Browsing Category

Jendela Dunia

Tragedi Masjid Christchurch
Jendela Dunia,

Wira Serangan Masjid Di Christchurch Dikurniakan Anugerah Keberanian

BIARPUN lebih dua tahun berlalu, namun tragedi di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 51 orang masih segar dalam ingatan ramai khususnya umat Islam.

Masakan tidak, sinopsis kisah perit itu sukar untuk diterima. Bukan sahaja ia dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat. Malah, peristiwa pembunuhan itu turut dirakam secara langsung menerusi Facebook Live.

Namun, kini pelakunya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Di sebalik kisah episod duka itu, tindakan seorang lelaki yang menjadi wira ketika peristiwa berdarah berkenaan wajar dipuji. Dek kerana semangat juangnya yang tinggi tanpa mempedulikan nyawanya telah menghalang lebih banyak kematian semasa di Linwood.

Lelaki berhati waja yang dikenali sebagai Abdul Aziz baru-baru ini telah diberikan anugerah keberanian tertinggi negara itu, New Zealand Cross.

Tragedi Masjid Christchurch

ABDUL AZIZ

Menurut portal Voice of America, Abdul Aziz, 51,  merupakan antara 10 individu yang diiktiraf atas keberanian mereka ketika serangan yang berlaku pada bulan Mac tahun 2019.

Apa tidaknya, tindakan berani bekas pelarian dari Afghanistan itu membaling mesin kad kredit ke arah lelaki bersenjata yang baru sahaja melepaskan tembahan di Pusat Islam Linwood begitu dikagumi.

Beliau langsung tidak mengendahkan mayat bergelimpangan di sekelilingnya. Sebaliknya Abdul Aziz terus mengejar dengan senapang yang dibuang oleh pelakunya.

Kepada Radio New Zealand, Abdul Aziz memberitahu bahawa dirinya hanya mahu melindungi para jemaah yang lain.

Baca juga Jacinda Ardern Berang Kisah Dirinya Terpalit Dalam Filem Christchurch, Penerbit Tarik Diri

“Jika saya tidak berbuat demikian, kami akan hilang lebih ramai saudara kami termasuk saya juga.

“Sejujurnya saat itu, saya langsung tidak memikirkan bahaya atau perkara lain,” ceritanya mengimbas semula detik pahit berkenaan.

Selain Abdul Aziz, jemaah yang maut dalam kejadian tembakan itu, Allahyarham Naeem Rashid turut dianugerahkan New Zealand Cross kerana keberaniannya menyelamatkan nyawa para jemaah.

Dalam kenyataannya kepada media tempatan di negara berkenaan, balu Allahyarham, Ambreen Naeem menyifatkan anugerah tersebut bukan sahaja untuknya, tetapi bagi setiap orang yang cintakan keamanan dan menentang kebencian.

Tragedi Masjid Christchurch

ABDUL AZIZ digelar sebagai wira kerana tindakannya menghalang individu bersenjata daripada membunuh lebih ramai orang di Masjid Linwood, Christchurch.

Turut dikurniakan anugerah keberanian termasuk dua orang pegawai polis yang menahan lelaki bersenjata.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut menyifatkan kesemua yang diberikan anugerah keberanian itu sememangnya tidak mementingkan diri dan bersifat luar biasa.

Menyoroti semula kejadian itu, sebelum insiden tembakan berlaku, kehadiran lelaki bersenjata tersebut disambut oleh salah seorang jemaah di Masjid Al Noor yang mengucapkan ‘hello, saudara’ sebelum individu berkenaan menjadi orang pertama dibunuh.

Sejurus itu, pelaku terbabit melepaskan tembakan berkali-kali ke dalam masjid, selain di kawasan berhampiran.

Tembakan kedua kemudian berlaku di Masjid Linwood yang berjarak lima kilometer dari masjid pertama.

Foto: Voice of America & AFP

Trak makanan Malaysia
Jendela Dunia,

Keluarga Rohingya Muslim Buka Trak Makanan Halal Malaysia Di Milwaukee

JIKA ada dalam kalangan kita yang ternampak trak makanan Malaysia di Milwaukee, Wisconsin di Amerika Syarikat, usah terkejut.

Ini kerana terdapat pasangan suami isteri Muslim Rohingya yang mengusahakan perniagaan tersebut di bandar berkenaan. Mereka ialah Amir Mohammad Ali dan isterinya, Majidah Mohammed Yousef.

Kedua-duanya membuka Taste Amir’s Roti Food Truck yang menjual aneka roti, burger, samosa, nasi goreng dan lain-lain.

Malah, difahamkan ia merupakan satu-satunya perusahaan trak makanan Malaysia yang halal di Milwaukee, sekali gus memberikan pilihan kepada masyarakat Myanmar dan Rohingya menikmati hidangan tradisional, apatah lagi Milwaukee begitu terkenal dengan populasi pelarian Rohingya terbesar di Amerika Syarikat.

Membuka kisahnya, Amir menjelaskan, idea untuk membuka perniagaan itu tercetus selepas melihat beberapa trak makanan di bandar tersebut.

Trak makanan Malaysia

Ketika itu, beliau sedang menghantar makanan untuk DoorDash.

“Tambahan pula, saya memang berpengalaman bertahun-tahun bekerja di restoran di Malaysia selepas meninggalkan negara kelahiran pada usia yang muda.

“Bahkan, masyarakat Islam di Milwaukee tidak pernah mempunyai trak makanan Malaysia yang halal. Jadi kami fikir, ia idea yang bagus,” katanya yang datang ke Amerika Syarikat sebagai pelarian sejak lapan tahun lalu sebagaimana dipetik menerusi portal Abna24.

Sementara itu, memetik laporan laman web wisconsinmuslimjournal.org, sejak perusahaan trak makanan itu dibuka pada 4 Julai tahun lalu, Amir mengakui bukan mudah sebenarnya berniaga di negara orang. Apatah lagi pada saat seluruh dunia masih bergelumang melawan wabak Covid-19.

“Dua minggu pertama agak sukar bagi kami. Namun, selepas Sister Aneesa dari Persatuan Islam Milwaukee singgah ke trak makanan kami pada suatu hari, dia menyebarkan berita kepada masyarakat tentang perniagaan kami.

“Perniagaan kami kini berkembang dengan pesat dan menjadi sangat popular dalam kalangan masyarakat Islam di Milwaukee. Boleh dikatakan perusahaan kami menjangkau kumpulan pelanggan yang pelbagai.

Trak makanan Malaysia

“Antara hidangan tradisional yang popular ialah nasi goreng, dosa masala dan murtabak,” katanya yang membuka perniagaannya setiap hari kecuali Isnin bermula jam 11 pagi hingga 8 malam.

Kepada sesiapa yang mungkin berkesempatan ke Milwaukee, trak makanan Taste Amir’s Roti Food Truck boleh didapati di sebelah Wilson Park, 1601 W Howard Ave ketika musim panas.

Taman itu membolehkan pelanggan menggunakan ruang tempat duduk luar yang mana ia membantu memenuhi keperluan penjarakan sosial bagi mengekang Covid-19.

Manakala pada musim sejuk pula, trak makanan ditempatkan di South 13th Street dan West Ohio Avenue, di mana pelanggan boleh parkir kenderaan di belakang trak makanan dan menjamu selera di dalam kenderaan masing-masing.

Foto: Facebook Taste Amir’s Roti

Al-Quran terkecil dunia
Jendela Dunia,

Lelaki Jordan Miliki Al-Quran Terkecil Dunia, Habis Baca Surah Al-Baqarah Guna Mikroskop

no comment

SETIAP orang mempunyai kecenderungan dan minat yang berbeza. Itulah istimewanya hamba ciptaan ALLAH SWT di atas muka bumi ini.

Sebilangan orang yang gemar menggali ilmu sehingga berkelana serata dunia, segelintirnya pula minat melancong, bersukan, berkebun dan sebagainya.

Tidak seperti hobi kebanyakan orang, seorang lelaki warga Jordan, Ibrahim Ahmed Nawar pula gemar mengumpul barang-barang lama.

Minatnya yang mendalam terhadap artifak sebegitu mendorongnya untuk membuka muzium sendiri yang dinamakan sebagai Permanent Folk Heritage Museum (Muzium Warisan Rakyat Kekal) di Al-Salt, barat ibu negara Amman di Jordan.

Muzium tersebut antara lain menyimpan lebih daripada 25,000 karya seni yang berharga. Kebanyakannya bermula pada awal abad ke-20 sebagaimana dilaporkan portal iqna.ir.

Al-Quran terkecil dunia

AL-QURAN kecil ini bersaiz 1.5cm lebar dan 2.5cm panjang.

Antara barangan antik yang dikumpulnya, ada sesuatu yang begitu istimewa. Di lubuk hatinya yang paling dalam, Ibrahim begitu mencintai ‘harta’ yang satu ini.

Dari sebuah kotak kecil yang kelihatan agak usang, lelaki berusia 62 tahun itu mengeluarkan sebuah kitab kecil. Rupanya ia adalah sebuah mushaf al-Quran kecil yang dilitupi kulit berwarna hijau.

Saiznya begitu comel sekali jika dilihat pada mata kasar. Difahamkan, kitab suci itu berukuran kurang daripada 2 sentimeter (cm) panjang.

Baca juga Al-Quran Mukjizat Teragung dan Abadi

Kepada wartawan Anadolu Agency, Ibrahim membuka cerita bahawa salinan bercetak al-Quran itu adalah yang terkecil di dunia.

“Menurut apa yang dikatakan oleh pakar yang pernah melawat saya, lebar al-Quran ini adalah 1.5cm dan panjangnya pula 2.5cm.

“Mereka berkata, salinan cetakan al-Quran terkecil di dunia ialah 1.75×2.5cm, tetapi salinan ini (yang ada pada saya) kurang daripada itu. Jadi (al-Quran) ini adalah yang terkecil,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal tellerreport.com.

Al-Quran terkecil dunia

MUSHAF yang comel ini hanya dapat dibaca dengan menggunakan mikroskop.

Menariknya, pada al-Quran kecil itu tidak mengandungi sebarang tarikh cetakan keseluruhan surah dengan indeksnya. Ia menggunakan helaian kertas nipis, lengkap dengan halaman bernombor.

Malah, tiada seorang pun dapat membacanya kecuali dengan menggunakan mikroskop.

Ujar Ibrahim, mushaf kecil yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran itu diperolehnya daripada seorang penduduk Al-Salt, lebih 40 tahun lalu iaitu sekitar tahun 1980-an.

“Ketika itu, individu berkenaan berusia 75 tahun dan dia masih hidup hari ini, malah beliau terkenal sebagai salah seorang arkitek bandar itu.

“Apabila individu itu memberikan saya naskhah al-Quran ini, dia memberitahu bahawa dia mewarisinya daripada bapanya,” ujarnya.

Baca juga Tak Cukup Hanya Pasang Ayat Al-Quran Dalam Rumah Untuk Elak Gangguan

Jelas beliau lagi, banyak artikel tentang al-Quran tersebut telah ditulis pada abad-abad sebelum ini. Malah, terdapat pakar yang menjangkakan bahawa kalam ALLAH itu berusia lebih 100 tahun dan cetakannya bermula pada dekad pertama abad ke-20.

Al-Quran terkecil dunia

IBRAHIM memperoleh al-Quran yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu sejak 40 tahun lalu.

“Bukan itu sahaja, mereka yang mengetahui tentang sejarah kertas telah mengesahkan bahawa kertas yang digunakan berkualiti tinggi serta tepat dalam pembuatan dan percetakan.

“Difahamkan, juruteknik tidak boleh menghasilkan dengan ketepatan sebegini melainkan mereka ialah orang Turki atau Iran. Akan tetapi, mereka lebih suka orang Turki kerana al-Quran dicetak dalam bahasa Arab,” katanya.

Meskipun suka menyimpan khazanah berharga, namun Ibrahim tidak pernah membiarkan al-Quran yang jarang-jarang ditemui begitu sahaja. Beliau tetap memuliakan kitabullah itu dan membacanya.

“Alhamdulillah, saya dapat membaca Surah al-Baqarah menggunakan mikroskop selama 10 hari disebabkan tulisan yang kecil, selain memerlukan tahap fokus yang tinggi.

“Selain itu, saya akan membaca Surah al-Kahfi menggunakan al-Quran ini pada hari Jumaat,” ceritanya mengakhiri bicara.

Foto: Aljazeera

Untitled design (7)
Jendela Dunia,

Jurutera Cipta Tudung PPE Mudahkan Wanita Muslim Bekerja Dalam Bidang Lasak

no comment

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

JIKA di Malaysia tudung sarung bukan satu perkara luar biasa untuk diceritakan atau dijadikan bahan berita, namunsenarionya berbeza di sesebuah negara yang bukan didominasi oleh penduduk Islam seperti di United Kingdom (UK).

Seorang jurutera kanan dari Birmingham, Aminah Shafiq mencuri tumpuan apabila mereka bentuk tudung PPE (Personal Protective Equipment) yang memudahkan wanita Muslim memakainya ketika berkerja dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan di negara itu.

“Saya harap ciptaan ini akan memberi inspirasi kepada wanita Islam yang menceburi bidang lasak seperti ini (kejuruteraan dan pembinaan) yang biasanya melibatkan kerja-kerja operasi,“ katanya kepada BBC News baru-baru ini.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat yang menguruskan air, Severn Trent itu menambah, beliau memperoleh ilham untuk mereka hijab berkenaan ketika UK sedang melaksanakan sekatan pergerakan bagi seluruh penduduknya.

“Saya memikirkan tentang dua fakta iaitu bahawa topi keledar biasanya tidak muat untuk kepala saya ketika bekerja, begitu juga dengan material-material lain yang digunakan.

“Justeru, selepas melihat beberapa helai rekaan tudung sukan yang mempunyai aliran udara yang baik dan ‘terletak‘ pada kepala, saya rasakan kriteria itu memenuhi kehendak kami dalam sektor ini,“ katanya.

Seorang profesor di Universiti Warwick, Dr Freeha Azmat mengalu-alukan reka bentuk bersepadu tudung ciptaan Aminah.

“Biasanya apabila memakai tudung, kita memerlukan banyak pin, tetapi dengan tudung PPE Aminah, ia memberi banyak kelebihan kerana anda tidak perlu risau untuk melaraskan tudung,“ katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Nageen Fatima berkata, dengan adanya inovasi baharu tersebut, ia sedikit sebanyak membantu wanita Islam dan tidak mengehadkan mereka lagi untuk terbabit dalam apa jua profesion.

AP
Jendela Dunia,

Kementerian Haji dan Umrah Batalkan Tempoh Menunggu 14 Hari Untuk Umrah

no comment

JEMAAH yang ingin menunaikan Umrah kini tidak lagi perlu menunggu selama 14 hari untuk melaksanakan ibadah itu seperti yang dimaklumkan Kementerian Haji dan Umrah, semalam.

Ketua Pegawai Perancang dan Strategi di kementerian itu, Amr Al-Maddah, berkata bahawa dengan meningkatkan langkah pencegahan, keupayaan operasi Masjidil Haram untuk mengerjakan Umrah dan solat telah meningkat dengan ketara.

“Selaras dengan perkembangan terkini, kami mengambil maklum permintaan pada tarikh yang ada untuk jemaah menunaikan umrah, Kementerian Haji dan Umrah menyediakan ruang untuk jemaah melaksanakannya. Syarat larangan itu tidak lagi diperlukan dan akan mencapai kesepakatan yang adil untuk semua kerana permintaan yang tinggi daripada jemaah untuk melaksanakan Umrah,” katanya kepada Arab News.

Pada 16 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pelonggaran sekatan di seluruh negara itu termasuk Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah sehingga membolehkan operasi dan kapasiti jemaah kembali sepenuhnya.

Pada September lalu, jumlah jemaah mula dibenarkan menunaikan umrah dan bersolat di Masjidil Haram di Makkah telah mula meningkat setiap hari.

Sehingga 100,000 jemaah akan dapat menunaikan umrah setiap hari, peningkatan 30,000 berbanding kapasiti semasa dan 60,000 jemaah akan dapat bersolat di masjid.

Penyambungan berperingkat untuk melaksanakan Umrah bagi jemaah negara lain telah mula dibuka sejak 10 Ogos lalu selepas kerajaan melonggarkan sekatan akibat Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Jemaah Haji Britain, Rashid Mogradia yang telah menunaikan Umrah bulan lalu mengatakan ia adalah pengalaman yang sangat berharga.

“Kerajaan Arab Saudi telah melakukan kerja yang sangat luar biasa dalam mengawal penyebaran Covid-19. Kita dapat melihat bahawa langkah berjaga-jaga yang telah diambil oleh kerajaan selama ini telah mempercepatkan urusan umat Islam di seluruh dunia.

“Ini termasuk syarikat penerbangan nasional Saudi di mana mereka melakukan tanggungjawab yang hebat dalam memastikan tempat duduk dibersihkan dan semua orang mendapat pek keselamatan yang terdiri daripada alat pembersih tangan, tisu dan topeng muka bercetak yang berkualiti, ”kata Mogradia.

“Agak memberangsangkan dan mengharukan apabila melihat lebih ramai jemaah menunaikan Umrah dan tawaf berbanding pengalaman saya pada November 2020 yang merasakan saya seorang sahaja di sana,” tambahnya.

Dia yang merasa terhormat dan berbesar hati kerana dapat menunaikan umrah menganggap peluang itu adalah kerana panggilan ilahi.

Ketua Pegawai Eksekutif itu juga menyeru umat Islam Britain yang lain untuk melakukan perjalanan ke Arab Saudi bagi menunaikan Umrah perlu terus meningkatkan langkah berjaga-jaga dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

 

Sumber: Arab News

National Post
Jendela Dunia,

Saintis Islam Dinobat ‘Man of the Year’

no comment

KEJAYAANNYA sebagai perintis dalam menghasilkan vaksin terhadap perlindungan diri daripada wabak Covid-19 menjadi faktor, saintis kelahiran Turki-Jerman, Ugur Sahin dinobat sebagai ‘Man of the Year’

Sumbangannya dalam dunia perubatan antara faktor dia terpilih oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja (RISSC) untuk diterbitkan di dalam penerbitan tahunan The Muslim 500 – The World’s Most Influential Muslims bagi edisi 2022.

Vaksin yang dibuat oleh Sahin dan isterinya Ozlem Tureci yang merupakan pengasas syarikat farmasi BioNTech, melaporkan 95 peratus keberkesanan terhadap melawan virus corona dan menjadi ubat mRNA pertama yang dipersetujui untuk penggunaan kepada manusia.

Vaksin Pfizer yang dihasilkan oleh pasangan Muslim Ugur Sahin dan Ozlem Tureci diguna diseluruh dunia bagi melawan Covid-19. Gambar: Nikkei Asia

Vaksin itu menggunakan teknologi mRNA yang canggih dan pertama kali diperkenalkan oleh Sahin dan Tureci. Mereka kemudian bekerjasama dengan firma Amerika Syarikat, Pfizer dalam menghasilkan vaksin Covid-19 sehingga menjadikan antara yang paling banyak digunakan di seluruh dunia.

Penerbitan The Muslim 500 turut menamakan Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan sebagai “Wanita Terbaik Tahun Ini”.

Samia menjadi presiden wanita pertama negara Afrika Timur sejak Mac lalu setelah kematian pendahulunya John Magufuli.

RISSC mengatakan Samia sedang mengambil langkah untuk membatalkan beberapa autoriti polisi yang diperkenalkan mantan Presiden Magufuli dan secara tidak langsung bagi memulihkan demokrasi di Tanzania.1

Sheikh Tamim (kiri) dan Recep Tayyip Erdogan turut mendapat pengiktirafan 500 Individu Muslim Berpengaruh bagi edisi 2022.

Qatar ‘broker’ perdamaian serantau

Sementara itu, Penguasa Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani mengetuai senarai Pemimpin Muslim Berpengaruh, diikuti oleh Raja Arab Saudi, Salman ibn Abdulaziz Al Saud; Pemimpin Iran,  Ayatollah Ali Khamenei; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Raja Jordan, Abdullah II bin Al-Hussein.

Di bawah kepemimpinan Al Thani, Qatar telah menempatkan negara itu sebagai broker perdamaian serantau dan menerima pakai posisi yang kuat untuk terlibat secara proaktif melalui dialog dengan negara-negara tetangga.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, yang merupakan “Man of the Year” pada tahun 2020, berada di tangga kelapan dalam senarai penerbitan itu termasuk Presiden Indonesia, Joko Widodo di tangga kesembilan.

Sumber: YeniSafak

webp-net-compress-image-33
Jendela Dunia,

Masjid Hasan Bek: Karya Agung Uthmaniyyah Di Tengah Tel Aviv

no comment

WALAUPUN telah beberapa kali diserang sejak Israel menduduki tanah Palestin, Masjid Hasan Bek, yang dibina pada zaman Uthmaniah di kota Jaffa negara itu masih bertahan sehingga kini kerana keindahan seni binanya.

Suasana di dalam Masjid Hasan Bek yang bina pada 1914.

Terletak di kejiranan Neve Tzedek di Tel Aviv, ibu kota diduduki Israel, masjid itu dibina oleh Gabenor Jaffa Kerajaan Uthmaniyyah, Hasan al-Basri Aljabi di kawasan Manshiyya pada tahun 1914.

Walaupun kejiranan Manshiyya di Palestin Uthmaniyyah telah dihancurkan oleh rejim Zionis Israel, namun Masjid Hasan Bek diselamatkan daripada dirobohkan kerana bimbang kemungkinan tindak balas keras masyarakat Islam antarabangsa.

Ketika Israel memasuki bandar itu pada tahun 1948 yang merupakan sebahagian besar tanah Palestin, Israel mengambil alih pentadbiran dari kota Jaffa hingga ibu kota Tel Aviv.

Israel memasukkan bandar lama Jaffa di bawah pengurusan pentadbiran tempatan Tel Aviv dan pintu Masjid Hasan Bek ditutup untuk orang Islam.

Masyarakat Palestin masih ingat bahawa selama bertahun-tahun masjid itu ditutup, Israel menjadikan ia tempat perlindungan binatang, gudang dan menjadi tempat persinggahan penagih dadah.

Setelah ia tidak lagi digunakan oleh orang Islam, kawasan sekitarnya dibina asrama dan tempat hiburan, namun pada akhir tahun 1970-an ia dibuka semula untuk beribadah oleh masyarakat Jaffa Muslim.

Bercakap kepada Anadolu Agency, imam Masjid Hasan Bek, Sheikh Ahmad Abu Ajwa, mengatakan Israel sedang berusaha untuk menghancurkan identiti Arab-Islam di tanah Palestin yang bersejarah itu.

“Tidak ada bukti yang tinggal di kawasan kejiranan Manshiyya kecuali masjid ini, yang telah menyaksikan sejarah,” katanya, sambil menambah semua ini berlaku setelah Nakba (malapetaka), merujuk kepada penjajahan Israel pada tahun 1948, ketika ratusan ribu orang Palestin berpindah dan meninggalkan rumah mereka.

Abu Ajwa berkata, masjid itu ditutup untuk beribadat setelah penjajahan Israel.
“Masjid Hasan Bek di kawasan Manshiyya terpaksa ditinggalkan oleh orang-orang Palestin untuk berpindah kerana ia menjadi sasaran berulang-kali rejim Zionis menyerangnya,” katanya yang mempunyai kawasan solat untuk kira-kira 3,000 jemaah.

Pesekitaran luar Masjid Hasan Bek.

“Masjid Hasan Bek secara harfiah adalah karya agung Uthmaniyyah. Siapa pun yang melihat struktur masjid, dari pintu masuk ke mimbar dan mihrabnya akan melihat bahawa ia adalah karya besar Uthmaniyyah.

“Namun, semua rakyat Palestin, terutama penduduk Jerusalem yang dijajah dan saudara-saudara kita di Turki telah memberikan sokongan penuh kepada masjid ini,” tambahnya.

Persatuan Mirasimiz (Warisan Kita) Turki, yang bekerja untuk pemuliharaan warisan Uthmaniyyah di Jerusalem dan wilayahnya telah bekerjasama dengan Yayasan Al-Aqsa yang diasaskan oleh warga Palestin Israel, memulihkan struktur masjid di bahagian timur dan timur laut serta dibina semula tembok tenggara sesuai dengan seni bina Uthmaniyyah pada tahun 2009.

Sumber: Anadolu Agency

Asharq Al-awsat
Jendela Dunia,

Arab Saudi Tangguh Sesi Pembelajaran Sekolah Rendah

no comment

HANYA dua minggu saja lagi jika mengikut perancangan awal, sesi pembelajaraan pelajar sekolah rendah di seluruh Arab Saudi akan bermula.

Namun, Kementerian Pendidikan negara itu telah mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan sesi pembelajaran dari jarak jauh sehingga diberitahu lebih lanjut, menurut laporan Saudi Press Agency, semalam.

Cadangan pembukaan sekolah yang sepatutnya bermula 31 Oktober untuk pengajaran secara langsung telah ditunda atas alasan keselamatan.

Kata kementerian itu, pihak mereka memerlukan data epidemiologi lebih lengkap mengenai situasi Covid-19 daripada kerajaan bagi menilai risiko sebelum keputusan dapat dibuat mengenai pembukaan sekolah secara langsung bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Kementerian akan meneruskan usaha untuk menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan usia melalui ‘Madrasati’ (platform dalam talian) untuk peringkat sekolah rendah dan ‘Rawdaty’ untuk peringkat prasekolah,” katanya.

Kerajaan menawarkan pembelajaran secara maya kepada golongan kanak-kanak melalui ‘Madrasati’. Gambar: Zawya

Kementerian Kesihatan dan Pendidikan telah bekerjasama bagi memastikan keputusan untuk membuka sesi persekolahan bagi sekolah rendah dan menengah di buat dengan betul-betul bersedia tanpa sebarang risiko.

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa, mengikut peraturan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, pelajar yang divaksinasi sepenuhnya pada usia 12 tahun ke atas akan kembali ke sekolah.

Mereka yang tidak diberi vaksin sepenuhnya akan terus belajar dari jarak jauh, dengan tugasan kelas akan dimuat ke platform Madrasati yang diperkenalkan oleh kementerian.

Pada 12 Oktober, Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan yang mendesak pihak berkuasa pendidikan di seluruh negara untuk memastikan semua pelajar diberi vaksin sepenuhnya dan tiada yang terkecuali untuk belajar dari rumah. Pelajar diberi masa dua minggu dari awal semester untuk menyelesaikan proses vaksinasi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi, semalam melaporkan sebanyak 49 kes baharu Covid-19 dicatatkan dan dua kematian akibat wabak itu.

Angka itu menjadikan jumlah setakat ini dicatatkan sebanyak 548,018 kes dan jumlah kematian keseluruhan iaitu 8,767 orang.

Pegawai kesihatan mengatakan pada masa ini terdapat 2,214 kes aktif, di mana 90 orang pesakit berada dalam keadaan serius dan kritikal.

Di antara kes yang baharu dilaporkan, iaitu Riyadh (16 kes), Jeddah (9), Jubail (3), dan Al-Darb serta Makkah masing-masing dua kes.

Kementerian juga mengumumkan bahawa 38 pesakit telah pulih dengan jumlah keseluruhan setakat semalam iaitu sebanyak 537,037 kes.

Sebanyak 45,275 ujian tindak balas rantai polimerase telah dilakukan dalam 24 jam terakhir, yang bermaksud bahawa hingga kini lebih dari 29.8 juta pemeriksaan PCR telah dilakukan di negara itu.

Sementara itu, sebanyak 44.8 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan sejak kempen imunisasi Kerajaan dimulai dan lebih 20.8 juta orang kini telah lengkap divaksinasi sepenuhnya.

 

Sumber: Arab News

116407_AA24998356_1634483324599
Jendela Dunia,

Perbandaran Belanda Mencari Kesalahan Masjid

no comment

SEBUAH syarikat swasta di Belanda telah melakukan siasatan secara rahsia terhadap sekurang-kurangnya 10 bandar di Belanda berkaitan kesalahan institusi Islam khususnya masjid.

Dutch Daily NRC, Sabtu lalu melaporkan terdapat sebuah organisasi telah datang menyiasat 10 masjid di negara itu dengan menuramah imam, Ahli Jawatankuasa Masjid dan individu-individu yang aktif dalam komuniti Islam.

Menurut laporan itu lagi, bandar-bandar yang terlibat dalam penyelidikan tersebut termasuk Rotterdam, Delft, Almere, Huizen, Leidschendam-Voorburg, Zoetermeer, Veenendaal, dan Ede.

Akhbar itu menambah bahawa Utrecht Municipality telah menghentikan penyiasatannya kerana kebimbangan terhadap kaedah penyiasatan dan privasi umat Islam.

Sehingga kini sebanyak RM 1.45 juta  (USD347,990) telah dibelanjakan setakat ini untuk siasatan rahsia.

Pekerja Nuance door Training en Advies (NTA) iaitu sebuah firma perunding yang melakukan siasatan menggelar diri mereka sebagai anggota masyarakat atau pelawat yang ingin menemui orang ramai tanpa menyatakan identiti sebenar mereka, menurut laporan itu.

Hasil maklumat latar belakang imam dan pentadbir direkodkan, seperti dari mana mereka berasal dan pendidikan untuk diserahkan kepada kerajaan sebagai maklumat rahsia oleh NTA.

Masalah radikalisasi

Penyelidikan kerajaan terhadap radikalisasi dibuat kerana pembabitan Daesh dalam perang saudara Syria telah gagal. Kajian dibuat untuk mengukur sejauh mana masalah pengganas di negara itu yang sudah lama tidak dilakukan.

NRC melaporkan bahawa kajian itu bertujuan untuk mendapatkan hasil yang lebih realistik dengan mengawasi masjid-masjid di wilayah mereka.

Profesor Undang-Undang Perlembagaan, Ymre Schuurmans, berkata bahawa siasatan seperti itu tidak sah dan bahawa perbandaran tidak boleh melakukan perkara itu melalui syarikat swasta.

Kumpulan Payung Muslim juga mengatakan bahawa laporan siasatan itu merosakkan kepercayaan masyarakat Islam terhadap kerajaan.

Umat ​​Islam Belanda mengkritik penyiasatan rahsia itu.

Ketua Organisasi Muslim Belanda, Muhsin Koktas, mengatakan bahawa mereka sangat kecewa dengan berita itu.

“Selama bertahun-tahun umat Islam berusaha untuk menjadi warganegara yang baik di Belanda, dengan tindakan seperti itu, negara terus menggagalkan usaha kita. Atas sebab ini, mereka kehilangan kepercayaan umat Islam daripada mendapatkannya.

“Ini menyebabkan diskriminasi dalam masyarakat. Kami akan menyampaikan permasalahan ini kepada institusi negara yang bertanggungjawab untuk berunding mengenai langkah-langkah apa yang akan mereka ambil untuk mencegahnya daripada terjadi lagi,” katanya.

Sementara Ahli Parlimen Belanda kelahiran Turki, Tunahan Kuzu yang juga anggota pengasas Parti Politik Pro-Migran Denk, menyokong kenyataan Muhsin Koktas, bahawa keadaan itu merosakkan kepercayaan umat Islam terhadap pemerintah Belanda.

“Tidak sah apa yang dilakukan oleh perbandaraan untuk menyiasat masjid dengan cara ini,” kata Kuzu.

“Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya di parlimen untuk menghentikan agenda negara ini, untuk menempatkan para penyelidik di kalangan masyarakat masjid,”katanya.

Sumber: TRTWorld dan agensi

Euronews
Jendela Dunia,

Jerman Benarkan Laungan Azan Di Masjid Untuk Solat Jumaat

no comment

MASJID Pusat Cologne iaitu antara yang terbesar di Jerman akan dibenarkan melaungkan azan melalui pembesar suara pada setiap minggu waktu solat Jumaat. Ia selepas satu perjanjian antara kota Cologne dan masyarakat Islam dipersetujui bagi meringankan sekatan terhadap kebebasan beragama.

Semua 35 masjid di Cologne mendapat kebenaran untuk melaungkan azan selama lima minit bagi menandakan masuknya waktu solat Jumaat yang hanya dihadkan sehingga jam 3 petang sahaja selama tempoh percubaan dua tahun.

Suasana ruang solat di dalam Masjid Pusat Cologne, Jerman yang cukup indah. Gambar: Qantara.

Ia termasuk Masjid Pusat Cologne yang terbesar di Jerman yang mula dibuka sejak 2018. Ia sebagai dorongan kepada sentimen anti-Islam yang bertambah kuat setelah kemasukan kumpulan suaka ke negara itu bermula pada tahun 2015 hingga 2016.

“Membenarkan laungan azan oleh Muazim adalah tanda hormat daripada saya,” tulis Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker di Twitter.

“Panggilan untuk sembahyang menerusi loceng di katedral Cologne iaitu gereja Gothic terbesar di utara Eropah juga akan boleh didengar oleh penumpang-penumpang yang tiba di stesen kereta api utama di bandar ini.

“Ini menunjukkan bahawa kepelbagaian beragama sangat dihargai kepada mereka yang tinggal di Cologne,” tambahnya.

Semasa kontroversi mengenai pembangunan masjid besar itu, orang Islam memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan secara rutin melaungkan azan yang boleh didengar lima kali sehari di negara-negara Islam lain.

Bandar itu mengatakan bahawa masjid yang ingin melaungkan azan pada hari Jumaat harus mematuhi had jumlah pembesar suara mereka dan memberitahu jiran terlebih dahulu.

Kira-kira 4.5 juta umat Islam tinggal tinggal di Jerman adalah kumpulan minoriti agama terbesar.

Senibina dalaman yang cukup membanggakan umat Islam di Jerman.

Masjid Pusat Cologne adalah sebuah bangunan yang dimiliki oleh Muslim Jerman daripada Organisasi DITIB sebagai masjid pusat yang terbesar mewakili orang Islam di Cologne, Jerman. Masjid itu dirasmikan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Selepas kontroversi terhadap pembinaannya, projek itu mendapat persetujuan dewan bandar raya Cologne.

Masjid itu dirancang dengan gaya seni bina neo-Uthmaniyyah, dengan dinding kaca, dua menara dan kubah. Masjid ini dicadangkan untuk memiliki bazar serta kawasan sekular lain yang bertujuan untuk interaksi antara agama.

Oleh kerana masjid itu akan menjadi salah satu masjid terbesar di Eropah dan masjid terbesar di Jerman, ia pada mulanya dikritik oleh beberapa pihak yang tidak senang hanya kerana ketinggian menaranya.

Sumber: Al Jazeera