Browsing Category

Panduan

Tanda mati jiwa
Panduan,

4 tanda mati jiwa yang menjauhkan kita dengan ALLAH SWT

SEMUA orang mengidam-idamkan pengakhiran yang baik dalam kehidupan masing-masing. Demikianlah fitrah manusia yang sememangnya sukakan kebaikan.

Begitupun, ada segelintir orang begitu liat sekali hatinya untuk berhijrah. Apatah lagi mahu bertaubat atas kesilapan dan dosa lampau yang pernah dilakukan.

Malah, dirinya semakin dilekakan dengan kesibukan dunia yang hanya bersifat sementara dan sekadar tempat persinggahan semata-mata. Alam akhiratlah destinasi yang kekal abadi.

Na’uzubillah, mohonlah kepada ALLAH SWT agar kita dijauhkan daripada dibuai keasyikan dunia itu. Bukan apa, kita tidak mahu terus hanyut dengan duniawi sehingga terlupa kepada bekalan ukhrawi.

Berdoalah bersungguh-sungguh agar YANG MAHA ESA sentiasa membuka pintu hidayah-NYA buat kita dan melorongkan jalan kebaikan. Ia bagi menghidupkan jiwa kita kembali kepada fitrah Islam dan terus istiqamah dengan ajaran agama suci itu.

Ketahuilah bahawa jiwa yang mati boleh menyebabkan kita jauh daripada ALLAH SWT.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, dalam al-Quran dan hadis, ada diberikan beberapa petunjuk tentang jiwa yang mati menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Berikut adalah perinciannya:

1. Tidak mengingati ALLAH SWT tanda hati mati.

Rasulullah SAW memberi gambaran bahawa salah satu tanda hati yang mati adalah apabila jiwa tidak mengingati ALLAH SWT.
Sabda baginda SAW: “Perumpamaan orang yang mengingati ALLAH dengan orang yang tidak mengingati ALLAH adalah seumpama orang yang hidup dengan orang yang mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga La Hawla wa la Quwwata illa billah: Penyerahan jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa

2. Tidak tersentuh apabila mengingati ALLAH SWT.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT membayangkan bahawa orang yang beriman mudah tersentuh apabila mengingati-NYA. Sebaliknya, jiwa yang kaku apabila mengingati Sang Pencipta memberikan petanda bahawa ‘rohnya’ lesu.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH gementarlah hati mereka…” (Surah al-Anfal, ayat 2)

3. Tidak tersentuh dengan al-Quran.

Memang menjadi sifat orang beriman hatinya mudah dijentik apabila menghayati al-Quran kerana jiwa mereka hidup dengan kalamullah itu.

Tanda mati jiwa

BERPEGANG teguhlah kepada al-Quran yang menjadi manual kepada kehidupan manusia.

Ia dapat dibuktikan apabila al-Imam al-Qurtubi menjelaskan, para sahabat menangis apabila ayat 60, Surah an-Najm diturunkan.
Firman ALLAH SWT: “Apakah kamu merasa hairan dengan keterangan al-Quran ini? Dan kamu tertawa dan tidak menangis (menginsafi peringatan yang disampaikan).” (Surah an-Najm, ayat 59-60)

4. Tidak menangis apabila teringat dosa.

Baca juga Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Bibit-bibit penyesalan pasti akan meruntuhkan tembok air mata akibat dosa-dosa silam. Masakan tidak, ia begitu berbekas dalam sanubari apabila hidayah datang menjemput.

Mengertilah, hati yang keras tidak tersentuh apabila individu berkenaan terkenangkan dosanya.

Diriwayatkan bahawa al-Hasan al-Basri pernah terjaga pada suatu malam dan tiba-tiba sahaja beliau menangis. Lalu, ahli keluarganya bertanya: “Kenapa engkau menangis?”

Beliau menjawab: “Aku teringatkan akan dosaku, lalu aku menangis.” (al-Tabsirah, Ibn al-Jauzi)
Begitulah tanda-tanda jiwa seseorang itu mati sehinggakan kalis daripada sebarang perasaan dan perbuatan yang mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.

Justeru, Dr Ahmad Sanusi menitipkan pesanan agar kita sentiasa memohon kepada-NYA supaya dikurniakan hati yang sejahtera.

“Berdoalah agar kita dapat bertemu ALLAH SWT dengan jiwa yang sejahtera juga,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Pexels

Tutup hutang
Panduan,

Solusi ampuh tutup hutang terselit dalam amalan solat fardu. Berikut perinciannya

Oleh FOUZIAH AMIR

BEBAS hutang. Inilah ungkapan yang menenangkan fikiran. Tapi bagaimana cara untuk tutup hutang? Belitan hutang yang melibatkan riba boleh membawa beban di dunia dan akhirat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tutuphutang.com, Radzi Ghani berkongsi ilmu menangani isu hutang dalam program ‘Learning Day: Mantap Kewangan – Hidup tanpa hutang, tanpa riba’ bersama warga kerja Yayasan Warisan Ummah Ikhlas secara dalam talian pada Februari lalu.

Kata beliau, dalam hidup kita ada banyak hutang kepada ALLAH, ditambah dengan hutang bank. Hutang adalah amanah. Contohnya, sebagai suami dan ketua keluarga, kita membeli rumah, kenderaan, dan keperluan keluarga. Tapi bagaimana urus kewangan tanpa hutang?

RADZI

“Antara punca masalah adalah apabila kita tidak tahu atau kurang jelas matlamat. Kita silap jika fikir hidup untuk kaya. Ada orang kaya tapi hidup tidak tenang. Ada juga yang berperangai pelik kerana tidak tahu apa hendak buat.

“Apabila niat dan tindakan tidak selari, maka matlamat tidak tercapai. Saya mencari ketenangan fizikal, mental, emosi dan spiritual serta keredaan ALLAH di dunia dan akhirat. Apabila tenang, otak jadi lapang untuk membantu orang lain. Tetapi jika hutang banyak, bagaimana hendak membantu orang?

“Asas formula ‘tutup hutang agar hidup tenang tanpa hutang’, berdasarkan kajian ke atas amalan dalam fadilat solat lima waktu. Kita perlu faham rukun solat, buat satu persatu dengan baik dari segi waktu solat dan tertib dalam solat, perlu dilakukan mengikut waktu, ikut kemampuan, jangan terburu-buru dan lebih afdal solat berjemaah.”

Beliau menambah, ada enam rukun tutup hutang iaitu:

1. Niat. Ia penting dalam solat mahupun mencapai impian hidup tanpa hutang. Niat sebagai azam.

2. Senaraikan baki hutang secara spesifik dan tepat.

3. Senaraikan kekuatan kemampuan kewangan secara terperinci. Ini termasuk aset sendiri, pasangan dan ibu bapa. Kemampuan dalam setiap perkara perlu disenaraikan supaya kita yakin untuk melakukan gerak kerja seterusnya.

4. Bina idea dan susun perancangan kewangan untuk selesaikan hutang. Setiap idea ada pro dan kontra pada setiap pilihan. Pilih tiga idea terbaik untuk dilaksanakan.

5. Bertindak apabila telah kenal pasti idea terbaik.

6. Usaha, doa dan tawakal kepada ALLAH. Semua perkara berlaku adalah atas keizinan ALLAH SWT. Dalam pengurusan hidup, kita tidak tahu apa pengakhirannya tapi apa yang penting buatlah yang terbaik.

Tutup hutang

Baca juga Tak Halalkan Hutang Lama, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Radzi memberi pendekatan kaedah tutup hutang dengan persamaan antara lima waktu solat fardu dan fasa kehidupan yang tenang dan damai.

  • Subuh: Fasa menyusun dan kuatkan pendapatan bulanan agar selesa. Jangan terpengaruh dengan kata-kata orang. Kita hidup bukan kerana kawan.
  • Zuhur: Fasa membina simpanan asas sebanyak RM5,000 untuk tabung kecemasan. Kebanyakan kita terperangkap dengan hutang kerana tiada wang simpanan. Ramai rakyat marhain di bawah usia 50 tahun terjebak dengan hutang kad kredit.
  • Asar: Fasa mendapatkan kenderaan yang selesa. Jika boleh, beli kenderaan tanpa hutang atau ikut kemampuan. Walaupun kereta kecil, asalkan tidak berhutang. Ia boleh digunakan untuk mencari rezeki dan juga pengangkutan keluarga.
  • Maghrib: Fasa memiliki kediaman selesa, jika boleh tanpa hutang. Disarankan untuk beli kediaman berhampiran dengan tempat kerja supaya mudah dan jimat kos.
  • Isyak: Fasa menikmati masa berkualiti bersama orang tersayang.

Beliau berkata, setiap kali selesai solat fardu, tunaikan solat sunat rawatib dan solat hajat. Lakukan apa juga perkara yang boleh mendekatkan diri dengan ALLAH.

“Untuk solat kita perlu faham rukun solat dan buat satu persatu mengikut turutan. Bagitu juga dengan hutang, perlu bayar satu persatu sehingga selesai hutang,” katanya.

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Ingatlah pesanan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/pakartutuphutang/.

Doa untuk orang bukan Islam
Panduan,

Prasyarat raih keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban

PADA Jumaat penuh barakah minggu hadapan iaitu 18 Mac 2022, umat Islam bakal memasuki pertengahan bulan Syaaban. Mudah kata, kita akan menemui hari ke-15 dalam bulan kelapan Islam itu lebih kurang seminggu dari sekarang.

Hari tersebut dikenali sebagai Nisfu Syaaban. Lebih istimewa lagi apabila malam Nisfu Syaaban jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Ini bermakna, bermula waktu Maghrib 17 Mac 2022, Nisfu Syaaban membuka tirainya.

Itulah antara momen yang dinanti-nantikan kerana di sebalik malam tersebut, terkandung banyak kebaikan padanya. Sudah tentu rasanya berbeza seperti malam-malam yang lain.

Masakan tidak, graf kemasyhurannya boleh diukur apabila malam Nisfu Syaaban terkenal dengan pelbagai jolokan nama. Antara yang sering dikaitkan dengannya ialah malam keampunan dan diperkenankan doa.

Namun begitu, banyak riwayat yang memerihalkan tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban terdiri daripada hadis daif.

Justeru, apakah status keistimewaan malam ke-15 dalam bulan Syaaban itu? Benarkah ALLAH SWT turun ke langit dunia pada malam tersebut?

Baca juga Raih Keampunan Pada Malam Nisfu Syaaban

Malam keampunan

Sinar Islam Plus mewawancara pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa untuk membongkar tentang keistimewaan malam tersebut.

MOHD FAUZI

Membuka kalamnya, Mohd Fauzi menjelaskan, jolokan nama yang dikaitkan dengan malam Nisfu Syaaban sebenarnya bersandarkan kepada beberapa hadis masyhur.

Meskipun banyak hadis yang memerihalkan perkara tersebut dinilai sebagai daif, tetapi pendakwah terkemuka itu berhujah, tiada masalah untuk kita menggunakannya.

“Ini kerana ia melibatkan perihal fadhail a’mal (fadilat beramal), bukannya membabitkan bab fikah dan seumpamanya. Malah, ia bukan tergolong sebagai hadis palsu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jika diteliti semula riwayat-riwayat berkenaan, ujar Mohd Fauzi, ia menggambarkan bahawa kelebihan yang ada pada malam Nisfu Syaaban adalah tsabit.

Nisfu Syaaban

JAGA hubungan sesama manusia supaya kita tidak tergolong sebagai kelompok yang rugi kerana tidak menerima keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban.

Malah, katanya, terdapat riwayat yang menyebut, ALLAH SWT menyeru hamba-hamba-NYA supaya beristighfar dan memohon rezeki, diberi kesembuhan daripada penyakit dihidapinya pada malam berkenaan.

“Maka di situlah mengapa ulama menyatakan bahawa malam Nisfu Syaaban ialam malam keampunan.

“Begitu juga dengan satu lagi rujukan hadis sahih daripada Ibn Majah yang mana Rasulullah SAW bersabda bahawa disebut ALLAH SWT melihat hamba-NYA pada malam Nisfu Syaaban dan mengampunkan semua makhluk-NYA kecuali orang yang syirik dan bermusuhan.

“Jelaslah riwayat berkenaan mempunyai perkaitan dengan malam keampunan. Mudah kata, ALLAH SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang merosakkan hubungan dengan Sang Pencipta dan sesama manusia,” jelasnya.

Doa dimakbulkan

Menyambung hujahnya, ujar Mohd Fauzi, malam Nisfu Syaaban juga merupakan antara waktu mustajab berdoa. Ia bukan sahaja disebutkan dalam hadis tadi, tetapi juga Imam Syafie turut menyatakan fakta tersebut menerusi kitabnya, al-Umm.

Nisfu Syaaban

HIDUPKAN Nisfu Syaaban dengan amalan yang boleh menambah saham kita di akhirat kelak.

Keistimewaannya begitu menonjol apabila waktu mustajab doa itu berlaku pada satu malam itu iaitu bermula waktu Maghrib sehingga Subuh keesokannya, terangnya.

“Sedangkan, waktu mustajab doa pada malam-malam lain adalah pada satu pertiga malam yang terakhir.

“Jadi, carilah masa untuk kita banyakkan doa sepanjang malam Nisfu Syaaban, selain istighfar memohon keampunan ALLAH SWT. Sebelum itu, pastikan diri kita tidak melakukan dosa-dosa syirik atau memutuskan hubungan silaturahim, apalagi bergaduh, berdendam, benci membenci, menyimpan hasad dengki dalam hati dan sebagainya,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab: “Apabila malam Nisfu Syaaban jatuh pada malam Jumaat, maka berhimpunlah dua kemuliaan iaitu kemustajaban dalam berdoa.

“Satu lagi, suka saya ingatkan bahawa malam Nisfu Syaaban berbeza dengan malam Jumaat. Ini kerana (kelebihan yang ada pada) malam Nisfu Syaaban itu hanya pada satu malam sahaja.

“Keesokannya hanya berpuasa sunat sahaja. Ia tidak seperti malam Jumaat dan hari Jumaat yang mana kita boleh membaca Surah al-Kahfi pada malamnya atau keesokan harinya.”

Baca juga Jaga adab, pelihara hubungan sesama manusia jika mahu doa kita diperkenankan-NYA

Justeru, Mohd Fauzi mengajak seluruh umat Islam supaya mengambil peluang menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan amal ibadah.

“Terdapat banyak jenis ibadah. Ia bukan solat saja sebab ada orang uzur tidak boleh mendirikan sembahyang. Jadi apa yang dia boleh lakukan adalah dengan berdoa, berselawat, beristighfar, bertahmid, bertakbir, bertahlil dan bersedekah pada malam tersebut.

“Semua amalan itu adalah semata-mata untuk meraih rahmat daripada ALLAH SWT. Ingatlah, lakukan semua ibadah itu secara umum dan bukannya secara khusus. Ini kerana tiada solat khusus pada malam Nisfu Syaaban,” katanya.

Hati tidak akan mati

Benarkah mereka yang menghidupkan malam Nisfu Syaaban tidak akan mati hatinya?

Ketika persoalan itu dilontarkan, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad lantas mengiyakannya.

DA’I FUAD

Beliau kemudian mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Kitab al-Lataif al-Maarif.

“Menurut al-Imam Ibn Rajab, terdapat beberapa amalan yang akan menghidupkan hati dan menjadikan kita sentiasa barakah. Antaranya apabila sampai bulan Syaaban, maka hendaklah kita membaca al-Quran, mengeluarkan zakat dan memberikan kepada orang miskin serta mereka yang berada dalam kepayahan.

“Apakah fadilatnya? Ketahuilah, ALLAH SWT akan memberikan ketenteraman kepada golongan tersebut. Bayangkan dengan berkat al-Quran, mengeluarkan zakat dan berpuasa pada bulan Syaaban akan menjadikan hati mereka tenteram, damai dan barakah.

“Paling penting, hidup mereka sentiasa mendapat kekuatan di sisi ALLAH SWT,” terangnya.

Baca juga Hati kita sifatnya berbolak-balik, jangan dibiar usang jadi lubuk dosa

Seperkara lagi yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Da’i Fuad membahaskan tentang pernyataan ‘ALLAH SWT turun ke langit dunia’ pada malam Nisfu Syaaban.

Pendakwah itu memberi peringatan agar umat Islam tidak sesekali menganggap bahawa ALLAH YANG MAHA BERKUASA itu turun sepertimana kapal terbang dan burung terbang.

Nisfu Syaaban

SELEPAS menunaikan solat Maghrib, boleh mengisi masa dengan membaca al-Quran bersama insan tersayang untuk meraih kelebihan pada malam Nisfu Syaaban.

“Ia merupakan kepercayaan dan perkara yang sesat lagi dhalal (menyimpang),” tegasnya.

Ketahuilah bahawa Ahli Sunnah Waljamaah berpandangan, pernyataan daripada petikan hadis itu sebenarnya merujuk kepada turunnya rahmat ALLAH SWT, ungkapnya.

“Mengertilah, ALLAH SWT tidak berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ingatlah, Sang Khalik juga tidak seperti makhluk yang naik ataupun turun.

“Meskipun hadis yang mengandungi ungkapan tersebut diiktiraf ulama sebagai munqathi’ iaitu terputus pada bahagian sanadnya, namun ia tetap menunjukkan bulan Syaaban mempunyai kelebihan tersendiri.

“Pun begitu, ketika kita beramal dan berhasrat kepada ALLAH SWT, apa yang penting adalah mengambil iktibar daripada hadis berkenaan dengan beramal bersungguh-sungguh. Caranya adalah dengan menghidupkan amal ibadah pada malam hari dan mintalah kepada ALLAH SWT agar memakbulkan segala doa dan hajat,” pesannya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Da’i Fuad senada dengan Mohd Fauzi berkaitan penggunaan hadis daif atau lemah dalam bab amalan.

“Imam Ahmad bin Hanbal pernah menyatakan; ‘Jika bercakap tentang fadilat sesuatu perkara amalan, maka kami akan bermudah-mudah berkenaan riwayat dan pengamalan. Hakikatnya, apabila kita bercakap tentang hadis, walaupun ia lemah, tetapi apabila melibatkan fadhail a’mal (kelebihan-kelebihan amalan), maka ia diterima pakai oleh para alim ulama’.

“Apa yang menjadi masalahnya apabila hadis tadi dinilai daif jiddan (terlalu lemah) dan hadis maudhu’ (palsu). Ia mesti ditinggalkan,” ujar beliau.

ANEKDOT

PENDAPAT ulama tentang malam Nisfu Syaaban

– Imam al-Syafie berkata: “Doa mustajab adalah pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.” (Kitab al-Umm)

– Ibn Rajab RA menyatakan: “Berkaitan malam Nisfu Syaaban, pada zaman dahulu, para tabiin daripada penduduk al-Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan beberapa para tabiin yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu.” (Kitab Lataif al-Maarif)

Sumber Irsyad al-Hadith Siri ke-70: Kelebihan Malam Nisfu Syaaban, laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash

Kematian
Panduan,

10 tanda kematian yang baik

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

HUSNUL khatimah atau pengakhiran hidup yang baik adalah keadaan seorang mukmin yang pada penghujung hidupnya diberi petunjuk oleh ALLAH SWT untuk meninggalkan segala perbuatan dosa.

Mati dalam husnul khatimah memiliki tanda tertentu. Antara tanda itu, ada yang hanya diketahui oleh bakal jenazah yang telah beroleh keredaan ALLAH. Namun ada juga tanda-tanda yang dapat diketahui secara umum.

Syeikh Abdurrahman As-Sa’di, dalam tafsirnya mengatakan itu adalah tanda kepada seorang Muslim yang teguh keimanannya dan kemuliaan tersebut berupa anugerah ALLAH.

Laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel al-Kafi lil Fatawi menjelaskan, terdapat banyak hadis yang menyebut tentang tanda seseorang itu meninggal dunia dalam husnul khatimah.

Baca juga Waspada sakaratul maut bagi yang lalai

Terlebih dahulu, antara syarat terpenting untuk mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan menganut agama Islam, beriman kepada ALLAH SWT dan melafazkan syahadah sebelum menutup mata. Ini kerana ALLAH tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepada-NYA, firman ALLAH di dalam Surah an-Nisa, ayat 48 yang bermaksud:

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNYA (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA (menurut aturan Syariat-NYA). Dan sesiapa yang mempersekutukan ALLAH (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

Antara tanda bagi kematian husnul khatimah:

1. Mati pada hari atau malam Jumaat.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali ALLAH akan melindunginya daripada fitnah kubur.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

2. Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir.

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan ALLAH’, nescaya dia akan memasuki syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Dia diberikan taufik dan hidayah oleh ALLAH untuk beramal soleh sebelum meninggal dunia.

Kematian yang baik

SENTIASALAH berdoa agar kita dimatikan dalam husnul khatimah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya ALLAH menginginkan kebaikan terhadap hamba-NYA, maka DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat bertanya, “Bagaimana DIA menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah bersabda: “ALLAH akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. (Hadith riwayat at-Tirmizi)

5. Selain itu, antara tanda yang lain ialah seseorang Muslim itu berasa gembira bertemu ALLAH SWT.

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa gembira bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH gembira bertemu dengannya. Dan barang siapa merasa berat bertemu dengan ALLAH, maka ALLAH juga merasa berat untuk bertemu dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.” (Hadis Riwayat Muslim)

7. Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH SWT.

Di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan ALLAH.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

8. Meninggal dunia ketika bersalin.

Sebagaimana hadis: “Seorang Muslim yang terbunuh dikira syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira syahid.” (Hadis Riwayat Ibn Kathir)

9. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.

Sebagaimana hadis yang bermaksud: “Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” (Hadith riwayat Muslim)

10. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.

Berdasarkan hadis yang bermaksud: “Barang siapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan ALLAH SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang siapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan ALLAH, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barang siapa yang bersedekah ikhlas kerana ALLAH kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk syurga.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Foto: Koleksi foto Sinar Harian & Freepik

Sakaratul maut
Panduan,

Waspada sakaratul maut bagi yang lalai

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

UMUMNYA manusia sangat takut kepada mati. Mereka membayangkan kematian sebagai peristiwa yang amat mengerikan. Imam Al-Ghazali dalam Kitab Mizan al-‘Amal menyebut ada empat alasan mengapa manusia takut terhadap kematian iaitu:

1. Ingin bersenang-senang dan menikmati hidup ini lebih lama lagi.

2. Tidak bersedia untuk berpisah dengan orang-orang yang dicintai, termasuk harta kekayaan yang selama ini dikumpulkannya dengan susah payah.

3. Tidak tahu bagaimana bentuk hujung hayatnya berakhir.

4. Takut kepada dosa-dosa yang dibuat selama ini.

Sakaratul maut

KEMATIAN itu suatu yang pasti. Justeru, siapkanlah bekalan dengan melakukan segala perintah ALLAH SWT dan meninggalkan segala larangan-NYA sebelum menuju ke alam barzakh.

 

Ketakutan ini menyebabkan manusia tidak rela menyiapkan diri dengan baik bagi menyambut kehadiran Izrail. Padahal kematian adalah detik pertama untuk memasuki kehidupan yang kekal iaitu akhirat.

Kata Imam Al-Ghazali lagi, manusia hanya ingat kematian tatkala tiba-tiba ada jenazah lalu di hadapannya. Mulut dengan pantas membaca kalimat istirja’: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Namun, istirja’ yang dibaca itu hanyalah di bibir sahaja. Mereka tidak memahami hakikat secara benar bahwa semua manusia akan kembali kepada ALLAH SWT.

Lalu, bagaimana cara agar tidak fobia dengan kematian? Menurut Imam Al-Ghazali lagi, setiap manusia wajib untuk selalu ingat kematian sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Perbanyakkanlah olehmu mengingati kematian, si penghancur segala kesenangan duniawi.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mengingati mati akan mendatangkan pelbagai kebaikan. Di antaranya, membuat manusia tidak sibuk dalam mengejar pangkat dan kemewahan dunia.

Sentiasa ‘rasa cukup’ (qona’ah) dengan apa yang dicapai pada hari ini, serta tidak akan menghalalkan segala cara untuk memenuhi cita-cita peribadinya.

Selain itu, setiap Muslim akan lebih terinspirasi untuk bertaubat dan berhenti melakukan dosa-dosa, baik dosa besar maupun dosa kecil.

Dengan mengingati mati akan menumbuhkan minat mendalam untuk beribadah dan beramal soleh sebagai bekalan kehidupan di akhirat kelak.

Baca juga Kematian Akibat Covid-19 Dan Melahirkan Anak Termasuk Dalam Syahid Akhirat

Dengan rangkuman kebaikan ini, orang-orang tertentu seperti kaum sufi tidak gentar menghadapi kematian kerana hanya dengan kematian mereka akan dapat mencapai kebahagiaan sejati, iaitu berjumpa dengan ALLAH SWT dalam reda-NYA. Inilah anugerah dan khabar gembira daripada ALLAH kepada mereka sebagaimana firman-NYA: “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan, ‘Tuhan kami ialah ALLAH’, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka Malaikat akan turun kepada mereka seraya berkata, ‘Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu’.” (Surah Fussilat, ayat 30).

Kenapa sakaratul maut menjadi getir?

Editor Kanan Penerbitan alQuran Karya Bestari, Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil menjelaskan, kematian itu pasti datang kepada sesiapa sahaja.

Sakaratul maut

AMIRO SAFWAN

“Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim disebutkan, ajal maut ialah seumpama apabila seseorang itu sampai ke satu tempat atau waktu yang tertentu dan ALLAH cabut nyawanya. Maksudnya, tiada siapa dapat menjamin bilakah waktu tertentu dia akan bertemu kematian,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemubual baru-baru ini.

Merujuk surah al A’raf, ayat 34, Amiro menghuraikan: ‘Bagi setiap umat ada tempoh pengakhiran. Apabila sampai tempoh pengakhiran kepada seseorang, maka tidak akan diawalkan dan dilewatkan, walaupun seketika.’

Di sini jelas Amiro, umat Islam wajar memahami bahawa kematian akan datang tanpa mengira status, bangsa, umur dan jantina, termasuklah orang yang beriman atau orang yang lalai.

“ALLAH menyebut, bagi orang yang lalai, ALLAH buka kepadanya semua pintu kelalaian,yang mana dia akan terus hidup di dalam suasana tersebut sampailah ALLAH rentap nyawanya,” jelasnya.

Sebagaimana Firman ALLAH di dalam surah al An’aam, ayat 44: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya. KAMI bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, KAMI timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).”

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

Beliau selanjutnya berkongsi sebuah kisah agung daripada hadis riwayat Imam Muslim di dalam Jami’ Sahih Muslim.

“Apabila sampai giliran Nabi SAW bermalam di rumah Aisyah, berhampiran masjid Nabawi, ketika Aisyah bangun pada tengah malam, beliau melihat Nabi tiada di sisinya.

“Sehinggalah Aisyah bertemu baginda Rasulullah di perkuburan Baqi (makam rasmi umat Islam di Madinah). Sewaktu tiba di Baq’i baginda memberikan salam, ‘Assalamualaikum ya Daaral Mu’minin (salam sejahtera buat sekalian penghuni negeri orang yang beriman), ‘Telah datang kepadamu janji sebagaimana yang ALLAH Taala telah janjikan (kematian), Ya ALLAH, berikanlah keampunan kepada seluruh penghuni Baqi’.”

“Di sini Rasulullah SAW memberi contoh, di Baqi’ memang pasti dihuni oleh orang yang baik (terdiri daripada kalangan sahabat dan Ahlil Bayt (kerabat Rasululullah SAW) dan ahlussufah (golongan yang mengabdikan diri untuk beribadah).

Justeru ujarnya, kalau orang-orang baik seperti itu didoakan oleh nabi, bagaimana dengan kita yang penuh kelalaian? Tentulah lebih lagi kita mengharapkan kepada doa serta syafaat sebagai jaminan keselamatan selepas mati.

Lalai, hanyut di dalam kelompoknya 

Amiro menghuraikan kematian yang datang kepada orang lalai bakal tiba dalam keadaan yang penuh menggemparkan.

“Di dalam sebuah hadis, Rasulullah berdoa kepada seseorang yang di ambang maut: ‘Ya ALLAH, ringankanlah sakaratul maut (ambang kematian) ini kepada ku dan kepada umatku.”

Lalai yang dimaksudkan adalah dari sudut karektor, cara hidup, pergaulan dan sebagainya.

Sakaratul maut

JANGAN llalai dengan harta dunia sehingga takut mati.

Amiro memperincikan perkara ini sebagaimana mafhum hadis, “Jibril datang kepada Rasulullah menyebut, “Ya Rasulullah, hiduplah kamu sebagaimana yang kamu ingin jalani,’

“Ada orang yang suka menjalani hidup yang baik dan melalui kehidupan dengan cara positif seperti kebanyakan masa diperuntukkan di masjid dan melakukan kebajikan. Mudah mudahan apabila datang kematian dan setelah dibangkitkan nanti ada kebaikan untuknya.”

Sebaiknya, tegas Amiro ada yang menghabiskan hidup di tempat yang tidak wajar. Justeru, jika mati dalam keadaan suul khatimah (kematian yang tidak baik), yang menanti di alam barzakh nanti akan lebih menyukarkan hidupnya.

“Abu Said al Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila jenazah telah dikeluarkan dari tempat ia disolatkan, maka para jemaah bergilir membawa pengusung mayat lalu diusung di bahu masing-masing. Lalu kata baginda, kalau jenazah itu orang yang baik, mereka akan berkata, ‘segerakan aku untuk disemadikan’, kerana dia telah diperlihatkan tempat persemadiannya adalah salah satu daripada taman-taman syurga. Sekiranya jenazah itu adalah maksiat, (dia akan berkata) alangkah celakanya aku pada hari ini, ke mana kamu ‘nak bawa aku? (kerana dia telah diperlihatkan tempat persemadiannya di salah satu dari lubang neraka.”

Jelas Amiro, kebiasaannya manusia tidak akan mengkritik apatah lagi menyumpah diri sendiri. Tetapi apabila sampai satu tahap seseorang itu mencela dirinya, itu membawa konotasi bahawa dia sedang berdepan situasi paling ngeri disebabkan kejahatan masa silam.

Menjawab pertanyaan, bagaimana cara terbaik untuk mengelak dari terus menerus menjadi orang yang lalai, Amiro berkongsi pandangan.

“Suasana kehidupan ialah perkara yang paling mengesankan. Rasulullah pernah menyarankan kepada sahabat baginda yang dahulunya kaki maksiat bahkan murtad, untuk keluar dari tempat lama dan duduk di tempat yang baru. Hal ini kerana suasana baharu akan membentuk karektor dan peribadi manusia.

“Samalah kita pada hari ini. Dengan sebab bergaul dengan orang baik maka tempias kebaikan akan terpercik kepada kita. Pergaulan erat dengan lingkungan sahabat yang positif akan menguatkan jiwa. Kita perlu bijak memilih kawan kerana kesedaran dan kawalan kendiri akan membantu hidup ke arah lebih baik,” saran beliau lagi.

Istiqamah lakukan kebaikan

Dalam mendepani cabaran hidup yang penuh gelora, Amiro menjelaskan sememangnya ada kaedah yang mampu dilakukan orang umat Islam untuk bersiap sedia kematian yang diiringi husnul khatimah.

“Memetik kata-kata Mufti Ismail Menk, istiqamah melakukan kebaikan sepanjang masa akan meringankan beban tatkala berdepan sakaratul maut.

Sakaratul maut

MUFTI MENK

“Amal kebaikan ini terlalu besar dan luas dan jadikan rutin setiap hari. Contoh yang paling mudah ialah istiqamah menyuapkan makanan kepada ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak, sehingga kita tidak merasa ia adalah adalah beban sebaliknya menjadikan amalan itu sebagai rutin harian.

“Apatah lagi kebaikan itu dilakukan kepada orang tidak dikenali. Contohnya menyumbang beberapa ringgit kepada tabung tabung masjid, membantu orang yang memerlukan atau memberi makan kepada haiwan di jalanan. Itulah yang akan menyumbang kepada kita tatkala berdepan sakratul maut,” ujarnya lagi.

Foto: 123rf & Freepik

Amalan tahunan diangkat
Panduan,

Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban

BERMULA malam ini, kita sudah memasuki takwim baharu dalam Islam. 1 Syaaban mula membuka tirainya.

Bulan kelapan dalam kalendar Islam itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Malah, ia menjadi antara detik yang disukai oleh Rasulullah SAW.

Buktinya, terdapat hadis yang memerihalkan baginda SAW memperbanyakkan puasa sunat berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

Aisyah RA meriwayatkan, beliau berkata: “Baginda SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Dan baginda SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Dan aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Amalan tahunan diangkat

UMAT Islam digalakkan untuk memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Rejab.

Memetik artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-52: Kelebihan Bulan Syaaban yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, umat Islam dituntut untuk berpuasa pada bulan Syaaban.

Baca juga Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

“Ia sebagai persediaan kita dalam menghadapi bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, laman web kheu.gov.bn yang menyiarkan artikel bertajuk Bulan Syaaban: Persediaan di Ambang Ramadan menyatakan, Syaaban begitu sinonim dengan bulan latihan untuk membiasakan, selain mempersiapkan diri menuju ke bulan paling ditunggu-tunggu oleh umat Islam iaitu Ramadan al-Mubarak.

“Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sunat dalam bulan Syaaban atau bulan-bulan sebelumnya, sudah tentu kelompok berkenaan berasa mudah dan ringan untuk menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web tersebut.

Kepada mereka yang masih mempunyai baki puasa qada Ramadan tahun lalu yang belum dilunaskan, segeralah menunaikan kewajiban berkenaan sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Amalan tahunan diangkat

USAH melengah-lengahkan puasa qada. Segera melunaskan hutang puasa berkenaan sebelum tibanya Ramadan akan datang.

“Ketahuilah, perbuatan melengah-lengahkan qada puasa tanpa keuzuran sehingga datang bulan Ramadan yang berikutnya adalah berdosa dan diwajibkan ke atasnya menqadakan puasa tersebut serta membayar fidyah,” saran kheu.gov.bn.

Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menerusi artikel yang disiarkan menerusi laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perak menjelaskan, amalan kita akan diangkat dan dipersembahkan kepada ALLAH SWT dalam bulan Syaaban ini.

Baca juga Syaaban: Jambatan ke Ramadan

Ia berdasarkan sebuah hadis masyhur yang mana Usamah bin Zaid bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban.” Baginda SAW menjawab: “Bulan Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadan. Ia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalanku di dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Musnad Ahmad & Sunan an-Nasa’i)

Ibn al-Qayyim RA menjelaskan bahawa: “Amalan diangkat dan dibentangkan kepada ALLAH SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban sebagaimana dikhabarkan oleh baginda SAW dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis.” (Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud)

Tambah istimewa lagi, jelas Mufti Perak itu lagi, apabila terdapat padanya satu malam yang disebut sebagai Nisfu Syaaban.

“Ia merupakan satu malam yang dikhaskan oleh ALLAH SWT dengan tawaran pengampunan daripada-NYA.

Amalan tahunan diangkat

JANGAN lepaskan peluang meraih keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban.

“Menurut Hadis Riwayat Ibn Hibban dan at-Tabarani, semua makhluk-NYA akan diampunkan kecuali orang yang mensyirikkan ALLAH dan orang yang masih bersengketa serta bertelagah,” ungkapnya.

Melihat kepada kelebihan yang ada pada bulan Syaaban itu, ayuhlah bersama-sama kita tingkatkan momentum ibadah kita sebelum menuju ‘pestanya’ pada bulan Ramadan al Mubarak nanti.

Foto: 123rf, Freepik & Pexels

Israk dan Mikraj
Panduan,

7 perkara luar biasa yang dilihat Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj

PERISTIWA Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab menjadi saksi satu lagi tanda kekuasaan ALLAH SWT. Sesungguhnya, apabila Sang Khalik berkehendakkan sesuatu, maka terjadilah ia.

Kejadian penuh menakjubkan itu berlaku setahun sebelum hijrah Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah. Mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW itu sarat dengan 1,001 hikmah dan begitu besar nilainya di sisi Islam.

Secara ringkasnya, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang buraq, manakala Mikraj pula merujuk kepada pergerakan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha.

Perkara itu ada dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 1 dan Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18.

Menariknya, ketika perjalanan tersebut, pendakwah Asma’ Harun menjelaskan, Nabi Muhammad SAW diberi kesempatan menjadi imam bagi para nabi di Masjidil Aqsa.

ASMA’

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku melihat diriku berada di Hijir Ismail, dan seorang Quraisy bertanya kepadaku tentang perjalananku (Israk dan Mikraj). Mereka bertanya pelbagai perkara mengenai Baitul Maqdis yang aku tidak ingat. Aku merasakan kesulitan yang tidak pernah aku alami. Lalu ALLAH memperlihatkannya kepadaku sehingga aku dapat melihatnya. Tidaklah mereka bertanyakan sesuatu daripadaku melainkan aku menjawabnya. Aku melihat diriku berada dalam kelompok para nabi. Kelihatan Nabi Musa AS sedang mengerjakan solat, ternyata dia seorang lelaki yang tinggi dengan rambut kerinting, seperti seorang pemuda suku Syanu’ah. Dan kelihatan Nabi Isa bin Maryam AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah Urwah bin Masud As-Tsaqafi. Dan kelihatan Nabi Ibrahim AS sedang mengerjakan solat, orang yang paling menyerupainya adalah sahabat kamu (iaitu baginda sendiri). Apabila tiba waktu solat, aku mengimami mereka. Setelah selesai solat berkata seseorang: Wahai Muhammad! Inilah Malik, penjaga neraka, berilah salam kepadanya. Aku berpaling kepadanya dan dialah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Israk Mikraj: Perjalanan penuh hikmah, berikut empat pengajaran daripadanya

Bukan itu sahaja, Asma’ menjelaskan, terlalu banyak perkara luar biasa yang berlaku sepanjang perjalanan agung Rasulullah SAW selama hanya satu malam tersebut.

Beliau kemudian menyenaraikan tujuh peristiwa lain yang dilihat baginda SAW sepanjang perjalanan Israk dan Mikraj itu menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Antara perkara yang dilihat Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa berkenaan seperti berikut:

1. Balasan bagi mereka yang suka mengumpat.

Israk dan Mikraj

JAUHI perbuatan mengumpat yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad & Abu Daud)

Baca juga ALLAH tak ampunkan dosa mengumpat orang lain?

2. Bahana bagi pendakwah yang melupakan diri.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab: ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (Hadis Riwayat Ahmad)

3. Haruman keluarga Masyitah.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Telapak kaki bilal didengari di syurga.

Israk dan Mikraj

CERITA telapak kaki Bilal bin Rabah didengari di syurga ada disebutkan dalam riwayat yang masyhur. -Gambar hiasan

Daripada Abu Hurairah RA, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat Fajar: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj 

5. Melihat dajal dalam rupa asalnya.

Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan dajal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika dajal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya, dan ALLAHLAH yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya dajal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba ALLAH, berpendirian teguhlah kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Diperlihatkan nabi-nabi dan umat masing-masing.

Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian baginda SAW melihat lautan manusia yang besar. Apabila baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

7. Khasiat berbekam.

Israk dan Mikraj

BERBEKAM mempunyai pelbagai manfaat. Malah, Rasulullah SAW juga pernah berbekam. -Gambar hiasan

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Sebaik-baik hari untuk kalian (berbekam) adalah hari ketujuh belas, kesembilan belas dan kedua puluh satu, baginda bersabda: “Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku diisrakkan kecuali mereka berkata; ‘Engkau harus berbekam wahai Muhammad’.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Subhanallah, begitu banyaknya hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh kita hayati bersama.

Benarlah, memang tidak dapat disangkal lagi, kejadian bersejarah dalam Islam itu membawa satu pengertian yang cukup besar. Ini kerana ketika itulah, pensyariatan solat fardu lima waktu mula difardukan terus secara langsung kepada Rasulullah SAW sendiri dan tidak melalui Malaikat Jibril AS seperti kebiasaannya.

Justeru, sama-samalah kita menghayati hikmah yang amat bernilai menerusi perjalanan agung Rasulullah SAW di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Foto: Freepik & Unsplash

Gempa bumi
Panduan,

Lakukan amalan ini ketika gempa bumi

SUSULAN berlakunya gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada skala Richter di pantai barat Sumatera, Indonesia pada kedalaman 10 kilometer hari Jumaat lalu, ia menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bahagian Barat Semenanjung Malaysia turut merasai gegarannya.

Antaranya di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Malah, terdapat beberapa pejabat yang dikosongkan kakitangannya gara-gara kesan gegaran tersebut yang agak membimbangkan sekitar jam 9.39 pagi pada hari berkenaan.

Tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya bencana alam tersebut yang menimpa negara jiran kita. Sedangkan kita yang duduk jauh dari kawasan itu turut menerima ‘ekor’ tempiasnya sudah rasa serba tidak kena dan bimbang. Apatah lagi mereka yang sedang berhadapan dengan musibah berkenaan.

Setakat jam 7 petang semalam, portal berita berpengaruh Indonesia, news.detik.com melaporkan, angka korban akibat gempa bumi yang melanda wilayah Pasaman Barat dan Pasaman, Sumatea Barat itu meningkat kepada 11 kematian.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Bercerita tentang perihal gempa bumi, sebenarnya, peristiwa tersebut pernah berlaku pada zaman sahabat.

Memetik artikel yang disiarkan di kalam.sondonews.com, diceritakan bahawa bencana tersebut pernah terjadi di Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.

Mengertilah bahawa semua bencana tersebut sudah tertulis ditentukan oleh ALLAH SWT.

Sebenarnya, ada satu doa yang dianjurkan untuk kita baca ketika gempa bumi berlaku sebagaimana yang dikongsikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi hantarannya di laman sosial Facebook mereka.

Doa berkenaan berbunyi: Allahumma inni as aluka khoiroha wa khoiroma fiha wa khoiro ma ursilata bihi, wa ‘a’uzubika min syarriha wa syarrima fiha wa syarrima ursilaa bih (Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon daripada-MU kebaikan atas apa yang terjadi dan kebaikan apa yang ENGKAU kirimkan. Dan aku memohon perlindungan kepada-MU daripada keburukan atas apa yang terjadi, dan keburukan yang terjadi di dalamnya dan keburukan apa yang ENGKAU kirimkan). (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Gempa bumi

BERDOALAH ketika gempa bumi berlaku untuk memohon perlindungan ALLAH SWT.

Menurut kalam.sindonews.com, doa tersebut sebenarnya adalah doa ketika terjadinya angin ribut yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW.

“Tiada contoh yang jelas daripada baginda SAW tentang doa gempa bumi. Namun begitu, para ulama sebahagiannya menganjurkan kita melafazkan doa berkenaan atau apa sahaja doa umum lain yang difahami tanpa meyakininya sebagai sebuah sunah Rasulullah SAW.

“Ini kerana kedua-duanya memiliki kesamaan sebagai suatu fenomena bencana alam,” kata artikel tersebut.

Bukan itu sahaja, meskipun rakyat Malaysia tidak menghadapi musibah berkenaan, jangan lupa memanjatkan doa buat saudara seagama kita di sana.

Antara doa yang dianjurkan sebagaimana dipetik menerusi portal cnnindonesia.com adalah: Innalillahi wa inna ilaihi raji’un, Allahumma ajirhum fi musibatihim, wa akhlif lahum khoiran minha (Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan sesungguhnya akan kembali kepada-NYA. Ya ALLAH, berilah mereka pahala dalam musibah mereka dan gantilah dengan yang lebih baik).

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Doa berkenaan, jelas CNN Indonesia, ia pernah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam Hadis Riwayat Muslim. Ia ada disebut dalam buku Kumpulan Doa Dari Al-Quran dan As-Sunnah karya Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

Bukan sekadar fenomena alam

Sesungguhnya, tiada kejadian yang diatur oleh ALLAH SWT itu adalah sia-sia. Semuanya pasti mempunyai sebab musababnya.

Bagi orang yang beriman, portal muslim.or.id menjelaskan, gempa bumi bukan sekadar fenomena alam yang biasa, tetapi ia merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Gempa bumi

GEMPA bumi merupakan tanda peringatan daripada ALLAH SWT supaya manusia kembali kepada agama dan menjauhi maksiat.

Ia sebagaimana disebutkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 59 yang bermaksud: “…Dan KAMI tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakutkan mereka.”

Menurut Syaikh Abdurrahman as-Sa’di dalam Tafsir as-Sa’di menjelaskan: “Maksud ayat ini adalah memberikan rasa takut agar manusia terhalang melakukan maksiat saat itu.”

Begitu juga pendapat yang dilontarkan oleh Ibul Qayyim dalam Miftah Daris Sa’adah. Beliau menyatakan bahawa gempa bumi terjadi agar manusia meninggalkan kemaksiatan dan kembali kepada ALLAH SWT.

Tidak kiralah apa jua ketentuannya, jangan lupa sentiasa memuji-NYA saat kita berada dalam kesulitan mahupun diulit kesenangan.

Foto: Pexels & news.detik.com

Panduan,

Hati-hati! Berikut larangan waktu membaca ayat Kursi. Ini penjelasannya

SESUNGGUHNYA membaca al-Quran memiliki banyak kelebihan. Bukan sahaja menguatkan iman, perbuatan itu juga dapat mengawal kita daripada terdorong melakukan perbuatan maksiat.

Ada masa tertentu yang sangat disarankan Rasulullah SAW untuk membasahkan lidah membaca kalamullah.

Antaranya seperti waktu pagi dan petang setiap hari, selesai solat lima waktu, ketika berada di rumah dan sebelum kita tidur.

 

Baca juga: Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita ketahuilah sakit bukanlah syarat kepada kematian 

 

Di antara waktu tersebut tidak menjadi kesalahan untuk membaca ayat Kursi, apatah lagi dijadikan amalan harian.

Namun, menurut media Indonesia, Ring Times, terdapat beberapa hal yang perlu diambil kira agar tidak bertentangan dengan saranan Rasulullah SAW.

Syor sebegitu seharusnya diberi perhatian supaya kita dijauhkan daripada melakukan perbuatan yang mampu mengundang dosa.

Berikut penjelasannya yang dikongsikan agar kita sama-sama dapat jadikan rujukan:

1. Rukuk, sujud dalam solat

Pastinya membaca bacaan ayat 255 dari surah Al-Baqarah itu banyak memiliki kebaikan lebih-lebih lagi ketika memohon sesuatu atau meminta perlindungan daripada ALLAH SWT.

Namun, Rasulullah SAW melarang membaca ayat berkenaan ketika sedang sujud atau rukuk dalam solat.

Memetik Hadis Muslim: “Rasulullah melarangku membaca al-Quran ketika rukuk dan sujud.”

MEMBACA al-Quran memiliki banyak kelebihan. Namun, ada juga masa dan tempat tertentu di mana ayat al-Quran tidak digalakkan untuk dibaca.

2. Membaca di tandas

Al-Quran merupakan kitab suci Islam yang perlu dihormati. Bukan sahaja perlu diletakkan di tempat yang bersih, bahkan seseorang ingin menyentuhnya juga perlu berada dalam keadaan berwuduk dan tidak najis.

Begitu juga dengan membaca kitabullah di dalam tandas. Ia sama sekali dilarang sama sekali untuk membaca ayat Kursi. Perbuatan itu dianggap sebagai satu penghinaan.

Perhatikan juga ucapan yang terlintas di fikiran terutama ketika melangkah masuk agar tidak sampai membaca ayat Kursi ketika di dalam tandas.

Demikianlah huraiannya. Semoga kita semua lebih peka dan sensitif.

Pada hari Jumaat yang penuh barakah ini, apa kata kita luangkan masa untuk bersama-sama membasahkan lidah dengan membaca al-Quran.

ABDULLAH bin ‘Amr Radhiyallahu anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran nanti, ‘Bacalah dan naiklah serta tartilan sebagaimana engkau di dunia mentartilnya kerana kedudukanmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca.” (Hadis Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan)

Berdasarkan hadis itu, ulama menyatakan ada riwayat lain menjelaskan orang itu nanti akan terus membaca satu demi satu ayat al-Quran sehinggalah dia tiba di syurga tertinggi iaitu syurga Firdaus.

Apabila tiba di sana barulah dikatakan: “Berhentilah, ini adalah kedudukan kamu di akhir ayat yang kamu baca.”

Lihat, betapa hebatnya kedudukan jika kita membaca al-Quran. Bacalah walau satu muka surat sahaja.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Foto: Tayeb MEZAHDIA & Monstera/Pexels

Panduan,

Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

MANUSIA tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Demi membetulkan segala khilaf, taubat adalah kunci utama untuk kembali ke jalan yang benar. Biarpun sebesar manapun dosa yang telah dilakukan, nescaya ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Meskipun manusia lain memandang kita sebagai pendosa, namun ALLAH melihat perkara sebaliknya. Hal tersebut sudah dinyatakan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 hingga 54.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah. Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIALAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG dan kembalilah sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak lagi dapat ditolong.”

 

Baca juga: Rasulullah saw menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran berikutfadilat-fadilat lain

 

Bagi orang yang berdosa, janganlah malu untuk datang kepada ALLAH meminta ampun. Sesungguhnya ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja, namun mengapa ALLAH tidak mengampuni iblis?

Menurut Abu Al-Lais As-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih Al-Ghafilin menjelaskan, terdapat kesalahan iblis yang membuatkan taubat ‘mereka’ tidak boleh diterima.

Pertama: Iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya.

Kedua: Iblis tidak menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan

Ketiga: Iblis tidak mahu segera bertaubat

Kempat: Berputus asa daripada rahmat ALLAH

Kesalahan iblis yang tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam padahal itu adalah perintah ALLAH kepada semua malaikat.

Namun, disebabkan angkuh, sombong dan merasa diri lebih baik berbanding Nabi Adam, maka iblis menolak perintah ALLAH.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 12: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia engkau ciptakan daripada tanah.”

Hal tersebut lantas membuatkan iblis sebagai makhluk yang dimurkai dan diusir dari syurga.

Biarpun sering bergelumang dengan dosa, iblis pernah menyatakan hasratnya untuk bertabat kepada Nabi Musa. Perkhabaran itu diterima dengan penuh gembira sehinggakan Nabi Musa segera mengambil wuduk dan solat.

Dikisahkan Ibnu Umar bahawa iblis mendatangi Nabi Musa lalu berkata:“Wahai Musa, engkau dipilih ALLAH dengan risalahnya, aku ini makhluk ALLAH juga, aku ingin bertaubat, kerana itu mohonlah syafaat agar ALLAH mengampuniku.”

Nabi Musa kemudiannya menyampaikan niat iblis, lalu ALLAH berfirman:“Wahai Musa aku penuhi permintaanmu, tapi katakan kepada iblis agar dia bersujud pada kuburan Adam terlebih dahulu.”

Mendengarkan syarat tersebut iblis lalu berkata:“Dulu ketika Adam masih hidup, aku tidak mahu bersujud kepadanya. Mana mungkin aku harus bersujud kepadanya setelah dia mati.”

Masih disebabkan keangkuhan dan kesombongannya membuatkan iblis pun sekali lagi gagal mendapat pengampunan ALLAH.

Kegagalan itu mengakibatkan iblis menerima balasan menjadi isi neraka pada hari pembalasan kelak.

Oleh itu, sebagai manusia, kembalilah bertaubat ke jalan ALLAH. Biar sebesar mana dosa yang dilakukan, selagi tidak syirik kepada SANG PENCIPTA, selagi itu pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka.

Sebagai manusia, bertaubatlah ke jalan ALLAH kerana pintu taubat-Nya sentiasa terbuka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Foto: Francesco Paggiaro & Alena Darmel/Pexels