Browsing Category

Soal Jawab Agama

Diisytihar bankrap
Soal Jawab Agama,

Terlupa bayar zakat fitrah, ini yang perlu kita tahu

BULAN Ramadan begitu sinonim dengan bayaran zakat fitrah. Masakan tidak, ketika inilah ia perlu ditunaikan sebelum kita menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Namun demikian, ada segelintir orang kadangkala suka melengah-lengahkannya atas pelbagai alasan.

Andai kita terlupa membayar zakat fitrah pada tahun sebelumnya, apakah hukumnya? Adakah ia boleh diqadakan pada tahun berikutnya?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, pada asasnya, zakat terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah (badaniah) dan harta (mal).

DA’I FUAD

“Zakat fitrah dibayar untuk kita berkongsi kepada orang yang memerlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup, manakala zakat harta pula terdiri daripada zakat sumber pendapatan termasuklah hasil pertanian.

“Dalam perihal zakat fitrah, harus hukumnya kita membayarnya bermula pada 1 hingga 30 Ramadan. Jika kita menundanya sehingga waktu selepas solat Subuh sebelum solat sunat Aidilfitri, ia sudah jatuh waktu afdal untuk kita membayarnya.

“Andai kita melunaskannya selepas imam solat sunat Aidilfitri, saat itu sudah jatuh hukum makruh. Namun, seandainya kita tidak sempat membayar zakat fitrah sehingga terbenam matahari Hari Raya Aidilfitri pertama, ia sudah masuk 2 Syawal dan dikira sebagai sedekah semata-mata apabila kita membayarnya selepas waktu berkenaan,” jelasnya.

Baca juga 7 Persoalan Tentang Zakat Fitrah Yang Wajib Kita Tahu

Justeru, beliau menjelaskan, sesiapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa kepada ALLAH SWT.

“Dari segi penalti, memang tiada denda yang khusus. Bagaimanapun, kepada pelakunya, banyakkanlah beristighfar kepada ALLAH SWT.

“Ini kerana Imam Hasan al-Basri pernah berpesan agar kita melazimkan diri berbuat demikian dan banyakkan bersedekah saat kita melakukan dosa kepada ALLAH,” pesannya.

Foto: Bernama

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SI+ (@_siplus)

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Hukum, Soal Jawab Agama,

Sebelum berbuka antara waktu mustajab berdoa, usah abaikan detik ini

DETIK berbuka begitu dinantikan oleh mereka yang berpuasa. Maklum sahajalah hampir 13 jam menahan lapar dan dahaga, sudah tentulah ia antara saat yang membahagiakan apabila dapat menghirup seteguk air dan menjamah hidangan.

Sememangnya makan dan minum itu merupakan fitrah setiap insan. Tidak hairanlah jika ramai yang sibuk menyiapkan juadah menjelang waktu iftar.

Begitupun, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan supaya kita mengambil peluang untuk berdoa sebelum masuknya waktu berbuka puasa.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Ini kerana, katanya, semasa berpuasa, apabila kita lagi hampir dengan waktu berbuka, maka lagi mustajab doa seseorang itu kepada ALLAH SWT.

“Ia sama konsepnya dengan permusafiran. Lagi panjang seseorang itu bermusafir, lagi mustajab doanya.

“Ketahuilah, pada panjangnya keletihan dan kepenatan, terdapatnya kemustajaban Tuhan,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Banyak hadis yang memerihalkan tentang perkara itu. Antaranya daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Baca juga Tersalah buka puasa awal kerana azan radio. Ini hukumnya

Dalam sebuah hadis lain juga daripada Abdullah bin ‘Amr RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka, doa yang mustajab.” (Musnad Abi Daud al-Thoyalisi)

Bagaimana pula dengan kemustajaban doa bagi mereka yang uzur syarie? Adakah ia sama dengan orang yang berpuasa?

Sebelum berbuka waktu mustajab doa

SEGERA berbuka apabila masuk waktu Maghrib.

Menjawab persoalan tersebut Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, secara zahirnya, ia tidak sama.

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

Berdasarkan kepada hadis yang berkaitan dengannya, ujar beliau, riwayat itu hanya merujuk kepada orang yang berpuasa sahaja.

Rasulullah SAW bersabda: “…(Antara doa yang tidak ditolak ialah) doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah)

Pun demikian, jelasnya, bagi wanita yang sedang berhadas besar, usah bimbang kerana mereka masih boleh berdoa kepada ALLAH SWT.

“Wanita ini boleh berdoa pada masa-masa yang penuh kebaikan seperti waktu sahur, hari Jumaat dan bulan Ramadan. Maka doanya mustajab,” terang beliau lagi.

Foto: 123rf & Freepik

Makan awal malam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

HARI ini merupakan minggu kedua kita bertarawih. Pastinya ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah sunat itu di masjid dan surau.

Maklum sahajalah, kebanyakan rumah-rumah ALLAH itu sudah boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, di samping merapatkan saf.

Usai menunaikan solat berkenaan, lazimnya hidangan moreh akan disajikan. Ada yang mengambil peluang untuk menjamahnya, selain boleh merapatkan silaturahim dengan jemaah yang lain.

Begitupun, terdapat juga sebilangan individu yang menjadikan moreh tersebut sebagai waktu bersahur. Ini kerana mereka bimbang tidak dapat bangun awal pada keesokannya.

Ketahuilah bahawa jika kita makan terlalu awal, ia tidak dianggap sebagai sahur.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, waktu sahur hanya bermula pada pertengahan malam yang kedua.

DR ZULKIFLI

“Justeru, sesiapa yang makan sebelum masuknya separuh malam yang kedua, ia tidak dikira sebagai bersahur.

“Hanya mereka yang makan pada atau selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur. Bukan itu sahaja, golongan ini juga bakal mendapat kelebihan bersahur tidak kiralah sama ada mereka makan banyak atau sedikit disertakan dengan air,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini 

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, umat Islam disunatkan untuk melewat-lewatkan sahur sebelum terbitnya fajar. Malah, perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam perkara yang afdal dilakukan.

“Kadar melewatkannya adalah kira-kira 50 bacaan ayat al-Quran,” katanya.

Ia berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit RA. Beliau berkata: “Kami bersahur bersama Nabi Muhammad SAW. Kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bercakap tentang kadar 50 ayat al-Quran, ramai yang berbeza tafsiran tentangnya. Apatah lagi ia melibatkan juadah yang kita makan. Memberi panduan mudah, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mencadangkan supaya kita makan kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh jika makan makanan yang berat seperti nasi.

Makan awal malam

JANGAN sesekali mengabaikan waktu bersahur kerana ia merupakan sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda serta para sahabat.

“Andai juadah ringan seperti kurma, air dan sebagainya, boleh mula makan kira-kira 15 minit sebelum azan Subuh,” terangnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menitipkan pesanan agar kita berusaha bersahur pada waktunya meskipun dalam kadar yang sedikit seperti memakan sebiji kurma atau seteguk air.

“Ia supaya kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan dan fadilat bersahur,” katanya.

Baca juga Jangan liat bangun sahur, banyak maanfaat dan keberkatan yang kita dapat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Justeru, janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air, kerana sesungguhnya ALLAH ‘AZZA WA JALLA dan para malaikat-NYA mendoakan ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Foto: Freepik

Qada solat
Hukum, Soal Jawab Agama,

Tidak boleh lakukan solat witir dua kali dalam satu malam, ini penjelasannya

RAMADAN datang lagi. Perasaan kali ini agak berbeza. Ramai yang berkorbar-kobar, malah ada juga yang berazam untuk menggunakan kesempatan yang diberikan bertemu bulan penuh rahmat itu dengan menyulam ibadah sebanyak-banyaknya.

Boleh dikatakan, ia ibarat ‘qada’ semua hajat yang tidak kesampaian ketika dua musim Ramadan sebelum ini kerana tidak dapat mengimarahkan masjid dan surau dek kekangan Covid-19.

Alhamdulillah kita sudah boleh merapatkan saf, selain menghidupkan Ramadan di rumah-rumah ALLAH.

Sudah tentunya ia memberikan keinsafan dan memahat momen terindah buat semua umat Islam di Malaysia, bahkan juga seantero dunia.

Solat witir

SOLAT berjemaah kini boleh ditunaikan dengan merapatkan saf. 

Bercakap dengan bulan yang penuh dengan keagungan dan keberkatan itu, solat tarawih menjadi antara ibadah yang begitu dinanti-nantikan saban tahun.

Maklum sahajalah, ia hanya menjelma selama sebulan sahaja dalam setahun. Andai terlepas, maka kita perlu menunggu bulan Ramadan seterusnya pada tahun depan. Itu pun jika ALLAH SWT mengurniakan umur yang panjang.

Selain solat tarawih, terdapat satu solat yang sering kali dilazimkan apabila kita melakukan solat sunat. Ibadah yang dimaksudkan itu ialah solat sunat witir.

Bagi yang sudah biasa melakukan solat-solat sunat yang lain, barangkali mereka tiada masalah berbangkit tentang solat witir. Namun, saat Ramadan, ada segelintir orang mengalami kekeliruan mengenainya.

Baca juga Tunaikan solat duha akan diberi ganjaran emas? Berikut penjelasannya

Lazimnya, kita akan menunaikan solat witir sebagai ‘penutup’ kepada solat sunat yang dilakukan. Cuma apabila tibanya Ramadan, kebanyakan kita akan mengikut imam melakukan solat sunat witir selepas selesai mengerjakan solat tarawih.

Kemudian, apabila kita bangun sebelum bersahur, tidak perlu lagi menunaikan solat witir selepas menunaikan solat sunat yang lain. Ini kerana kita tidak boleh menghimpunkan dua witir pada satu malam.

Akan tetapi, seandainya seseorang sudah menunaikan solat witir selepas Isyak dalam bilangan rakaat tidak ganjil, contohnya hanya melakukan dua rakaat, adakah individu berkenaan boleh menyambung witir tadi selepas bangun daripada tidur dalam bilangan rakaat yang ganjil?

Menjawab kemusykilan warganet, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, hukum membahagikan witir kepada dua waktu pada satu malam yang sama merupakan khilaf di sisi ulama Mazhab Syafie.

DR SYED SHAHRIDZAN

Pada asasnya, jelas beliau, witir hanya dibenarkan sekali pada satu-satu malam kerana terdapat larangan daripada Rasulullullah SAW tentang pelaksanaan solat sunat berkenaan sebanyak dua kali pada malam yang sama.

Ia sebagaimana direkodkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Sunan Abu Daud: “Tidak ada dua witir pada satu malam.”

“Para ulama Mazhab Syafie bersepakat bahawa tidak diharuskan berniat melakukan dua witir pada satu malam, bahkan haram melaksanakannya ke atas individu yang mengetahui larangan tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Perkara itu, kata Dr Syed Shahridzan, ia jelas dinyatakan oleh Imam Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj iaitu: “Jika seseorang mengerjakan witir, kemudian bertahajud atau tidak bertahajud sama sekali, maka dia tidak boleh mengulanginya, iaitu tidak dituntut untuk mengulanginya (solat witir). Jika dia mengulanginya dengan niat witir secara sengaja dan mengetahui (larangan mengulangi witir), maka haram dia melakukan begitu dan hukumnya tidak sah seperti mana yang difatwakan oleh ayahanda (Imam al-Ramli al-Kabir) -Rahimahullah Ta ‘ala- berdasarkan hadis yang menyatakan, ‘Tiada dua witir pada satu malam’ dan ini adalah hadis yang memberi makna larangan”.

Melihat kenyataan tersebut, ujar Dr Syed Shahridzan, ia merupakan larangan bagi mereka yang berniat untuk melakukan dua witir pada satu malam.

Namun begitu, bagi mereka yang berniat untuk menyambung witir yang dikerjakan pada awal atau pertengahan malam, kemudian niat menyambung rakaat-rakaat yang berbaki pada akhir malam, ia merupakan khilaf dalam kalangan ulama Mazhab Syafie.

Solat witir

TIDAK boleh melakukan dua solat witir pada satu malam.

Dalam kitab Ithmid al-‘Ainain menyatakan: “Ibn Hajar berfatwa bahawa sesiapa yang telah mengerjakan solat witir tiga rakaat, maka dia diharuskan mendirikan rakaat yang berbaki dengan niat witir, ini berlainan dengan pendapat al-Ramli”.

Berdasarkan kenyataan di atas, kata pendakwah tersebut kemudian membangkitkan hukum seseorang yang telah melakukan solat witir pada awal malam sama ada satu atau tiga rakaat, adakah boleh dia berniat untuk menyambung rakaat witir yang berbagi dengan rakaat yang genap?

Maka di sini katanya, berlaku khilaf di antara dua ulama besar Mazhab Syafie, yang mana Imam Ibn Hajar mengharuskan dan manakala Imam al-Ramli tidak mengharuskan kerana ia seolah-olah melakukan dua witir dalam satu malam.

“Begitupun dalam hal ini, orang awam boleh memilih mana-mana di antara kedua-dua pendapat imam-imam besar dalam Mazhab Syafie.

“Sebagai makluman, guru-guru kami dari Hadramaut memilih pandangan Imam Ibn hajar dalam isu ini. Ini kerana pandangan Ibn Hajar bukan bermakna mendirikan witir sebanyak dua kali, namun ia menjurus kepada niat menyambung solat witir yang sama pada penghujung malam,” jelas beliau.

Solat witir

BAGI sesiapa yang sudah menunaikan solat witir pada awal malam, boleh mengerjakan satu rakaat lagi bagi tujuan menggenapkan bilanga rakaar solat witir yang dikerjakan pada awal waktu.

Dr Syed Shahridzan kemudian berkongsi satu cara untuk melakukan solat witir pada akhir malam bagi sesiapa yang telah menunaikannya pada awal malam.

Beliau memetik pandangan yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar dalam Tuhfah al-Muhtaj.

“Caranya adalah dengan mengerjakan satu rakaat bagi tujuan menggenapkan solat witir yang dikerjakan pada awal waktu, setelah itu dilakukan witir dengan rakaat yang ganjil sebagai solatnya terakhir pada malam itu.

“Amalan ini diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat antaranya Saidina Uthman, Ali dan Ibn Umar RA sepertimana yang diriwayatkan di dalam musnad Imam Ahmad. Amalan ini juga dinyatakan oleh Imam Nawawi sebagai pandangan kedua (daif) di dalam Mazhab Syafie dalam karyanya, Minhaj al-Tolibin,” ungkapnya.

Menyimpulkan tentang perkara itu, Dr Syed Shahridzan sekali lagi menegaskan, haram berniat mendirikan dua solat witir pada satu malam bagi sesiapa yang mengetahui larangan tersebut.

Baca juga Berpuasa, Tetapi Tak Solat

“Bagi sesiapa yang tidak berniat untuk mengerjakan dua witir pada satu malam, tetapi hanya berniat untuk menyambung witirnya yang dilakukan pada awal malam ke penghujung malam, maka berlaku khilaf antara Imam Ibn Hajar dan Ramli.

“Ia tidak sah di sisi Imam Ramli, tetapi rakaat yang bersambung kemudian menjadi sunat mutlak. Namun begitu, ia sah sebagai solat witir dan diharuskan oleh Imam Ibn Hajar,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Bernama

Lari bayar cukai
Hukum, Soal Jawab Agama,

Jangan lari bayar cukai, ini sebab-sebabnya

BAGI kakitangan awam dan swasta yang belum sempat membuat pentaksiran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, masih ada masa lagi untuk berbuat demikian.

Jika dihitung, tempohnya berbaki lagi sebulan. Ia wajib diselesaikan sebelum 30 April ini.

Tunaikanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya dan penuhi butiran yang diperlukan. Jangan kerana enggan membayar cukai, pelbagai alasan dibuat. Malah, ada yang sanggup menyembunyikan jumlah sebenar pendapatan yang diperoleh ketika mengisytiharkannya.

Ketahuilah, perbuatan lari daripada mambayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan penipuan adalah dilarang sama sekali.

Lari bayar cukai

JANGAN sesekali menyembunyikan pendapatan yang diperoleh untuk mengelak diri daripada membayar cukai.

Memetik artikel Al-Kafi #1860: Hukum Lari Daripada Membayar Cukai yang disiarkan menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membayar cukai yang ditetapkan oleh kerajaan adalah satu kewajipan.

“Ia selaras dengan kaedah agama yang menyeru umatnya taat arahan pemerintah pada perkara yang ada maslahat padanya,” katanya.

Dari perspektif Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, terdapat perbahasan panjang dalam kalangan ulama mengenai cukai di samping melihat kepada realiti semasa.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Namun begitu, kerajaan harus mengenakan cukai terhadap rakyat dalam satu sistem teratur dan syarat-syarat ditetapkan.

“Suasana ekonomi sesebuah negara perlu diambil kira termasuk di Malaysia yang mana keadaan ekonominya masih lagi tidak mencukupi untuk hanya bergantung kepada beberapa sumber dan hasil mahsul.

“Justeru, keperluan mengenakan cukai adalah bersifat mendesak,” katanya.

Dalam hal mengelak cukai dengan mencipta pelbagai helah, katanya, perbuatan menipu itu jelas sebagai satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama.

“Malah impaknya, ia boleh membawa kepada kurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan kerajaan menyusun atur polisi ekonomi dan merancang program-program pembangunan serta bantuan untuk rakyat yang memerlukan,” katanya.

Bukan di Malaysia sahaja, badan-badan fatwa sedunia juga memberikan hukum yang jelas tentang perkara tersebut.

Lari bayar cukai

SEBAGAI Muslim, jalankanlah kewajipan kita untuk mentaksir cukai dan membayarnya mengikut kelayakan kita.

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah misalnya menyatakan: “Perbuatan menipu dan memberikan maklumat palsu berkenaan pendapatan yang diterima untuk mengelak daripada membayar cukai adalah diharamkan, bahkan ia merupakan salah satu dosa besar di sisi syarak. Hal ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu bentuk penipuan yang jelas dilarang oleh syarak, serta ia akan menyebabkan negara tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik kerana cukai merupakan antara sumber pendapatan penting sesebuah negara dalam menguruskan urusan rakyatnya.”

Baca juga ‘Cari rezeki halal lagi berkat, sekalipun badan dan otak kita penat‘

Begitu juga dengan Majlis al-Ifta’ wa Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyyah (Jordan) yang menyatakan: “Kestabilan ekonomi negara dan memelihara harta awam merupakan maqasid syariah yang dituntut dan tugas merealisasikannya ialah tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul oleh setiap rakyat. Perbuatan lari daripada membayar cukai merupakan satu ancaman terhadap objektif ini. Justeru, setiap Muslim mestilah tetap melaksanakan tanggungjawab membayar cukai dan patuh terhadap undang-undang negara serta tidak terpengaruh dengan sikap mereka yang sengaja melanggar aturan percukaian yang telah ditetapkan.”

Apa pun, janganlah kita sesekali lari daripada membayar cukai yang selayaknya dibayar. Ingatlah bahawa tujuan kita membayar cukai sebenarnya untuk kemaslahatan umat dan negara juga.

Foto: Pexels & Unsplash

Hukum, Soal Jawab Agama,

Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

SEBELUM melelapkan mata untuk tidur, ramai yang akan melazimkan bacaan tiga Qul dan ayat Kursi, selain membaca doa tidur saban hari tanpa gagal. Malah, ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk membaca surah-surah lain yang begitu banyak manfaatnya kepada diri seperti Surah al-Mulk dan as-Sajadah.

Maklum sahajalah, kita sudah terbiasa melakukan sedemikian sejak dari kecil lagi. Malah, amalan itu turut ‘diturunkan’ kepada anak-anak masing-masing.

Jika namanya pun hendak tidur, sudah tentulah pakaian yang dipakai sebelum itu tidak cukup sempurna. Pendek kata, ada aurat yang terdedah dan tidak ditutup dengan elok.

Malah, ada yang sudah siap sedia baring di atas katil lagi, tetapi tidak lupa untuk menadah tangan membaca doa dan bait-bait kalamullah tadi.

Dari segi hukumnya pula bagaimana? Ini kerana ayat yang kita bacakan sebelum tidur kebanyakannya datang daripada al-Quran.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.

MUHAMMAD FAHMI

“Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.

“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

Dalam perihal membaca al-Quran dalam keadaan berbaring atau di atas katil, ia dihukumkan harus sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1708: Hukum Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Berbaring yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca al-Quran sebelum tidur

SEBELUM tidur, jangan lupa membaca doa dan melazimkan diri membaca tiga qul serta ayat Kursi bagi memohon perlindungan ALLAH SWT daripada sebarang kejahatan.

ALLAH SWT berfirman: “(Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk, di atas lambung mereka (pembaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kamu, tidakkah KAU menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191)

Imam al-Nawawi berhujah menggunakan ayat tersebut sebagai dalil menyatakan pandangan yang mengharuskan pembacaan al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring ataupun di atas katil.

Jelas ulama berkenaan: “Sekiranya seseorang itu membaca al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya atau keadaan-keadaan selainnya, makai a diharuskan (dibolehkah) dan dia mendapat pahala.” (al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, al-Nawawi (Hlm. 80))

Baca juga Ini sebenarnya 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur

Pun begitu, keadaan paling sempurna ketika membaca al-Quran adalah apabila seseorang itu berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan tenang, selain menundukkan kepalanya menghadap ke arah mushaf dan duduk penuh adab sebagaimana kita duduk di hadapan para guru.

Foto: 123rf & Freepik

Doa untuk orang bukan Islam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Harus mendoakan orang bukan Islam sembuh daripada penyakit, ini penjelasannya

SEJAK virus Covid-19 mula dikesan lebih dua tahun lalu, Malaysia melaporkan hampir 4 juta keseluruhan kes setakat artikel ini ditulis.

Melihat angka itu, memang agak menakutkan. Namun, segala ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT itu harus diterima dengan hati terbuka, penuh sabar dan reda.

Saban hari, ada sahaja insan di sekeliling kita yang disahkan positif. Sedikit sebanyak hati dihambat rasa gusar melihat seorang demi seorang ‘rebah’.

Pun demikian, sebagai orang Islam yang beriman, kita perlulah menerima segala qada dan qadar yang telah ditentukan oleh-NYA. Percayalah setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bercakap tentang wabak corona, sememangnya ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira agama. Bolehkah orang Islam mendoakan kesembuhan orang bukan Islam yang turut dijangkiti penyakit berkenaan?

Doa untuk orang bukan Islam

Agama Islam sememangnya menuntut umatnya supaya berlaku ihsan atau dalam erti kata lain, melakukan kebaikan sesama makhluk.

Ini termasuklah juga sesama manusia. Mudah kata, kebaikan tersebut tidak terhad hanya kepada mereka yang menganuti agama sama dengan kita. Sebaliknya, ia perlu dilakukan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan lain-lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-672: Hukum Mendoakan Kesembuhan Kepada Orang Bukan Islam Yang Dijangkiti Wabak yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa keadaan yang mengharuskan umat Islam untuk mendoakan kebaikan kepada orang bukan Islam.

Antaranya seperti berikut:

1. Mendoakan orang bukan Islam dalam perkara-perkara berkaitan keduniaan.

Sebagai contoh, hal yang membabitkan urusan keduniaan seperti diberikan kekayaan dan kesenangan.

Perkara itu pernah dinyatakan oleh Imam Baihaqi tentang kisah ‘Uqbah bin Amir al-Juhani yang berdoa kepada kaum Nasrani dengan lafaz doa:

“Sesungguhnya rahmat dan berkat ALLAH hanya untuk orang-orang mukmin, akan tetapi semoga ALLAH memanjangkan umurmu dan memperbanyakkan hartamu serta anak-anakmu.” (al-Sunan al-Kubra: 19/71)

Baca juga Jaga adab, pelihara hubungan sesama manusia jika mahu doa kita diperkenankan-NYA

2. Berdoa supaya mereka diberi petunjuk dan hidayah.

Ia termasuk antara doa yang dibenarkan. Bahkan, umat Islam disarankan berbuat demikian.

Doa untuk orang bukan Islam

Para ulama mengharuskannya berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA: “(Suatu hari) Thufail bin ‘Amr al-Dausi dan para sahabatnya datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu mereka berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Qabilah Daus telah kufur dan menolak dakwah Islam, maka doakanlah keburukan untuk mereka!” Lalu yang berdoa itu berkata: “Hancurkanlah kaum Daus”. Baginda bersabda: “Ya ALLAH, berilah hidayah kepada Qabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku).” (Riwayat al-Bukhari)

3. Berdoa supaya diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

Perkara itu diharuskan selagi mana doa tersebut tidak melibatkan keampunan selepas mati.

Demikianlah pandangan majoriti ulama termasuk Imam Ibn Hajar al-Haytami. Dalam karangannya menerusi Tuhfat al-Muhtaj, beliau berkata: “Harus berdoa untuk orang kafir dalam perkara seumpama sihat tubuh badan dan hidayah.”

Melihat kepada semua keadaan tersebut, jelaslah bahawa tiada masalah kita berdoa supaya orang bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 agar diberi kesembuhan.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mendoakan kesembuhan sebenarnya termasuk dalam doa kepada orang yang ditimpa musibah.

“Malah, umat Islam digalakkan berbuat demikian lebih-lebih lagi terhadap orang yang ditimpa musibah dan dijangkiti wabak berbahaya supaya diberi kesembuhan.

“Ia antara salah satu ikhtiar untuk mengangkat wabak ini daripada terus merebak,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Unsplash

Bunuh semut
Hukum, Soal Jawab Agama,

Tak boleh bunuh semut, tetapi bagaimana jika serangga itu bawa mudarat?

SAIZNYA begitu kecil dan mempunyai fizikal yang kerdil berbanding dengan serangga mahupun haiwan lain. Begitupun, jika kita digigit oleh serangga itu, boleh tahan juga sakitnya. Kadangkala sakit tadi tadi bertukar menjadi gatal pada bahagian yang dikapitnya.

Itulah yang dirasakan oleh kebanyakan daripada kita saat digigit oleh semut. Serangga kecil yang merayap itu boleh dikatakan sering kali dijumpai pada atau di dalam bekas gula.

Mudah kata, kita boleh ‘bertembung’ dengan semut di dalam rumah kita atau di mana-mana sahaja.

Suatu perkara yang menarik tentangnya, serangga tersebut juga dimuliakan oleh ALLAH SWT. Jika tidak, tiadalah namanya diabadikan dalam Surah al-Naml yang bermaksud semut.

Bukan itu sahaja, serangga kecil yang mempunyai tiga pasang kaki berkenaan juga dilarang dibunuh.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA.

Beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW melarang membunuh empat jenis binatang yang melata; semut, lebah, burung hud-hud dan salah satu jenis burung.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Namun begitu, bagaimana pula dengan semut yang sering kali mengganggu manusia atau lebih tepat lagi menggigit kita? Tidak bolehkan ia dibunuh?

Bunuh semut

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama berselisih pendapat dalam hal itu. Ada ulama yang mengharamkan kita berbuat demikian dan terdapat dalam kalangan mereka membenarkan semut atau serangga itu dibunuh, tetapi dengan syarat tertentu.

Jelas Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’, Ashab Syafir menyatakan, tidak boleh membunuh lebah, semut, burung dan katak.

Begitupun, sebahagian ulama kontemporari dalam fatwa mereka seperti Syeikh Ibn Baz, Syeikh Soleh Ibn Uthaimin dan Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili membolehkan semut itu dibunuh dengan syarat jika ia membawa mudarat dan ancaman kepada kita. Serangga itu boleh dibunuh dengan apa-apa cara kecuali dengan api.

“Pihak kami cenderung dengan pandangan kedua ini iaitu dibolehkan membunuh semut jika ia membawa mudarat kepada kira.

“Andai ia tidak memberikan ancaman, maka hukumnya tidak boleh untuk serangga berkenaan dibunuh berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang jelas melarang kita membunuh semut tanpa sebab,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Irsyad al-Hadith Siri ke-32: Kisah Nabi Sulaiman dan Semut dan Larangan Membunuh Semut di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca juga Bila semut ada dalam minuman, makanan kita…Sering berlaku kat kita sebenarnya

Begitupun, jika kita mempunyai cara lain sebelum membunuhnya, langkah itu boleh dipertimbangkan.

Bunuh semut

HANYA semut yang memberi mudarat dan ancaman sahaja boleh dibunuh.

Misalnya, portal artikel agama berpengaruh di Indonesia, rumaysho.com menjelaskan, barangkali kita boleh melakukan sesuatu untuk mengusir semut di dalam rumah seperti meletakkan kapur semut dan seumpamanya.

“Namun, seandainya ia tidak berkesan, tiada masalah untuk membunuhnya,” jelasnya.

Tak boleh guna api

Meskipun dibenarkan membunuh semut yang mengancam manusia, namun umat Islam dilarang sama sekali membakarnya, apatah lagi menggunakan api.

Ini kerana hanya ALLAH SWT yang merupakan pemilik api sahajalah yang boleh mengazab dengan cara sedemikian, menurut portal republika.co.id.

Daripada Ibn Mas’ud RA bahawa para sahabat pernah singgah dalam salah satu safar baginda. Ternyata baginda melihat ada rumah semut yang dibakar.

Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang membakar ini?” Jawab para sahabat: “Kami.” Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak boleh membunuh dengan api kecuali Rab pemilik api (ALLAH).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bukan itu sahaja, memetik laporan kompas.tv, membunuh dengan air panas juga tidak dibenarkan menurut sebahagian ulama. Ini kerana ia termasuk dalam bentuk membunuh dengan api.

Bunuh semut

SEKALIPUN dibolehkan untuk membunuh semut yang mendatangkan mudarat kepada manusia, tetapi umat Islam dilarang membunuhnya dengan api.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

Dalam Fatawa Syabakal Islamiyah ada menyatakan bahawa: “Membunuh dengan air mendidih termasuk membunuh dengan api, dan termasuk penyeksaan yang bertentangan dengan prinsip membunuh dengan cara terbaik. Kerana itu, tidak dibolehkan.”

Seperkara yang menarik tentang semut, ketahuilah bahawa serangga kecil itu juga bertasbih sebagaimana makhluk-makhluk ALLAH SWT yang lain.

Firman ALLAH SWT: “Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada ALLAH. Dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-NYA, tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka…” (Surah al-Isra’, ayat 44)

Justeru, jangan sesekali kita membunuh semut kecuali ia membawa mudarat dan ancaman kepada kita.

Ingatlah bahawa Islam mengajar kita supaya berlaku ihsan dalam setiap perkara dan sesama makhluk.

Foto: Unsplash & Pexels

Riak dalam ibadah
Hukum, Soal Jawab Agama,

Fahami etika berdoa ketika solat

BERDOA sememangnya sangat dituntut dalam Islam. Ya, ia antara satu bentuk ibadah yang mudah dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila waktu sahaja.

Paling tidak pun, amalan itu sering kali dilazimkan usai menunaikan solat fardu mahupun sunat.

Namun begitu, terdapat segelintir orang yang sempat menitipkan doa ketika sedang khusyuk menghadap ALLAH SWT. Dengan kata lain, mereka melakukannya ketika sedang solat.

Apakah sebenarnya doa yang boleh dilafazkan pada waktu itu? Adakah doa berkenaan boleh dibaca dalam mana-mana rukun solat?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli memulakannya dengan mengajak kita untuk memahami pengertian solat.

MUHAMMAD FAHMI

Dari segi bahasa, jelas beliau, solat membawa maksud doa.

“Hakikatnya memang benar. Solat kita dipenuhi dengan doa. Selepas takbiratulihram, membaca doa iftitah.

“Begitu juga dalam Surah al-Fatihah, ada doa pada ayat yang keenam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

Begitupun, jelas agamawan itu, terdapat khilaf apabila kita berdoa ketika rukuk.

Pun demikian, katanya, menurut Imam Syafie kita dibolehkan melakukan sedemikian ketika rukuk. Ia bersandarkan kepada riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW membaca zikir semasa rukuk yang ada doa padanya.

Doa itu berbunyi: “Maha suci-MU ya ALLAH, wahai Tuhan kami, dan segala puji bagi-MU. Ya ALLAH, ampunkanlah kami.”

Menyambung hujahnya, Muhammad Fahmi memberi peringatan penuh bernilai buat kita semua. Beliau mengingatkan bahawa semasa sujud adalah lubuk utama untuk kita berdoa.

“Apa tidaknya, inilah keadaan yang paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya. Maka, kena perbanyakkan doa padanya.

“Selain itu, duduk di antara dua sujud pun kita membaca doa. Begitu juga sebelum kita memberikan salam.

Baca juga Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH

“Berdasarkan semua rukun-rukun dalam solat yang disebutkan tadi, jadi boleh saja kita berdoa ketika itu,” katanya.

Berdoa ketika solat

DOA paling afdal adalah doa ma’tsur daripada al-Quran mahupun hadis-hadis sahih.

Ketahuilah, doa yang paling afdal adalah doa ma’tsur iaitu daripada al-Quran ataupun hadis-hadis sahih.

“Adapun, doa yang tidak ma’tsur boleh dibaca di dalam bahasa Arab,” katanya.

Foto: Freepik & Pexels

Ramadan
Hukum, Soal Jawab Agama,

Tidak boleh puasa selepas pertengahan Syaaban? Berikut penjelasannya

MEMANG tidak dapat disangkal lagi kelebihan yang terdapat pada malam Nisfu Syaaban. Walaupun terdapat perbahasan hadis dari segi kesahihannya, namun semua riwayat berkenaan mempunyai asalnya.

Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, ia menjadi dalil yang konkrit menunjukkan malam Nisfu Syaaban itu mempunyai keistimewaan khusus.

PU FAIZ

“Malah, para alim ulama terdahulu memang mengakui adanya kelebihan malam Nisfu Syaaban. Hatta Ibn Taimiyah sendiri dalam Kitab Majmu’ al-Fatawa menyatakan bahawa orang salaf pada zaman dahulu akan beriktikaf di dalam masjid apabila tibanya malam Nisfu Syaaban. Mereka akan memperbanyakkan solat, berzikir dan berdoa kepada ALLAH SWT.

Baca juga Prasyarat raih keampunan ALLAH SWT pada malam Nisfu Syaaban

“Justeru, amat rugilah jika kita tidak mengambil peluang ini kerana kelebihannya yang besar. Cuma bagi mereka yang mahu meraihnya, jangan sesekali menyekutukan ALLAH SWT, usah berkelahi dan berdengki sesama orang Islam serta membunuh manusia tanpa hak,” katanya sambil mengingatkan bahawa tiada amalan khusus yang disandarkan pada malam berkenaan.

Benarkah haram berpuasa sunat selepas Nisfu Syaaban atau lebih tepat pada 16 hingga 30 Syaaban?

Menjawab persoalan itu, PU Faiz menjelaskan, bagi mereka yang tidak pernah berpuasa sunat sebelum 15 Syaaban, Rejab dan seumpamanya, hukumnya tidaklah sampai jatuh haram jika mereka berbuat demikian.

“Sebaliknya, ia dihukumkan makruh saja. Ini kerana hari diharamkan berpuasa adalah pada hari pertama Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) serta hari Tasyrik saja.

“Begitupun, bagi mereka yang berbaki puasa qada, boleh menggantikannya pada waktu tersebut sebelum memasuki bulan Ramadan,” ujarnya.

Baca juga Makruh puasa selepas pertengahan bulan Syaaban?

Foto: Freepik