Browsing Category

Personaliti

Personaliti,

Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

31 Ogos 1957, suatu tarikh bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia apabila Tanah Melayu akhirnya terlepas dari cengkaman kuasa asing dan berjaya muncul sebagai sebuah negara berdaulat.

Namun, apa yang jarang diperkatakan adalah tarikh bersejarah tersebut telah ditetapkan oleh seorang ulama dari Pulau Pinang yang terkenal dengan sifat berpandangan jauh serta semangat kemerdekaannya. Beliau juga dikenali sebagai datuk kepada Perdana Menteri kelima negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh agama yang dimaksudkan adalah Syeikh Abdullah Fahim. Pemilik nama penuh Abdullah bin Ibrahim ini dilahirkan di Kampung Sha’ab Ali, Makkah al-Mukarramah pada tahun 1869 (1286 H). Bapanya, Syeikh Ibrahim bin Tahir adalah seorang guru al-Quran di Masjidil Haram yang berasal dari Kedah.

Dengan keistimewaan sebagai seorang anak ulama di Mekah, beliau telah mengambil kesempatan mempelajari pelbagai ilmu agama di sana sehinggakan jumlah ulama yang pernah menjadi gurunya dikatakan mencecah hampir 50 orang.

MENURUT catatan, Syeikh Abdullah Fahim pernah dilantik sebagai ahli lembaga di Masjidil Haram.

Ternyata Syeikh Abdullah Fahim seorang yang sangat beristiqamah dalam menuntut ilmu kerana beliau mempunyai kelulusan dalam lebih daripada 15 bidang ilmu Islam termasuk fiqh dan usuluddin. Beliau, terutamanya, sangat mahir dalam bidang ilmu falak dan kesusasteraan Arab.

Sekembali di Tanah Melayu pada tahun 1916, Syeikh Abdullah Fahim mengajar ilmu tauhid di rumahnya di Kepala Batas dan di Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik di Alor Setar.

Ketinggian ilmu beliau bukan sahaja mendapat tempat di hati masyarakat umum, malah mendapat perhatian pihak istana apabila beliau diundang menjadi guru agama di Istana Besar Kedah selama empat tahun. Sultan Perak pula menjemput Syeikh Abdullah Fahim menjadi pengetua Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1931.

Baca juga Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

Jasa Syeikh Abdullah Fahim tidak terhenti di bidang keilmuan Islam sahaja. Memetik penulisan Bernama, semangat nasionalisme Melayu mula meningkat sekitar tahun 1940. Menentang pembentukan Malayan Union, Syeikh Abdullah Fahim telah menubuhkan Persatuan Melayu Seberang Prai.

Beliau juga turut menggabungkan persatuan yang diterajuinya di bawah satu lambang perjuangan politik nasional iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Ramai orang Melayu di Kepala Batas, Butterworth dan Bukit Mertajam pada waktu itu sertai UMNO untuk perjuangkan kemerdekaan.

Pemilihan tarikh merdeka
Syeikh Abdullah Fahim terkenal dengan kepakaran beliau dalam bidang ilmu falak. Beliau juga dikatakan memiliki keistimewaan karamah iaitu mempunyai firasat yang tinggi dalam meramalkan sesuatu.

ILMU yang tinggi dalam bidang falak (astronomi) menyebabkan Tunku Abdul Rahman sentiasa bertanyakan tentang hal syarat kemerdekaan British kepada Syeikh Abdullah Fahim.

Suatu artikel dari Bernama mengatakan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah beberapa kali mencari Syeikh Abdullah Fahim di rumah beliau untuk mendapatkan nasihat dalam isu politik.

Atas saranan Syeikh Abdullah Fahim, Tunku Abdul Rahman telah mengadakan pakatan bersama orang India dan Cina untuk mendapatkan kemerdekaan dari pihak British.

Ulama terkemuka itu juga menasihatkan Tunku berlepas ke London dengan menaiki kapal laut supaya wakil raja-raja Melayu mempunyai masa untuk berunding dan mencapai kata sepakat namun segera pulang dengan kapal terbang supaya tiada siapa sempat untuk mengubah fikiran terhadap keputusan yang telah dipersetujui.

Apabila Tunku meminta pendapat Syeikh Abdullah Fahim tentang tarikh kemerdekaan, tokoh ilmu falak itu memberikan tarikh 31 Ogos 1957 setelah membuat kiraan berdasarkan kalendar Islam. Tambah beliau, jika pihak British bersetuju dengan tarikh tersebut, nama bagi Persekutuan Tanah Melayu akan diubah dalam masa tujuh tahun.

LAUNGAN kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Tanpa Syeikh Abdullah Fahim, tarikh kemerdekaan mungkin tidak sama seperti hari ini.

Firasat Syeikh Abdullah Fahim terbukti benar apabila Persekutuan Melayu menjadi Malaysia pada 16 September 1963 setelah bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Syeikh Abdullah Fahim meninggal dunia pada 27 April 1961 (1380 H) pada usia 92 tahun. Semangat mempelajari pelbagai ilmu serta jasa beliau dalam kemajuan sosial dan politik di negara membuktikan Syeikh Abdullah Fahim sebagai seorang ulama yang dinamik.

Moga-moga sumbangan dan dedikasi beliau dapat menjadi inspirasi kepada golongan pemimpin dan rakyat Muslim zaman kini.

Sumber: Bernama & Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 ke-3 

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: The Star, Konevi & Lucas Pezeta/Pexels

Ibn Sirin
Personaliti,

Ibn Sirin pelopor ilmu tafsir mimpi sanggup dipenjara demi keredaan ALLAH

SEHINGGA ke hari ini, tafsiran mimpi yang dinukilkan oleh Ibn Sirin masih menjadi rujukan penting kepada dunia. Hakikatnya, interpretasi mengenainya sudah mula kedengaran pada era tabiin lagi.

Tabiin ialah individu yang bertemu dan berguru dengan para sahabat, tetapi tidak sempat berjumpa Rasulullah SAW.

Menelusuri salasilahnya, pemilik nama penuh Abu Bakar al-Bassari atau Mohammed bin Sirin berguru dengan beberapa sahabat baginda yang terkenal. Antaranya Saidina Ali bin Abi Talib RA, Umar bin al-Khattab, Abu Hurairah, Anas bin Malik RA dan ramai lagi.

Tokoh Islam disegani yang dilahirkan di Basra pada tahun 33 Hijrah (653 Masihi) itu hidup sezaman dengan ulama tersohor, Hassan al-Basri dan mereka berdua memang bersahabat. Maka, tidak hairanlah mengapa keperibadian dan akhlak Ibn Sirin sangat dikagumi. Beliau juga diriwayatkan mempunyai hubungan rapat dengan ibunya yang bernama Safia dan tidak pernah sesekali meninggikan suara, apatah lagi membentak.

Portal english.elarabiya.net menggambarkan cendekiawan hebat itu sebagai seorang yang sentiasa mewarnakan rambutnya dengan inai. Selain itu, beliau dikatakan memiliki fizikal rendah dan kurang pendengaran. Namun kekurangan itu tidak sedikit pun menghalangnya daripada bergaul dengan orang ramai.

Ibn Sirin

KARYA Tafsir al-Ahlam nukilan Ibn Sirin banyak kali dicetak dengan pelbagai tajuk berbeza.

Menariknya lagi, figura tersebut dikatakan seorang tukang cerita yang hebat tatkala bercerita tentang Nabi Muhammad SAW pada zamannya.

“Ibn Sirin begitu terkenal dengan jenaka dan tawanya. Di sebalik semangat kentalnya, beliau sebenarnya sering menangis pada waktu malam di rumah. Bagi mengubati hati, beliau kadangkala berpuisi.

“Malah, dirinya diketahui sebagai individu yang banyak berpuasa. Ibn Sirin akan berpuasa satu hari dan berbuka pada keesokan harinya.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

“Bukan itu sahaja, dikhabarkan setiap kali melalui pasar, semua orang akan bersorak dan beliau sentiasa membantu orang lain. Sifat itulah yang menjadikan Ibn Sirin sangat dihormati dalam kalangan mereka yang masyhur,“ kata portal tersebut.

Takwil mimpi

Berbicara tentang kehandalannya mentafsirkan mimpi bukan sekadar kata-kata. Memetik penulisan The Muslim Times, kehebatan tabiin tersohor itu diperakui oleh cendekiawan terkemuka iaitu Al-Gaheth, Ibn Qutaybah dan Ibn Khaldun.

Ibn Sirin

IBN SIRIN terkenal sebagai tukang cerita yang hebat tentang Nabi Muhammad SAW pada zamannya.

Ketiga-tiganya menganggap nukilan Ibn Sirin dalam mentakwilkan mimpi sebagai karya yang signifikan dalam bidang tersebut. Beberapa buah buku beliau telah diulang cetak berkali-kali di dunia Arab dengan tajuk berbeza.

Meskipun karya utama beliau, Tafsir al-Ahlam (A Concise Guide for the Interpretation of Dreams) dianggap sebagai monumental penting, namun portal Republika melaporkan, rujukan Ibn Sirin dalam pentafsirannya masih kurang jelas sehingga ke hari ini.

“Ini kerana belum ada penelitian khusus yang menjelaskannya secara terperinci. Apa yang pasti, Ibn Sirin mentafsirkan mimpi tersebut berdasarkan makna semantik langsung,“ kata Republika.

Seperkara, walaupun pakar ‘membaca‘ mimpi orang lain, cendekiawan Muslim itu tidak pernah menggunakan kemahirannya itu untuk meraih keuntungan.

Baca juga Daripada seorang hamba, Al-Khazini menempa nama sebagai antara cendekiawan Islam terulung

Sebaliknya, beliau lebih suka mengerah kudratnya sendiri dengan menjalankan perniagaan tekstil.

Pun demikian, Ibn Sirin telah diuji ketika berdagang. Beliau difahamkan telah membeli minyak secara kredit, namun malangnya minyak tersebut tidak dapat dijual gara-gara rosak.

“Jika aku menjual minyak ini, aku berdosa. Jika aku kembalikan semula kepada pedagang, mereka pasti akan menjualnya semula kepada orang lain dan aku berdosa kerana membiarkannya, sementelah aku sendiri tahu minyak tersebut telah rosak,“ getus hati Ibn Sirin sebagaimana dipetik dalam portal umma. id.

Ibn Sirin

IBN SIRIN hebat dalam mentafsirkan mimpi dan karya agungnya menjadi rujukan penting sehingga hari ini.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan membuang semua minyak dan menanggung hutang yang banyak selepas tidak mampu melunaskannya.

Lalu, pedagang minyak yang berurusan dengannya telah membuat aduan kepada kepada pihak berkuasa. Akhirnya Ibn Sirin dimasukkan ke penjara. Beliau tidak pernah sesal dengan insiden itu kerana reda ALLAH lebih penting baginya.

PROFIL

Nama penuh: Abu Bakar al-Bassari atau Mohammed bin Sirin

Gelaran: Ibn Sirin

Tahun kelahiran: Tahun 33 Hijrah (653 Masihi)

Tahun kematian: 110 Hijrah (729 Masihi)

Sumbangan: Pelopor ilmu dalam tafsiran mimpi

Karya agung: Tafsir al-Ahkam

Sumber & Foto: english.alarabiya.net, abraronline.net, alkitab.com & tribunenewswiki.com

Tok kenali
Personaliti,

Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

TOK Kenali, seorang tokoh ulama terkenal di sebalik gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberikan kepada negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang guru agama Islam yang masyhur, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Asia Tenggara dan pencetus ilmu pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Kelantan, sekitar awal abad ke-20. 

Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan sekitar tahun 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dan warak. Bapanya seorang petani yang dikenali dengan kesolehannya. 

Membesar didampingi ajaran Islam, Tok Kenali sudah khatam al-Quran sejak kecil. Di Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru agama tersohor seawal usia sembilan tahun. Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah.

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tok Kenali mula mekar apabila mula berguru dengan Syeikh al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya. Beliau juga sempat belajar bersama Nik Mahmud bin Nik Ismail di sana. Setelah gurunya meninggal dunia, Tok Kenali kembali ke Kelantan pada tahun 1909, setelah 22 tahun berada di Mekah.

TOK Kenali telah berguru dengan ramai guru agama terkemuka sejak kecil lagi.

Menurut catatan, Tok Kenali mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan. Jasa beliau paling bermakna adalah dengan memperkenalkan sistem pengajian pondok.

Sekembali dari Mekah, Tok Kenali telah membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Paya. Dalam masa dua tahun sahaja, namanya telah dikenali seluruh negeri dan ramai individu dari dalam dan luar negara termasuk Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia datang menuntut ilmu darinya.

Pondok Kenali telah melahirkan ramai ulama dan cendekiawan yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 

Selain itu, Tok Kenali juga merupakan seorang pengarang dan penterjemah. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menterjemah buku-buku Arab seperti Kitab al-Umm, Tafsir Khazin, and Tafsir Ibn Kathir. 

PONDOK Tok Kenali kekal sehingga hari ini. Antara jasa terbesar beliau adalah memperkenalkan sistem pengajian pondok.  Pondok Tok Kenali telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh agama tersohor.

Segala usaha perjuangan ulama tersohor ini dimungkinkan dengan kegiatan aktif beliau dalam bidang politik. Tok Kenali pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau termasuk dalam tokoh-tokoh penting yang telah terlibat dalam penubuhan Majlis Agama Islam, perpustakaan negeri dan sebuah jabatan percetakan kerajaan.

Tok Kenali meninggal dunia di usia 65 tahun pada hari Ahad, 2 Syaaban tahun 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi. Jenazah beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Foto: Amir Irsyad Omar, Google

Imam Al-Qurtubi
Personaliti,

Rupanya karya Imam Al-Qurtubi pernah dibakar oleh musuh Islam

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

IMAM AL-QURTUBI merupakan salah seorang ulama salaf yang terkemuka dan dikagumi kerana kehandalannya menguasai bidang tafsir, fiqh dan hadis.

Pemilik nama penuh Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh al-Anshari al-Khazraji al-Andalusi al-Qurthubi adalah anak kelahiran Cordova, Andalusia (Sepanyol).

Beliau dibesar dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bapanya hanyalah seorang petani. Pada zaman remajanya, figura itu melakukan kerja membuat tembikar daripada tanah liat untuk menampung kehidupan.

Berdasarkan salasilahnya, tatkala usia semakin meningkat, semangat belajar dalam diri Imam Al-Qurtubi semakin berkobar-kobar. Diriwayatkan, beliau banyak berguru dengan para sarjana terkenal Islam. Antaranya seperti Ibn Ebu Hucce dan Abdurrahman ibn Ahmet Al-Ashari.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun 

Ketika wilayah Andalusia jatuh ke tangan tentera ketika Perang Salib pada 733 Hijrah, ilmuan tersebut dan sejumlah umat Islam berbondong-bondong berhijrah ke Mesir. Ketika itu beliau berusia 25 tahun. Walaupun sedih dengan penaklukan itu, Imam Al-Qurtubi bertekad meneruskan misi kembara ilmunya yang tertangguh.

Imam Al-Qurtubi

CORDOVA ialah tanah kelahiran Imam Al-Qurtubi.

Di Mesir, beliau bukan sahaja mempelajari bahasa Arab, malah mendalami cabang ilmu lain syair, al-Quran, qiraat, balaghah, selain bidang hadis dan tafsir. Abul Abbas al-Qurtubi, Abu Muhammad ibn Rawaj, Abu Muhammad Abdulmu’ti al-Lakhmi dan Abu Ali Hasan bin Muhammad al-Bakri merupakan antara guru yang sangat dihormatinya.

Kitab tafsir terbesar

Sepanjang hayatnya, Imam al-Qurtubi digambarkan sebagai seorang individu yang zuhud dan suka menulis. Banyak karya beliau yang sudah dicetak dan mengisi ruang beberapa perpustakaan di beberapa buah negara Islam. Namun, terdapat juga yang dibakar oleh musuh Islam.

Ketekunan dan kecintaan cendekiawan itu terhadap ilmu mendorong seorang tokoh ulama, Ibnu Syakir al-Katbi mengeluarkan kata-kata indah ini: “Imam al-Qurtubi memiliki karya-karya yang bermanfaat yang menunjukkan atas ilmunya yang luas, di antaranya adalah tafsir al-Qurannya, sangat istimewa terdiri atas 12 jilid.”

Antara semua penulisannya, kitab tafsir al-Quran yang berjudul al-Jami’li ahkam al-Qur’an wa al-Mubayyin lima tadhammanahu Min as-Sunnah wa Ayi al-Furqan antara yang paling banyak diperkatakan. Karya agung tersebut mempunyai 20 jilid dan merupakan salah satu tafsir terbesar yang terkandung manfaat untuk Islam sehingga ke hari ini.

Baca juga Haly Abbas Doktor Islam Pertama Kesan Penyakit Kuning

Di dalam naskhah itu, Imam al-Qurtubi telah mencantumkan kisah-kisah atau historiografi Islam, selain menetapkan hukum-hukum al-Quran, melakukan istimbath atas dalil-dalil, menyebutkan pelbagai qira’at, i’rab, nasikh dan mansukh.

Agamawan itu juga menceritakan beliau menulis tafsir berkenaan dan hal itu dicoretkannya dalam mukadimah tafsir berkenaan.

Beliau antara lain berkata: “Aku menulisnya sebagai peringatan buat diriku dan sebagai bekalan untuk alam kuburku dan sebagai amal soleh selepas kematianku.”

Imam Al-Qurtubi

Kitab Tafsir Al-Qurtubi ialah naskhah wajib untuk pencinta ilmu.

Ilmuan penting dalam sejarah perkembangan Islam itu juga mengakui menghasilkan naskhah bernilai itu selepas terkesan dengan beberapa ayat dan hadis nabi. Antaranya menerusi Surah al-Qiyamah, ayat 13.

Al-Jami’li Ahkaam Al-Qur’an turut menjadi rujukan bagi penyusun kitab-kitab tafsir generasi berikutnya. Berdasarkan sumber sahih, kitab tafsir karya as-Syaukani (Fathul Qadir) dan kitab tafsir karya Ibnu Kathir banyak mengutip dan merujuk pada kitab tafsir karya Imam al-Qurtubi itu.

Antara naskhah hebat lain yang dihasilkan beliau adalah seperti Peringatan Tentang Perkara-perkara Akhirat. Imam al-Qurtubi wafat pada tahun 671 Hijrah di Minyah Banil Khashib Mesir selepas mengabdikan hampir tiga perempat umurnya dalam beribadah, menuntut ilmu dan menyusun tulisan-tulisannya.

Seperti kata Ibnul Imad: “Al-Qurtubi ialah seorang imam, memiliki pemahaman yang dalam terhadap makna hadis, memiliki kitab-kitab karangan yang bagus dan sangat istimewa dalam mengumpul ucapan ulama.”

PROFIL

Imam Al-Qurtubi

ILUSTRASI wajah Imam Al-Qurtubi.

Nama penuh: Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh al-Anshari al-Khazraji al-Andalusi al-Qurtubi

Gelaran: Al-Qurtubi

Asal: Cordova, Andalusia

Tahun kelahiran: 1214

Tahun kematian: 1273

Karya agung: Al-Jami’li ahkam al-Qur’an wa al-Mubayyin lima tadhammanahu min as-Sunnah wa ayi al-Furqan, At-Tadzkirah fi ahwal al-Mauta wa umur al-Akhirah (Peringatan Tentang Perkara-perkara Akhirat), At-Tidzkar fi afdhal al-Adzkar, al-Asnafi Syarh asma’illah al-Husna, Syarh at-Taqashshi, Kitab al-Aqdhiyyah, Al-Muqtabar fi syarh muwaththa’ Malik bin Anas dan al-Luma’ fi syarh al-Isyrinat an-Nabawiyah.

Sumber dan Foto: https://muis.org.my/2017/07/pengenalan-kitab-tafsir-al-qurtubi/, https://wikimuslim.or.id/imam-al-qurtubi, darultahqiq.com, en.wikipedia.com, Sinar Harian & peoplepill.com, g-switch.org

IBNU SAHNUN
Personaliti,

Ibnu Sahnun, Maestro dunia pendidikan

SAMA seperti al-Qabisi, Ibnu Sahnun merupakan antara tokoh pemikir Islam klasik yang sangat mementingkan konsep pendidikan dan sangat mencintai dunia penulisan.

Dalam kitab Qimatus Zaman ‘Inda Al-Ulama karya Abdul Fattah Abu Ghuddah menyatakan bahawa hari-hari cendekiawan itu sentiasa disibukkan dengan menulis kitab-kitab.

Ibnu Sahnun atau nama penuhnya, Abd al-Salam Ibn Salam Ibn Sa’id Ibn Habib lahir di kota Ghadat, Maghribi pada 202 Hijrah.  Beliau digelar Ibnu Sahnun yang bermaksud burung helang dek kerana kecerdasan dan ketajaman akalnya.

Cendekiawan Islam tersohor itu dianggap sebagai pendidik kaum Muslim yang pertama

Membesar di sebuah keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan, beliau bertuah kerana bapanya, Abu Said Sahnun menjadi guru pertamanya. Sejak kecil, agamawan itu sering memperhalusi karya-karya yang dihasilkan oleh ayahnya.

Sahsiah Ibnu Sahnun banyak dipengaruhi oleh keperibadian ayahnya yang terkenal sebagai seorang yang memiliki sifat zuhud dan warak, di samping menguasai ilmu fiqh dan agama.

Tatkala meniti usia remaja, beliau telah mengembara ke Mesir, Libya, Madinah dan Makkah. Antara gurunya ialah Musa bin Mu’awiyah al-Samadihi, ‘Abd Aziz bin Yahya al-Madani, ‘Abdullah bin Abi Hisan al-Yahsabi, ‘Abd Rahman bin Qasim, Ibn ‘Abd al-Hakam, Abu Mas’ab bin Abu Bakar al-Zuhri, Ya’kub bin Kasib dan Salmah bin Syabib dan ramai lagi.

Maestro dunia pendidikan

Menerusi karya bertajuk Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), karya pertama yang dihasilkan Ibnu Sahnun bertajuk Adab Al-Muallimin (Adab Para Pendidik) telah menjadi rujukan sejumlah tokoh pendidikan Islam. Antaranya seperti Ibnu Maskawaih, Ibnu Khaldun dan al-Qabisi.

Dalam intipati naskhah itu, ilmuan tersebut membincangkan tentang kurikulum dan kaedah pengajaran yang disifatkannya dua perkara yang berbeza.

“Kurikulum adalah satu istilah yang menjelaskan tentang kuantiti dan kualiti bahan yang diajar, manakala kaedah merujuk kepada cara penyampaian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran” kata buku tersebut.

Ibnu Sahnun menghasilkan kitab Adab Al-Mu’allimin yang menghimpunkan pandangannya dalam bidang pendidikan yang masih relevan sehingga hari ini

Ibnu Sahnun juga mengklasifikasikan di antara subjek wajib dan pilihan yang harus diambil oleh seorang pelajar. Kurikulum wajib ialah al-Quran, sementara subjek pilihan lain seperti Matematik, Bahasa Arab, kaligrafi, pidato dan syair.

Beliau juga mahu pelajar khatam al-Quran terlebih dulu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Seperkara yang ditekankan oleh tokoh agama terkemuka itu adalah betapa pentingnya pendidik memiliki ilmu yang mendalam terhadap apa yang diajari mereka.

Selain itu, guru perlu menyediakan bilik darjah yang memberangsangkan bagi menyuntik semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar.

Kata Ibnu Sahnun: “Peranan pendidik sangat luas dan tak terhad di dalam  bilik darjah. Mereka harus memantau anak didik di mana sahaja, sama ada di rumah mahupun di tengah-tengah masyarakat. Inilah satu tanggungjawab yang besar dan harus dipikul oleh seorang pendidik.”

Namun, paling menarik perhatian penulis adalah mengenai prinsip bahawa pendidik tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman tanpa rasa kasih sayang.

Dalam satu kertas kerja yang bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, cendekiawan itu berpendapat, hukuman seperti memukul diberikan kepada anak didik dalam rangka tujuan mendidik asalkan tidak dilakukan secara berlebihan.

Beliau secara tegas menyatakan, hukuman yang dibolehkan harus dibatasi dalam pelaksanaannya seperti pukulan tidak boleh diberikan lebih dari tiga kali kecuali atas izin orang tua, itupun jika si anak terbukti telah menyakiti orang lain.

 

 

 

 

PROFIL

Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad bin Abi Sa’ad bin Habib bin Hisan bin Hilal bin Bakar bin Rabiah at-Tanukhi al-Qairawani

Gelaran: Ibnu Sahnun

Asal: Maghribi

Tahun kelahiran: 818 Masihi

Tahun kematian: 869 Masihi

Karya agung: Adab al-Mu’allimin, Adaba al-Mu‟allimin, Al-Hujjah ‘ala al-Qadariyah, Kitab Tafsir al-Muwatta dan Kitab Ajwibah Ibnu Sahnun

 

*Sumber dan Foto Buku Ulasan dan Ringkasan Buku Ibnu Sahnun (Mutiara Pendidik Muslim), Kertas kajian bertajuk Konsep Paedagogik Ibnu Sahnun dan Al-Qabisi, 123RF.com https://media.neliti.com/, https://www.academia.edu/,

 

Ibn Hazm
Gaya Hidup, Personaliti,

Ibn Hazm hasilkan 400 karya dengan 80,000 halaman sepanjang hayatnya

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

IBN HAZM ialah salah seorang tokoh ulama yang berpengetahuan luas dalam pelbagai disiplin ilmu agama dan falsafah. Selain terkenal sebagai ahli sastera, beliau juga masyhur sebagai seorang sejarawan ulung, pakar undang-undang dan ahli falsafah dan mantik yang bijak.

Pemilik nama penuh Abu Muhammad Ali ibn Ahmad ibn Said ibn Hazm dilahirkan di Cordova, Andalusia (Sepanyol).

Beliau berasal daripada sebuah keluarga bangsawan dan ternama berketurunan Parsi. Datuk dan bapanya menggalas jawatan sebagai menteri di istana Khalifah Umaiyah Hisham II.

Sesungguhnya, menjadi seorang anak pembesar negara bukan tiket kepadanya untuk bangga diri, sebaliknya beliau dikenali sebagai individu yang baik budi pekerti, pemaaf dan gemar meneroka pelbagai cabang ilmu.

Ibn Hazm sudah mengenali dunia politik sejak berusia lima tahun lagi bermula ketika era pemerintahan Khalifah Abdurrahman Kelima al-Mustahdir pada tahun 1023, diikuti Khalifah Hisyam III al-Mu‘tamid.

Memegang jawatan penting, Ibn Hazm berperanan untuk mematahkan cubaan merebut wilayah Granada daripada tangan musuh. Namun, sayangnya,Khalifah Abdurrahman telah terbunuh dan beliau dipenjarakan. Bukan sekali, malah semasa Hisyam III al-Mu‘tamid mengetuai kerajaan, figura cekal itu pernah dipenjara akibat pergolakan dalaman istana.

Baca juga Ciptaan Agung Tokoh Islam, Al-Idrisi Sehingga Namanya Diabadikan Di Pergunungan Sputnik di Pluto

Di Bawah Naungan Cinta

Pengalaman pahit itu telah mendorong Ibn Hazm untuk mengalih perhatiannya kepada bidang penulisan dengan menghasilkan pelbagai kitab. Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasilkan 400 karya dengan 80,000 halaman, namun hanya 40 buah daripadanya yang masih bertahan sehingga ke saat ini. Antara naskhah yang paling mengesankan ialah Kitab al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam dan Kitab alMuhalla.

Ibn Hazm

BUKU biografi tentang Ibn Hazm dan karyanya berkenaan perbandingan agama.

Kecintaan Ibn Hazm terhadap bidang kesusasteraan juga tidak boleh dinafikan. Naskhah berjudul Tawq al-Hamamah (Di Bawah Naungan Cinta) antara yang paling popular. Ia merupakan hasil pemikirannya tentang cinta dan kasih sayang sebagai seorang pemikir yang dideskripsikan melalui bahasa puitis dan prosa.

Menurut http://www. muslimphilosophy.com, kitab itu juga turut menganalisis konsep dan membezakan di antara cinta ILAHI yang ditempatkan pada tingkat paling tinggi.

Katanya lagi, bentuk kasih sayang atau daya tarikan yang lemah adalah disebabkan seseorang individu itu hanya sekadar melihat kepada penampilan luaran, namun tidak melihat lebih dalam lagi. Karya Ibn Hazm juga dikatakan banyak dipengaruhi dengan karya Plato bertajuk Phaedrus.

Sebelum Ibn Hazm meninggal dunia, beliau sempat menitipkan pesanan kepada seluruh umat Islam. Ucapnya: “Janganlah rasa cukup dengan ilmu yang ada padamu dan jangan manfaatkannya untuk mencari kesalahan pengajar dan menjelekkannya. Ini kerana perilaku sedemikian adalah mereka yang terdiri daripada orang-orang tercela yang tidak akan berjaya dalam menuntut ilmu buat selamanya.”

PROFIL

Ibn Hazm

Nama penuh: Abu Muhammad Ali ibn Ahmad ibn Said ibn Hazm

Gelaran: Ibn Hazm

Asal: Cordova, Andalusia

Tahun kelahiran: 994 Masihi

Tahun kematian: 1064 Masihi

Karya agung: Tawq al-Hamamah, Kitab al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam dan Kitab al-Muhalla.

Sumber dan Foto: Muslim Heritage, http://www.muslimphilosophy.com, https://prabook.com/web/abu.ibn_hazm/, https://www.republika.co.id, https://ejournal.um.edu.my/9006.pdf, reddit.com, amazon.com dan anyflip.com

Razia Sultan
Personaliti,

Kenali Razia Sultan, Sosok Sultan Wanita Pertama Dalam Sejarah Islam

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

MENYINGKAP salasilah Razia Sultan iaitu seorang wanita yang berpersonaliti hebat dalam sejarah pertengahan India cukup panjang. Buku terbitan lama dan baharu tentangnya memang terlalu banyak dicetak dan dijadikan rujukan.

Daripada semua karya, terdapat satu persamaan yang dicatatkan. Paling utama, ramai penulis merumuskan, Razia ialah sosok yang memenuhi kesemua ciri yang diperlukan sebagai pemimpin meskipun beliau hanyalah seorang wanita.

Menurut buku bertajuk The Unforgettable Queens of Islam yang diterbitkan oleh Cambridge University Press, beliau satu-satunya pemerintah wanita Delhi semasa pemerintahan Kesultanan Delhi dan Empayar Mughal digabungkan bermula pada tahun 1237 hingga 1240 Masihi.

Seperti yang diriwayatkan, Razia merupakan anak kepada Sultan Delhi, Shamsudin Iltumish. Sejak kecil, beliau telah dibentuk menjadi seorang parajurit.

Selain mahir menunggang kuda dan gajah serta berkebolehan dalam seni bela diri, dirinya telah dididik dengan baik dalam pendidikan formal, mahupun ilmu al-Quran.

Razia Sultan

WILAYAH-WILAYAH yang ditakluki Razia Sultan semasa menjadi pemerintah Kesultanan Delhi.

Pelantikan Razia sebagai Sultan memang tidak terjangka. Ia bermula apabila kematian abangnya, Naseerudin Mahmud. Sebelum Sultan Delhi mangkat pada 30 April 1236, baginda memecah tradisi apabila menamakan Razia sebagai pewarisnya, tetapi ia sangat tidak disenangi para bangsawan ketika itu.

Baca juga Haly Abbas Doktor Islam Pertama Kesan Penyakit Kuning

Cubaan mereka menabalkan adik beradik tiri tokoh wanita itu, Ruknuddin Firuz menjadi Sultan tidak kesampaian apabila Razia berjaya membuktikan lelaki terbabit telah membunuh abang kandungnya, Naseerudin.

Ruknuddin dibunuh dan bermulalah episod beliau diangkat sebagai pemerintah sah Kesultanan Delhi. Beliau memberi gelaran dirinya sebagai Razia Sultan, bukan Razia Sultana. Pendekatan itu mahu menegaskan kepada rakyat bahawa beliau sama seperti lelaki lain yang menggalas tanggungjawab sebagai sultan.

Tragik

Menurut pengkisahan, meskipun memiliki oposisi yang ramai, beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah yang baik dan adil. Selain membangunkan sistem jalan dengan menghubungkan kota dan desa, Razia turut mendirikan perpustakaan dan pusat pendidikan untuk komuniti Muslim dan juga Hindu.

Razia Sultan

KEPINGAN duit syiling yang digunakan semasa kesultanan Delhi mempunyai tulisan berkenaan Razia Sultan.

Di samping itu, jelitawan tersebut tidak ketinggalan menyumbangkan idea dalam bidang seni dan melahirkan pemuisi, pelukis dan ahli muzik. Segala keluhan dan tuntutan rakyat cuba dipenuhinya sebaik mungkin.

Namun, di sebalik kehebatannya, Razia dikatakan tewas atas faktor cinta. Ia bermula apabila beliau melantik seorang hamba Afrika berketurunan Habsyi, Jamaluddin Yaqut yang diminatinya sebagai pembantu peribadi. Alasan itu telah dimanipulasi oleh para pembesar untuk menggulingkannya. Razia diarah bernikah dengan Jamaluddin dan kembali hidup seperti rakyat biasa.

Dipendekkan cerita, wanita kental berkenaan bangkit melawan Malik Ikthiaruddin Altuniya yang ingin mewarisi Kesultanan Delhi. Dalam peperangan tersebut, suami Razia maut, sementara dirinya menjadi tawanan perang dan dijel.

Baca juga Wanita Bina Universiti Pertama Di Dunia

Ketika berada di dalam sel, beliau sering dilawati oleh Malik Ikthiaruddin dan entah bagaimana, kedua-duanya saling jatuh cinta dan akhirnya melangsungkan pernikahan.

Kehidupan Razia menjadi bertambah tragik selepas itu apabila lelaki yang dikenali sebagai Bahram (saudara Malik Ikthiaruddin) tiba-tiba menabalkan diri sebagai pemerintah di bawah takhta sama.

Pertempuran yang tercetus dan tentera yang selama ini menyokong Razia dan suami baharunya berpaling, membuatkan mereka lari ke wilayah Kaithal.

Razia difahamkan meninggal dunia pada 13 Oktober 1240 akibat dirompak oleh Hindu Jat sebelum dibunuh kejam.

Sehingga kini, makamnya diperdebatkan oleh ahli sejarawan. Ada yang mengatakan, beliau disemadikan di Turkoman Gate, Delhi, namun ada yang berpendapat, lokasinya terletak bersebelahan dengan suaminya di Mohalla Bulbuli Khana, Kaithal.

Apa-apapun, kisah Razia menjadi bukti bahawa pernah wujud dalam historiografi Islam seorang wanita Muslim pernah bergelar Sultan.

Razia Sultan

TAPAK pemakaman Razia Sultan di Mohalla Bulbuli Khana yang dikatakan bersebelahan suaminya.

PROFIL

Nama penuh: Radiyya binti Iltutmish

Gelaran: Razia Sultan

Asal: Uttar Pradesh, India

Tahun kelahiran: 1204

Tahun kematian: 1240

Tahun pertabalan: 1236

Tempoh pemerintahan: 4 tahun

Foto: Sumber Internet

Al-Idrisi
Personaliti,

Ciptaan Agung Tokoh Islam, Al-Idrisi Sehingga Namanya Diabadikan Di Pergunungan Sputnik di Pluto

no comment

AL-IDRISI atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad Al-Idrisi berasal daripada keturunan yang mulia iaitu Nabi Muhammad SAW menerusi cucu sulung baginda, Hasan bin Ali. Dek kerana keturunannya itu, beliau diberi gelaran al-Sharif (orang yang mulia).

Figura hebat berkenaan dilahirkan pada tahun 1100 Masihi di Ceuta, Maghribi. Pendapat paling masyhur menyatakan, Al-Idrisi berjaya menamatkan pendidikan agama di tempat kelahirannya.

Ketika zaman remaja, Al-Idrisi melawat banyak tempat di Afrika Utara dan Andalusia. Pelbagai maklumat yang dikumpulkannya mengenai kedua-dua wilayah berkenaan.

Mengikut riwayat, Al-Idrisi telah memilih untuk tinggal di Cordoba untuk mempelajari pelbagai cabang ilmu. Beliau mula mengkhususkan kepada bidang geografi terlebih dulu.

Setelah tamat pengajian, Al-Idrisi yang ketika itu berusia 16 tahun mengembara lagi ke Eropah, utara Sepanyol, Portugal, pantai Atlantik Perancis, selatan England dan di benua Asia.

Bagi meluaskan langkahnya, ilmuan tersebut melakukan perjalanan mengelilingi dunia. Dalam tempoh tersebut, Al-Idrisi dikatakan telah menulis tentang semua yang dilihat dan didengarinya.

Al-Idrisi

SALAH satu peta dunia yang dilukis oleh Al-Idrisi untuk Raja Roger II pada tahun 1154 Masihi yang dianggap paling maju pada era itu.

Baca juga Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

Idea hebat

Ternyata kegigihannya itu mendapat perhatian Raja Roger II dari Sicilia, Itali. Baginda dikenali sebagai raja berpengetahuan yang telah membiayai terjemahan karya ilmiah serta falsafah Arab dan Yunani ke bahasa Latin.

Tatkala baginda mendengar perkhabaran tentang Al-Idrisi termasuk karya geografinya yang luar biasa, baginda mengutuskan surat dengan mengajak tokoh Islam tersebut berkunjung dan tinggal di Sicilia. Pelawaan tersebut diterima baik.

Al-Idrisi kemudian telah diarah untuk membuat peta dunia untuk memenuhi satu projek besar yang mahu dilaksanakan oleh Raja Roger II.

Berbekalkan ilmu yang dimilikinya, cendekiawan terbabit berjaya menghasilkan konstruksi bola dunia dan peta berbentuk cakera yang diperbuat menerusi piring besar daripada perak yang padat.

Peta tersebut dibuat oleh Al-Idrisi dan dinukilkan dalam Kitab Nuzhah al-Musytaq fi Ishtiraq al-Afaq yang juga dikenali sebagai Kitab ar-Rujari (Roger’s Book). Ia merupakan sebuah karya geografi deskriptif Al-Idrisi.

Penemuan berkenaan disifatkan sebagai warisan agung agamawan itu yang kemudian dikenali sebagai Peta Idrisi Yang Besar. Beliau mula menyusun peta dan buku geografi seperti dunia yang belum pernah lagi dilihat pada zaman sebelumnya.

Al-Idrisi

TUGU Al-Idrisi yang dibangunkan di Ceuta, Maghribi sebagai memperingati jasa tokoh geografi ulung berkenaan.

Meskipun Raja Roger II telah mangkat, Al-Idrisi meneruskan usaha dengan menghasilkan tiga karya geografi utama selama 15 tahun lamanya.

Baca juga Piri Reis Rujuk Lebih 30 Sumber Hasilkan Peta Dunia Yang Menakjubkan

Ia termasuklah Planisfera atau peta bebola perak, peta dunia yang terdiri daripada 70 bahagian dibentuk dengan membahagikan bumi di utara Khatulistiwa menjadi tujuh zon iklim lebar yang sama dan ensiklopedia geografi.

Walaupun dikhabarkan Planisfera perak telah hilang, namun begitu, peta dunia dan monumental Roger’s Book telah digunakan berabad-abad lamanya sebagai rujukan utama ramai sarjana dan penyelidik.

Sesungguhnya, penemuan ilmuan Islam tersebut bukan calang-calang. Bahkan, Al-Idrisi juga berusaha menggabungkan geografi deskriptif dan astronomi.

Sempena memberi penghormatan kepada ahli geografi dan kartografer ulung itu, Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas telah mengabadikan nama Al-Idrisi di Pergunungan Sputnik Planum di Pluto dengan nama Al-Idrisi Mountains.

Sumber & Foto Republika.co.id, www.ensyclopedia.com, mvlism.com, ms.wikipedia.org & amust.com.au

WhatsApp Image 2021-10-07 at 11.57.45 PM
Personaliti,

Hajjah Jihad Buttu Bergelar Graduan Di Usia Emas

no comment

SETIAP manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti mempunyai impian. Dari angan-angan kita berusaha menjadikannya realiti sungguhpun berdepan dengan pelbagai cabaran serta kesukaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi aplikasi Telegram Nadir Al-Nuri berkongsi perihal Hajjah Jihad Buttu, 85 tahun.

Tulis Nadir Al-Nuri, wanita kelahiran Palestin ini meninggalkan kampung halaman dalam peristiwa Nakbah dan kemudian berhijrah ke daerah lain untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta.

“Dalam kesibukan menguruskan keluarga, dia hanya diberi peluang untuk belajar sehingga ke darjah tiga.

“Setelah usianya meningkat dek kerana kecintaannya yang menggunung terhadap ilmu. Dia memaksa diri untuk meneruskan pembelajaran dengan tujuan agar boleh mengajar dan membantu tujuh anaknya yang sedang membesar mengulang kaji pelajaran.

“Usahanya terbukti membuahkan kejayaan apabila kesemua anaknya berjaya sehingga menjadi doktor dan ada berkecimpung dalam bidang profesional yang lain,” katanya yang kini tinggal di Palestin dan sering berkongsi tentang kehidupan seharian di Gaza.

Tambah beliau, Hajjah Jihad tidak berhenti setakat itu, semangat untuk menuntut ilmu semakin membuak-buak dalam dirinya.

Kongsinya lagi, di penghujung usia Hajjah Jihad mula menghabiskan pengajian di peringkat menengah lalu menyambung pula pengajian dalam bidang Syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“Dan pada usia 85 tahun, beliau bergraduasi dengan keputusan yang cemerlang!

“Macam mana, hebat tak kecintaan kepada ilmu nak dibandingkan dengan kita yang masih kuat dan bertenaga? Kalau Hajjah Jihad ada di depan kalian, apa yang akan kalian sebutkan kepadanya?,” ujar beliau

6151766_xl
Personaliti, Uncategorized,

PU Rahmat Pesan Ibu Tunggal Usah Putus Asa Besarkan Anak-anak

no comment

KITA sering diperdengarkan dan membaca perihal kesungguhan seorang ibu tunggal membesarkan anak-anaknya. Ada dalam kalangan mereka yang kematian suami mahupun dicerai hidup membesarkan ramai anak dengan kudrat wanitanya. Harapan mereka supaya anak-anak menjadi anak yang berjaya kelak.
Berkongsi di laman Instagramnya, Pencetus Ummah (PU) Rahmat Ikhsan membawakan kisah seorang ibu tunggal muda yang kematian suami bernama Shofiyyah Binti Maimunah. Suaminya meninggalkan seorang anak lelaki yang masih kecil.
Kongsi pendakwah itu, Shofiyyah mengambil keputusan untuk tidak mahu berkahwin lagi dan berusaha sedaya mungkin memfokuskan pendidikan anaknya itu.
“Apa yang dilakukan Shofiyyah adalah setiap hari dia akan mengajarkan anaknya untuk belajar dan menghafal al-Quran. Berkat kesungguhannya, anak lelaki tunggalnya ini berjaya menghafal al-Quran dalam usia 10 tahun,, masha ALLAH.
“Setiap pagi menjelang waktu sebelum Subuh yang dingin, dia akan membangunkan anaknya, mempersiapkan anaknya dengan memakaikan baju yang terbaik dan menyediakan peralatan belajar untuk anaknya ini.
“Kemudian Shofiyyah akan menggandeng tangan anaknya menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah seterusnya mengikuti majlis ilmu yang dikendalikan ulama pada zamannya,” katanya.
Ujarnya lagi, Shofiyyah tidak terus pulang, sebaliknya balu itu menunggu anaknya sehingga selesai majlis ilmu, begitulah rutinnya setiap hari.

 

Ibu bapalah yang akan mencorakkan keperibadian anak itu.

Agamawan itu berkata, usaha yang dilakukan Shofiyyah langsung tidak sia-sia kerana anaknya itu membesar menjadi seorang ulama besar yang namanya sentiasa disebut-sebut sehingga ke hari ini. Anaknya itu adalah Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah.
PU Rahmat berpesan kepada para ibu tunggal supaya jangan berputus asa dalam membesarkan anak-anak.
“Kerana tiada siapa tahu rezeki kalian akan mendewasakan orang-orang hebat. InsyaALLAH,” kata beliau.