Browsing Category

Gaya Hidup

POLIGAMI
Gaya Hidup,

Islam izin kongsi kisah rumahtangga selagi tidak aibkan pasangan

IBARAT membuka pekung di dada apabila media sosial kini menjadi medium popular masyarakat meluahkan rasa termasuk hal rumahtangga.

Terutamanya apabila melibatkan poligami atau curang yang begitu sensitif untuk dibicarakan, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah dalam masyarakat.

Apa saja kisah rumahtangga yang berlaku pasti akan dikongsi di media sosial, adakah Islam membenarkan cara sebegini.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yuhaniz Mohd Yusop, Islam membenarkan perkongsian kisah rumahtangga untuk diambil pengajaran dan pelajaran selagi tidak mengaibkan dan memudaratkan sesiapa.

Katanya, terdapat banyak kisah rumahtangga baik dan bagus untuk dijadikan motivasi kepada orang lain.

Baca Juga Perbetulkan salah faham perihal poligami

“Kisah hebat ini adalah salah satu terapi buat kita untuk perbaiki diri. Kisah berunsur malang, kekecewaan, kesakitan, penderitaan dan trauma juga membuatkan kita sentiasa waspada serta berhati-hati dalam menjalani kehidupan.

“Bercerita dan berkongsi kisah rumahtangga ada kaedahnya. Jika kisah baik dan pasangan berkenaan tidak ada masalah untuk berkongsi dengan orang lain, maka buatlah dengan cara baik.

Twitter

MEDIA sosial kini menjadi medium popular masyarakat meluahkan rasa termasuk hal rumahtangga.. -Gambar hiasan/FOTO: CANVA.COM

“Jika kisah tidak baik dan apatah lagi pasangan akan rasa diaibkan jika perkongsian kisah mereka dikongsikan, maka rahsiakanlah pemilik kisah itu. Hanya perkongsian kisah sahaja yang dilakukan untuk sama-sama kita mendapat ibrahnya,” katanya.

Yuhaniz berkata lagi, tiada halangan dalam Islam untuk mengadu dan berkongsi masalah rumahtangga namun hanya kepada orang yang layak sahaja.

Mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti

Imam al-Ghazali menegaskan setiap masalah dihadapi pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh dikongsikan kepada orang yang berautoriti atau layak bagi membantu dalam membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan 

Dalam hal ini, katanya, setiap pasangan wajar mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor, pegawai khidmat nasihat dan peguam.

Sekiranya ingin berkongsi dengan orang sekeliling, seperti kawan rapat atau adik beradik, pastikan individu itu boleh menjadi pendamai.

Sayidatina Fatimah puteri Rasulullah SAW juga pernah menceritakan masalah rumahtangga beliau kepada Baginda.

poligami

WALAUPUN poligami dibenarkan agama, namun perkahwinan monogami lebih disarankan agar tidak berlaku kezaliman sesama pasangan. Foto: Unsplash

Sahl Ibnu Sa’d RA meriwayatkan Rasulullah SAW mendatangi rumah Fatimah dan Baginda tidak melihat Ali RA di rumah. Lalu Baginda bertanya: “Di mana suamimu?” Jawab Fatimah: “Tadi ada masalah denganku, dia terus marah kepadaku, lalu keluar. Siang ini dia tidak tidur di sampingku.”

Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat mengenai keberadaan Ali. “Wahai Rasulullah, dia di masjid, sedang tidur.”Datanglah Rasulullah SAW ke masjid dan ketika itu Ali sedang tidur, sementara baju atasannya jatuh di sampingnya dan terkena debu. Lalu Rasulullah SAW mengusap debu itu, sambil mengatakan, “Bangun, wahai Abu Thurab… bangun, wahai Abu Thurab.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Turut Disyorkan Ada sebab mengapa wanita tak boleh berkahwin 4 dan amalkan poliandri

Suami isteri ibarat pakaian

Seterusnya, memetik perkongsian Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr. Ahmad Sanusi Azmi menyatakan dalam al-Quran, ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti.

Firman ALLAH SWT: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 187)

“Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” jelasnya.

pexels-andrea-piacquadio-3777565
Gaya Hidup,

Enam pesanan penting Imam al-Ghazali untuk menghindar rasa marah

Enam pesanan penting Imam al-Ghazali untuk menghindar rasa marah…

MENAHAN amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut oleh Islam.

ALLAH SWT telah berfirman dalam al-Quran, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertakwa:

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. (Surah Aali ‘Imran ayat 134)

Mufti Wilayah berkongsi satu kisah yang diriwayatkan, bahawa suatu ketika Aisyah RA pernah berada dalam keadaan yang sangat marah disebabkan sesuatu perkara. Mengetahui akan hal itu, Baginda SAW pun berkata padanya,

“Syaitan yang menggodamu sudah datang.”

Aisyah bertanya kepada Baginda SAW

“Apakah dirimu juga digoda syaitan?”

Jawab Baginda,

“Ya, namun aku selalu berdoa kepada ALLAH hingga DIA berkenan menolongku dan aku terselamat dari tipu daya syaitan. Kerana itu aku hanya menyeru ke jalan kebaikan.”

Baca Juga Bila rasa sedih, kesal dan marah, elakkan diri daripada cakap ‘kalau’

Kemudian Baginda SAW memegang hidung Aisyah dengan penuh kasih sayang seraya berbisik kepadanya dengan kelembutan,

“Wahai Uwaisy (panggilan manja nabi bagi Aisyah) bacalah doa ini, Ya ALLAH, tuhan Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkan kemarahan dari hatiku dan lindungilah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan baik yang nampak mahupun tidak. Setelah membaca doa tersebut, segeralah duduk jika sedang berdiri, atau baringlah jika sedang duduk.”

INGATLAH bahawa antara ciri penghuni syurga itu termasuk orang yang mampu menahan marahnya. – FOTO: Pexels

Begitulah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sekiranya berada dalam keadan marah.

Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin, antara tip untuk mengatasi rasa marah yang bergejolak dalam jiwa adalah seperti berikut:

1.Menyedari bahawa pahala dari menahan rasa amarah itu sangat besar.

2.Menakut-nakutkan diri sendiri akibat yang akan diterima (berupa seksaan ALLAH) kerana ikut rasa marah.

3.Yakin bahawa ALLAH SWT lebih berkuasa mengatasi perkara itu.

Artikel Berkaitan 

4.Mengingatkan diri sendiri akan akibat, hukuman serta risiko yang akan dihadapi jika tidak mengawal marah tersebut.

5.Belajar dan memikirkan betapa buruk penampilan orang yang sedang marah sehingga wajahnya yang sedang masam nampak begitu buruk.

6.Menyedari jika sedang marah sikap seseorang seperti binatang buas. Sebaliknya jika sedang bersikap ramah lebih menyerupai para Nabi dan wali ALLAH.

syaitan aurat

MOHONLAH pertolongan ALLAH SWT dengan memanjatkan doa kepada-NYA kerana DIA adalah sebaik-baik PELINDUNG. – FOTO: Pexels

Doa menahan marah

1.Doa agar diperbaiki diri

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang MAHA HIDUP, wahai Tuhan yang MAHA BERDIRI SENDIRI (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-MU aku memohon pertolongan, perbaikilah urusanku semuanya dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” (Hadis Riwayat al-Nasa’ie)

2.Doa agar dikurniakan kesabaran dan keteguhan

Firman ALLAH SWT:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah al-Baqarah ayat 250)

Mengalah
Gaya Hidup,

Mengalahlah, jangan berbalah dengan adik beradik

“MENGALAHLAH, awakkan abang. Bagi dulu mainan tu pada adik, nanti bila dia tak main, awak ambillah.”

Frasa itu mengingatkan kita kepada momen ketika masih kecil. Rata-rata ibu dan ayah akan menyuruh anak yang lebih besar mengalah dengan adik dalam serba-serbi.

Kadangkala geram juga apabila melihat si adik mendapat layanan istimewa daripada kakak atau abang.

Namun apabila menginjak dewasa, barulah kita faham dan sedar hubungan adik beradik apalagi lahir dari rahim seorang ibu yang sama memang tidak akan terlerai sampai bila-bila. Hanya kematian sahajalah yang akan memisahkan kita.

Suatu perkara perlu diingat, mengalah bukan bererti kita kalah. Namun, kita melakukan demikian demi suatu perhubungan yang begitu mahal nilainya.

Mengalah

JANGAN bermusuhan atau dengki-mendengki sesama adik beradik, sebaliknya mengalahlah demi kebaikan bersama. -Foto: Canva

Bagi pasangan adik beradik yang mungkin bermasam muka ketika ini hingga memutuskan silaturahim, segera berbaiklah.

Baca juga Tiada haruman syurga kalau bermusuh sesama adik beradik

Sebaiknya, siapa pun kita waima adik atau kakak atau abang, mengalahlah demi menyambung semula ikatan yang terputus itu.

Penulis buku kerohanian, Ustaz Muhammad Rizal Johari menyarankan agar kita memulakan langkah untuk berbaik-baik dengan saudara kandung sendiri.

“Barangkali ada dalam kalangan kamu berbalah sesama adik beradik dan ada di antara mereka yang memutuskan hubungan silaturahim, dia tak mahu datang ke rumah kamu, dia buat tak tahu dengan kamu dan sebagainya.

“Andai kita sedar perkara ini dan mengalah, kamu mulakanlah dengan menziarahi dia, pujuk dia untuk menyambung silaturahim sesama mereka dan berbaik,” titipnya sebagaimana dikongsikan dalam laman sosial Facebook miliknya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT akan mengubah takdir mereka yang berusaha kembali menyambung silaturahim dengan dua perkara yang besar, ungkapnya.

Baca juga Contohi sikap Nabi Yusuf santuni adik-beradik

“Jika rezeki kamu sempit, maka ALLAH ubah takdir itu dan diperluaskan rezeki untuk kamu.

“Satu lagi, ALLAH ubah takdir ajal kamu, ditambahkan usia kamu daripada tarikh kematian yang asal,” katanya.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nasihat yang sama turut dititipkan oleh pendakwah Ustazah Nur Aqidah Mawardi.

USTAZAH NUR AQIDAH -Foto: Facebook Nur Aqidah Mawardi

Beliau mengingatkan agar kita tidak bermusuhan, dengki-mendengki mahupun berlawan perkara yang sia-sia dengan adik beradik sendiri.

“Jika adik beradik sudah renggang, kita sendiri berdoa dan bertindak agar ALLAH bantu untuk mengurniakan hidayah kepada kita serta adik beradik kita agar ada rasa sayang dan saling mendoakan,” ungkapnya.

Baca juga Titipkan Doa Buat Adik Beradik Kita, Ini Sebabnya

Dalam pada itu, Ustazah Nur Aqidah turut mengingatkan agar kita tidak menjadi asbab renggangnya hubungan keluarga pasangan suami atau isteri.

Sebaliknya, berbaiklah dan lapangkanlah hati untuk menerima kekurangan dan cara hidup keluarga masing-masing.

“Jangan ada rasa hendak bersaing antara satu sama lain.

“Ingatlah hidup dalam hasad ini akan mendatangkan pelbagai penyakit, jasmani dan rohani,” ujarnya.

Justeru, penceramah tersebut mengingatkan agar kita memohon petunjuk daripada ALLAH SWT menerusi solat yang didirikan.

“Satu lagi, bermanis mukalah paling mudah untuk kita memulakan hubungan yang baik.

Mengalah

JAGALAH hubungan sesama adik beradik dan mengalah andai bercanggah dalam sesuatu perkara. Ia lebih baik daripada membiarkan silaturahim sesama saudara kandung semakin renggang. -Foto: 123rf

“Di samping itu, saling menasihati kerana sayang, bukan kerana ingin menunjuk kehebatan,” titipnya.

Kepada mereka yang ada masalah dalam kalangan adik beradik, ipar-duai mahupun saudara-mara, beliau menitipkan pesan agar mencari solusi untuk berdamai.

“Percaya dan yakinlah ALLAH yang memegang hati setiap hamba-NYA. Kita minta pada ALLAH Sang Pemilik Hati,” ungkapnya.

Sapu rumah waktu malam
Gaya Hidup,

Sapu rumah waktu malam boleh jatuh miskin hanya mitos

“JANGAN sapu rumah waktu malam, nanti jatuh miskin.”

Terkedu dan terkejut dibuatnya apabila mendengarkan pernyataan itu daripada mulut seseorang.

Rupanya ‘kepercayaan’ seperti itu masih lagi berlegar-legar dalam kalangan masyarakat walaupun kita berada pada era milenial kini.

Kepada mereka yang masih lagi berpegang dengan tanggapan tersebut, segeralah buang jauh-jauh.

Baca juga Tinggalkan pinggan mangkuk tak dibasuh semalaman boleh undang kepapaan?

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiada larangan untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam dalam Islam secara umumnya.

DR ZULKIFLI

“Sebaliknya, kita sememangnya dituntut untuk menjaga kebersihan kediaman dan tempat tinggal masing-masing bila-bila masa.

“Ini kerana Islam begitu prihatin dalam soal menjaga kebersihan dan bersuci. Masakan tidak, ia merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel #2423: Menyapu Rumah Malam Hari Membawa Kepada Kemiskinan yang disiarkan dalam Maktabah Albakri.

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

Ia sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu kemudian menukilkan pandangan Mudir Idarah al-Furu’ al-Fiqhiyyah yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Dar al-Ifta’, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami’ ketika ditanya menyapu rumah pada waktu malam membawa kefakiran.

Ujar beliau, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami’ menjawab, dibolehkan untuk berbuat demikian dan tiada apa-apa akibat daripada perbuatan tersebut.

Sapu rumah waktu malam

DALAM Islam, tiada pengharaman tertentu untuk sapu rumah waktu malam. -Foto: Freepik

“Malah, hukumnya tidak haram sebagaimana disangkakan oleh sebahagian orang.

“Begitu juga halnya dengan membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan,” katanya.

***Foto: Freepik

bagi salam
Gaya Hidup,

Berapa kali salam perlu diberi kepada tuan rumah? Ustaz Don kongsikan solusinya

Berapa kali salam perlu diberi kepada tuan rumah? Ustaz Don kongsikan solusinya…

KERAP kali kita melihat situasi di mana penghantar barang memberi salam berkali-kali yang ada ketikanya seperti nak terkeluar anak tekak, atau boleh didengar selang beberapa rumah.

Namun, tuan rumah masih tidak kelihatan. Sama ada mereka tidak menyedarinya atau memang tiada di rumah ketika itu.

Melihat perkara di atas, kelihatan sudah sebati dalam masyarakat sehingga ada yang memandang remeh perihal salam ini, tidak kira orang yang menghantar barang mahupun tuan rumah sendiri.

Baca Juga Walaupun balik dari kerja, masuk rumah berilah salam

Persoalannya, adakah wajar memberi salam berkali-kali sehingga tuan rumah memunculkan diri atau cukup dengan hanya beberapa kali sahaja?

Menurut ustaz Don Daniyal Don Biyajid, adab memberi salam cukup sekadar tiga kali sahaja. Sekiranya masih tidak berjawab, maka pulanglah. Itu adab yang diajar oleh Islam.

“Ucapan salam itu perlulah tidak berturut-turut. Sebaliknya, selangkanlah beberapa minit sebelum ungkapan salam kedua diberikan”

“Tujuannya untuk memberi waktu kepada tuan rumah mempersiapkan diri sebelum menyambut tetamu. Kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam rumah. Mungkin tuan rumah sedang tidur, mandi atau sebagainya.

jenazah

USTAZ DON DANIYAL

“Oleh sebab itu berilah ruang waktu kepada mereka untuk menyambut tetamu. Lebih elok lagi jika salam yang dihulurkan berserta dengan memperkenalkan gerangan yang hadir.

“Ucapan salam sebanyak tiga kali itu juga perlulah berjarak. Seeloknya dalam masa dua hingga tiga minit. Jika salam dengan jarak yang diberikan itu masih tidak mendapat balasan, harus pulang sahaja. Mungkin tuan rumah tidak ada atau tidak bersedia menerima kedatangan tetamu.

“Apa pun jangan sampai membuka pintu tuan rumah atau memasuki rumah seseorang tanpa kebenaran,” katanya menerusi satu hantaran video di laman media sosial.

Artikel Berkaitan 

Hal tersebut amat dilarang oleh Islam sebagaimana firman ALLAH, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan)”. Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu,“baliklah” maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) ALLAH MAHA MENGETAHUI akan apa yang kamu lakukan.” (Surah An-Nur ayat 27 dan 28)

Bagaimana dengan nadanya?

Amalan simple dijamin masuk syurga

BERI salam ketika hendak masuk rumah merupakan antara amalan ‘simple’ yang dijamin masuk syurga. – Foto: Freepik

Tambah Ustaz Don lagi, salam pertama yang diberikan kepada tuan rumah perlu dengan nada bersahaja. Kemudiannya menegaskan sedikit suara disertakan dengan memperkenalkan diri kepada tuan rumah. Begitu juga dengan salam ketiga.

“Berlainan pula jika situasi berada di luar rumah. Sebaiknya berilah salam dalam keadaan suara seperti ingin menyapa seseorang. Namun lihat juga kepada situasinya. Jika kedudukan orang tersebut dengan kita jauh maka boleh dengan nada yang sedikit tinggi.

“Bagi seorang wanita pula, apabila ingin memberi dan menjawab salam berpada-padalah mengikut keadaan. Jangan sampai menjerit seperti orang lelaki. Cukup sekadar mimik bibir atau menggunakan bahasa badan sebagai tanda menyambut salam seseorang sekiranya jarak jauh.

Baca Juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

Turut Disyorkan Wajib jawab salam walaupun duduk dalam kumpulan

“Sekiranya datang ke rumah orang, ikutlah pertimbangan ketika memberi salam. Janganlah sehingga ungkapan salam yang diberi itu dilaungkan berkali-kali dengan nada yang tinggi sehingga mengganggu pula jiran-jiran terdekat dek kerana berang dengan tuan rumah yang masih tidak kelihatan.

“Cukuplah dengan lafaz tiga kali atau ketulah pintu, jika masih tiada orang, bolehlah beransur pergi sesuai dengan perintah ALLAH,” ujarnya.

Ekaterina
Gaya Hidup,

“Malaysia negara terbaik untuk belajar Islam” – Ekaterina

SEORANG pengisian kandungan dari luar negara, Ekaterina mengakui kagum dengan kelebihan yang ada pada Malaysia.

Menerusi salah satu videonya di TikTok (@gomalaysia), wanita tersebut menganggap Malaysia merupakan sebuah negara terbaik bagi sesiapa yang mahu mempelajari tentang Islam.

Dia seterusnya berkongsi beberapa aktiviti Islamik melibatkan beberapa penceramah agama dari luar negara yang pernah berlangsung di negara ini.

Ekaterina secara peribadi mengakui pernah menghadiri ceramah yang disampai oleh Omar Suleiman di Selangor.

“Baru-baru ini, saya baru sahaja menghadiri ceramah Omar Suleiman di Shah Alam,” katanya.

Baca Juga Persembahan ular dan buaya tarikan si kecil ke masjid di Newark USA

Omar Suleiman merupakan antara individu yang tersenarai dalam CNN’s Top 25 Muslims American Change Makers.

Pendakwah yang berasal dari New Orleans, Amerika Syarikat itu menyambung pelajaran di IIUM, Kuala Lumpur dan kini telah melengkapkan pengajian PhD.

OMAR SULEIMAN

Beliau melengkapkan pengajian akademik tersebut di Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman (AHAS KIRHS).

Selain Omar, Malaysia turut dikunjungi beberapa figura terkemuka dalam bidang dakwah secara global.

Antaranya, Dr. Haifaa Younis dan Yasmin Migahed yang dijangka bakal mengadakan jelajah di Malaysia pada bulan depan.

Turut Disyorkan ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

Dasar kerajaan Malaysia yang menggalakkan aktiviti dakwah

Selain itu, Ekaterina turut menampilkan beberapa sedutan ucapan daripada Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan penerimaan negara tersebut terhadap aktiviti-aktiviti dakwah.

“Malaysia merupakan sebuah masyarakat terbuka. Alhamdulillah, suasana ini bersifat agak demokratik,”

Secara umumnya, pendedahan ilmu dari luar ini akan menjadikan pemikiran masyarakat lebih terbuka dan berfikir dengan lebih kritis dan kreatif.

EKATERINA pernah menghadiri ceramah yang disampaikan oleh Omar Suleiman di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ini turut membantu rakyat Malaysia untuk mengenali antara satu sama lain, tanpa mengenal bangsa, etnik dan agama dan menerima persamaan dan perbezaan antara satu sama lain.

“Ini yang menjadikan Malaysia sebagai tempat yang terbaik di dunia untuk mempelajari lebih banyak perkara mengenai Islam,” katanya lagi.

Mengakhiri video tersebut, dia berpendapat Malaysia sedang memainkan peranan yang penting dalam membantu komuniti Islam berkembang.

Baca Juga Syeikh Sudais dilantik ketua badan bebas Hal Ehwal Agama Dua Kota Suci

Turut Disyorkan Saintis Islam asaskan wad psikiatri pertama di dunia

Walaupun bukan seorang Muslim, namun rata-rata netizen yang melihat video tersebut bangga dengan apa yang dikongsi oleh ‘content creator’ luar negara itu.

Alhamdulillah please pray for my lovely country Malaysia, and don’t forget to pray for Palestine too” – aus636

Masha-ALLAH, with Islam Malaysia so harmony. We are beautiful und nice multi racial. We have all kind of races Islam (peace) to humankind” Sharifah Hava Rifaei

 

@gomalaysia

Malaysia is helping out the Muslim community to grow 🙏🤲🇲🇾 #malaysia #malaysiatrulyasia #islam #welcometoislam #shahalam #omarsuleiman #faithevents #amazingmalaysia #islamic_media #muslimtiktok #omarsuleimanofficial #drhaifaayounis #yasminmogahed @faitheventsmy @Omar Suleiman Official #madani

♬ original sound – Go Malaysia!

 

Haiwan tidak boleh pelihara
Gaya Hidup,

6 haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara

WALAUPUN pencinta binatang, ada haiwan tertentu yang Muslim tidak boleh pelihara.

Benar, kita disuruh supaya mengasihi dan berlaku ihsan terhadap haiwan. Ia tidak kiralah sama ada binatang itu haram dimakan ataupun tidak.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

Meskipun demikian, ia bukanlah ‘tiket’ untuk kita membela semua jenis haiwan lebih-lebih lagi di rumah masing-masing.

Bukan sahaja tertakluk kepada undang-undang ataupun spesies yang dilindungi, tetapi sebenarnya agama Islam juga meletakkan panduan tentang binatang yang tidak boleh dibela.

Sinar Islam Plus menyenaraikan haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara sebagaimana dirujuk menerusi beberapa laman web terkemuka.

Antaranya seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Terengganu, Republika, Islam Qa, Islampos.com, Islam web dan bondowoso.jatimnetwork.com.

Berikut perinciannya:

1. Anjing.

Haiwan tidak boleh pelihara

ANJING antara haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara kecuali atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak. -Foto: Canva

Larangan membela anjing banyak disebutkan dalam nas tanpa sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.

Baca juga [VIDEO] Bila masuk ke rumah rakan yang bela anjing, ini perkara yang perlu kita ambil tahu

Antaranya Ibnu Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela anjing selain daripada anjing memburu, atau anjing yang menjaga tanaman, berkurang pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat lain, Abi Talhah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing dan patung untuk disembah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2. Ular.

Umat Islam diharamkan membela haiwan yang dianjurkan untuk dibunuh terutamanya binatang berbahaya seperti ular.

Bahkan, reptilia itu termasuk dalam kelompok binatang pengganggu dan perosak (fawasiq) serta tiada manfaat untuk diperdagangkan.

3. Babi.

Baca juga Termakan daging babi tanpa sengaja, apa perlu dibuat?

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah dan daging babi…” (Surah al-Baqarah, ayat 173)

Memetik artikel disiarkan dalam Islam Web, umat Islam tidak boleh memeliharanya kerana ia haiwan yang najis.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH dan Rasul-NYA telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Cicak.

Haiwan tak boleh pelihara

SUDAH tentu ramai yang tidak mahu membela cicak sebagai haiwan peliharaan atas beberapa alasan termasuk geli dengan fizikalnya. -Foto: Canva

Ia termasuk sebagai haiwan yang dibolehkan untuk dibunuh dan pengganggu. Apatah lagi jika dipelihara atau dimakan.

5. Tikus.

Tikus termasuk haiwan yang najis dan kotor. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa Islam melarang kita untuk memeliharanya. Mudah kata, tiada manfaatnya berbuat demikian, malah lebih banyak mendatang mudarat.

Baca juga Tak boleh bunuh semut, tetapi bagaimana jika serangga itu bawa mudarat?

Bukan itu sahaja, memetik laporan portal Republika yang mengambil sumber daripada Islam Web, hamster antara spesies tikus yang dilarang untuk dibela.

Hamster disebutkan dalam Ensiklopedia Arab dan Ensiklopedia Bebas serta dikenali dalam bahasa Arab dengan nama ‘qidaad’.

6. Burung gagak.

Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak dan anjing gila atau ganas.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Islam Web, ramai ulama berpandangan burung gagak yang dianjurkan untuk dibunuh adalah burung gagak perut putih yang memakan bangkai haiwan dan bukan semua jenis.

Bagaiamanpun, Mazhab Maliki berpandangan bahawa semua jenis burung gagak adalah fawasiq. Disebabkan itulah ia tidak boleh dibela.

Demikianlah antara haiwan yang Muslim tidak boleh pelihara. Masih banyak lagi binatang peliharaan lain yang boleh kita bela di rumah masing-masing.

***Foto: Canva

anak-anak
Gaya Hidup,

Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak…

BERBAKTI kepada orang tua sudah menjadi satu tuntutan dalam Islam. Ini kerana sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam membesarkan kita menjadi seorang manusia yang berguna.

Perintah berbakti kepada ibu bapa dirakamkan oleh ALLAH di dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud; “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-dua mereka sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Namun, di kala arus teknologi yang serba canggih kini, peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak juga semakin mencabar kerana pelbagai rintangan yang terpaksa dilalui.

Melihat gaya hidup remaja sekarang yang semakin terdedah dengan teknologi terlalu jauh bezanya dengan kehidupan generasi zaman dahulu.

Pada zaman itu, anak-anak cukup lasak, diajar pelbagai ilmu mempertahankan diri, mengaji al-Quran pada waktu malam, diajar ikhtiar hidup sama ada di sekolah menerusi aktiviti berpersatuan atau di rumah oleh ahli keluarga.

sambut bayi baru lahir

JIKA dididik dengan baik, anak tu nanti akan membuka jalan ke syurga buat ibu bapa.

Dari segi disiplin pula, guru-guru di sekolah memang tegas dan ibu bapa pula tidak ‘mencabar’ tugas guru merotan pelajar nakal, menggunting rambut atau mengenakan denda kepada mereka yang bersalah.

Begitulah cara orang-orang terdahulu mendidik anak sehingga mereka menjadi manusia yang kuat dan tidak ‘lembik’ serta manja berbanding generasi sekarang.

Apabila melihat generasi sekarang pula, sedih dan kecewa dengan perangai ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga langsung tidak boleh ditegur atau ‘dijentik’.

Artikel Berkaitan 

Sehinggakan ada anak yang tidak takut kecilkan hati ibu bapa, bahkan orang tua pula yang takut kecilkan hati anak-anak mereka dan berjaga-jaga dalam setiap tindak tanduk perbuatan demi menjaga hati putera dan puteri kesayangan.

Bagaimanapun, dalam perihal mendidik anak ini, ia sebenarnya bermula daripada tanggungjawab kedua ibu bapa itu dalam mencorakkan nilai kehidupan dalam diri mereka.

Berpada-pada dalam mendidik anak-anak

Memetik perkongsian pakar keluarga dan kasih sayang, Dr. Rozieta Shaary, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menginterpretasikan kasih sayang terhadap anak mengikut asas didikan dan kepercayaan masing-masing.

ajar kepada anak

SEBAGAI ibu bapa, kita bertanggungjawab memperkenalkan konsep agama dan ALLAH kepada anak-anak. Foto: 123RF

Katanya, jika ibu bapa terlalu berlembut dengan anak ibarat memberi ruang sebesar mungkin untuk mereka melakukan apa saja, tanpa kawalan atau had.

“Lebih membimbangkan, sikap ibu bapa sebeginilah yang mendidik anak menjadi tuan.

“Sekalipun ibu bapa ini nampak begitu lembut dan penuh kasih sayang, namun sebenarnya ia boleh merosakkan peribadi, sikap dan masa depan anak.

Turut Disyorkan Bapa tanggung dosa jika anak perempuan tidak menutup aurat?

Baca Juga Adik Syahril, bukti jasa sang anak hingga akhir nafas seorang ibu

“Terlalu diturutkan semua kemahuan dan diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil suatu hari nanti ibu bapa dijadikan ‘alas kaki’ buat si anak.

Manakala anak pula terus menjadi raja hingga dewasa,” tegasnya.

Justeru nasihatnya, sebagai ibu bapa kita perlu mencontohi masyarakat terdahulu dalam mendidik anak-anak, bukan tidak boleh manjakan mereka, tetapi biarlah berpada-pada.

Supaya apabila kita ‘meninggalkan’ mereka suatu hari nanti akan dapat berdikari, berdisiplin dan menjadi insan yang kuat jiwanya.

Skibidi Toilet
Gaya Hidup,

Awasi penularan animasi ‘skubidi toilet’, ini peranan ibu bapa didik anak kembali ke cara Islam

KEBELAKANGAN ini, masyarakat Malaysia digemparkan dengan sebuah rancangan animasi barat yang dikatakan tidak sesuai ditonton kanak-kanak.

Ia susulan tindak balas negatif terhadap si kecil yang jelas kelihatan selepas mereka menonton rancangan berkenaan yang dipercayai padat dengan elemen keganasan dan tidak masuk akal.

Terbaharu, tular satu animasi di YouTube bertajuk ‘Skibidi Toilet‘ yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

Baca Juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

Dengan pelbagai tarikan buruk di luar sana, sebagai ibu bapa kita mestilah berhati-hati. Sedikit sahaja kelekaan kita dalam didikan anak-anak pasti akan memberi kesan buruk pada pembentukan peribadi yang akan kekal selamanya.

Melihat kepada risiko ini dan tanggungjawab yang berat sebagai ibu ayah, tiada lagi jalan lain melainkan kembali kepada cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak kita.

TULAR satu animasi di YouTube yang bertajuk ‘Skibidi Toilet‘ dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak. 

Berkaitan perkara ini, Ahli Isma Australia, Dr Shaiful Aizad kongsikan cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak yang sesuai diadaptasikan pada zaman ini, terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 2 sehingga 18 tahun.

Ujarnya, peranan ibu bapa adalah paling penting dalam menentukan peribadi dan hala tuju hidup anak-anak. Kita semua nak jadikan anak-anak kita soleh dan solehah, sebab hanya dengan doa mereka sahaja sebagai bekalan di alam kubur kelak.

Baca Juga ‘Rezeki anak’ mesti diusahakan ibu bapanya, fahami erti sebenar frasa itu

“Sebelum kita menjadikan anak-anak kita seorang doktor, jurutera, akauntan atau ahli perniagaan, terlebih dahulu kita kena jadikan mereka sebagai anak yang soleh dan solehah, kerana ini sahaja jaminan saham kita akan berterusan hingga ke alam kubur kelak.

“Ramai kata yang dia “tak mampu nak didik agama kepada anak-anak sendiri”.

Buat silap ketika didik anak

BAPA memainkan peranan besar dalam mendidik anak dan memandu keluarga ke syurga.

“Tidak mengapa untuk menghantar anak-anak ke kelas agama, akan tetapi menjadi kewajipan lebih besar kepada diri ibu dan bapa tersebut untuk dia sendiri timba belajar ilmu agama sewajarnya daripada kelas-kelas agama, menghadiri sesi-sesi bersama ustaz atau ustazah atau daripada pembacaan buku-buku agama.

“Bahkan, guru yang terbaik bagi anak-anak kita, ialah diri kita sendiri. Jika ibu dan bapa sendiri tidak bersedia, maka wajib bagi ibu dan ayah itu untuk pergi belajar dan kuasai ilmu agama sebaiknya, untuk diajarkan kepada anak-anaknya di rumah. Dengan itu barulah lepas tanggungjawabnya keatas anak-anaknya,” katanya.

Turut Disyorkan Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

Jaga persekitaran di rumah

Tambahnya lagi, selain ilmu agama, persekitaran juga memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak. Di mana lagi tempat yang mereka banyak meluangkan masa kalau bukan rumah sendiri.

“Jadi berhati-hatilah dengan apa yang kita “benar”kan dirumah. Kita pastinya tidak mahu sia-siakan usaha kita dalam mendidik mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, akhirnya di “musnah”kan oleh siaran-siaran di TV atau di internet sebagainya.

Tidak semua ahli keluarga terima faraid

WARIS faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi harta pusaka, mereka memiliki salah satu sebab ikatan iaitu hubungan kerabat (nasab) dan perkahwinan. -Foto: 123rf

“Contohnya, bagaimana kita nak ajarkan kepada anak lelaki kita “menundukkan pandangan terhadap wanita” sekiranya di kaca TV rumah kita terdedah wanita-wanita tidak menutup aurat, malah lebih terus, wanita-wanita seksi yang terdedah sana sini?

“Bagaimana kita nak didik anak-anak perempuan kita supaya menutup aurat berhijab, sekiranya dia didedahkan oleh rancangan-rancangan yang dilakonkan oleh wanita-wanita tidak bertudung memakai baju-baju ketat?

Baca Juga Ibu bapa harus ajar 2 bacaan ini kepada anak seawal usia mereka

Turut Disyorkan (VIDEO) Anak soleh aset ibu bapa ke syurga

“Akhir sekali, berdoa dan letakkan sepenuh kepercayaan kepada ALLAH kerana anak-anak adalah amanah untuk diri kita, dan hakikatnya jua mereka sebenarnya adalah milik ALLAH sepenuhnya.

“Sebab itulah hadis mengatakan “Setiap anak yang lahir adalah di dalam fitrah. Ibu bapa lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Baihaqi, Thabarani),” katanya sebgaimana dipetik di laman Isma.

 

PERPADUAN
Gaya Hidup,

Islam seru sebar keharmonian tanpa mengira kaum dan agama

Islam seru sebar keharmonian tanpa mengira kaum dan agama…

KASIH sayang yang ditunjukkan oleh seorang wanita berbangsa India yang menyuapkan makanan kepada pesakit Melayu di sebuah wad hospital, membuktikan semangat perpaduan kaum sangat tebal di Malaysia.

Menerusi perkongsian video Divyasree0605 di TikTok, dia memaklumkan, ibunya bertindak demikian berikutan pesakit wanita tersebut tidak dapat melihat.

“Makcik ‘ni alami kegagalan buah pinggang dan tak boleh melihat jadi ibu saya tolong dia makan,” katanya.

Baca Juga Meninggal selepas 24 jam peluk Islam

Perkongsian tersebut menerima respon positif orang ramai yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai bukti rakyat Malaysia sehati sejiwa dan ia sesuatu yang membanggakan.

“Terharu sangat saya tengok video ni, hati pun rasa sebak. Hidup Malaysia, Malaysia boleh! Sehati sejiwa kita sebagai adik-beradik,” ujar Padma.

Rata-rata netizen memberikan respon yang positif kerana rakyat Malaysia masih lagi mengekalkan perpaduan kaum dengan sikap saling membantu.

BARU-BARU ini, tular di media sosial apabila seorang wanita berbangsa India membantu seorang pesakit wanita Melayu di dalam wad sebuah hospital. 

“Kita semua rakyat Malaysia, seharusnya berbangga. Satu hati, satu jiwa,”

“Terima kasih, kita semua macam satu keluarga tak kira bangsa dan agama,”

“Bukti adab dan kemuliaan bukan pada warna kulit atau bangsa tapi pada hati,” demikian antara komen warganet di media sosial.

Baca Juga ALLAH bayar ‘cash’, rezeki rider bantu adik istimewa betulkan rantai basikal ke surau

Setakat video yang dikongsi telah berjaya meraih sebanyak 600 ribu jumlah tontonan dengan lebih 5 ribu komen.

Islam menyeru perpaduan rakyat dan kaum

Menerusi Mutiara Islam yang disiarkan thepatriots.asia, turut berbangga kerana uniknya di Malaysia, kita dapat hidup bersama serta meraikan kepelbagaian bangsa dan agama antara satu sama lain tanpa sebarang diskriminasi.

“Tidak mungkin bagi manusia hidup secara bersendirian tanpa melibatkan sebarang hubungan dengan masyarakat dan komuniti dalam sesebuah negara.

“Syukurlah Malaysia tidak seperti negara lain yang saban hari berperang antara kaum walaupun masih dalam negara sendiri.

MALAYSIA merupakan antara negara majmuk yang diduduki oleh pelbagai lapisan masyarakat yang berlainan bangsa, budaya dan agama namun masih mampu hidup dalam keadaan sejahtera serta makmur.

“Manusia dijadikan dengan rencam bangsa, kefahaman dan kemampuan, kerana kepelbagaian itu ada peranan tertentu bagi memakmurkan bumi melalui pembahagian tugasan mengikut kebolehan dan kedudukan masing-masing, serta wajib bersatu sebagai sebuah masyarakat madani.

“Islam sentiasa menegaskan bahawa wujudnya perbezaan, perselisihan dan pertembungan dalam kalangan manusia adalah fitrah.

Turut Disyorkan 4 darjat hamba di sisi ALLAH, harta dan jawatan tak masuk dalam senarai

“Semuanya mengandungi hikmah yang diberikan oleh ALLAH Tuhan pencipta alam kepada seluruh umat manusia,” kongsi laman berkenaan.

Firman ALLAH “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-NYA (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Artikel Berkaitan