana satu pendapat yang popular dan tidak.

Ketokohannya begitu terserlah. Lihat sahaja dalam bidang hadis, Imam Nawawi digelar sebagai Sayyid Hadzihi at-Tabaqah (ketua ahli hadis kontemporari). Bahkan, beliau turut dikenali sebagai pengamal sunah Nabi Muhammad SAW kerana berzuhud dengan apa yang diperoleh hasil keringatnya sendiri.

Imam Nawawi

KITAB Riyadhussolihin antara karya agung Imam Nawawi.

“Ketika menjadi guru di Darul Hadith al-Asyrafiyah, beliau tidak mengambil gaji dan hanya berpuas hati dengan wang pemberian ibu bapanya,” kata portal Republika. Walaupun Imam Nawawi tidak sempat berkahwin dan mempunyai zuriat, namun pemergiannya meninggalkan khazanah yang tidak ternilai iaitu hasil karya kitab-kitabnya yang menjadi rujukan seantero dunia sehingga pada hari ini. Antaranya Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari, Minhaj at-Talibin dan banyak lagi.

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia dalam usia 45 tahun di kampung halamannya, Nawa iaitu pada 24 Rejab 676 Hijrah (1277 Masihi).

PROFIL

Imam Nawawi

ILUSTRASI potret Imam Nawawi.

Nama penuh: Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf an-Nawawi.

Gelaran: Imam Nawawi, Imam an-Nawawi dan Sayyid Hadzihi at-Tabaqah.

Asal: Nawa berhampiran kota Damsyik, Syria.

Tahun kelahiran: 631 Hijrah.

Tahun kematian: 676 Hijrah.

Karya agung: Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari dan Minhaj at-Talibin.

Sumbangan:

–    Menyaring pendapat-pendapat dalam Mazhab Syafie. –    Sumbangan beliau dalam menghasilkan Sahih Muslim yang ditulis dua tahun sebelum kematiannya sangat luar biasa hingga menjadi rujukan sehingga hari ini.

Foto: Islam.ny.or.id, Kalam.sindonews.com, Republika.co.id & Alikhla.scrm.or.id

 

Tok Ku Paloh
Personaliti,

Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

Oleh SARRAH MOHSIN

JIKA menyebut tentang ilmuan Islam, pastinya cendekiawan terkenal dari zaman kegemilangan Islam seperti Ibnu Sina dan al-Farabi menjadi gambaran pertama yang timbul di fikiran.

Di Malaysia, kita juga memiliki tokoh ulama Islam tersendiri yang telah memainkan peranan besar dalam mencorak perkembangan dan pendidikan agama Islam di rantau Nusantara.

Antaranya ialah Tok Ku Paloh. Mungkin ada yang mengenalinya dengan panggilan Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik atau Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau adalah seorang ulama dari Terengganu yang dikenali dengan jasanya dalam bidang dakwah, politik dan pendidikan di negeri tersebut pada pertengahan kurun ke-19 Masihi.

Pemilik nama penuh Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad ini dilahirkan di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada tahun 1817. Berketurunan Ahlul Bait.

Tok Ku Paloh menerima didikan Islam sejak kecil lagi. Selain diasuh oleh ayahnya, Tok Ku Tuan Besar, beliau juga dididik oleh Tok Sheikh Duyung sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah selama 10 tahun. Kedua-dua gurunya adalah ulama terkemuka di Terengganu.

Sekembalinya ke Terengganu, beliau mengajar di Chabang Tiga seketika sebelum membuka madrasah di Kampung Paloh.

Menurut catatan, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan sahaja sekitar Kuala Terengganu, bahkan dari Pahang dan Patani yang ingin menuntut ilmu daripadanya. Antara anak muridnya yang terkenal termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut dan Sultan Zainal Abidin III.

Tok Ku Paloh

ILUSTRASI Tok Ku Paloh

Serba boleh dalam pelbagai cabang agama

Tok Ku Paloh paling mahir dalam ilmu tasawuf. Kitab tasawuf karangannya, Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan masih diamalkan sehingga ini. Arifnya beliau dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf, iaitu orang yang dapat melihat perkara ghaib dan mengetahui rahsia yang tersembunyi.

Atas kemasyhuran ilmu dan ketinggian akhlak yang ada pada Tok Ku Paloh, Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III telah menjadikan beliau sebagai guru dan penasihat pentadbiran negeri.

Diceritakan bahawa British juga pernah cuba berunding dengan agamawan ini untuk mendapatkan Bukit Besar, tetapi gagal.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

PROFIL

Nama: Syed Abdul Rahman bin Syed Muhammad

Gelaran: Tok Ku Paloh Asal: Kuala Terengganu, Terengganu

Tahun kelahiran: 1817 Masihi (bersamaan 1233 Hijrah)

Tahun kematian: 1918 Masihi (bersamaan 1337 Hijrah)

Sumbangan:

  • Melindungi pejuang Islam dan Melayu pada zaman penjajahan
  • Naskhah beliau berjaya meniupkan semangat antipenjajah dalam masyarakat setempat
  • Mengembangkan Islam di nusantara sebagai Sheikhul Ulama
  • Karya agung: Ma‘arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqaiq al-‘Irfan

Sumber & Foto: Facebook, The Patriots, Qulamirulhakim.blogspot.com & Ummah Today

Al-Muqaddasi
Personaliti,

Al-Muqaddasi bukukan pengalaman dan pemerhatiannya kira-kira 20 tahun dari Lautan Atlantik hingga Lautan Hindi dalam Kitab Ahsan at-Taqasim fi Ma’arifat al-Aqalim

MENELUSURI abad ke-10, lahirlah seorang cendekiawan hebat dalam bidang geografi. Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Al-Muqaddasi yang juga antara pelopor dalam bidang tersebut.

Pemilik nama penuh Muhammad bin Ahmad Shamsuddin Al-Muqaddasi merupakan seorang ahli geografi Arab yang unggul. Masakan tidak, beliau mampu membina dan melukis secara terperinci tempat yang disinggahinya. Tidak hanya berupaya menggambarkan kondisi geografi kawasan tersebut, tetapi juga jumlah penduduk, adat, aktiviti perdagangan dan seumpamanya.

Dek kepakarannya, beliau dianggap sebagai penulis tentang masyarakat Islam yang terhebat bukan sahaja pada eranya, tetapi sepanjang zaman.

Menjejaki salasilah tokoh Islam berkenaan, tidak banyak maklumat yang dijumpai. Namun, encyclopedia.com menyatakan, Al-Muqaddasi dilahirkan di al-Quds (Jurusalem), Palestin pada tahun 945 Masihi. Nama panggilannya diambil dari nama tempat kelahirannya, al-Quds.

Menurut satu riwayat yang masyhur, bapa dan datuknya terkenal sebagai arkitek. Tidak hairanlah sarjana itu memiliki latar pendidikan yang sangat baik. Pada usia 20 tahun, Al-Muqaddasi berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah. Usai menunaikan Rukun Islam kelima itu, figura hebat berkenaan bertekad menumpukan dirinya dalam pengajian geografi.

Beliau sanggup melakukan beberapa siri perjalanan selama dua dekad bermula dari Baitulmaqdis sehingga ke seluruh dunia Islam secara bergilir-gilir.

Al-Muqaddasi

AL-MUQADDASI terkenal dengan penghasilan peta dalam warna semula jadi sepertimana amalan biasa pada hari ini.

Semua itu dilakukan demi memperoleh gugusan maklumat yang diperlukan untuk pengajiannya itu.

“Hanya pada tahun 985 Masihi, Al-Muqaddasi menghasilkan kitab berjudul Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim. Ia merupakan catatan sistematik tentang semua tempat dan wilayah yang telah dilawatinya.

Baca juga Piri Reis Rujuk Lebih 30 Sumber Hasilkan Peta Dunia Yang Menakjubkan

“Buku ini adalah risalah geografi epik dan karya sastera yang hebat. Ia berdasarkan pengalaman dan pemerhatian peribadi kira-kira 20 tahun yang dicatat sepanjang tinjauannya tentang duniaIslam dari Atlantik sehingga ke Lautan Hindi,“ katanya sebagaimana dipetik menerusi muslimheritage.com.

Menerusi karya agungnya itu, Al-Muqaddasi telah membahagikan dunia Islam kepada 14 iklim atau wilayah yang berbeza. Risalah tersebut dikatakan sebagai karya geografi Arab pertama yang menghasilkan peta dalam warna semula jadi sepertimana amalan biasa pada hari ini.

Jaga ketajaman akal

Sepanjang penghasilan adikarya itu, republika.co.id melaporkan, Al-Muqaddasi sentiasa merendah diri. Untuk menulis, beliau sentiasa memohon pertolongan daripada YANG MAHA ESA.

“Ada satu perkara yang wajar diteladani daripada cendekiawan itu dalam menjaga ketajaman ingatannya. Al-Muqaddasi tidak pernah lalai untuk selalu berinteraksi dengan ALLAH SWT,“ kata portal itu.

Catatan beliau membuktikan segalanya. Saat ditanya pandangan mengenai perbezaan kota besar dan kecil, ilmuan agung itu menjawab: “Lihatlah masjid dan mimbarnya. Semakin megah bangunan dan indah mimbar sebuah masjid di sebuah wilayah, ia menunjukkan kedudukan daerah tersebut.“

Sebagaimana yang diuar-uarkan, Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim, sememangnya sebuah kitab yang unggul. Ia dianggap karya pertama yang diterima sebagai bentuk kesusasteraan. Al-Muqaddasi juga memperincikan tentang pembahagian wilayah. Setiap wilayah bermula dengan pembahagian daerah dan pekan, diikuti penerangan yang menyeluruh.

Buah fikiran beliau yang ditulis pada akhir abad ke-10 itu juga masih menarik perbincangan dalam kalangan pakar geografi Barat abad ke-19. Malah, karya ulung ilmuan hebat itu turut mendapat perhatian orientalis Jerman, Aloys Sprenger dan dibawa ke Eropah.

Al-Muqaddasi


ILUSTRASI Al-Muqaddasi.

PROFIL

Nama: Muhammad Ahmad Shamsuddin Al-Muqaddasi

Gelaran: Al-Muqaddasi dan Al-Maqdisi

Asal: Al-Quds, Palestin

Tahun kelahiran: 945 Masihi

Tahun kematian: 991 Masihi

Sumbangan: Hasil karyanya memberikan maklumat teratur tentang semua tempat dan wilayah dilawatinya

Karya agung: Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim

Foto: Muslimnews24.com, muslimheritage.com, alchetron.com & memim.com