Browsing Category

Hukum

Muslim berdoa bersama bukan Islam
Hukum,

Muslim berdoa bersama bukan Islam dalam satu majlis, apa hukumnya?

SUSULAN timbul isu Muslim berdoa sepentas bersama bukan Islam dalam satu majlis, ia menimbulkan tanda tanya.

Dalam insiden terbaharu, tular satu video memaparkan seorang lelaki yang membaca dilihat membaca Surah al-Fatihah, diikuti bacaan doa dalam sebuah majlis di ibu kota yang dihadiri oleh majoriti orang bukan Islam.

Di samping itu, ia turut membabitkan upacara ritual agama lain. Ia sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen dan perdebatan ramai.

Baca juga Video bacaan doa disulami ritual agama lain di majlis pecah tanah tular, JAWI buat siasatan lanjut

Muslim berdoa bersama bukan Islam

VIDEO tular seorang lelaki yang membaca Surah al-Fatihah dan berdoa dalam sebuah majlis yang dihadiri majoriti oleh orang bukan Islam. -Foto: Facebook Makkal Osai

Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Pejabat mufti berkenaan menjelaskan, berdoa termasuk dalam kategori ibadah dan ia merupakan salah satu tanda kerendahan diri hamba terhadap Tuhannya.

“Oleh itu, ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna, doa tidak boleh dilakukan sebagai suatu acara kebudayaan atau adat yang bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada ALLAH SWT.

“Justeru sebagai suatu ibadah, doa hendaklah dilakukan pada masa yang sesuai, suasana yang baik dan di tempat yang sepatutnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-156: Doa Bersama Dengan Bukan Islam Dalam Satu Majlis di laman web https://www.muftiwp.gov.my/.

Seperkara lagi, artikel tersebut menyebut, dalam Islam, doa juga satu ibadah untuk melahirkan rasa rendah diri dan tunduk kepada ALLAH SWT sambil menyatakan hajat atau permohonan yang dikehendaki.

Baca juga Berdoa tidak perlukan lafaz khusus dan skrip

Ia sama sekali berbeza dengan doa orang kafir yang pada hakikatnya tidak mempunyai nilai di sisi ALLAH SWT, terangnya.

“Selain itu, terdapat ayat-ayat yang menyuruh supaya kita berlepas diri daripada peribadatan atau agama orang kafir,” katanya.

Muslim berdoa bersama bukan Islam

MESYUARAT Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 memutuskan larangan bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh bukan Islam atau dalam acara yang dibacakan doa tidak difahami maksudnya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian mengemukakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali ke-113 berkenaan penglibatan orang bukan Islam dalam solat istisqa’ (solat dan doa memohon hujan ketika kemarau).

Jawatankuasa itu memutuskan larangan bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam majlis doa beramai-ramai yang dianjurkan oleh non-Muslim atau dalam majlis yang dibacakan doa tidak difahami maksudnya.

“(Keputusan itu dicapai) atas dasar sadd al-zara’i (menutup jalan-jalan kerosakan) untuk mengekang fahaman pluralisme agama yang bertentangan dengan kebanyakan agama, selain membendung penyebaran agama lain kepada penganut Islam berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Walaupun Islam memperakui kewujudan pelbagai agama dan meraikan kepelbagaian, namun tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ia bukanlah bermaksud keabsahan agama lain diiktiraf.

Apatah lagi hingga sanggup berkompromi dalam hal-hal yang bersifat prinsip, ungkapnya.

“Dalam hal yang berkaitan dengan prinsip-prinsip akidah, ibadah dan syariah, Islam akan kekal eksklusif sampai bila-bila. 

“Namun, dalam perkara yang melibatkan keamanan sejagat dan perpaduan nasional, kita boleh bersama-sama merealisasikannya sebagai warganegara Malaysia.

“Moga ALLAH SWT kurniakan kepada kita kekuatan untuk terus istiqamah dan jujur dalam mempertahankan kesucian agama ini,” ungkapnya.

***Foto: Pexels

jenazah mangsa kemalangan
Berita Semasa, Ibadah,

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

RATA-rata rakyat Malaysia sangat terkesan dengan kejadian pesawat terhempas yang dilaporkan berlaku di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Pun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kesedihan di sebalik tragedi itu pastinya paling dirasai oleh ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang mereka.

Seramai 10 individu maut dalam nahas terbabit. Mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna, berkecai, malah ada juga yang telah terbakar.

Baca juga Ingatan bekas Mufti kepada netizen, hentikan sebaran gambar, video mangsa nahas pesawat kerana dianggap membuka aib

berkecai terbakar urus jenazah

 

ARTIKEL BERKAITAN:

Menguruskan jenazah kebakaran

Dari sudut menguruskan mayat kemalangan, portal Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum asal bagi jenazah adalah wajib dimandikan, sama ada ia terbakar ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), air tidak diperlukan kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan.

Sebaliknya, proses memandikan jenazah kebakaran boleh digantikan dengan tayamum, sebagaimana dipersetujui para ulama Syafie.

ADA cara tertentu digariskan Islam untuk menguruskan jenazah yang jasadnya sudah berkecai atau terbakar. Gambar hiasan: Astro Awani

Mayat berkecai

Adapun, mangsa berada dalam keadaan hancur berkecai, namun masih terdapat anggota badan yang mampu dikutip.

Dalam situasi sebegitu, pendakwah Ustaz Mohd Riza berkata, mana-mana anggota badan yang berjaya dikutip perlu dikumpulkan dan diniatkan mandi jenazah dengan menjiruskan air seperti biasa.

Namun sekiranya fizikal mangsa sudah hancur sepenuhnya sehinggakan hanya tinggal cebisan, maka jenazah tidak perlu dimandikan. Malah bergantung kepada keadaan si mati, adakalanya tayamum juga tidak diharusnya.

Kata Mohd Riza kepada Mingguan Wanita, dalam hal itu, sudah memadai hanya membalut cebisan tersebut kemudian disolatkan jenazah serta dikebumikan seperti biasa.

Baca juga Jangan mengelak bila ada kematian, lelaki Muslim digalakkan iring jenazah ke pusara kerana pahalanya sebesar Gunung Uhud

jenazah mangsa kemalangan

PENGEBUMIAN beberapa jenazah dalam satu liang lahad dibenarkan dalam keadaan darurat. Gambar hiasan: Sinar Harian

Turut disyorkan Dah ubah ‘macam-macam’, ini tatacara uruskan jenazah transgender

Kebumi jenazah dalam satu liang lahad

Pihak Mufti turut menjelaskan, hukum asal mengebumikan dua jenazah dalam satu kubur adalah haram.

Namun begitu, perbuatan itu dibenarkan dalam keadaan darurat seperti terlalu banyak orang yang meninggal atau mungkin sukar membezakan jenazah kerana anggota badan yang sudah hancur dan bercampur akibat kemalangan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Mingguan Wanita

Foto: 123RF, Sinar Harian & Astro Awani

Jasad berkecai atau terbakar, ini cara urus jenazah mangsa kemalangan

Tafsir al-Quran
Hukum,

Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

Benarkah membaca ‘Sadaqallahul Azim’ sebagai penutup al-Quran dikira bidaah?

USAI membaca al-Quran, biasanya seorang Muslim akan mengucapkan ‘Sadaqallahul azim’. Kalimah tasdik itu sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia sebagai tanda mengangkat martabat kitab suci ALLAH berkenaan.

Pun begitu, wujud juga dalam kalangan masyarakat kita yang melarang penggunaan kalimat ‘sadaqallahul azim’ selepas membaca al-Quran atas alasan amalan tersebut tidak pernah diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, lantas menjadikan ia perbuatan bidaah.

Namun, sebagaimana dijelaskan oleh portal Mufti Wilayah Persekutuan, ucapan sadaqallahulazim merupakan salah satu cara penghormatan kita terhadap al-Quran.

Baca juga Berdosakah wanita baca al-Quran tanpa pakai tudung?

sadaqallahul azim

DARI manakah asal usul amalan mengucapkan ‘Sadaqallahul azim’ selepas membaca al-Quran? Foto: 123RF

Penggunaan kalimat ini juga pernah disebutkan serta dipersetujui oleh para ulama. Antaranya, ulama Imam al-Qurtubi berkata:

“Antara cara menghormati Al-Quran adalah apabila seseorang selesai membacanya, dia membenarkan Tuhannya dan bersaksi bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan Al-Quran, serta bersaksi bahawa Al-Quran adalah benar dengan mengucapkan: “صدقت ربنا وبلغت رسلك ونحن على ذلك من الشاهدين” (Engkau benar wahai Tuhan kami, Engkau telah mengutuskan Rasul-Mu, dan kami menjadi saksi ke atas perkara tersebut.” (Rujuk Tafsir al-Qurtubi)

ARTIKEL BERKAITAN:

Pujian kepada ALLAH
Pihak Mufti turut menjelaskan, para ulama kontemporari seperti Majlis Fatwa Jordan telah menegaskan bahawa ucapan sadaqallahulazim bukanlah amalan bidaah yang tercela.

Sebaliknya, ia adalah bentuk zikir dan pujian terhadap ALLAH SWT. Seperti yang diketahui, kita dianjurkan berzikir dalam setiap waktu dan keadaan.

Lantas, berzikir dan memuji ALLAH selepas membaca al-Quran bukannya suatu bidaah atau perkara yang menyalahi syarak, tetapi ia adalah satu penghormatan dan adab terhadap al-Quran serta ALLAH SWT.

sadaqallahul azim

LAZIMKAN membaca al-Quran setiap hari sekalipun hanya satu mukasurat. Foto: 123RF

Hukum mengucapkan dalam solat
Dalam pada itu, pihak Mufti berkata, perbuatan mengucapkan sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran dalam solat tidak akan membatalkan solat tersebut.

Hal ini kerana ungkapan itu dikira zikir dan bukannya percakapan dengan orang lain.

Kesimpulannya, membaca sadaqallahulazim setelah selesai membaca al-Quran bukannya perbuatan bidaah dalam agama, bahkan ia merupakan satu bentuk zikir yang digalakkan untuk dibaca sebagai salah satu cara memuliakan al-Quran dan beradab dengan ALLAH SWT.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

Tunai umrah
Berita Semasa, Hukum,

Perkahwinan 3 anak tak sah gara-gara bapa masih dalam ihram, sebab itu penting kursus sebelum tunai umrah

WALAUPUN sekadar tunai umrah, umat Islam dinasihatkan supaya mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Nasihat itu dititipkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Rabu.

DR WAN SALIM

Ia rentetan daripada kisah seorang bapa yang tidak sedar melanggar ‘pantang’ ketika berihram hingga akhirnya anak-anak dan cucu-cucunya menjadi ‘mangsa’, sebagaimana dikongsikan dalam akaun TikTok @rambutjelita.

Baca juga Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

Ceritanya begini, lelaki itu menunaikan umrah pada tahun 2011 tanpa berkursus terlebih dahulu.

Ketika melakukan tawaf, dia menyentuh dinding kaabah sebanyak tiga kali. Perbuatan itu sebenarnya telah membatalkan tawafnya.

Oleh sebab tidak tahu, dia meneruskan rukun yang lain sebelum pulang ke Malaysia.

Tidak lama kemudian, dia menikahkan seorang demi seorang anak-anaknya. Dipendekkan cerita, seramai tiga orang anaknya telah dikahwinkan  olehnya sepanjang tujuh tahun selepas pulang dari Tanah Suci tanpa menyedari dirinya masih dalam ihram lagi.

Menurut perkongsian daripada individu bernama Aida itu, setelah mengikuti kursus haji pada tahun 2018, barulah bapa tadi mengetahui dia masih dalam ihram.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

Dirinya lebih terkilan apabila ia turut mengheret sama pernikahan tiga anaknya tadi. Pejabat agama telah mengesahkan bahawa perkahwinan tiga anaknya tidak sah mengikut syarak, manakala cucu-cucunya pula lahir sebagai anak tidak sah taraf.

Lantaran itu, Dr Wan Salim mengingatkan peri pentingnya pengetahuan sebelum menunaikan ibadah sama ada haji atau umrah.

“Ikutilah kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Makkah. Ini penting untuk memahami rukun-rukun dan wajib haji, selain pantang larang ketika berada dalam ihram,” titipnya.

Tunai umrah

SEBELUM tunai umrah, sebaiknya dalami ilmu untuk menunaikan ibadah berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Mengulas lanjut tindakan lelaki terbabit yang menyentuh kaabah, ujar agamawan itu, tawafnya telah batal (tidak sah).

“Dia sepatutnya kena keluar semula daripada ihram dengan melakukan tahalul ihsar. Caranya ialah dia hendaklah menyembeli seekor kambing dengan niat tahalul,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Wan Salim menjawab: “Pernikahan anak-anaknya tidak sah dan perlu diakad semula.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

“Bagaimanapun, anak-anak yang lahir hasil pernikahan tersebut adalah sah taraf kerana hubungan suami isteri dianggap wathi syubhah, bukan zina.”

Pantang larang ketika ihram

Ketahuilah bahawa definisi ihram bukan bermaksud pakaian yang dipakai oleh para jemaah haji mahupun umrah.

Sebaliknya, jelas Abu Ammar al-Mahmudi dari Unit Bimbingan Az zuha Group Travel & Tours, ihram pada hakikatnya adalah perbuatan yang mengharamkan beberapa perkara yang asalnya halal bagi melakukan ibadah-ibadah tertentu.

“Sebagai contoh, ketika memulakan solat dengan mengangkat takbir pertama iaitu takbiratulihram, dengan erti kata lain, kita mengharamkan seketika perkara-perkara seperti bercakap, makan, minum dan sebagainya yang menjadi larangan ketika sembahyang,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook HANIS.

Menurut beliau, terdapat 13 larangan ihram bagi ibadah haji dan umrah seperti berikut:

– Lelaki:

Tunai umrah

KETIKA berihram, ketahui pantang larangnya agar kita tidak melakukan kesilapan berkenaan ketika menunaikan ibadah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

1. Memakai pakaian berjahit, bercantum dan dipakai secara bersarung.
2. Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala.

– Wanita:

3. Menutup muka atau sebahagian daripada muka.

– Lelaki & Wanita:

4. Memakai sarung tangan.
5. Berwangi-wangian.
6. Memakai minyak pada kepala, janggut dan jambang.
7. Mencabut, memotong atau membinasakan bulu-buluan yang ada pada badan.
8. Memotong, mengerat atau membinasakan kuku.
9. Memburu binatang buruan yang halal dimakan.
10. Memotong, mengerat, menebang atau membinasakan tumbuhan di tanah haram.
11. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wali kahwin.
12. Mukadimah bersetubuh.
13. Bersetubuh.

Kepada mereka yang mahu beribadah ke Tanah Suci, timba dahulu pengetahuan sebelum ke sana. Jangan ambil remeh tentang hal itu.

Bishar
Ibadah,

Lelaki ini masuk Islam kerana terpesona dengan kehebatan tahajud

SOLAT tahajud merupakan ibadah sunat yang dituntut oleh ALLAH SWT dan para Nabi. Menunaikannya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).

Terdapat banyak kelebihan bagi sesiapa yang melazimkan solat sunat ini, bahkan ia mampu menjentik hati sesiapa sahaja kerana hikmah besar yang tersembunyi di dalamnya.

Baru-baru ini tular seorang lelaki non-Muslim telah berhijrah memeluk agama Islam setelah memahami keajaiban yang tersimpan dalam solat sunat tahajud.

Baca Juga Nak qiamullail tak semestinya kena berjaga tengah malam…

Perkongsian itu dibuatnya menerusi satu rakaman video di TikTok. Menurut Bishar, dia mula terbuka hati mempelajari agama Islam selepas menonton video daripada seorang wanita bernama Ameena.

“Saya tengok video pasal tahajud. Saya pergi ke kedai buku beli beberapa buah buku”.

Ketika solat sunat tahajud, Bishar yang merupakan penghidap neutropenia berdoa mengenai beberapa perkara antaranya kesihatan, kerjaya dan kesejahteraan hartanya.

Bishar melakukan solat sunat tahajud selama beberapa hari berturut-turut dan bersungguh-sungguh meminta kepada ALLAH SWT.

BISHAR juga merupakan seorang penghidap neutropenia (Neutropenia ialah istilah perubatan yang digunakan apabila anda tidak mempunyai neutrofil yang mencukupi – meletakkan anda pada risiko jangkitan).

“ALLAH makbulkan doa saya. Dan saya lafaz syahadah selepas itu. Saya datang kepada ALLAH SWT disebabkan doa saya dimakbulkan”.

Dia turut menitipkan nasihat kepada seluruh umat Islam supaya tidak hanya menunaikan solat wajib lima waktu tetapi turut mengamalkan solat sunat tahajud dan meletakkan seluruh jiwa kepada ALLAH kerana di situ tersimpannya seribu keistimewaan.

 

@son_of_a_rose Tahajjud Reflection #tahajjud #salat #reflection #worship #foryou #inspiration #islamic #prophetic ♬ original sound – Bishar

Artikel Berkaitan 

Kelebihan Tahajud

Solat tahajud merupakan satu ibadah sunat yang sangat dituntut dalam Islam.

Perkara ini jelas dapat dilihat kerana terdapat beberapa surah dalam al-Quran menyebut secara langsung untuk umat Islam melaksanakannya.

Keistimewaan tersebut menyebabkan Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan solat tahajud sehingga bengkak kaki Baginda.

Orang yang menunaikan solat tahajud akan baik keperibadiannya terutama daripada segi akhlak, perbuatan mahupun tutur kata.

RUMAH yang dihidupkan dengan amalan solat malam tidak akan terasa sunyi seperti kubur. Malah ia akan memberikan kedamaian kepada para penghuninya.

Ini kerana orang yang rajin menunaikan solat tahajud seolah-olah selalu mendapat bisikan nurani yang dibimbing ALLAH sehingga cermat dalam mengambil tindakan dan sesuatu keputusan.

Firman ALLAH “Sesungguhnya kami akan menurunkan kepada-mu perkataan yang berat. Sesungguhnya beribadah pada malam hari lebih khusyuk (mantap) dan bacaan waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang banyak. (Surah al-Muzammil ayat 5-7)

Baca Juga Tahajud solat paling utama selepas sembahyang fardu

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu bangun untuk menunaikan solat pada waktu malam maka segala urusan bagi keesokan harinya akan menjadi lebih mudah dan teratur kerana perkara ini secara tidak langsung mendorong hati seorang manusia menjadi lebih terbuka dalam semua perkara.

Dalam erti kata lain, orang yang bangun malam untuk beribadah kepada ALLAH mampu membentuk kehidupan yang baik, sentiasa sedar tentang rasa kehambaan dan akan dijauhkan daripada sifat sombong.

Masbuk
Ibadah,

Ini cara yang betul bila masbuk dalam solat

WALAUPUN terlambat, kita masih boleh menjadi makmum masbuk dalam solat jemaah. Masakan tidak, pahala berjemaah sudah terhidang di depan mata, takkan hendak dibiarkan begitu sahaja, bukan?

Meskipun demikian, ramai yang tidak terus mengangkat takbir dan mengikut pergerakan serta perbuatan imam.

Sebaliknya, ada yang memilih untuk menunggu sehingga imam berdiri pada rakaat seterusnya.

Baca juga Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Sebenarnya, bukan itu cara makmum masbuk dalam solat. Demikian antara teguran yang dilontarkan seorang pengguna Twitter, Faisal Rahim menerusi akaun media sosial miliknya baru-baru ini.

“Bila kita masuk masjid, imam dah iktidal, rukuk, sujud atau duduk antara dua sujud, kita kena angkat takbir dan terus ikut perbuatan imam tersebut.

Makmum

APABILA melihat imam sudah melakukan pergerakan seperti rukuk dan sebagainya, makmum masbuk hendaklah mengangkat takbir dan terus mengikut perbuatan imam itu. -Foto: 123rf

“Bukan tunggu sampai imam berdiri semula atau tahiyat akhir, baru nak ikut seperti yang ramai buat. Perbuatan ini tidaklah sampai berdosa, tetapi ia kurang tepat kerana menyalahi hadis yang suruh kita segera mengikut imam jika terlepas takbir,” coretnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya, imam itu untuk diikuti. Justeru apabila dia rukuk, maka hendaklah kalian rukuk. Apabila dia berdiri untuk iktidal, maka hendaklah kalian berdiri iktidal.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Andai seseorang makmum masbuk tidak sempat rukuk dan tamakninah bersama imam dalam rakaat tersebut, beliau menjelaskan, kita perlu menambah lagi satu rakaat.

“Kalau dapat rukuk bersama imam, maka kita dah dapat rakaat tersebut (walaupun tak sempat baca al-Fatihah). Jadi, tak perlu tambah lagi (satu rakaat),” ungkapnya.

Kepada mereka yang masih kurang jelas dalam perihal makmum masbuk, usah terlalu runsing memikirkannya.

Menurut majalahilmu.com, masbuk bermaksud makmum yang ketinggalan atau tidak mendapat masa yang cukup untuk membaca Surah al-Fatihah bersama-sama imam.

“Situasi masbuk boleh berlaku dalam setiap rakaat, menurut Mazhab Syafie,” katanya.

Baca juga Makmum jangan mendahului imam bila solat berjemaah

Dalam situasi imam sedang rukuk, makmum masbuk tadi terus mengangkat takbir dan berniat, lalu berdiri sebentar (sekadar bacaan subhanallah) dan terus rukuk bersama-sama imam.

“Jika makmum dapat berhenti bersama imam semasa rukuk, maka dia tidak perlu membaca al-Fatihah kerana bacaan surah berkenaan ditanggung oleh imam.

“Sekiranya makmum sempat berdiri bersama imam dalam tempoh yang singkat, bacalah al-Fatihah sekadar yang sempat. Kemudian, teruskan mengikut imam dengan syarat dapat berhenti bersama dalam rukuk tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi majalahilmu.com.

Bagaimana pula cara duduk tahiyat ketika imam melakukan tasyahud akhir?

Dalam hal itu, majalahilmu.com menjelaskan, makmum hendaklah mengikut rakaat yang dia berada pada masa itu.

Masbuk

MAKMUM masbuk hendaklah duduk dalam keadaan iftirasy jika dia berada dalam rakaat kedua atau ketiga. -Foto: 123rf

“Pendek kata, jika dia dalam rakaat kedua atau ketiga, hendaklah dia duduk dalam keadaan iftirasy (duduk tahiyat awal) walaupun imam sedang duduk tawaruk (tahiyat akhir).

Baca juga Tertinggal tahiyat awal, perlu duduk semula atau terus berdiri?

“Bagi bacaan tahiyat pula, makmum masbuk boleh membaca sehingga akhir tahiyat,” ungkapnya.

Bayar zakat walaupun bukan Islam
Hukum,

Bayar zakat walaupun bukan Islam, apa hukumnya di sisi agama?

WALAUPUN bukan beragama Islam, tetapi bayar zakat. Itu yang dilakukan oleh pempengaruh media sosial berketurunan Siam, Shaniena Natasya a/p Lop, 20, atau lebih dikenali sebagai Niena.

Tindakan wanita beragama Buddha yang juga seorang usahawan itu mendapat pujian ramai.

Masakan tidak, beliau membayar zakat kerana merasakan perkara itu menjadi tanggungjawabnya kepada negara, termasuk golongan memerlukan dan fakir miskin.

Bayar zakat walaupun bukan Islam

PERKONGSIAN Niena di laman TikTok miliknya tentang pembayaran zakat yang dibuat.

 

Persoalannya, bolehkah orang bukan Islam membayar zakat?

Menerusi laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS), antara syarat wajib seseorang mengeluarkan zakat ialah individu tersebut mestilah orang Islam.

Baca juga Walaupun diisytihar bankrap, tetap wajib bayar zakat fitrah

Maka, jelaslah bahawa orang bukan Islam belum layak mengeluarkan zakat.

Walaupun ‘zakatnya’ tidak sah kerana pemberinya bukan orang Islam, LZS menjelaskan, pihak pengurusan zakat boleh menerima pemberian tersebut.

“Ia dianggap sebagai penerimaan biasa iaitu sama ada hadiah atau apa sahaja dan bukannya zakat.

“Wang tersebut boleh dimasukkan ke dalam Baitulmal dan penggunaannya adalah untuk maslahah atau kebajikan umum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi zakatselangor.com.my.

Andai kata, pemberi ‘zakat’ tadi yang pada awalnya bukan Islam, tetapi akhirnya memeluk agama suci itu, Lembaga Zakat Selangor menegaskan, individu berkenaan tidak wajib mengqadakan kembali zakatnya. Bahkan, perbuatan itu tidak perlu dilakukan sama sekali.

Bagaimana pula dengan pahala atas amal kebaikannya sebelum Islam dan selepas dia menjadi saudara baharu?

Bayar zakat walaupun bukan Islam

WALAUPUN bukan Islam, boleh bayar ‘zakat’, tetapi pemberian itu dianggap sebagai penerimaan biasa oleh pihak pengurusan zakat. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Menjawab persoalan itu, LZS menjelaskan, soal pahala dan dosa hanya diambil kira selepas waktu keislamannya.

Apa pun, agensi zakat itu menitipkan pesan supaya berdoa agar orang yang masih belum menerima Islam, tetapi sedia berkongsikan hartanya itu agar mendapat hidayah daripada ALLAH SWT.

Baca juga Pelajar berusia 14 tahun menjadi pembayar termuda, ini fakta tentang zakat perniagaan perlu diketahui

“Ini kerana amal perbuatan yang baik itu amat besar ertinya jika dia telah memeluk Islam,” ungkapnya.

Ia sebagaimana kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Ada seorang pemuda telah datang dan berkata: “Saya akan turut berperang lebih dahulu, kemudian baru saya memeluk Islam.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Islamlah engkau lebih dahulu, kemudian berperang!”

Lalu, lelaki itu pun memeluk Islam dan dia turut berperang serta terbunuh.

Rasulullah SAW bersabda: “Dia (lelaki berkenaan) bekerja sedikit, tetapi banyak beroleh pahala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

bapa dosa anak perempuan
Hukum,

Bapa tanggung dosa jika anak perempuan tidak menutup aurat?

Bapa tanggung dosa jika anak perempuan tidak menutup aurat?

SEJAK beberapa bulan lalu, hangat berita tentang artis-artis berhijab yang memilih untuk menanggalkan tudung atas alasan ingin menjadi diri sendiri.

Dalam Islam, menutup aurat bukan suatu perkara remeh yang boleh dibuat sesuka hati. Tetapi ia merupakan tuntutan agama yang perlu dipupuk sejak kecil lagi. Baik perempuan mahupun lelaki diwajibkan memelihara aurat masing-masing.

Lantas, apabila timbul isu seperti artis membuka hijab, rata-rata masyarakat akan menyalahkan ibu bapa individu tersebut yang dikatakan tidak memberi didikan sempurna berkenaan aurat.

Baca juga Buka tudung sebab tak nak hipokrit, matlamat tidak menghalalkan cara

Turut disyorkan Transgender masuk tandas wanita? Ini sebabnya mengapa Islam menyuruh asingkan tandas lelaki dan wanita

Bahkan wujud kepercayaan bahawa dosa anak perempuan ditanggung oleh bapa selagi mana dia belum berkahwin. Begitu juga bagi anak lelaki yang belum mencapai usia baligh.

Tambahan, dikatakan jika anak-anak melakukan kemungkaran, maka dosanya akan dipikul oleh bapa hingga mendapat azab di dalam kubur.

bapa dosa anak perempuan

Ibu bapa perlu didik anak
Memetik sebuah media tempatan, pensyarah Pengajian Islam, Kolej Darul Hikmah, Syahrul Hizam Mokhtar berkata, anak adalah amanah kepada kedua-dua ibu bapa.

Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan pendidikan kepada anak mereka secukupnya. Ia merangkumi perkara berkaitan agama atau pun tentang kehidupan, supaya anak tersebut dapat menilai perkara baik dan buruk, suruhan dan tegahan, selari dan bertentangan dengan agama.

ARTIKEL BERKAITAN:

Sekiranya amanah itu diabaikan seperti tidak memberikan kefahaman agama kepada anak-anak di bawah tanggungannya, lantas ia dianggap berdosa kerana tidak menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai ibu bapa.

Selain itu, ibu bapa juga berdosa, jika tidak menggunakan kuasanya untuk menyekat perbuatan dosa anaknya.

Namun, seandainya ibu bapa telah menunaikan amanah tersebut dengan sebaik mungkin seperti memberi kefahaman agama secukupnya serta sering menasihati, maka mereka tidak akan lagi dipersoalkan di atas perkara yang dilakukan oleh anak tersebut.

bapa dosa anak perempuan

ANAK merupakan amanah kepada ibu bapa untuk dididik dan dipupuk tentang agama. Foto: 123RF

Baca juga Apa dah jadi? Wanita bertudung teguk arak kerana stres. Ketahuilah, walaupun alkohol rendah ia tetap HARAM!

Sejauh mana ibu bapa tanggung dosa anak?
Kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin, dalam Islam setiap orang yang mukallaf (baligh, berakal dan sampai ajaran Islam secara jelas kepadanya) menanggung dosa sendiri.

Ucapnya, pihak lain hanya akan dihitung sebagai turut berdosa jika terlibat menyumbang sesuatu dosa itu berlaku, atau membiarkan kemungkaran itu berlaku sedangkan dia mampu mencegahnya.

Hal itu ada disebut dalam al-Quran berulang kali. Antaranya, firman ALLAH dalam Surah al-An’am, ayat 164: “dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”.

Maka, pendakwah tersebut menjelaskan, dosa anak perempuan ditanggung sendiri oleh mereka. Adapun jika bapa dan suami cuai menunaikan tanggungjawab membimbing anak isteri ke jalan ALLAH sehingga menjerumuskan mereka ke dalam neraka, maka dia hanya berdosa atas kecuaian kewajipan tersebut.

Turut disyorkan Penyanyi wanita bertudung kantoi guna ilmu sihir, ini akibatnya lakukan amalan syirik ini

Sumber: UtusanTV & Jabatan Mufti Negeri Perlis

Foto: 123RF

Kalamullah dinyanyikan
Hukum,

Kalamullah bukan untuk dinyanyikan dengan alunan muzik, haram hukumnya

SEDAP mana pun suara seseorang, usah sesekali mengambil kalamullah untuk dinyanyikan dengan alunan muzik. Dalam erti kata lain, ambil ayat al-Quran jadi lagu nyanyian.

Sinar Islam Plus ada sebab yang kukuh melarang Muslim daripada berbuat demikian.

Barangkali pada perkiraan kita, perbuatan itu akan membuatkan lagu dinyanyikan ada manfaatnya. Tidak kurang juga ada beranggapan, perilaku tersebut akan menambah lagi ‘kesedapan’ nyanyian berkenaan.

Hakikatnya, ketahuilah bahawa menyanyikan ayat atau surah al-Quran seperti memasukkan beberapa kalimah atau bait-bait kalamullah ke dalam lagu yang dialunkan oleh penyanyi berserta alunan muzik adalah haram hukumnya.

Demikian fakta yang dikemukakan oleh pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus.

USTAZ AZHAR IDRUS

Perkara itu dinyatakan secara jelas dalam hadis diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku takut kamu sekalian akan enam perkara iaitu kepimpinan orang-orang yang bodoh, dan menumpahkan darah, dan jual beli hukum, dan memutuskan silaturahim, dan orang muda mengambil al-Quran sebagai lagu nyanyian dan banyak peraturan pemerintah.” (Hadis Riwayat Ahmad dan at-Tabarani)

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Agamawan itu kemudian mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh Imam al-Munawi dalam kitab Faidhul Qadir bahawa: “Dan erti orang muda mengambil al-Quran bermaksud menjadikan bacaannya berirama, mereka buatkannya mempunyai rentak dan mendatangkannya dengan alunan yang merdu. Dan sungguh telah banyak terjadi pada zaman ini dan kesudahannya, pekerjaan ini kepada berbangga-bangga dengan mengeluarkan lafaz-lafaz al-Quran dari hantarannya (yang sepatutnya).”

Jelas penceramah itu, Imam al-Qurtubi menyatakan, perbuatan menyanyikan al-Quran dalam bentuk terkeluar dari asal bacaan kalamullah yang sahih dan dijadikan sebagai lagu diulang-ulang oleh penyanyi adalah dilarang dalam apa jua keadaan.

“Lebih-lebih lagi jika penyanyi tersebut mengulang dan membuat alunan yang menggetarkan suara serta memanjangkan bacaan tidak sepatutnya.

“Misalnya, bacaan yang tidak panjang tetapi sebutannya dipanjangkan sehinggakan huruf alif yang satu itu menjadi sebutan alif yang banyak atau sebutan satu wau menjadi banyak wau. Demikian penjelasan Imam al-Qurtubi dalam Himpunan Fatwa Syeikh Athiyah Saqr,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Kalamullah dinyanyikan

KALAMULLAH bukan untuk dinyanyikan dalam lagu. Ketahuilah bahawa menyanyikan ayat atau surah al-Quran seperti memasukkan beberapa kalimah atau bait-bait kalamullah ke dalam lagu yang dialunkan oleh penyanyi berserta alunan muzik adalah haram hukumnya. -Foto: Canva

Menurut Ustaz Azhar lagi, pengharaman itu disebabkan kerana ia akan mengubah dan merosakkan aturan lafaz serta makna ayat al-Quran itu sendiri.

“Contohnya, barangkali kita terbuang setengah hurufnya atau ditukar sebahagian barisnya atau dipanjangkan bacaan yang pendek untuk disesuaikan dengan irama dan rentak lagu dinyanyikan serta seumpamanya,” ungkapnya.

Baca juga Salahkah tampal ‘sticker’ ayat al-Quran di kereta?

Sebelum menoktahkan perkongsian ilmunya, beliau mengingatkan agar kita tidak berbuat demikian.

“Bimbang jika salah sebut atau bercampur baur maknanya, boleh mendatangkan dosa termasuk kepada orang yang sengaja mendengarnya.

“Ini kerana perilaku itu boleh memesongkan daripada bentuk yang indah kepada kecelaruan makna,” katanya.

tarikh menyetubuhi
Hukum,

Suami perlu waspada, dalam sebulan ada tarikh tertentu anda diharam menyetubuhi isteri?

Suami perlu waspada, dalam sebulan ada tarikh tertentu anda diharam menyetubuhi isteri?

SELAIN menjadi pelengkap iman, antara nikmat lain yang dikecapi oleh pasangan suami isteri adalah peluang untuk menjalinkan hubungan intim bagi meningkatkan suasana harmoni dalam rumah tangga.

Ikatan sah yang ada membolehkan pasangan suami isteri bersetubuh pada bila-bila masa, kecuali pada waktu tertentu seperti pada hari siang di bulan Ramadan atau ketika si isteri sedang haid.

Namun, dalam pada itu, dikatakan juga umat Islam ditegah daripada melakukan persetubuhan pada tarikh-tarikh tertentu setiap bulan kerana dikatakan bahawa syaitan akan turut bersetubuh dengan kita pada malam tersebut.

Baca juga Suami isteri ‘enjoy’ rakam video intim, seronok hari ini namun celaka menanti kerana ia perbuatan haram

tarikh menyetubuhi

Makruh pada 3 malam ….

Memetik portal Mufti Wilayah Persekutuan, memang ada sebahagian ulama mazhab Syafie yang berpandangan bahawa makruh hukumnya bersetubuh pada tiga malam pada setiap bulan, iaitu pada malam pertama, pertengahan dan pengakhirannya.

Antara ulama yang pernah menyebutkan tentang perkara itu adalah Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihyaa’ ‘Ulum al-Din.

Katanya: “Persetubuhan hukumnya makruh pada tiga malam dalam setiap bulan, iaitu pada malam pertama, terakhir dan pertengahan. Dikatakan bahawa syaitan akan turut serta dalam persetubuhan yang dilakukan pada malam-malam tersebut. Hukum makruh ini turut diriwayatkan daripada Saidina Ali, Mu‘awiyah dan Abu Hurairah RA.

ARTIKEL BERKAITAN:

Walau bagaimanapun, cendekiawan Syeikh Ibn Hajar al-Haitami menyifatkan pandangan tersebut sebagai lemah kerana tidak disokong oleh sebarang dalil.

Hal berkenaan juga dipersetujui oleh pihak Mufti yang berpendapat bahawa pandangan yang memakruhkan persetubuhan pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran setiap bulan qamariah adalah lemah.

PASANGAN suami isteri disarankan berdoa terlebih dahulu sebelum menjalinkan hubungan intim. Foto: Google

Baca juga Suami isteri guna panggilan manja ‘mama’ dan ‘papa’, hati-hati jangan sampai jadi zihar.

Sunnah berdoa sebelum bersama

Pun begitu, para fuqaha bersetuju bahawa adanya amalan sunnah untuk berdoa terlebih dahulu sebelum memulakan senggama.

Doa yang dimaksudkan ialah doa yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya maka bacalah:

بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذَلِكَ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْطَانٌ أَبَدًا

Maksudnya: Dengan nama ALLAH, ya ALLAH, ya Tuhan kami, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang kamu rezekikan kepada kami. Sesungguhnya jika ditakdirkan (ALLAH) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudaratkan oleh syaitan buat selamanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Jelas portal itu, umat Islam disarankan mengamalkan doa tersebut untuk menghalang syaitan daripada mengotori zuriat yang terhasil daripada persetubuhan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Google

Suami perlu waspada, dalam sebulan ada tarikh tertentu anda diharam menyetubuhi isteri?