Browsing Category

Dari Fail Mahkamah Syariah

samantha-gades-RHAtRIT3-CE-unsplash
Berita, Dari Fail Mahkamah Syariah,

Gara-gara nikah sindiket, anak dapat bahana

PERASAAN cinta sememangnya lumrah bagi setiap insan. Namun, ia haruslah diterjemahkan dan disemai mengikut saluran yang betul. Ini kerana cinta itu buta dan tidak mengenal siapa pun.

Demikian yang dirasakan oleh Syamsul Sulaiman (bukan nama sebenar). Lelaki itu sebenarnya sudah berkahwin dan memiliki seorang anak. Namun, entah apa yang merasuk fikirannya, dirinya kembali jatuh cinta dengan wanita lain.

Entah mengapa sukar benar Syamsul mahu menidakkan rasa sayangnya dengan seorang janda, Suhaila Ariffin (bukan nama sebenar) biarpun baru mengenalinya selama empat bulan.

Bukannya lelaki itu tidak sayangkan isterinya. Barangkali kerana terlalu tunduk dengan desakan hati, beliau akhirnya memilih untuk memperisterikan Suhaila sebagai isteri kedua.

Lalu, pernikahan diaturkan. Oleh sebab tidak mendapat restu keluarga, mereka bernikah menggunakan wali hakim di sebuah negeri di selatan tanah air. Perkahwinan itu disifatkan pasangan itu sah kerana menggunakan jurunikah bertauliah. Tambahan pula, Suhaila seorang janda. Jadi, prosedurnya tidaklah serumit mana. Mereka juga diberi sijil nikah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Nikah sindiket

Sepertimana pasangan lain, kehidupan mereka diulit bahagia. Biarpun Syamsul terpaksa membahagikan masanya dengan adil dengan isteri pertamanya, Suhaila tidak kisah kerana sedar status dirinya.

Kehidupan mereka semakin bertaut erat apabila diserikan lagi dengan kehadiran zuriat sebagai pengikat kasih. Syamsul dan Suhaila dikurniakan seorang bayi lelaki yang comel.

Pada masa itu, barulah Syamsul dan Suhaila seakan tersedar sesuatu. Mereka dihambat rasa ragu-ragu tentang status anak tersebut. Masakan tidak, pasangan itu berkahwin dengan wali hakim dan tidak mendapat persetujuan bapa Suhaila. Syamsul juga berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya.

Sebelum menasabkan bayi lelaki itu, kedua-dua mereka sepakat untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah syariah untuk pengesahan taraf anak.

Dalam kes pasangan itu, mahkamah syariah terlebih dahulu melihat proses perkahwinan tersebut sama ada mengikut rukun dan syarat-syarat sah nikah. Namun, Syamsul dan Suhaila gagal mengemukakan sebarang saksi.

Bagaimanapun, hakim telah menggunakan kaedah syarie. Jurunikah berkenaan dipanggil untuk memberikan keterangan. Rupa-rupanya, ketika tarikh pernikahan itu, beliau sudah menamatkan perkhidmatan sebagai jurunikah. Malah, nombor kad pengenalan dan nama jurunikah itu juga dieja dengan salah. Bahkan, surat nikah itu juga diperakui palsu oleh pihak JAIN.

Setelah meneliti semua pengesahan autoriti pihak berwajib, mahkamah memutuskan perkahwinan tersebut tidak menepati kehendak rukun dan syaratsyarat sah nikah. Hakim juga berpendapat, Syamsul dan Suhaila tertipu dengan pernikahan tersebut. Mahkamah juga menganggap bahawa pernikahan tersebut merupakan satu sindiket nikah yang menjalankan operasi tanpa mengenal mangsa.

Oleh sebab status perkahwinan itu tidak sah, mahkamah tidak boleh mensabitkan nasab anak tersebut sebagai anak sah taraf kepada bapanya. Oleh itu, kes itu telah diketepikan dan permohonan ditolak.

Nikah sindiketBaca juga Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

Mendengar keputusan itu, Syamsul dan Suhaila dihantui rasa sesal akibat kejahilan masing-masing. Apatah lagi apabila mengenangkan masa depan anak yang tidak berdosa itu.

Wajib dapatkan permohonan wali hakim di mahkamah

Kurang pengetahuan agama dan tunduk dengan keinginan menurut hawa nafsu menyebabkan kebanyakan pasangan mengambil langkah mudah dengan berkahwin lari atau terjebak dengan pernikahan sindiket.

Itu yang terjadi ke atas pasangan Syamsul Sulaiman dan Suhaila Ariffin (kedua-duanya bukan nama sebenar).

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, walaupun pasangan itu tidak tahu atau tertipu dengan ejen yang menjalankan operasi sindiket pernikahan, ia bukanlah ‘tiket’ untuk menentukan kesahan suatu perkahwinan.

FAZRU ANUAR

“Perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak menepati rukun dan syarat sah nikah berkaitan wali. Kejahilan dalam agama atau sesuatu ilmu tidak boleh menjadi penyebab suatu kesalahan itu dibenarkan.

“Selain itu, mereka juga tidak mengikuti proses yang betul dalam menjalankan pernikahan. Tidak salah bagi Syamsul jika mahu berpoligami, namun perlulah mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu,“ katanya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 22 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Terengganu.

Ditanya tentang syarat-syarat yang membolehkan penggunaan wali hakim, pengamal undang-undang itu menjelaskan, ia boleh digunakan jika wali enggan menikahkan.

Begitu juga halnya apabila bakal pengantin wanita tiada wali nasab, wali qarab (terhampir) yang tidak cukup syarat-syarat, ketiadaan wali ab’ad dan perkahwinan melibatkan anak tidak sah taraf atau anak angkat, jelasnya.

“Seseorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu Islam, adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang daripada menguruskan hartanya kerana boros dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.

“Oleh itu, jika dalam situasi seseorang wali aqrab itu tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan untuk menjadi wali dan tiadanya wali ab’ad, maka wali hakim boleh digunakan,” katanya.

Begitupun, bagi setiap perkahwinan yang menggunakan wali hakim, permohonan hendaklah dibuat terlebih dahulu ke mahkamah syariah melalui Notis Permohonan dan Afidavit Sokongan dengan menyatakan alasan-alasan berbuat demikian.

Nikah sindiket

“Secara prosedurnya, wali hakim terdiri daripada pegawai awam yang dilantik khas oleh sultan sebuah negeri. Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan alasan-alasan permohonan wali hakim, perintah untuk membenarkan perkahwinan dan pelantikan wali hakim akan dikeluarkan,” ujarnya.

Kepada pasangan yang mahu berkahwin, Fazru Anuar menasihatkan, elakkanlah bernikah di luar Malaysia. Jika wali enggan menikahkan, buatlah permohonan perkahwinan menggunakan wali hakim di Mahkamah Syariah.

“Sekiranya terdapat apa-apa masalah atau isu berbangkit, boleh segera berunding dan minta nasihat daripada mana-mana peguam syarie atau pegawai di Pejabat Agama Islam. Elakkan meminta nasihat daripada pihak yang tidak berkelayakan,“ nasihatnya.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-matthias-zomer-618158
Berita, Dari Fail Mahkamah Syariah,

Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

SEBAGAI ibu dan bapa, ramai yang sanggup bergolok dan bergadai demi kesenangan anak masing-masing. Setiap orang ada caranya yang tersendiri demi melihat penyambung keturunan mereka mempunyai masa depan yang cerah.

Bagi Hussin Othman (bukan nama sebenar), beliau memilih untuk menghibahkan tiga lot tanah miliknya kepada anak sulungnya yang bernama Farid (bukan nama sebenar). Beliau membuat kejutan itu kira-kira 10 tahun lalu.

Ternyata ia bukan sekadar cakap kosong. Sebaliknya, Hussin, 55, telah membuat penukaran nama lot tanah tadi kepada Farid, 20, melalui borang 14A iaitu borang pindah milik tanah, bahagian atau pusaka.

Semua itu dilakukan Hussin kerana terlalu kasih kepada Farid. Barangkali lelaki itu merasakan anak sulungnya mempunyai nilai sentimental kerana mengajar dirinya menjadi seorang bapa.

Namun begitu, setelah beberapa tahun berlalu, Hussin bagaikan tersedar sesuatu. Dirinya merasakan keputusan yang dibuatnya dulu itu merupakan satu kesalahan besar.

Masakan tidak, Hussin mempunyai empat lagi anak lain yang masih hidup selain Farid. Tindakannya menghibahkan tiga lot tanah kepada Farid itu satu keputusan yang kurang arif kerana dirinya tidak berlaku adil kepada anak-anak yang lain.

Akibat dihimpit rasa serba salah, Hussin bertekad untuk membuat permohonan ke mahkamah syariah untuk menarik balik pemberian hibah yang telah diberikan kepada Farid.

Tarik balik hibahTujuannya hanya satu iaitu untuk memberikan harta itu kepada semua anaknya secara adil dan saksama selagi dirinya masih bernafas di muka bumi.

Mujurlah tiga lot tanah berkenaan tidak pernah dijual, digadai ataupun dihibahkan oleh Farid kepada sesiapa. Pada mulanya, pemuda berkenaan mempertikaikan tindakan bapanya untuk menarik balik hibah itu. Beliau beralasan bahawa pemberian itu adalah sah di sisi undang-undang.

Namun begitu, Hussin tetap ingin meneruskan niatnya. Akhirnya, Farid memahami situasi bapanya dan bersetuju andai harta tadi dibahagikan sama rata kepada adik beradiknya yang lain.

Pada masa sama, urusan kaveat tanah berkenaan juga dilakukan pejabat tanah supaya ia tidak berpindah kepada tanah orang lain.

Baca juga Penting untuk urus hibah ketika masih sihat dan bertenaga. PU Syed beri panduan macam mana nak uruskannya

Ketika memberikan keterangan secara lisan, Farid telah mengemukakan dua orang saksi iaitu pegawai tanah dan ketua kampung.

Setelah meneliti segala keterangan dan bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan bahawa Hussin berhak menarik balik dan membatalkan hibah berkenaan. Ketiga-tiga tanah berkenaan perlu diletakkan nama Hussin kembali.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan si bapa untuk membahagikan hasil ketiga-tiga tanah berkenaan kepada kelima-lima anaknya secara adil dan saksama.

Hussin menarik nafas lega dengan keputusan berkenaan, begitu juga Farid. Besar harapan Hussin agar kesemua anaknya berpuas hati dengan pembahagian harta tersebut sebelum beliau menutup mata.

Bapa boleh tarik semula hibah dengan syarat tertentu

HIBAH yang disertakan dengan penyerahan dan penerimaan barang (al-Qabd) tidak boleh ditarik balik kecuali jika ia dibuat oleh seorang bapa kepada anak-anaknya.

Peguam Syarie, Atiqah Abdul Razak berkata, ia selagi mana harta berkenaan tidak dipindah milik atau dijual kepada pihak ketiga. Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kes penarikan semula hibah.

ATIQAH

Jelas beliau, ulasan yang diberikan adalah berdasarkan kepada pandangan Mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha Maliki.

“Ulama-ulama berkenaan menyatakan, penarikan balik hibah boleh berlaku semata-mata dengan ijab dan qabul. Namun begitu, dalam kes Hussin yang melibatkan penyerahan dan penerimaan barang, ia boleh ditarik balik kerana pemberi hibah dalam kes berkenaan adalah daripada bapanya.

“Tambahan pula, tujuan penarikan hibah dalam kes itu adalah supaya harta tersebut dapat dibahagikan secara sama rata kepada anak-anak. Pada masa sama, penerima hibah juga tidak ada masalah kerana harta tersebut akan dibahagikan secara saksama dan adil.

“Tafsiran bapa yang dimaksudkan itu termasuklah ibu, datuk, nenek dan usul yang lain,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Mengulas tentang kes Hussin, Atiqah menjelaskan, permohonan penarikan hibah boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Mahkamah akan membuat keputusan sewajarnya selepas melihat fakta kes,” katanya.

Daripada aspek perundangan syariah, Atiqah daripada Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates berkata, asas-asas penarikan hibah merujuk kepada as-Sunnah.

Tarik balik hibah

ANDAI ingin melakukan pemberian hibah ketika hayat masih ada, sebaiknya lakukanlah dengan adil supaya tidak menimbulkan masalah kepada waris pada
kemudian hari.

Beliau merujuk hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibnu Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang lelaki yang telah memberi satu pemberian, kemudiaan meminta kembali kecuali bapa meminta semula apa yang telah diberikan kepada anaknya.” (Riwayat Ahmad)

Bagaimanakah jika harta yang dihibahkan tadi sudah terjual? Menjawab persoalan itu, Atiqah menjelaskan, seandainya berlaku sedemikian, maka harta tadi bukan lagi milik penerima hibah, tetapi telah dijual kepada pemilik baharu.

“Menurut Mazhab Syafie, harta tersebut telah menjadi milik orang lain. Maka dalam kes ini, bapa tidak harus menarik kembali hibahnya,” jelasnya.

Justeru, peguam syarie itu menasihatkan masyarakat yang berhajat membuat hibah agar berfikir semasakmasanya sebelum sebarang pembahagian dibuat.

“Sebaik-baiknya buatlah pembahagian hibah secara saksama kepada anak-anak. Ia perlu untuk mengeratkan hubungan kemesraan sesama mereka.

“Untuk memastikan dokumen hibah yang dibuat itu memenuhi hukum syarak dan boleh dikuat kuasa, masyarakat boleh mendapat nasihat guaman daripada peguam syarie,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels