Browsing Category

Muamalah

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Muamalah,

Bermain kutu ganti adalah haram kerana melibatkan peserta makan harta orang lain secara batil

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

SAYA ada menerima satu pertanyaan melalui WhatsApp mengenai kutu ganti. Sebelum saya membicarakan lebih lanjut tentang kutu ganti, saya jelaskan dahulu tentang permainan kutu.

Permainan kutu merujuk kepada sekumpulan orang yang bersepakat untuk sama-sama mengeluarkan sejumlah wang dalam tempoh tertentu seperti setahun dan diserahkan kepada ibu kutu (pengurus wang kutu).

Setiap peserta akan membuat undian bagi menentukan bulan giliran masing-masing untuk mendapat jumlah wang terkumpul. Sebagai contoh, seramai 10 orang bersepakat untuk mengeluarkan wang sebanyak RM100 seorang setiap bulan selama 12 bulan. Jadi jumlah terkumpul setiap bulan adalah sebanyak RM1,200. Oleh itu, setiap peserta akan mendapat RM1,200 bila tiba bulan gilirannya.

Berbalik kepada isu kutu ganti, ia akan berlaku apabila ada di antara peserta lama yang menarik diri. Ibu kutu akan mencari peserta lain untuk menggantikan tempat peserta yang menarik diri tersebut.

Berdasarkan penerangan daripada ibu kutu melalui mesej bersuara yang dipanjangkan kepada saya, dinyatakan bahawa peserta kutu ganti ini hanya perlu membuat bayaran sehingga setakat bulan giliran peserta lama yang menarik diri itu sepatutnya mendapat jumlah terkumpul.

Contohnya, giliran peserta lama yang menarik diri untuk mendapat jumlah terkumpul adalah pada bulan Disember. Dia menarik diri mulai bulan September.

Oleh itu, pada bulan Januari tahun berikutnya, peserta kutu ganti akan mendapat bayaran balik jumlah keseluruhan wang telah dibayar kepada ibu kutu selama tiga bulan dan selain daripada itu dia juga akan diberi bayaran tambahan.

Bayaran tambahan ini diambil daripada wang yang telah dibayar oleh peserta lama dalam tempoh Januari hingga Ogos kerana peserta yang menarik diri tidak akan mendapat kembali wang yang telah diserahkan kepada ibu kutu.

Berdasarkan iklan yang dipanjangkan kepada saya melalui WhatsApp, jika peserta kutu ganti membayar sebanyak RM250 selama tiga bulan, pada bulan terakhir iaitu September misalnya, dia akan mendapat RM750 + RM150. Jika yang dibayar adalah RM1,500 selama tiga bulan, maka pada bulan terakhir yang diganti itu, dia akan mendapat RM4,500 + RM1,000.

Sangat menarik tawaran pulangan yang dijanjikan oleh ibu kutu tersebut sebagai gula-gula untuk menarik minat peserta kutu ganti. Ibu kutu turut menyatakan bahawa para peserta jangan risau tentang soal riba kerana semuanya ada akad yang dilakukan dan dengan itu isu riba tidak berbangkit kerana semua sudah ada persetujuan bersama.

Dalam ruang terhad ini, saya ingin jelaskan bahawa permainan kutu ini adalah satu permainan pinjaman wang (qard). Para peserta saling pinjam meminjam dalam tempoh yang ditetapkan. Peserta kutu ganti juga telah meminjamkan wangnya dalam tempoh bulan gantian berkenaan.

Oleh itu, bayaran tambahan yang diterima oleh peserta kutu ganti adalah RIBA dan ia diharamkan dalam Islam. Alasan ibu kutu bahawa sudah ada akad yang dipersetujui bersama tidak menjadikan bayaran lebihan itu halal kerana Allah mengharamkan riba.

Begitu juga dengan tindakan ibu kutu yang tidak memulangkan kembali jumlah wang yang telah dibayar oleh peserta lama yang menarik diri. Riba dan tidak memulangkan kembali wang peserta lama  temasuk dalam bab memakan harta orang lain secara batil.

Oleh itu, umat Islam disarankan menjauhi permainan kutu seumpama ini kerana ia mengandungi unsur memakan harta orang lain secara salah (batil). Memakan harta orang lain secara batil adalah diharamkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’, ayat 29.

Wallahu a’lam.

Foto: Christian Dubovan/Unsplash

Untitled design (6)
Muamalah,

Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi yang merujuk kepada persetujuan bersama di antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati.

Tuntutan berkenaan dijelaskan dalam Surah an-Nisa‘, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.“

Memang tidak dinafikan kerelaan hati adalah suatu yang tersembunyi dalam sanubari yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT. Namun, bagi memastikan ia (kerelaan) dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu wujud tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

 

DALAM soal jual beli, sesuatu yang hendak dijual mesti dinyatakan dengan terang seperti menyebut spesifikasi barang dengan terperinci seperti dalam katalog.

Kedua-duanya menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan apa yang ada dalam hati. Malah, setiap ijab dan qabul perlu memenuhi syarat-syarat tertentu agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi di antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma‘qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Kejelasan

Dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh, Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

‘Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada di dalam kandang dengan harga RM1,500‘ atau ‘Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5,000‘ atau ‘Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1,000 sebulan.‘

Kesemua bentuk tawaran yang dinyatakan itu tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan disebabkan ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual mestilah dinyatakan dengan terang dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog. Jika ia tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta‘yin) supaya pembeli mengetahui apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan yang nyata tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka, ketelusan dan kejelasan mampu ‘membuahkan‘ kerelaan dan persetujuan bersama di antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Bay‘ murabahah    

Ketelusan sebenarnya sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay‘ murabahah yang menggunakan mekanisme tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di negara ini juga, kebanyakan transaksi murabahah komoditi menggunakan platform Bursa Suq al-Sila‘.

Bay‘ murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah yang mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil. Ketelusan dalam aspek itu jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain itu, ia (ketelusan) juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah berkenaan memang diambil berat dalam industry kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Kepentingan ketelusan dalam muamalat. Ini inti pati yang perlu diperhalusi
Muamalah,

Kepentingan ketelusan dalam muamalat. Ini inti pati yang perlu diperhalusi

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi. Ia merujuk kepada persetujuan bersama antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati. Tuntutan memenuhi prinsip taradhi dalam muamalat dijelaskan oleh Allah dalam  al-Surah al-Nisa’, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.”

Memang tidak dinafikan kerelaan hati itu adalah suatu yang tersembunyi dalam hati yang sememangnya hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Namun bagi memastikan kerelaan itu dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu ada tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

Ijab dan qabul inilah yang menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan ada yang ada dalam hati. Malah setiap ijab dan qabul tersebut perlu memenuhi syarat-syaratnya agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma’qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting. Kerana di sinilah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Disebakan itulah dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

“Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada dalam kandang dengan harga RM1500” atau “Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5000” atau “Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1000 sebulan”.

Baca juga Boleh bermuamalat dengan bukan Islam. Ini konsepnya yang perlu kita tahu…

Kesemua bentuk tawaran di atas tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan kerana ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual hendaklah dinyatakan dengan jelas sama ada dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog jika ianya tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta`yin) supaya pembeli mengetahui secara jelas apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan jelas tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka ketelusan dan kejelasan ini mampu membuahkan kerelaan dan persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Ketelusan ini sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay` murabahah yang menggunakan mekanisma tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di Malaysia, kebanyakan transaksi murabahah komoditi  menggunakan platform Bursa Suq al-Sila’. Bay` murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah di mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil.

Ketelusan dalam aspek ini jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain daripada itu, ketelusan juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya  menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah ini memang diambil berat dalam industri kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

Foto: Pexels

 

 

 

Berita, Muamalah,

Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Oleh MUHAMMAD NAZREEN ADNAN
Bahagian Dakwah Am,
Zakat Pulau Pinang, MAINPP

PADA zaman serba canggih kini, masyarakat dapat menggapai informasi dengan cepat sama ada melalui Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, TikTok, Google, mahupun YouTube.

Melalui capaian itu semua, pelbagai ilmu dapat diperoleh termasuk berkaitan dengan zakat.

Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khatthab RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Islam dibangunkan atas lima perkara. (1) Persaksian bahawa tiada Tuhan selain ALLAH, dan Muhammad Rasul ALLAH, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) melaksanakan ibadah haji, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Timbul persoalan, apa sebenarnya yang perlu kita tahu tentang zakat? Menurut Profesor Dr Mustafa al-Bugha dalam Fiqh Manhaji, beliau mendefinisikan zakat sebagai kadar daripada beberapa jenis harta yang wajib dikeluarkan kepada golongan manusia tertentu apabila cukup syarat yang digariskan.


Seperti yang kita maklum, zakat yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah sahaja, sebaliknya ia merangkumi zakat harta yang mempunyai pelbagai jenis pembahagian.

Antaranya ialah zakat emas, zakat perak, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat tanaman, zakat ternakan, zakat wang KWSP dan zakat saham.

Sembilan pembahagian zakat harta itu bukanlah diwajibkan secara mutlak untuk dilaksanakan, namun jika seseorang telah memenuhi rukun-rukun zakat, maka zakat harta diwajibkan ke atas dirinya.

Bagaimanapun, jumlah yang perlu dizakatkan tidaklah begitu banyak, hanya 2.5 peratus daripada keseluruhan harta mereka.

Tujuan

Alhamdulillah, pada tahun ini, ramai dalam kalangan umat Islam mulai sedar tentang peri pentingnya kewajipan berzakat.
Saban tahun, hampir semua institusi zakat di Malaysia menunjukkan trend prestasi kutipan yang sentiasa meningkat, sekali gus dapat membantu lebih ramai golongan asnaf di negara ini.

Sebenarnya, ramai pembayar zakat beranggapan, apabila mereka menunaikan zakat ke atas harta mereka, ALLAH SWT akan memudahkan dan memperluaskan rezeki masing-masing.

Namun, sejauhmana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah itu tujuan utamanya?

Persoalan berkenaan telah pun dijawab oleh ALLAH YANG MAHA ESA sejak sekian lama di dalam al-Quran iaitu seseorang Muslim itu dituntut melaksanakan ibadah zakat bukanlah untuk dimurahkan rezeki, maju dalam perniagaan atau menjadi kaya.

Sebaliknya, tujuan pelaksanaan ibadah zakat adalah berkait dengan membersihkan harta dan menyucikan jiwa. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat ke-103: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI.”

Daripada ayat tersebut, ALLAH SWT memberi gambaran bahawa setiap Muslim yang tidak melaksanakan ibadah zakat (setelah memenuhi semua rukun zakat) akan melahirkan sifat bakhil di dalam diri. Kehidupannya juga akan jauh daripada nilai agama kerana dalam hatinya mula timbul sifat cintakan dunia.

Pada zaman yang penuh mehnah (cabaran), kita mungkin terlibat dengan harta yang mungkin kita sendiri tidak pasti sumbernya. Oleh yang demikian, berzakat merupakan ibadah yang tepat bagi membersihkan harta.

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

Sesungguhnya, harta yang tidak dikeluarkan zakat diibaratkan seperti pakaian yang tidak pernah dibersihkan atau dicuci. Maka, ia akan kotor, berbau dan tentunya wujud virus yang akhirnya membawa penyakit kepada pemakainya.

Lantaran itu, dapat kita fahami bahawa tujuan utama berzakat bukanlah untuk mendapatkan kemurahan rezeki.

Pun demikian, apabila seseorang berzakat, pasti hartanya akan selalu dilimpahkan keberkatan daripada-NYA yang ironinya akan memberi kesan positif dan cahaya dalam kehidupan sehari-hari.

Cara

Bagaimana pula jika ingin melaksanakan ibadah zakat? Setiap negeri di Malaysia mempunyai institusi zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri.

Misalnya, bagi umat Islam di Pulau Pinang, mereka boleh melakukan ibadah itu di Zakat Pulau Pinang yang merupakan institusi zakat rasmi dan berautoriti di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).


Terdapat lapan buah kaunter zakat di seluruh negeri ini iaitu di Bukit Mertajam (ibu pejabat), Bayan Baru, Georgetown, Balik Pulau, Nibong Tebal, Kepala Batas, Butterworth dan Ayer Itam.

Perkhidmatan yang ditawarkan melibatkan kaunter kiraan atau taksiran zakat, kaunter bayaran zakat termasuk kaunter permohonan zakat.
Bagi memudahkan orang ramai pada era pandemik ini, menunaikan ibadah zakat telah dipermudahkan, lebih cepat dan selamat. Segalanya boleh dilakukan secara online melalui portal https://zakatpenang2u.com.

Kesimpulannya, sekiranya kita tidak mahu harta kita menyimpan ‘kotoran’, keluarkanlah zakat. Marilah sama-sama memastikan hak asnaf terus dibela.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Karolina Grabowska/Pexels

Kepentingan ketelusan dalam muamalat. Ini inti pati yang perlu diperhalusi
Muamalah,

Fiqh muamalat merupakan bidang yang sangat dinamik berbanding fiqh ibadah. Ini antara bukti kedinamikannya

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

Islam terdiri daripada tiga komponen iaitu aqidah, akhlak dan Syariah. Komponen aqidah berkaitan dengan hukum hakam keimanan iaitu yang berkaitan dengan rukun iman. Komponen akhlak pula menyentuh tentang hukum hakam berkaitan akhlak yang merangkumi sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat keji.

Manakala komponen Syariah pula terbahagi kepada dua. Pertamanya ialah yang menyentuh tentang hukum hakam yang berkaitan dengan hubungan makhluk (manusia) dengan penciptanya iaitu yang dinamakan sebagai ibadah. Keduanya ialah hukum hakam yang berkaitan hubungan manusia sesama manusia. Yang kedua ini dinamakan sebagai muamalat.

Perkataan muamalat secara umumnya membawa maksud yang sangat luas kerana ia hukum hakam yang diturunkan oleh ALLAH untuk mengatur urusan manusia sesama manusia baik dalam aspek kekeluargaan, kemasyarakatan, kenegaraan, pengurusan dan urusniaga harta, politik dan sebagainya.

Fokus saya pada kali ini adalah kepada pengurusan dan urusniaga harta iaitu yang dinamakan sebagai fiqh muamalat. Ini kerana kontrak-kontrak yang digunakan dalam kewangan Islam hari ini adalah berdasarkan kepada apa yang dibincangkan dalam fiqh muamalat.

Fiqh muamalat merupakan satu bidang yang sangat dinamik berbanding fiqh ibadah. Antara bukti kedinamikan fiqh muamalat ini ialah:

i. Semasa Islam diturunkan, Islam tidak menetapkan atau mencipta bentuk-bentuk transaksi muamalat yang khusus. Islam memberi kebebasan kepada manusia untuk mencipta bentuk transaksi muamalat mengikut keperluan tempat dan zaman mereka.

Malah ketika Islam datang, masyarakat Arab Jahiliyyah ketika itu sudah mempunyai pelbagai bentuk transaksi muamalat seperti jual beli, ijarah (sewaan), perkongsian (musyarakah atau mudarabah), rahn (gadaian) dan pelbagai lagi. Rasulullah SAW sebagai utusan ALLAH tidak menolak kesemua bentuk transaksi yang telah sedia ada dan diamalkan ketika itu.

Malah apa yang Rasululah SAW lakukan ialah membuat penambahbaikan dengan membuang unsur-unsur yang berlawanan dengan hukum hakam syarak seperti unsur riba, judi dan gharar. Pendekatan Rasulullah SAW ini menunjukkan kepada kita bahawa uruf yang sedang berjalan tidak ditolak seratus peratus tetapi dibuat penambahbaikan agar ia selari dengan Syariah.

Oleh itu, dalam konteks kewangan Islam hari ini, bukanlah satu kekurangan atau kelemahan sekiranya produk-produk kewangan Islam menerima pakai produk-produk kewangan konvensional setelah dibuat penambahbaikan sehingga menjadikannya patuh Syariah (Shariah compliant).

Jika ianya dinilai sebagai satu kekurangan, maka apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum ini juga satu kekurangan dan itu adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Namun begitu, inovasi baru produk kewangan Islam adalah suatu yang amat baik bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa.

Kerana itulah wujudnya kaedah fiqh seperti “hukum asal dalam muamalat adalah harus”. Manusia boleh mencipta apa sahaja dan tidak perlu mencari terlebih dahulu dalil  khas yang mengharuskannya. Asalkan tidak ada unsur larangan dan selari dengan kaedah umum yang ditetapkan, maka ia diharuskan.

ii. Islam hanya memberi garis panduan dan kaedah umum sahaja berkaitan hukum hakam muamalat.

Jika kita bandingkan bab ibadah, segala bentuk ibadah adalah diterangkan secara terperinci terutamanya dalam hadis Rasulullah SAW sesuai dengan peranan baginda sebagai utusan ALLAH.

Antara kaedah dan prinsip umum dalam muamalat adalah prinsip taradhi (persetujuan bersama), prinsip kewajipan tunaikan janji/akad, prinsip keadilan dan tidak berlaku zalim, larangan riba, gharar (ketidakpastian/ketidakjelasan) dan maysir (perjudian).

Tiada satupun ayat al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang menerangkan secara terperinci kaedah dan tata cara jual beli, ijarah, musyarakah atau mudarabah misalnya.

Akhir kalam, Islam memang menjadikan fiqh muamalat ini suatu yang dinamik kerana keperluan dan kehendak manusia sentiasa berubah mengikut perubahan masa dan tempat serta kemajuan teknologi. Wallahu a’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels.com

 

WhatsApp Image 2021-10-08 at 1.08.58 PM
Muamalah,

Ke arah melahirkan penasihat Syariah kewangan Islam yang kompeten

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

Bank Islam Malaysia Berhad adalah bank Islam pertama di Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1983. Ia merupakan detik bersejarah dalam industri perbankan Islam di Malaysia. Bermula daripada tahun tersebut, industri kewangan Islam di Malaysia makin berkembang maju dari masa ke semasa.

Industri kewangan Islam sangat bergantung kepada penasihat Syariah (PS) atau Jawatankuasa Penasihat Syariah (JPS)  dalam memastikan produk dan perkhidmatan yang diberi mematuhi Syariah.

Adalah menjadi satu keperluan undang-undang di Malaysia bagi semua institusi kewangan Islam yang di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) dan  yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SCM) untuk mempunyai PS atau JPS di peringkat institusi baik di institusi Perbankan Islam dan Takaful atau institusi yang terlibat dengan pasaran modal Islam.

 

INDUSTRI kewangan Islam sangat bergantung kepada penasihat syariah atau Jawatankuasa Penasihat Syariah dalam memastikan produk dan perkhidmatan yang diberikan mematuhi syariah.

Ini bermakna PS atau JPS merupakan tulang belakang kepada institusi yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Dalam konteks industri perbankan Islam dan takaful, pihak BNM sebagai badan pengawal selia dengan dibantu oleh Majlis Penasihat Syariahnya telah memainkan peranan yang berterusan dalam memastikan kepatuhan Syariah.

Atas dasar untuk memastikan institusi kewangan Islam (IKI) yang berada di bawah kawal selianya mematuhi Syariah, maka bermula tahun 2004, BNM mengeluarkan Garis Panduan Syariah 1 (GPS1).

Pada tahun 2010, BNM telah membuat penambahbaikan dan menerbitkan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah pada tahun 2010 bagi menggantikan GPS1. Pada tahun 2019, sekali lagi BNM membuat penambahbaikan terhadap tadbir urus Syariah di institusi kewangan Islam dengan menerbitkan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah atau dalam Bahasa Inggerisnya adalah Shariah Governance Policy Document (SGPD).

Antara perkara penting dalam tadbir urus Syariah adalah memastikan JPS yang menjadi tunggak utama dalam IKI hendaklah terdiri daripada seorang yang kompeten.

Bagi mempastikan aspek tersebut dipenuhi, IKI perlu memastikan JPS mengikuti latihan yang boleh menambah kepakaran mereka bukan sahaja dalam bidang Syariah semata-mata tetapi juga perlu menambah ilmu mereka dalam bidang-bidang lain seperti yang berkaitan dengan perakaunan, ekonomi Islam dan undang-undang di Malaysia.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, beberapa pihak telah menawarkan pelbagai kursus dan latihan. Antaranya ialah Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) dan   Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam Malaysia (Association of Shariah Advisors in Islamic Finance Malaysia) yang lebih dikenali sebagai ASAS.

Sebagai sebuah persatuan kepada penasihat Syariah di Malaysia, ASAS telah membangunkan satu program persijilan (Certification Programme) yang dikenali sebagai Certified Shariah Advisor (CSA) dan Certified Syariah Practitioner (CSP).

CSA adalah sesuai diambil oleh mereka yang ada latar belakang pengajian Syariah. Sementara CSP adalah khusus untuk mereka yang berlatar belakang bukan Syariah. Yang menariknya ialah bagi yang mengambil CSP, mereka berpeluang mempelajari ilmu asas Syariah yang penting seperti Fiqh Muamalat, Usul Fiqh dan Qawaid Fiqhiyyah.

Penyusunan program CSA dan CSP dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama, peringkat kedua dan peringkat ketiga. Setiap peringkat ada modul yang tersendiri. Para peserta mesti lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Kohort pertama telah memulakan program mereka pada tahun 2017. Sehingga setakat ini, seramai 134 orang telah bergraduasi daripada seramai 268 yang mendaftar untuk mengikuti program berkenaan.

Suatu yang lebih menarik untuk mereka yang berhasrat untuk mengikuti program CSA dan CSP, pihak Yayasan Peneraju telah bersetuju untuk memberi bantuan kewangan. Mereka boleh memohon bagi mendapatkan bantuan kewangan tersebut. Malah, pihak MARA juga menawarkan bantuan kewangan pada May 2021 di mana peserta hanya perlu membuat bayaran balik sebanyak 25% sahaja sekiranya mereka berjaya menamatkan program dalam tempoh dua tahun.

Akhir kalam, program CSA dan CSP ini sebenarnya telah diiktiraf sebagai satu program pembangunan kapasiti modal insan (human capacity building) yang penting bagi komuniti Syariah dalam kewangan Islam di Malaysia.

Maklumat lanjut tentang program tersebut serta maklumat-maklumat lain boleh diperolehi di website ASAS iaitu https://www.asas.my/.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Gaya Hidup, Gaya Hidup, Muamalah, Panduan,

Adab dan tatacara berniaga dalam Islam yang perlu kita patuhi demi mendapat keredaan-NYA

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

JUAL beli adalah salah satu bentuk urus niaga yang diharuskan dalam Islam. ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “Dan ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Jual beli merupakan medium untuk manusia saling memenuhi keperluan masing-masing. Pihak penjual ada barangan yang ingin dijual dan melaluinya, mereka boleh mendapat keuntungan secara halal.

Pembeli pula memerlukan barangan keperluan dan mereka boleh memperolehnya dengan cara yang halal juga.

Bagi menjadikan urusan jual beli yang dilakukan itu diberkati ALLAH SWT, terdapat beberapa adab dan tata cara yang sangat penting untuk diambil berat. Berikut adalah perinciannya:

1. Penjual dan pembeli hendaklah bersifat amanah.

Penjual dan pembeli perlu amanah semasa melakukan urusniaga dengan bersikap jujur dan tidak menipu dalam perniagaan.

Antara contoh amanah seorang peniaga adalah mereka tidak mencampurkan buah-buahan yang lama dengan yang baharu, kemudian menjualnya pada harga yang sama nilai.

jual beli

Dalam situasi lain pula adalah tidak mencampurkan makanan yang sudah dimasak pada hari sebelumnya dengan makanan yang dimasak pada hari ini.

Sementara pembeli haruslah bersikap jujur untuk memulangkan semula wang yang penjual tersilap beri semasa memulangkan baki kepadanya.

2.  Penjual dan pembeli hendaklah berlaku ihsan.

Maksud ihsan dalam berurus niaga ialah penjual tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Sebaliknya, mereka mengambil kira semua aspek kemasyarakatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT terutama pada musim wabak kini yang menyaksikan kebanyakan orang mengalami masalah kewangan.

Di pihak pembeli pula, golongan itu tidak menawarkan harga sehingga membawa kerugian kepada penjual.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

 

3. Penjual dan pembeli hendaklah saling bekerjasama.

Kedua-duanya saling bekerjasama apabila timbul sebarang perkara yang tidak diingini seperti wujud kecacatan pada barang jualan setelah sempurna akad jual beli.

Jika ia (kecacatan) tidak menjejaskan manfaat yang ingin diperoleh daripada barang tersebut seperti buku yang terkoyak sedikit tanpa melibatkan tulisan dalam buku berkenaan, pembeli digalakkan bertolak ansur untuk menerima kekurangan tersebut tersebut.

jual beli

Namun, jika ketidaksempurnaan tersebut menjejaskan manfaat buku berkenaan, penjual hendaklah menggantikannya dengan buku baharu.

4. Penjual hendaklah tekun dalam urus niaganya.

Kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara adalah salah satu ajaran dalam Islam. Oleh itu, penjual hendaklah bersungguh-sungguh dan tekun dalam menjalankan perniagaan agar terus berkembang maju.

5. Penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang diharamkan dalam Islam dan undang-undang negara.

Maksudnya ialah penjual dan pembeli hendaklah menjauhi perkara yang dilarang, sama ada ditegah oleh agama Islam atau undang-undang negara ketika berurus niaga.

Baca juga Ini beza antara pertukaran mata wang dengan perdagangan pertukaran mata wang. Hati-hatilah, jangan terjebak dengan jual beli bertentangan syarak

Sebagai contoh, penjual tidak menipu dalam timbangan, menjauhi riba, tidak menyorok barang ketika masyarakat sangat memerlukannya dengan tujuan menaikkan harga. Mereka juga tidak menjual barangan yang diharamkan seperti dadah dan arak.

Daripada pihak pembeli pula, mereka tidak memberi kerjasama dalam perkara haram seperti menjauhi amalan riba dan tidak membeli barangan haram.

6. Penjual dan pembeli saling melindungi.

Setiap penjual dan pembeli mempunyai hak masing-masing. Oleh yang demikian, kedua-duanya hendaklah saling melindungi hak masing-masing.

Sebagai contoh, penjual tidak mendesak dan mempengaruhi pembeli dengan maklumat-maklumat yang tidak benar atau kurang pasti, tetapi memberi peluang yang secukupnya kepada pembeli untuk membuat pilihan ketika hendak membeli sesuatu barangan.

jual beli

Pembeli pula tidak mendesak penjual menjual barang pada harga yang terlalu murah sehingga merugikan pihak penjual.

Akhir kalam, adab dan tata cara yang saya nyatakan sangat penting untuk diamalkan bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat, dapat mengelak penindasan dan penipuan.

Paling penting adalah mendapat keberkatan daripada ALLAH YANG MAHA ESA dan keuntungan yang diperoleh merupakan sesuatu yang halal lagi baik (halalan toyyiban). Wallahu a‘lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan dan Syariah.

Foto: Canva & Falaq Lazuardi/Unsplash

Pelaburan kontrak musyarakah
Muamalah,

Pelaburan Berasaskan Kontrak Musyarakah. Ini Kriteria Yang Kita Perlu Fahami

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PELABURAN adalah satu bentuk aktiviti memberikan modal atau wang dengan cara pembelian instrumen kewangan atau aset (atau) dengan memberi modal untuk sesuatu projek usaha sama perniagaan.

Dengan pelaburan tersebut, diharapkan ia akan menjana pendapatan kepadanya sebagai penyedia modal.

Antara bentuk kontrak pelaburan yang boleh dilakukan adalah kontrak musyarakah. Musyarakah merupakan istilah moden yang banyak digunakan dalam dunia kewangan Islam hari ini. Secara klasiknya, ia dikenali dengan kontrak syirkah.

Musyarakah bermaksud satu kontrak usaha sama atau perkongsian yang melibatkan dua orang atau lebih dalam sesuatu aktiviti perniagaan yang mana masing-masing akan menyediakan modal dan keuntungan akan dikongsi berdasarkan persetujuan bersama. Sementara kerugian pula akan ditanggung oleh setiap pemberi modal berdasarkan nisbah modal masing-masing.

Setiap kontrak yang ingin digunakan dalam aktiviti pelaburan atau perniagaan hendaklah mengikut syarat-syarat yang telah diutarakan oleh para fuqaha dalam penulisan mereka.

Bagi kontrak musyarakah, antara syarat utama yang biasanya tidak dipatuhi dengan baik oleh mereka yang menggunakan kontrak ini adalah:

i) Menyatakan nisbah perkongsian keuntungan semasa akad dilakukan.

Dalam kontrak musyarakah, keuntungan yang diperoleh hendaklah dikongsi antara rakan kongsi. Ini kerana mereka yang menyediakan modal ada hak ke atas keuntungan yang terhasil.

Oleh itu, bagi mengelak daripada berlakunya gharar yang dilarang dalam Islam kerana ia boleh membawa kepada pergaduhan.

Maka, pada masa akad dilakukan, nisbah perkongsian keuntungan wajib dinyatakan. Jika tidak, kontrak tersebut tidak sah.

Penentuan tersebut boleh dibuat dalam bentuk nisbah seperti 70:30 atau dalam bentuk peratus seperti 80 peratus dan 20 peratus.

Keuntungan tidak boleh diberi dalam bentuk pulangan tetap (fixed return) seperti RM1,000 atau 10 peratus daripada sumbangan modal.

Baca juga Ketahui Kaedah Urus Niaga Mata Wang Yang Betul Menurut Islam

ii) Tidak ada unsur jaminan modal.

Sebarang jaminan modal yang diberi semasa akad dilakukan akan membatalkan akad tersebut seperti kata pihak yang berakad: “Saya menjamin pulangan modal dengan memulangkannya kembali kepada penyumbang modal dalam tempoh 14 hari selepas penamatan kontrak.”

Pelaburan kontrak musyarakah

KETAHUI konsep pelaburan yang betul mengikut syarak agar tidak melanggar batas-batas yang digariskan.

Ini kerana sesuatu perniagaan terdedah kepada risiko kerugian yang mesti ditanggung oleh semua rakan kongsi.

iii) Perkongsian kerugian hendaklah mengikut nisbah sumbangan modal.

Apabila berlaku kerugian, semua rakan kongsi akan menanggung kerugian tersebut. Namun, ia tidak boleh dikongsi berdasarkan persetujuan bersama, tetapi ia hendaklah dikongsi mengikut nisbah sumbangan modal.

Sebagai contoh, Ahmad dan Ali bercadang untuk memulakan projek ikan keli. Mereka masing-masing menyediakan modal bagi projek berkenaan sebanyak RM50,000. Mereka bersetuju bahawa nisbah perkongsian keuntungan adalah 70:30 iaitu Ahmad mendapat 70 peratus daripada keuntungan yang diperoleh. Ali mendapat 30 peratus (daripada keuntungan berkenaan).

Setelah akad dilakukan, Ahmad dan Ali ialah rakan kongsi kepada projek ikan keli tersebut. Oleh itu, masing-masing berhak mendapat keuntungan daripada hasil perniagaan tersebut berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang telah diputuskan dan dipersetujui semasa akad dilakukan.

Jika keuntungan sebanyak RM1,000, maka Ahmad berhak sebanyak RM700 dan Ali berhak sebanyak RM300. Jika berlaku kerugian, masing-masing akan menanggung sebanyak 50 peratus iaitu berdasarkan nisbah sumbangan modal masing-masing.

Dalam industri kewangan Islam, pihak jawatankuasa syariah di institusi kewangan Islam dan Majlis Penasihat Syariah di Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memastikan setiap produk tidak melanggar mana-mana syarat kontrak yang menjadi kontrak pendasar.

Namun, apabila ia melibatkan individu atau syarikat yang bukan di bawah kawal selia BNM atau SC, syarat-syarat tersebut lebih mudah dilanggar kerana tiada pihak yang mengawal selia mereka. Ketakwaan mereka sendiri sahaja yang menjadi pengawal selia kepada mereka. Wallahu a’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Pexels

Urus niaga mata wang
Muamalah,

Ketahui Kaedah Urus Niaga Mata Wang Yang Betul Menurut Islam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

SEBAGAIMANA yang kita semua maklum, mata wang yang digunakan berbeza-beza mengikut perbezaan negara. Apabila seseorang melakukan urus niaga dengan seseorang yang berada di negara lain, tentu sekali mereka perlu membuat pembayaran mengikut mata wang negara berkenaan atau mana-mana mata wang yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

Dalam Islam, pertukaran mata wang adalah diharuskan. Dalam konteks Fiqh Muamalat, konsep berkenaan (pertukaran mata wang) termasuk dalam bab jual beli yang dinamakan sebagai bai’ al-sarf.

Bai’ al-sarf bukan sahaja terhad kepada pertukaran antara dua mata wang yang berbeza seperti Ringgit Malaysia dengan dolar Singapura, tetapi ia mencakupi juga pertukaran antara mata wang daripada jenis yang sama seperti menukarkan not RM10 dengan not RM5.

Para fuqaha telah menetapkan bahawa pelaksanaan bai’ al-sarf perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Ini kerana ia melibatkan pertukaran harta ribawi.

Mata wang kertas juga tertakluk kepada tatacara urus niaga barang ribawi sebagaimana yang diputuskan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam Sedunia (OIC) pada tahun 1986 dalam persidangannya ke-3 dalam resolusi no. 21 (3/9) berkaitan Ahkam al-Nuqud al-Waraqiyyah wa Taghayyur Qimah al-‘Umlah (Hukum Wang Kertas dan Perubahan Nilai Mata wang).

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Syarat-syarat bai’ al-sarf tersebut adalah:

– Jika melibatkan dua mata wang yang sama jenis seperti menukarkan not RM10 dengan not RM5, maka kadarnya hendaklah sama yang mana not RM5 hendaklah diserah sebanyak dua keping bagi menyamai kadar RM10. Jika ada lebihan atau kekurangan dari segi kadar, maka ia mengandungi riba yang diharamkan dalam Islam.

– Serahan kedua-dua mata wang itu hendaklah berlaku serta merta tanpa ada penangguhan sama ada ada salah satu daripadanya atau kedua-duanya sekali.

Urus niaga mata wang

ISLAM menyediakan kaedah dan garis panduan khusus dalam urus niaga barang ribawi termasuk mata wang kertas bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang bercanggah dengan syariat seperti riba dan seumpamanya.

Ubadah al-Samit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “[Pertukaran] emas dengan emas dan perak dengan perak dan gandum dengan gandum dan barli dengan barli dan kurma itu dengan kurma dan garam dengan garam, hendaklah sama kadarnya dan serah menyerah secara lani , maka apabila berbeza- beza, juallah sebagaimana kehendak kamu semua sekiranya dilakukan serahan segera.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyebut kepada Ibn Umar RA: “Tidak ada masalah jika kamu menerimanya dengan harga pada hari tersebut dan kamu berdua tidak berpisah dan di antara kamu berdua tiada sesuatu (baki wang yang belum dibayar).”

Kedua-dua hadis tersebut secara jelas menyebut tentang perlunya berlaku serahan segera bagi mengelak daripada berlakunya riba.

Serah terima itu yang mana dalam bahasa Arab, ia merujuk kepada qabd boleh dilakukan sama ada secara qabd hakiki (serahan secara fizikal) atau secara qabd hukmi (serahan secara maknawi).

Dalam konteks kewangan Islam di Malaysia, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan dalam Dokumen Polisi Bai’ al-Sarf sebagaimana berikut: “S 14.7 The possession of the exchanged currency shall be in the form of physical possession (qabd haqiqi) or constructive possession (qabd hukmi).”

Selain itu, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS BNM) juga telah memutuskan dalam mesyuarat ke-38 bertarikh 28 Ogos 2003 bahawa penyerahan dan penyelesaian urus niaga mata wang asing secara semerta yang dibuat pada T+2 adalah dibenarkan.

Penyelesaian dan penyerahan secara T+2 diterima dalam urus niaga secara lani (serahan segera) kerana tempoh masa sebegini adalah perlu bagi pihak-pihak yang berurus niaga membuat pengesahan. Sistem penyelesaian dan pembayaran sedemikian telah diterima sebagai uruf perniagaan. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash

 

Tadbir urus syariah
Muamalah,

Ini Kaedah Pelaksanaan Tadbir Urus Syariah Dalam Institusi Kewangan Islam Yang Ramai Tidak Tahu

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

KITA sewajarnya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana menjadi warganegara Malaysia. Antara nikmatnya adalah keprihatinan kerajaan Malaysia dalam memajukan kewangan Islam.

Dalam konteks negara, tonggak utama dalam memajukan kewangan Islam datangnya daripada pihak pengawal selia yang terdiri daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

BNM merupakan badan pengawal selia kepada sektor perbankan Islam dan takaful, manakala SSM melibatkan sektor pasaran modal Islam. Pihak pengawal selia bertanggungjawab menentukan kewangan Islam di Malaysia terus maju dan berdaya saing, malah turut memastikan kepatuhan syariah itu berlaku dari mula sampai akhir (end-to-end syariah compliant).

Peranan institusi tersebut adalah dengan mengemas kini dan menambahbaik rangka kerja tadbir urus syariah yang dikuatkuasakan ke atas institusi kewangan Islam (IKI) di bawah kawal selianya.

Pada tahun 2019, BNM telah menerbitkan Dokumen Polisi Tadbir Urus Syariah (DPTUS) yang lebih komprehensif dan mantap. Dalam DPTUS itu, antara lain dinyatakan kebertanggungjawaban pihak lembaga pengarah terhadap kepatuhan syariah di IKI masing-masing.

Selain penekanan diberikan kepada tugas dan tanggungjawab lembaga pengarah, DPTUS telah memperincikan lagi tugas dan tanggungjawab jawatankuasa syariah yang menjadi tulang belakang kepada IKI dalam aspek kepatuhan syariah.

Antara tugas dan tanggungjawab jawatankuasa tersebut adalah mampu memberi masa yang secukupnya untuk membuat persiapan menghadiri mesyuarat. Ia sebagaimana yang disebut dalam DPTUS: “S 10.11 Ahli jawatankuasa syariah mesti menumpukan masa yang secukupnya untuk persiapan menghadiri mesyuarat jawatankuasa syariah.”

Penekanan kepada persediaan yang mencukupi sebelum menghadiri mesyuarat dibuat kerana jawatankuasa syariah perlu mengeluarkan pandangannya terhadap isu-isu syariah yang dikemukakan oleh pihak IKI yang mana dirinya dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Tanpa persediaan yang mencukupi, tentu sekali ahli jawatankuasa syariah berkenaan tidak mampu membincangkan isu berkaitan dengan baik dan seterusnya membantu IKI dalam mencari penyelesaian yang sesuai terhadap persoalan yang dikemukakan.

Ketidakmampuan untuk memberikan tumpuan masa yang secukupnya terutama dalam membaca bahan-bahan mesyuarat sebelum menghadirinya mungkin boleh berlaku jika seseorang ahli jawatankuasa tersebut mempunyai terlalu banyak komitmen dan tidak mampu mengurus masa dengan baik.

Baca juga Penting Tadbir Urus Yang Baik Lebih-Lebih Lagi Jika Melibatkan Dana Awam

Ada kemungkinan kesibukannya itu boleh mendorongnya untuk meminta pertolongan daripada orang lain membaca bahan-bahan mesyuarat dan membuat ringkasan kepadanya.

Tadbir urus syariah

SEBAGAI ahli jawatankuasa syariah, antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah membuat persiapan menghadiri mesyuarat dan mengemukakan pandangan mereka tentang masalah berkaitan.

Tindakan sebegitu sebenarnya adalah tidak wajar sama sekali. Ini kerana ia telah melanggar salah satu tugas dan tanggungjawabnya iaitu memberikan masa khusus yang mencukupi untuk membuat persediaan sebelum menghadiri mesyuarat.

Malah, tindakan mendedahkan bahan mesyuarat kepada orang lain adalah bertentangan dengan prinsip kerahsiaan.

Dalam DPTUS, perenggan S 11.5 menyatakan: “IKI mesti memastikan bahawa kehadiran anggota dalam mesyuarat jawatankuasa syariah, dengan cara selain daripada kehadiran fizikal, tetap menjadi pengecualian dan bukan norma dan tertakluk kepada perlindungan yang sesuai untuk menjaga kerahsiaan perbincangan.“

Dalam perenggan S 11.5 itu ada menyebut tentang penjagaan kerahsiaan perbincangan. Ini bermakna, apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan kandungan mesyuarat termasuk bahan-bahan yang disediakan oleh pihak IKI adalah satu rahsia.

Oleh itu, apa yang terkandung dalam bahan-bahan mesyuarat adalah terhad kepada ahli mesyuarat sahaja dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain, melainkan dengan kebenaran pihak IKI berkenaan sahaja. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash