Browsing Category

Perbankan Islam

WhatsApp Image 2022-10-07 at 21.02.10
Iqtisad, Perbankan Islam,

Pembiayaan mikro zakat merealisasikan agenda rangkuman kewangan

 

 

OLEH: DR. TUAN BADRUL HISYAM TUAN SOH

Pembiayaan mikro zakat merealisasikan agenda rangkuman kewangan

Kita baru sahaja merayakan kemerdekaan negara kali ke-65. Namun bagi sebuah negara yang telah mengecapi kemerdekaan selama 65 tahun, adakah Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara maju yang mempunyai pendapatan per kapita ketiga tertinggi dalam rantau ASEAN?

Adakah ini ukuran sebenar sebuah kemakmuran di mana setiap warganegara dapat menikmati agihan kek ekonomi negara secara adil?

Di sebalik tirai kemakmuran dan kemajuan negara, pendapatan rakyat masih diukur dan diklasifikasikan dengan label T20, M40 dan B40. Bagi golongan B40 khususnya, mereka menghadapi masalah kekurangan akses modal kerana tidak memenuhi kriteria kredit yang ketat sehingga mereka dikategorikan sebagai unbankable atau underserved (kumpulan yang tidak atau kurang dilayani oleh institusi kewangan).

Persoalannya, apakah solusi yang bersifat lestari bagi permasalahan ini yang mampu meningkatkan taraf hidup golongan B40 serta melahirkan anggota masyarakat yang mandiri?

Rangkuman kewangan sebagai salah satu kaedah meningkatkan kesejahteraan kewangan

Institusi-institusi kewangan seharusnya menyahut agenda rangkuman kewangan (financial inclusion) yang digagaskan oleh Bank Negara Malaysia dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan.

Kesejahteraan kewangan merujuk kepada kemampuan setiap individu untuk memenuhi komitmen kewangan pada setiap masa; mempunyai daya tahan apabila berlaku kejatuhan pendapatan; mampu mencapai sasaran kewangan yang diletakkan; dan mampu membuat keputusan kewangan yang tepat untuk memperbaiki kualiti hidup dirinya.

Institusi-institusi kewangan disarankan untuk memastikan fasiliti kewangan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan khazanah kekayaan itu hanya beredar dalam golongan sama.

Keadaan ini perlu dielakkan sebagaimana firman Allah SWT: “…Supaya harta itu jangan hanya beredar dalam kalangan orang-orang kaya sahaja di antara kamu” (Surah Al-Hasyr ayat 7).

Justeru, solusi-solusi yang inklusif perlu diteroka agar setiap golongan dapat menikmati akses modal. Di sini, khazanah instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, waqaf, infaq dan sedekah memiliki potensi besar untuk diinnovasikan selari dengan keluasan syariat Islam itu sendiri untuk memberikan jawapan kepada permasalahan umat masa kini.

Zakat telah berperanan sejak sekian lama membantu golongan asnaf sama ada memenuhi keperluan asas atau memberi bantuan modal kepada asnaf yang ingin menceburi bidang perniagaan. Bagaimanapun pendekatan ‘memberi ikan’ berbanding ‘memberi pancing’ ini kurang berjaya melahirkan asnaf yang berwibawa dan mandiri.

Hal ini mempengaruhi tingkah laku asnaf menjadi golongan yang sentiasa menerima bantuan dan tidak mampu beranjak untuk menjadi golongan yang memberi.

Pembiayaan mikro berasaskan dana zakat melalui tajaan Alliance Islamic Bank

Oleh itu, Alliance Islamic Bank selaku salah sebuah institusi kewangan berteraskan syariah, terpanggil untuk membantu golongan asnaf mendapatkan sumber kewangan yang lebih baik.

Usaha-usaha ini dilakukan melalui kaedah mempelopori program pembiayaan mikro berasaskan dana zakat. Buat masa ini, Alliance Islamic Bank sedang berkolaborasi dengan institusi-institusi zakat dan rakan strategik yang berpengalaman dalam mengendalikan pembiayaan mikro serta menyediakan latihan kepada usahawan-usahawan kecil.

Dengan pengalaman dan kredibiliti sebagai sebuah institusi kewangan yang mapan, Alliance Islamic Bank mempunyai kelebihan dari sudut sistem pengawasan yang telus serta mampu menawarkan akses modal yang lebih luas. Hal ini sekaligus dapat mengurangkan tekanan kepada institusi-institusi zakat yang menghadapi kekangan sumber manusia dan kemahiran

Melalui program pembiayaan mikro zakat, golongan asnaf terutamanya yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan berpeluang untuk mendapatkan modal secara pinjaman bagi memulakan perniagaan kecil mereka. Modal pinjaman ini diberikan tanpa dikenakan sebarang caj.

Jika dibandingkan dengan kaedah agihan biasa (agihan secara terus), dana zakat yang disalurkan dalam bentuk pinjaman sebegini bersifat lebih lestari (sustainable) melalui bayaran balik daripada asnaf. Secara tidak langsung, lebih ramai asnaf akan mendapat manfaat kerana apa yang dibayar balik oleh asnaf akan dipinjamkan semula kepada asnaf yang lain.

Pemantauan juga akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan usahawan- usahawan asnaf ini sentiasa berada di landasan yang betul bagi mencapai objektif yang diimpikan.

 

Keharusan pemberian zakat secara pembiayaan mikro

Syariat Islam sentiasa menyokong kelestarian harta termasuk dana zakat melalui prinsip Maqasid Al-Shariah iaitu hifz al-mal (menjaga harta daripada kemusnahan) dan menjaga maslahat umum. Ulama Islam kontemporari juga telah membahaskan kaedah pemberian zakat secara pinjaman dan antara yang menyokong kaedah ini adalah Mustafa al-Zarqa’, Yusuf al-Qardhawi, Muhammad Abu Zahrah, Abd Wahab Khallaf dan Abd Rahman Hasan misalnya yang menyatakan:

“Kalaulah zakat boleh digunakan untuk membayar hutang, maka lebih-lebih lagi ia boleh digunakan untuk memberi hutang.”

Selain itu, pendekatan qiyas dan istidlal bi al-awla atau al-tamassuk bi nafy al-fariq turut diaplikasikan dalam mengharuskan kaedah ini.

Bagi meneroka kebolehlaksanaan model inovasi ini dari sudut pandang Syariah, Alliance Islamic Bank telah melantik sekumpulan penyelidik untuk menjalankan kajian yang menyeluruh bagi menentukan keharusan pembiayaan mikro menggunakan dana zakat. Kajian ini telah berjaya dibukukan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang Alliance Islamic Bank (https://www.allianceislamicbank.com.my

 

Penulis adalah Pengerusi Jawatankuasa Syariah Alliance Islamic Bank Berhad.

 

 

 

 

 

Cagaran
Perbankan Islam,

Penting ada cagaran ketika berhutang, ini sebab-sebabnya

TIDAK dinafikan, ada pelbagai sebab yang mendorong pihak berkenaan untuk berhutang. Adakalanya seseorang itu berada dalam situasi yang terdesak daripada aspek kewangan. Malah kadang-kadang dia tidak begitu terdesak, tetapi dia perlukan duit tambahan untuk tujuan pelaburan dan sebagainya.

Islam mengharuskan berhutang. Dalam istilah muamalat, kontrak berhutang disebut sebagai al-qard. Secara mudahnya al-qard adalah kontrak pinjaman wang. Berbeza dengan kontrak al-`ariyah yang kita sebut dalam percakapan harian kita sebagai pinjaman juga. Namun kontrak al-`ariyah ini melibatkan pinjaman benda-benda yang selain mata wang seperti meminjam kerusi, buku, pen dan seumpamanya.

Dalam Islam, apabila kita berhutang dengan sesuatu pihak sama ada individu atau institusi, sebaik-baiknya kita mencagarkan sesuatu. Dalam ilmu muamalat, kontrak mencagarkan sesuatu terhadap hutang yang kita tanggung disebut sebagai ar-rahn.

Ar-rahn ini bukan kontrak yang boleh berdiri dengan sendiri. Ini kerana ia adalah jaminan ke atas hutang. Oleh itu ia hendaklah diaplikasi bersama-sama dengan mana-mana kontrak yang menghasilkan hutang (dayn) seperti kontrak al-qard atau jual beli secara hutang.

Dipraktiskan oleh sistem kewangan Islam

CAGARAN berperanan sebagai satu bentuk jaminan kepada pihak pemiutang dalam situasi jika penghutang tidak mampu untuk membayar pinjamannya. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PIXABAY

Galakan memberi cagaran ini disebut dalam al-Quran sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Baqarah, ayat 283 yang bermaksud: “Dan jika kamu dalam perjalanan sedang kamu tidak mendapatkan seorang penulis, maka hendaklah ada cagaran yang dipegang. Tetapi, jika sebahagian daripada kamu mempercayai sebahagian yang lain, hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah dia bertakwa kepada ALLAH, Tuhannya. Dan janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barang siapa menyembunyikannya, sungguh, hatinya kotor (berdosa). ALLAH MAHA MENGETAHUI apa yang kamu kerjakan.”

Baca juga Jiwa Orang Yang Cuai, Liat Bayar Hutang Akan Tergantung Selagi Dia Tidak Melunaskan Hutangnya

Cagaran sangat penting. Biarpun ia bukan sesuatu yang diwajibkan, tetapi cagaran memainkan peranan sebagai satu bentuk jaminan kepada pihak pemiutang bahawa dalam situasi ketidakmampuan penghutang untuk membayar hutang, pemiutang ada jalan lain untuk mendapat kembali hutangnya.

Dengan lain perkataan, hati pemiutang akan merasa lebih tenang apabila dia menyerahkan wang kepada pihak lain atas dasar pinjaman ataupun dia menjual sesuatu secara bayaran tertangguh. Ini kerana risiko hutang tidak berbayar diurus melalui cagaran yang diberi oleh penghutang.

Dalam industri kewangan Islam, ada antara produk-produk pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggannya akan melibatkan cagaran seperti pembiayaan perumahan. Yang dicagarkan adalah rumah yang dibiaya oleh institusi kewangan Islam berkenaan.

Begitu juga kakitangan kerajaan yang mendapatkan pembiayaan perumahan secara Islam misalnya, mereka juga dikehendaki mencagarkan rumah berkenaan kepada pihak kerajaan. Malah di Malaysia, skim pajak gadai secara Islam telah lama diperkenalkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang ingin berhutang dengan mencagarkan barang kemas mereka.

Sebenarnya cagaran kepada hutang ini bukan sahaja dipraktiskan dalam kewangan Islam sahaja, tetapi juga dalam kewangan konvensional. Cuma, dalam kewangan Islam, cagaran tersebut tertakluk kepada hukum-hakam al-rahn.

RUMAH menjadi antara cagaran dalam produk pembiayaan perumahan. -FOTO: FREEPIK

Pada hari ini, institusi kewangan Islam yang menawarkan produk al-rahn terikat dengan Dokumen Polisi Al-Rahn yang dikeluarkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Baca juga Amalkan doa ini supaya orang membayar hutang kita

Walaupun mana-mana pihak lain yang bukan di bawah pengawalseliaan BNM tidak tertakluk kepada Dokumen Polisi al-Rahn tersebut apabila mereka menawarkan produk berkaitan al-rahn, tetapi adalah baik jika mereka merujuk kepada dokumen berkenaan bagi memastikan tidak ada pelanggaran hukum-hakam syariah dalam produk yang mereka tawarkan kepada pelanggan mereka.

Akhir kalam, ketahuilah bahawa memberi cagaran kepada hutang itu sangatlah dituntut dalam Islam agar ada jaminan terhadap bayaran balik hutang berkaitan. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah

 

OPR
Perbankan Islam,

Kesan OPR terhadap pembiayaan

PADA 8 September 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya yang terkini adalah 2.50 peratus.

Matlamat BNM menaikkan OPR untuk memastikan kadar inflasi kekal rendah dan stabil serta pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

OPR merujuk kepada kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat seperti BNM di Malaysia untuk institusi kewangan yang membuat pinjaman antara mereka untuk tempoh satu malam.

Namun, adakah rakyat Malaysia faham kesan OPR ini terhadap pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan Islam atau ke atas pinjaman dalam konteks institusi kewangan konvensional?

Baca juga Perbankan Islam tidak meniru konvensional, hadam dulu penjelasan ini

Saya menjangkakan mungkin ramai yang masih belum faham kesan OPR ini terhadap pembiayaan secara Islam yang menjadi fokus tulisan saya pada kali ini.

Satu perkara yang kita perlu tahu adalah apabila BNM menaikkan OPR, maka institusi kewangan sama ada konvensional atau Islam, masing-masing akan menaikkan kadar faedah bagi pinjaman  atau kadar keuntungan bagi pembiayaan secara Islam.

Dengan lain perkataan, kenaikan OPR secara umumnya akan menjadikan kos pembiayaan lebih mahal berbanding kos pembiayaan ketika OPR yang lebih rendah. Ini kerana, ketika OPR tinggi, kadar keuntungan yang diambil oleh institusi kewangan Islam juga tinggi dan begitulah sebaliknya.

OPR

KOS pembiayaan akan menjadi lebih mahal ketika kadar OPR meningkat. -Gambar hiasan/FOTO: PEXELS

Bagi mereka yang telah mengambil pembiayaan, kesan secara langsung memang boleh dilihat terhadap pembiayaan yang menggunakan kadar terapung (floating rate). Ini kerana pembiayaan yang menggunakan kadar terapung akan dipengaruhi oleh turun naik Kadar Pembiayaan Asas /Base Financing Rate (BFR) atau Kadar Asas /Base Rate (BR). Ini kerana kedua-duanya akan dipengaruhi oleh turun naik OPR.

Meskipun begitu, kesannya tidaklah ketara sangat sebagaimana kesannya terhadap pinjaman konvensional. Ini kerana pembiayaan tersebut tetap terikat dengan kadar siling (ceiling rate).

Baca juga Manfaatkan Kemudahan Bantuan Bayaran Balik Pembiayaan Yang Ditawarkan Institusi Kewangan Islam

Ini bermakna, jika BFR atau BR naik melebihi kadar siling, maka kadar terpakai hanyalah setakat kadar siling sahaja. Sedangkan dalam pinjaman konvensional, kadar siling tidak terpakai dan kenaikan BLR akan mengikut sahaja kenaikan OPR walau setinggi mana sekalipun.

Namun, bagi mereka yang telah mengambil pembiayaan yang menggunakan kadar tetap (fixed rate), maka naik turun OPR tidak akan memberi kesan apa-apa. Ini bermakna dalam situasi OPR dinaikkan oleh BNM, penerima pembiayaan tersebut akan membuat bayaran yang sama sahaja setiap bulan meskipun kadar BFR atau BR dinaikkan oleh institusi kewangan tersebut akibat daripada kenaikan OPR.

Kadar terapung

Berbeza dengan mereka yang mengambil pembiayaan menggunakan kadar terapung di mana bayaran ansuran akan bertambah mengikut kenaikan BFR atau BR tetapi ia tidak akan melebihi kadar siling yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam perjanjian antara pihak institusi kewangan Islam dan pelanggannya.

Kebiasaannya pembiayaan perumahan yang menggunakan kadar terapung sementara pembiayaan peribadi atau kenderaan kebiasaannya menggunakan kadar tetap.

Baca juga Ijab qabul penentu kesahihan transaksi yang dibuat, jangan abaikan aspek ini ketika bermuamalat

Kesimpulannya, apabila kita telah memahami kesan OPR terhadap pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam, maka kita perlu berfikir panjang sama ada perlu atau tidak kita memohon pembiayaan pada saat begini sekiranya ia bukan satu keperluan, tetapi hanya sekadar untuk bermewah.

Kita perlu ukur baju pada badan sendiri agar sesuai dan tidak menyusahkan. Jadilah seorang yang bijak mengurus kewangan agar tidak menderita di kemudian hari. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash

Iqtisad, Perbankan Islam,

Beri wang riba kepada fakir miskin untuk bersihkan harta haram, berikut hukumnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PERBANKAN Islam di Malaysia sudah lama bertapak iaitu mulai 1984 apabila Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mula ditubuhkan. Sebelum itu, rakyat Malaysia tidak ada pilihan apabila ingin menyimpan wang dengan selamat melainkan diperbankan konvensional.

Pada masa tersebut, kesedaran tentang riba masih belum tinggi dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang ada kesedaran tentang haramnya riba, tertanya-tanya apa hukum simpanan mereka diperbankan konvensional dalam situasi tiada perbankan Islam.

Dr Muhammad Rawwas Qal‘ahji dalam bukunya yang bertajuk al-Mu‘amalat al-Maliyyah al-Mu‘asarah, menyatakan bahawa dalam situasi ketiadaan perbankan Islam dalam sesebuah negara, maka harus seseorang Muslim menyimpan di bank konvensional.

Cuma duit faedah tetap haram dan tidak boleh dimanfaatkan untuk diri sendiri. Dia hanya boleh mengambilnya tetapi dia hendaklah menyerahkannya kepada pihak ketiga untuk digunakan bagi kepentingan umum, malah boleh juga diberikan kepada fakir miskin. Beliau membawa satu kaedah fikah yang bermaksud: “Pertukaran sebab pemilikan mengambil tempat pertukaran zat.“

Beri wang haram

WANG haram boleh disucikan dengan memberikannya untuk tujuan maslahah kebajikan umum dan tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau keluarga.

Kaedah tersebut adalah berasaskan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata bahawa “Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah. Pada masa itu, di dapur periuk sedang mendidih. Baginda meminta dibawakan makanan tengahari. Lalu dibawakan kepada baginda sekeping roti dan lauk yang biasa dimakan di rumah itu.

Rasulullah bersabda: Tidakkah saya melihat periuk sedang mendidih di atas api? Para sahabat menyatakan: Ya Rasulullah, tetapi ia mengandungi daging yang disedekahkan kepada Burayrah dan Burayrah telah menghadiahkannya kepada kami, sedangkan tuan tidak memakan sedekah. Sabda Rasulullah: Daging itu menjadi sedekah kepadanya tetapi menjadi hadiah kepada kita.“ (Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib 

Dalam hadis berkenaan, Rasulullah telah menjelaskan bahawa makanan yang dihidangkan itu tidak menjadi haram untuk dimakan oleh baginda walaupun daging itu pada asalnya disedekahkan kepada Burayrah. Ini kerana apabila Burayrah telah menghadiahkan daging tersebut kepada para sahabat, ia sudah bertukar status daripada daging sedekah kepada daging hadiah. Atas asas itu, Rasulullah menyatakan kepada para sahabat bahawa dia boleh memakan daging yang telah dimasak tersebut.

Hadis ini memberikan satu dasar atau kaedah penting tentang bagaimana pertukaran cara pemilikan telah mengubah status barang berkenaan.

Sebenarnya banyak lagi contoh lain yang membuktikan bahawa cara atau kaedah pemilikan sesuatu itu akan mengubah status barang yang dimiliki. Antaranya ialah pendapatan lebihan yang diperolehi melalui kontrak pinjaman (qard) adalah haram statusnya, tetapi jika pendapatan lebihan diperoleh melalui akad jual beli atau sewa (ijarah) atau mana-mana kontrak lain selain qard adalah halal apabila segala rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Baca juga Kaedah Yang Betul Urus Harta Haram

Oleh itu, pada pandangan saya, wang riba atau apa-apa pendapatan tidak halal yang diterima oleh seseorang Muslim adalah haram untuk dimanfaatkan olehnya sendiri. Namun, jika dia memberikannya kepada pihak ketiga, wang haram tersebut menjadi halal kepada pihak ketiga. Ini kerana pihak ketiga memperolehinya melalui kaedah hadiah atau hibah dan bukannya melalui simpanan dalam perbankan konvensional atau melalui pelaburan haram.

Beri harta haram

BERTUKARLAH akaun konvensional kepada produk kewangan Islam kerana ia termasuk dalam kategori membantu dalam amalan kebajikan.

Namun, perlu diambil perhatian bahawa cara pembersihan harta haram ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kekal dalam produk kewangan konvensional ketika adanya pilihan produk kewangan Islam. Bertukarlah kepada produk kewangan Islam kerana ia termasuk dalam kategori bantu membantu dalam amalan kebajikan yang disarankan dalam Surah al-Maidah, ayat 2. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: 123rf

Akaun Shariah KWSP
Iqtisad, Perbankan Islam,

Peri pentingnya Muslim tukar ke Akaun Shariah KWSP, ini sebab-sebabnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah ditubuhkan pada 1951. Tujuan utama penubuhannya adalah untuk membantu tenaga kerja Malaysia menabung bagi simpanan hari tua mereka selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Pada pandangan saya, tidak dinafikan bahawa tujuan penubuhan KWSP ini menepati maqasid syariah (objektif syariah). Dari aspek pemeliharaan harta, memang jelas sekali kerana dengan wujudnya KWSP, harta ahlinya dilindungi oleh Akta KWSP 1991.

Apatah lagi dengan peraturan yang ditetapkan berkaitan dengan pengeluaran simpanan ini banyak memberi manfaat kepada ahlinya. Bayangkan jika simpanan di KWSP ini diberi kebebasan kepada ahlinya untuk mengeluarkannya pada bila-bila masa, tentu sekali ia tidak berfungsi untuk membantu mereka dari segi kewangan apabila mereka mencapai hari tua. Malah, simpanan ini juga dapat membantu waris ahli sekiranya berlaku kematian ahli.

Walaupun jika dinilai dari segi tujuannya, penubuhan KWSP dilihat selari dengan Maqasid Syariah, namun ada satu hakikat yang kita tidak boleh nafikan iaitu semenjak KWSP ditubuhkan, semua akaun ahlinya adalah tidak patuh syariah.

Pelaburan bercampur

Ini kerana wang caruman ahli akan dilaburkan dalam pelaburan yang bukan 100 peratus patuh syariah. Apabila pelaburan yang dibuat melibatkan pelaburan yang tidak patuh syariah, maka dividen tahunan yang diberi juga tentu sekali tidak patuh syariah juga. Hanya dividen daripada pelaburan yang patuh syariah sahaja yang halal dimiliki oleh ahli berkenaan.

Baca juga Fahami konsep pelaburan atau perniagaan berasaskan perkongsian untung rugi

Oleh itu, meskipun tujuannya menepati maqasid syariah, tetapi jika caranya menyalahi hukum-hakam syariah, maka ia tetap tidak halal kerana niat/tujuan tidak menghalalkan cara.

Akaun Shariah KWSP

MAJORITI ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah.

Namun, pada 8 Ogos 2016, ahli yang beragama Islam mula ada pilihan untuk menukar akaun mereka kepada Akaun Shariah dan mulai 1 Januari 2017, berkuatkuasalah Akaun Shariah bagi mereka yang telah berbuat demikian.

Kewujudan Akaun Shariah KWSP ini merupakan satu rahmat kepada ahli KWSP beragama Islam di Malaysia. Ini kerana mereka tidak lagi perlu risau tentang pulangan dalam bentuk dividen yang tidak patuh syariah kerana kesemua caruman dalam akaun syariah hanya dilaburkan dalam pelaburan yang patuh syariah sahaja. Oleh itu, dividen yang diterima kesemuanya halal.

Sebaliknya, apabila pelaburan yang dilakukan itu bercampur antara yang patuh syariah dan yang tidak patuh syariah, maka tentu sekali bahagian dividen yang tidak patuh syariah itu perlu dibersihkan oleh ahlinya yang beragama Islam dengan cara memberinya kepada pihak ketiga seperti badan kebajikan misalnya.

Bayangkan jika peratus pelaburan yang tidak patuh syariah lebih tinggi berbanding yang patuh syariah, maka sudah tentu jumlah dividen yang perlu dibersihkan juga lebih besar. Bukankah itu satu kerugian besar berbanding mereka yang memilih Akaun Shariah?

Namun, adakah semua umat Islam yang mencarum di KWSP perihatin tentang isu tersebut? Saya berani mengatakan bahawa tidak ramai yang ambil kisah tentang status tidak patuh syariah pada sebahagian dividen yang diterima. Ini terbukti apabila diberitakan bahawa sebahagian besar daripada ahli KWSP yang beragama Islam masih lagi tidak bertukar ke Akaun Shariah walaupun sudah lima tahun lebih akaun syariah diperkenalkan.

Memandangkan masih ramai lagi yang belum beralih kepada akaun syariah, kempen dan saranan supaya umat Islam bertukar kepada akaun syariah perlu dipertingkatkan lagi. Para penceramah di masjid dan surau sewajarnya menekankan juga tentang perkara ini kerana ia melibatkan soal hukum. Wallahua’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Sinar Harian & Freepik

pexels-pixabay-164688
Berita Semasa, Iqtisad, Perbankan Islam,

Jauhkan diri daripada riba. Sama-samalah kita sokong perkhidmatan kewangan, produk berkonsepkan Islam

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

TAHUN 1984 melakar sejarah baharu buat Malaysia. Ketika itu, institusi perbankan Islam pertama di negara ini ditubuhkan yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad.

Pun demikian, orang awam masih lagi sama-samar dengan penubuhannya pada masa itu. Boleh dikatakan tidak ramai yang jelas tentang perbankan Islam apalagi kewangan Islam dalam konteks yang lebih luas.

Ditambah pula, pakar dalam bidang kewangan Islam terhad. Masakan tidak, ketika itu, belum ada lagi program dalam bidang kewangan Islam ditawarkan baik di kolej ataupun di universiti.

Kini, selepas hampir empat dekad berlalu, saya yakin sudah ramai yang mempunyai pengetahuan tentang kewangan Islam termasuk kewujudan perbankan Islam, takaful dan pasaran modal berasaskan agama suci ini.

Malah, banyak institusi pendidikan tinggi menawarkan program berkaitan dengan kewangan Islam. Begitu juga dengan institusiinstitusi yang menawarkan pelbagai latihan dan kursus berkaitan.

Dari segi produk yang bersifat Islamik pula, memang diakui tidak banyak bank yang menawarkan produk sebegitu waima syarikat takaful sendiri. Apalagi produk-produk pasaran modal Islam yang terhad. Namun begitu, semua yang kelihatan canggung pada suatu masa dahulu, tetapi tidak lagi pada masa kini. Sudah ada banyak pilihan di depan mata.

Bahkan, bilangan pakar bidang kewangan Islam pun semakin bertambah tahun demi tahun. Rata-rata kepakaran individu hebat dalam bidang berkenaan sejak tahun 1980-an lagi banyak menyumbang kepada pembangunan kewangan Islam di Malaysia.

Alhamdulillah, pada hari ini kita sudah boleh menarik nafas lega kerana berupaya memilih sama ada hendak beralih kepada kewangan Islam atau untuk kekal setia dengan kewangan konvensional.

Produk kewangan Islam

Malaysia memang mengamalkan dwisistem kewangan iaitu kewangan Islam dan kewangan bukan Islam berjalan serentak. Disebabkan itu, masih ada sebilangan umat Islam di Malaysia yang masih kekal dengan perbankan konvensional.

Barangkali mereka malas untuk menukar akaun simpanan atau pelaburan masingmasing kepada akaun perbankan Islam. Ia mungkin kerana sudah selesa dengan apa yang sudah menjadi kebiasaan mereka selama ini.

Pada pandangan saya, kita sebagai umat Islam wajib berpegang kepada apa yang telah dijelaskan dalam al-Quran dan hadis tentang pengharaman riba. Jangan sesekali ambil mudah tentang riba.

Sewajarnya kita sama-sama memberi sumbangan untuk mengembang dan membangunkan lagi perbankan Islam di Malaysia dengan cara membuka akaun di institusi kewangan Islam.

Pada mata kasar, mungkin sumbangan kita itu dianggap kecil, tetapi sokongan daripada semua umat Islam di Malaysia sangat bernilai sebenarnya.

Bayangkan jika seluruh umat Islam di Malaysia memberi dukungan padu kepada produk perbankan Islam, produk takaful dan pasaran modal Islam. Saya yakin suatu hari nanti kewangan Islam akan menguasai pasaran kewangan di Malaysia. Ia merupakan satu jihad yang perlu diberi perhatian oleh seluruh umat Islam di negara ini.

Ketahuilah, jihad itu tidak terhad kepada medan peperangan sahaja. Bahkan, menyelamatkan diri dan seluruh umat Islam daripada sistem riba juga dikira sebagai satu jihad. Sekecil mana pun sumbangan kita, saya yakin, ada imbalan yang bakal ALLAH SWT kurniakan kepada hamba-hamba-NYA.

Produk kewangan Islam

JAUHI riba dan bertukarlah kepada produk dan perkhidmatan berteraskan Islam yang pastinya berteraskan al-Quran serta as-Sunnah.

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha sedaya upaya untuk memberi sokongan kepada produk-produk kewangan Islam. Sekurangkurangnya kita bermula dengan membuka akaun simpanan atau akaun pelaburan dalam institusi kewangan Islam yang sudah banyak bertapak di Malaysia sekarang.

Misalnya, jika ingin membeli kereta atau rumah dan sebagainya, pastikan kita mengambil takaful dan bukannya insurans konvensional bagi melindungi aset kita apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Jika kita ingin melabur pula, pilihlah pelaburan berkonsepkan Islamik.

Semoga sokongan kita kepada produk dan perkhidmatan kewangan Islam itu akan menpercepatkan lagi penguasaan kewangan Islam terhadap pasaran kewangan di Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad ialah Ahli Jawatankuasa Syariah Persatuan Institusi Perbankan Malaysia, Panel Penilai Syariah di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ahli Majlis Penasihat Syariah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia & Ahli Jawatankuasa Syariah Bursa Malaysia

Foto: Freepik, Bernama & Pexels