Browsing Category

Gaya Hidup

Wanita dimuliakan dalam Islam
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Ada sebab mengapa wanita begitu dimuliakan dalam Islam, berikut perinciannya

BANYAK kisah berkaitan penindasan wanita kita dengari sebelum kedatangan Islam. Antaranya ditindas, menerima layanan kurang baik dan tiada hak dalam harta pusaka.

Namun, setelah agama suci itu mula bertapak, ia menghapuskan segala bentuk kezaliman terhadap kaum Hawa. Pendek kata, Islam hadir memberi cahaya yang menerangi kehidupan wanita.

Malah, martabat dan kedudukan wanita sebagai ibu, isteri dan anak diangkat tinggi darjatnya dalam agama Islam itu sendiri.

Bahkan, menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Rasulullah SAW sendiri begitu memuliakan wanita.

DR AHMAD SANUSI

Terdapat banyak hadis yang menceritakan tentang hal itu sebagaimana yang dikongsikan ahli akademik berkenaan dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Antara bentuk kemuliaan terhadap wanita adalah seperti berikut:

1. Anak perempuan aset ke syurga.

Nabi Muhammad SAW memuliakan anak perempuan. Ia sehinggakan baginda menyatakan syurga menjadi tempat bagi mereka yang memelihara anak perempuannya dengan baik.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan anak perempuan, dia tidak membunuhnya, tidak merendahkannya, tidak melebihkan anak lelaki daripadanya, maka ALLAH akan memasukkannya ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Wanita dimuliakan dalam Islam

ANAK perempuan menjadi tiket untuk ibu bapanya ke syurga apabila mereka dijaga dan dipelihara dengan baik.

Baca juga Ketahui hak faraid bagi wanita, waris dominan dalam senarai ‘ashab al-furud’

2. Memuliakan wanita tanda keimanan.

Bukan itu sahaja, baginda SAW juga mengaitkan kesempurnaan iman dengan berlaku baik terhadap wanita.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah mereka yang berbuat baik kepada kaum wanita mereka.” (Sahih Ibn Hibban)

3. Menyantuni balu atau ibu tunggal seumpama mujahid di jalan ALLAH SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Mereka yang membantu wanita kematian suami dan orang-orang miskin seumpama mujahid yang berjuang di jalan ALLAH.” (Sahih al-Bukhari)

4. Syurga pada tapak kaki ibu.

Acap kali juga kita mendengar pernyataan itu daripada orang di sekeliling. Ternyata ia ada asasnya.

Wanita dimuliakan dalam Islam

BERBAKTI dan taatlah ibu bapa kita selagi mereka masih ada di dunia ini.

Dalam sebuah hadis, seorang sahabat memohon kepada Rasulullah SAW untuk pergi berjihad.

Baca juga Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh. Sesungguhnya, kasih ibu sampai ke syurga

Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Apakah ibumu masih lagi hidup?” Dia menjawab: “Ya”. Sabda Rasulullah SAW: “Lazimilah pada kakinya, engkau akan mendapatkan syurga.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Ternyata begitu tingginya darjat seorang wanita. Justeru, angkatlah martabat mereka sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Adab terima hadiah
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

TATKALA menerima pemberian daripada seseorang, ucapan terima kasih secara spontan akan terungkap dari bibir kita. Ya, itulah sebaik-baik ungkapan sebenarnya.

Ia sebagai tanda kita benar-benar menghargai pemberiannya. Apatah lagi ia melibatkan kiriman hadiah daripada insan-insan kesayangan kita sempena hari istimewa.

Ketahuilah, dalam hal penerimaan hadiah pun, Islam ada menggariskan adab berkaitan dengannya.

Menurut pendakwah terkemuka Azhar Idrus menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini, perihal tersebut banyak disebutkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

AZHAR IDRUS

Antaranya, katanya, Imam al-Ghazali dalam Kitab al-Adab fiddiin menyatakan: “Segala adab penerima hadiah itu adalah menzahirkan kesukaan dengannya sekalipun sedikit dan berdoa bagi pemberinya apabila dia pergi dan menunjukkan gembira ketika dia hadir dan memberi balasan jika kuasa dan menyebut baik atasnya kalau mungkin dan meninggalkan tunduk kepadanya dan menjaga dari hilangnya agama sertanya dan jangan sampai tamak sertanya pemberian yang lain”.

Melihat kepada ungkapan tersebut, jelaslah terdapat tujuh adab yang dititikberatkan ketika menerima hadiah daripada orang lain.

Berikut perinciannya:

1. Menzahirkan rasa suka menerimanya walaupun kecil hadiah tersebut atau barangkali sedikit atau rendah nilainya.

Sesungguhnya, nilai hadiah itu bukan terletak kepada sedikit atau banyak jumlahnya, tetapi paling penting adalah keikhlasan dan tanda ingatan orang yang memberi hadiah tersebut.

Justeru, janganlah kita sekali-kali menunjukkan rasa tidak senang melihat hadiah yang kecil dan sedikit. Sebaliknya, pamerkanlah riak wajah gembira dan senang dengan pemberiannya sepertimana menerima hadiah yang tinggi nilainya.

Adab terima hadiah

UCAPKANLAH terima kasih dengan pemberian orang kepada kita.

Jika kita tidak mahu menerima hadiah yang sedikit itu, ia sebenarnya adalah tanda tidak berterima kasih dan tidak bersyukur kepada ALLAH SWT.

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

2. Berdoalah yang baik-baik untuk insan yang memberikan hadiah.

Antara ucapan doa yang sangat elok diucapkan oleh penerima hadiah adalah Jazakumullah ahsanal jaza’ (Semoga ALLAH membalas akan kamu dengan sebaik-baik balasan).

Selain itu, boleh juga membaca doa yang berbunyi Jazakallahu khairan (Semoga ALLAH membalas akan kamu dengan kebaikan). Doa tersebut ada dinyatakan dalam Hadis Riwayat at-Tirmizi.

Apa-apapun, ia hendaklah diucapkan ketika orang yang memberi hadiah itu masih ada ataupun sudah berlalu pergi.

Menurut segelintir ulama, mendoakan insan berhati mulia itu di belakangnya adalah lebih afdal kerana lebih menjaukan daripada sifat riak.

Daripada Abu Darda’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dari seorang hamba yang muslim mendoakan bagi saudaranya di belakangnya melainkan berkata malaikat; “Dan semoga kamu juga memperolehi seumpama itu”.” (Hadis Riwayat Muslim)

Adab terima hadiah

JANGAN lupa untuk mendoakan insan yang sudah memberikan hadiah kepada kita dengan doa yang baik.

Dalam satu riwayat yang lain menyatakan bahawa malaikat yang diwakilkannya mengucapkan amin dan kebaikan seumpamanya.

3. Menunjukkan rasa gembira menerima hadiah tersebut ketika di hadapan penerima.

4. Penerima membalas pemberian tersebut dengan hadiah atau seumpamanya jika berkemampuan ketika itu.

Sebaliknya, jika tiada daya berbuat demikian, maka usahlah berasa kecewa. Boleh sahaja dirinya membalas pemberian berkenaan pada waktu yang lain.

5. Penerima digalakkan memuji pemberi hadiah dengan ungkapan yang elok, tetapi tidak berlebih-lebihan.

Antara contoh ucapan yang elok seperti ‘kamu orang yang baik hati’ atau seumpamanya.

6. Tidak tunduk kepada yang memberi hadiah.

Mudah kata, jangan sampai penerima tadi tunduk kepada segala kehendak individu yang mengirimkan hadiah tersebut asbab pemberiannya itu.

Adab terima hadiah

ANDAI berkemampuan, balaslah hadiah yang diberikan ketika itu atau pada waktu lain.

7. Tidak hilang agamanya asbab menerima hadiah tadi.

Ingatlah, jangan sampai kita membelakangkan hukum agama dengan melakukan maksiat dan dosa kerana menerima hadiah seperti rasuah yang banyak berlaku pada zaman ini.

Rasulullah SAW sudah pun memberikan amaran agar umatnya tidak mendekati perbuatan rasuah.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA: “Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan yang menerima rasuah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

Dalam Hadis Riwayat Ibn Majah pula ada disebut bahawa ALLAH SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan menerimanya.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus turut mengingatkan agar kita tidak sesekali menunjukkan tanda hendak menerima hadiah yang lain pula selepas menerima pemberian pertama.

“Perbuatan tamak itu dilarang oleh agama. Oleh sebab itu, jika penerimanya itu yakin bahawa tujuan hadiah diberikan supaya dia melakukan suatu perbuatan yang dilarang syarak, maka hendaklah dia menolak pemberian tersebut.

“Andai pemberi hadiah tersebut dikenali dengan kebanyakan hartanya yang haram, harus untuk menerima pemberiannya. ia melainkan kita sudah mengetahui bahawa hadiah itu jelas datangnya daripada hartanya yang haram, dengan syarat pemberian itu bukanlah berupa rasuah dan seumpama dengannya. Demikianlah pandangan ulama Mazhab Syafie yang disebut dalam Kitab Hasyiah al-Qaiyubi,” tegasnya.

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash

Untitled design (1)
Gaya Hidup,

Tidak kira ketika musibah atau selesa, jangan lupa memuji ALLAH’

Oleh NURUL FATIHA MUAH

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat tatkala melihat insan di sekeliling ditimpa musibah banjir akibat hujan berterusan pada penghujung tahun 2021 wajar dipuji.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran Ketika dihubungi Sinar Islam Plus menjelaskan, perilaku tersebut sememangnya pernah dizahirkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada kita.

Perbuatan mulia Nabi Muhammad itu dapat dilihat apabila baginda menyantuni dan bergaul dengan ahli suffah (sahabat yang duduk di persekitaran Masjid Nabawi) meskipun ada dalam kalangan mereka merupakan seorang asnaf, terangnya.

“Baginda langsung tidak meminggirkan mereka, malah bercampur dengan semua masyarakat daripada setinggi-tinggi kedudukan taraf sehingga serendah-rendah pangkat. “Ia bukan terhad hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi juga sesama bukan Muslim. Sifat ini dapat dilihat apabila Rasulullah SAW ingin pergi berperang.

“Tatkala meninggalkan keluarga untuk tujuan tersebut, baginda pernah menggadaikan baju besi perangnya kepada seorang Yahudi. Dengan nilai yang diperoleh tersebut, maka sebanyak itulah bekalan makanan disediakan buat keluarga baginda. Justeru, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam,” katanya. Ya, semangat kebersamaan begitu penting tidak kiralah sama ada dalam perkara susah mahupun senang.

Namun, Imam Muda Aran mengingatkan supaya sikap itu diimplementasikan juga dalam hal membanteras perkara maksiat. Ia sebagaimana yang disuruh oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “…Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Beliau juga menjelaskan, andai kita tidak mampu memberikan bantuan dari segi harta benda mahupun tenaga kepada orang lain, berdoalah kepada ALLAH SWT dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang ditimpa ujian.

“Doa adalah senjata orang Mukmin. Justeru, kepada mereka yang diberikan ujian, minta tolonglah kepada ALLAH SWT dengan bersabar. Ingatlah, apa jua situasi kita, sifat tersebut begitu penting.

“Tidak kiralah musibah mahupun kesenangan yang dikurniakan-NYA kepada kita, jangan lupa untuk memuji Tuhan. Ini kerana ALLAH jualah yang menurunkan musibah kepada kita. Andai kita bersabar dengan ujian-NYA dan sentiasa mengingati-NYA, pahala bakal diraih,” ujarnya lagi.

Doa untuk orang bukan Islam
Gaya Hidup,

7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

 

Oleh FOUZIAH AMIR

 

DOA adalah senjata Mukmin. Doa selalu dikaitkan dengan impian dan harapan, namun bagaimanakah doa impian menjemput rahmat ALLAH SWT?

Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd menganjurkan program Doa Impian 2022 secara hibrid iaitu secara maya dan fizikal di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 29 Januari lalu. Jurulatih utamanya, Fazrul Ismail berkongsi ilmu mengenai doa cara nabi dan rasul yang menjadi panduan umat Islam untuk menjemput rahmat dan anugerah daripada ALLAH SWT.

Berikut tujuh teknik berdoa yang diinspirasikan daripada amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

 

  1. GABUNGKAN PEMIKIRAN & PERASAAN

Inti pati dalam berdoa adalah pemikiran dan perasaan yang membawa tawakal kepada ALLAH. Dalam surah al-Asr, ALLAH menyatakan tentang masa. Ia berkaitan dengan usia. Manusia yang rugi usia kehidupannya dengan berseronok semata-mata, melainkan bagi yang beriman, beramal soleh dengan kebenaran dan kesabaran.  Jiwa Iman dikaitkan dengan gabungan pemikiran dan perasaan. Inilah dikatakan doa impian, yang ada perasaan dan menjiwai. Rugi jika kita berdoa tapi kosong jiwa dan pemikiran.

 

  1. ISTIQAMAH BERDOA

Tanda orang serius yang berdoa akan melakukannya pada siang dan malam termasuk solat tahajud. Sentiasa ikuti piawaian al-Quran untuk berdoa agar ALLAH memandu kita beramal melalui petunjuk dan hidayah-NYA.

Mafhum firman ALLAH di dalam ayat 73, surah al-Qasas : “Dan kerana rahmat-NYA. DIA jadikan untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaan-NYA (pada siang hari) serta agar kamu bersyukur kepada-NYA.”

 

  1. JADI HAMBA YANG TAHU BERSYUKUR

Syukuri nikmat ALLAH setiap ketika. ALLAH  pasti akan menambahkan nikmat-NYA kepada orang yang bersyukur.

 

  1. TAWADUK / MERENDAH DIRI

Berdoalah sebagai jiwa hamba yang bersungguh-sungguh dengan pemikiran dan perasaan agar dimakbulkan dan diberi keberkatan. Maksud jiwa hamba adalah merendah diri dan rasa amat memerlukan ALLAH.

ceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, mohonlah apa yang dikehendaki dan mohonlah apa yang membawa ke akhirat

  1. LAZIMKAN MEMBANTU INSAN LAIN

Untuk menggandakan kebaikan pada tahun ini, kita jangan pentingkan diri. Sebaliknya sentiasa bersedia membantu orang lain, kemudian memohon doa kepada ALLAH. Inilah doa impian mengikut piawaian al-Quran. Ayat 24 di dalam surah al-Qasas merakamkan kisah Nabi Musa AS membantu dua perempuan mengambil air. Ketika itu Baginda AS dalam keadaan letih bermusafir, tiada tempat tinggal, pekerjaan dan makanan. “Selepas memberi pertolongan, Nabi Musa berdoa kepada ALLAH SWT, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan (makanan) yang ENGKAU turunkan kepadaku.”

 

  1. BERDOA SAMBIL DISERTAKAN RASA TAKUT KEPADA ALLAH

Kaedah doa impian Nabi Zakaria AS di dalam Surah Maryam ayat 4 hingga 6, ialah doa yang disertakan rasa takut dan mengadu kepada ALLAH SWT, menceritakan keadaan diri yang memerlukan, ketakutan atau kelemahan, bermohon apa yang dikehendaki dan mohon apa yang membawa ke akhirat. Nabi Zakaria AS memohon zuriat bagi legasi agama bukan sekadar keperluan di dunia, malah membawa ke akhirat.

 

  1. TETAP BERTAWAKKAL

Doa juga membawa kita kepada syukur, iman dan tawakal. Apa jua doa yang dipohon, hanya ALLAH YANG MAHA TAHU apa yang baik untuk kita. Sebagai hamba, berdoalah dengan penuh keimanan dan pemikiran yang membawa legasi ke akhirat, mudah-mudahan doa itu akan menjemput rahmat ALLAH.

 

Untuk maklumat lanjut program Doa Impian akan datang, layari https://www.facebook.com/akademisinergi/

 

Tiada masa beribadah
Gaya Hidup,

Kadangkala rasa seperti tiada masa beribadah, tetapi…

MASA yang diberikan kepada setiap insan di muka bumi ini adalah sama. Semuanya mempunyai tempoh sehingga 24 jam sehari.

Apa yang membezakan hanyalah bagaimana setiap daripada kita memanfaatkannya. Lain orang, maka berbezalah pendekatan dan caranya.

Namun begitu, acap kali kedengaran rungutan orang tentang masa yang tidak cukup sehingga terkejar-kejar mahu lakukan pekerjaan dan tugasan lain.

Paling dikesalkan adalah apabila ada yang kurang bijak mengurus masa sehinggakan terpaksa menangguhkan ibadah fardu demi mendahulukan perkara lain.

Dalam hal itu, Sinar Islam Plus begitu tertarik dengan teguran terbuka pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

WADI ANNUAR

Dalam hantarannya, beliau turut memberikan beberapa situasi mudah yang sering kali dilakukan oleh kebanyakan daripada kita.

Sebagai contoh, di antara membeli buku berharga RM25 yang dianggap mahal dengan pergi ke kafe atau restoran untuk makan pada harga RM30 seorang yang difikirkan begitu murah, ungkapnya.

“Sedihnya, keperluan ‘membesarkan’ perut lebih utama daripada urusan menajamkan minda.

“Begitu juga halnya apabila segelintir orang menganggap membaca al-Quran setengah jam begitu lama berbanding membaca WhatsApp, melayari internet, menghadap telefon pintar atau komputer berjam-jam lamanya, tetapi dirasakan begitu sekejap saja.

“Amat menyedihkan kerana keperluan memuaskan nafsu dan hiburan lebih utama daripada membersihkan hati yang berkarat,” tegurnya.

Tiada masa beribadah

JANGAN terlalu leka dengan media sosial sehingga mengabaikan ibadah yang difardukan ke atas Muslim.

Ustaz Wadi Annuar kemudian mengajak seluruh umat Islam supaya merenung kembali sebuah hadis yang sarat dengan peringatan bernilai.

Daripada Abdullah bin Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati ini berkarat sebagaimana berkaratnya besi bila terkena air.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana cara membersihkannya?” Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkan mengingati mati dan membaca al-Quran.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Baca juga Elak Menunjuk-Nunjuk Ketika Beribadah, Kelak Dibimbangi Membawa Kepada Syirik

Bukan itu sahaja, penceramah terkemuka itu turut menegur sikap segelintir orang yang merasakan pergi ke masjid untuk bersolat jemaah selama 10 minit begitu panjang masanya. Apatah lagi apabila mendengarkan imam membaca surah dan wirid.

“Sedangkan, individu berkenaan menganggap bahawa lepak mengopi di warung sejam dua sambil bersembang dan mengumpat pula rasa tak puas.

“Sedihnya kerana berada di warung yang tidak dijanjikan syurga lebih utama daripada rumah ALLAH yang secara jelas diganjari naungan kepada pengunjungnya pada hari kiamat,” ungkapnya.

Daripada Abu Sa’id RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tujuh (golongan) yang akan dinaungi ALLAH pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naungan-NYA; … orang yang hatinya terikat dengan masjid bila ia keluar meninggalkannya hingga ia kembali lagi…” (Sunan at-Tirmidzi)

Satu lagi teguran dan nasihat Ustaz Wadi Annuar yang begitu signifikan kepada kita adalah tidak lokek ketika bersedekah.

“Sedekah seringgit pun berkira, tetapi beli top-up (tambah nilai) RM40 terasa biasa saja.

Tiada masa beribadah

BERSEDEKAH sangat dituntut dalam agama Islam yang boleh menghindari sifat tamak dan lokek dalam diri.

“Hakikatnya, beli top-up tidak menjanjikan penambahan rezeki berbanding sedekah yang mendapat doa malaikat agar digantikan dengan yang lebih baik,” jelasnya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun (datang) dua malaikat kepadanya, lalu salah satunya berdoa; “Ya ALLAH, berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya”, sedangkan yang satunya lagi berdoa; “Ya ALLAH berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, sama-sama kita audit diri untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi-NYA.

Foto: 123rf & Freepik

Ciri-ciri kepimpinan Islam
Gaya Hidup,

Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

Oleh DR HIDRIS SAHRI

ISLAM ialah agama yang meliputi cara hidup yang sempurna. Di dalamnya terkandung sistem pengurusan kehidupan yang disusun oleh ALLAH SWT dalam membimbing serta membentuk manusia kearah kehidupan yang lebih bahagia berasaskan perundangan yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis sebagai sumber yang disepakati.

Ciri kepimpinan Nabi Muhammad SAW menjadi dasar dan elemen kepimpinan yang mendorong melahirkan prestasi dan etika pekerja yang lebih baik, akhirnya kepuasan organisasi dan matlamat serta kepuasan ahli boleh tercapai.

Kepemimpinan yang bersifat karismatik serta memiliki ilmu pengetahuan, ketaatan dan keimanan yang selari dengan ajaran al-Quran menjadikan mereka disegani kawan dan juga lawan. Seperti para nabi yang telah dipilih oleh ALLAH SWT mendapat tentangan dan pujian daripada musuh Islam sendiri.

Baginda memiliki watak teladan untuk umat manusia dari semua generasi pada zamannya sehingga hari ini, untuk diikuti dan mempelajari kebijaksanaan (hikmah) daripadanya. Watak Nabi Muhammad adalah konsisten dengan al-Quran.

Baca juga Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

Berdasarkan Hadis Sahih Muslim, Aishah RA ditanya tentang watak Nabi Muhammad SAW, beliau menjawab, sesungguhnya watak Nabi ALLAH ialah al-Quran. Baginda memodelkan watak dan kelakuannya berdasarkan kebenaran dan integriti, keadilan, kasih sayang, kerendahan hati, kebaikan, dan kesabaran.

Ciri-ciri kepimpinan Islam

SEORANG pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab dan berintegriti, tetapi juga mempunyai nilai akhlak yang tinggi dan amanah ketika menjalankan tugas.

Sebuah portal online bertarikh 16 Ogos 2019, dengan tajuk berita ‘Usah Tangkap Muat Pilih Pemimpin’ menyebut bahawa kepimpinan adalah kredibiliti, tanggungjawab, nilai akhlak yang tinggi dan amanah dalam menjalankan tugas.

Tanggapan masyarakat terhadap kepimpinan Islam menyebabkan satu polemik kepimpinan sering kali dikaitkan dengan Islam itu sendiri. Sikap dan persepsi dari pelbagai peringkat masyarakat terhadap kepimpinan dan sifat yang patut dimiliki oleh mereka juga menjadikan isu kepimpinan dari pandangan Islam semakin dipinggirkan sedangkan ALLAH SWT telah menjadikan Nabi Adam menjadi khalifah dan seterusnya peradaban kepimpinan ini diwarisi oleh para nabi.

Pelihara amanah ALLAH

Kepimpinan berteraskan kepada sumber al-Quran dan hadis menjadi panduan melahirkan pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan yang hebat seperti baginda SAW. Melantik pemimpin yang bertanggungjawab memelihara amanah, kebajikan manusia, memastikan keselamatan rakyat dari dizalimi musuh, menegakkan keadilan, memastikan ketenteraman negara, rakyat daripada segala kerosakan dan kemusnahan serta kemudaratan.

Merujuk kepada pandangan cendikiawan Islam seperti al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah yang meletakan syarat menjadi pemimpin yang berjaya harus mempunyai tujuh perkara seperti keadilan, mempunyai keberanian, mempunyai ilmu, mempunyai idea yang bernas, sempurna pancaindera, tidak cacat anggota, dan berasal dari keturunan yang baik (Al-Mawardi, 1993).

Baca juga Menjadi pemimpin bukan sekadar mengarah, tetapi amanahnya lebih daripada itu…

Pengukuhan ciri kepimpinan ini diperkuatkan lagi oleh al-Farabi, Ajuwaini dan Ibn Khaldun bahawa kelayakan menjadi seseorang pemimpin hendaklah mempunyai kesempurnaan fizikal dan mental, ilmu pengetahuan yang luas dan memperaktikannya, berlapang dada dalam menerima kritikan, berani mempertahankan kebenaran, memastikan golongan yang lemah dijaga, bersifat sederhana dan tidak bermewah-mewah, menghormati para agamawan dan agama yang lain dan memilih orang benar-benar layak untuk mengurus sesuatu tugas melibatkan keselamatan dan kepentingan negara atau organisasi.

Kepimpinan yang taat kepada ALLAH SWT pasti akan menghayati nilai kemanusiaan dan membawa kejayaan yang mutlak. Bertitik tolak daripada penghayatan falsafah tauhid, Islam telah memberikan satu garis panduan dalam pelbagai dimensi, dinamik dan relevan supaya setiap individu yang mampu mengurus dan berkhidmat untuk masyarakat berupaya membangunkan jati diri, keluarga, masyarakat dan negara secara efektif, bermakna dan harmoni. Nilai kesejagatan ini boleh dilihat dalam tiga aspek hubungan dengan ALLAH, kemahiran profesional dan hubungan interpersonal.

Ciri-ciri kepimpinan Islam

JIKA dilantik sebagai pemimpin dalam masyarakat, organisasi dan seumpamanya, jadilah ketua yang baik sebagaimana digariskan dalam Islam.

Imam al-Nawawi telah menjelaskan bahawa terdapat 21 ciri kepimpinan Islam antaranya beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA, beramal soleh, menjaga solat, merasa takut kepada peringatan ALLAH, memimpin dengan melahirkan sifat adil, amanah, tidak menipu atau berbohong, benar, berilmu, tidak zalim, tidak menyesatkan, tidak mementingkan diri, berjasa kepada manusia, tidak menyulitkan keadaan, tidak sombong, tidak mengharap dan meminta-minta jawatan, tidak menerima rasuah dan balasan, tidak mengelapkan harta dan wang rakyat, memakmurkan rakyat dan negara, dan setiap keputusan tidak melulu dan mengikut hawa nafsu.

Akhirnya kita melihat bahawa kejayaan seorang pemimpin itu bukan atas nama kuasa dan jawatan sahaja tetapi ia meliputi kesempurnaan seorang pemimpin dari sudut keperibadiannya yang tercermin dari jiwa yang murni dan akhlak sesama manusia.

Kehebatan gagasan Islam sendiri telah diperakui oleh sarjana Barat seperti Sergiovanni yang mengatakan bahawa sifat kemanusiaan menjadi asas kepada keberhasilan seorang pemimpin itu. Kepimpinan yang berjaya dan cemerlang perlu mempunyai elemen dalaman seperti kasih sayang, toleransi, menyatakan penghargaan serta mempunyai hubungan kemanusiaan dengan individu yang mempunyai hubungan dengan organisasi.

***Dr Hidris Sahri ialah Pengerusi Pertubuhan Al-Khairiah, Mersing, Johor

 

Foto: Freepik

Kehebatan doa seorang emak
Gaya Hidup,

Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat tatkala melihat insan di sekeliling ditimpa musibah banjir akibat hujan berterusan pada penghujung tahun 2021 wajar dipuji.

Pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, perilaku tersebut sememangnya pernah dizahirkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada kita.

Baca juga Jangan mengeluh ketika hujan

Perbuatan mulia Nabi Muhammad itu dapat dilihat apabila baginda menyantuni dan bergaul dengan ahli suffah (sahabat yang duduk di persekitaran Masjid Nabawi) meskipun ada dalam kalangan mereka merupakan seorang asnaf, terangnya.

IMAM MUDA ARAN

“Baginda langsung tidak meminggirkan mereka, malah bercampur dengan semua masyarakat daripada setinggi-tinggi kedudukan taraf sehingga serendah-rendah pangkat.

“Ia bukan terhad hanya kepada umat Islam sahaja, tetapi juga sesama bukan Muslim. Sifat ini dapat dilihat apabila Rasulullah SAW ingin pergi berperang.

“Tatkala meninggalkan keluarga untuk tujuan tersebut, baginda pernah menggadaikan baju besi perangnya kepada seorang Yahudi. Dengan nilai yang diperoleh tersebut, maka sebanyak itulah bekalan makanan disediakan buat keluarga baginda. Justeru, tiada masalah untuk kita bermuamalah dengan orang bukan Islam,” katanya.

Ya, semangat kebersamaan begitu penting tidak kiralah sama ada dalam perkara susah mahupun senang. Namun, Imam Muda Aran mengingatkan supaya sikap itu diimplementasikan juga dalam hal membanteras perkara maksiat.

Ia sebagaimana yang disuruh oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA yang bermaksud: “…Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan…” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Kepada satu soalan, beliau berkata: “Andai kita tidak mampu memberikan bantuan dari segi harta benda mahupun tenaga kepada orang lain, berdoalah kepada ALLAH SWT dan berilah kata-kata semangat kepada mereka yang ditimpa ujian. Doa adalah senjata orang Mukmin.

“Kepada mereka yang diberikan ujian, minta tolonglah kepada ALLAH SWT dengan bersabar. Ingatlah, apa jua situasi kita, sifat tersebut begitu penting.

Puji ALLAH

SEMANGAT kebersamaan yang ditonjolkan masyarakat Malaysia ketika musibah banjir pada penghujung tahun lalu wajar dipuji. Sifat itu sememangnya ada dalam diri Rasulullah SAW yang menjadi suri teladan kepada seluruh umat.

“Tidak kiralah musibah mahupun kesenangan yang dikurniakan-NYA kepada kita, jangan lupa untuk memuji Tuhan. Ini kerana ALLAH jualah yang menurunkan musibah kepada kita. Andai kita bersabar dengan ujian-NYA dan sentiasa mengingati-NYA, pahala bakal diraih.”

Foto: Freepik & Bernama

Untitled design (1)
Gaya Hidup,

5 ‘Kuasa’ Selawat Yang Ramai Tidak Sedar

SETIAP kali menunaikan solat fardu, ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pasti akan meniti pada bibir kita. Ini kerana ia merupakan rukun qauli yang wajib disempurnakan dengan sebaiknya.

Namun begitu, usahlah kita membiarkan lafaz yang mulia itu diungkapkan hanya ketika menghadap ALLAH SWT. Sebaliknya, biasakan diri berbuat demikian sekerap yang mungkin.

Barangkali ramai tidak sedar terlalu banyak fadilat berselawat yang bakal diraih. Malah, amalan tersebut merupakan manifestasi kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkongsikan ganjaran istimewa buat mereka yang suka berselawat sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Berikut merupakan ‘kuasa’ selawat yang dinyatakan:

1. Mereka yang banyak berselawat akan diampunkan dosa.

Dalam sebuah hadis masyhur, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berselawat kepadaku sekali, maka ALLAH akan berselawat (melimpahkan rahmat) kepadanya 10 selawat, menghapus daripadanya 10 dosa dan mengangkat darjatnya 10 darjat.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i)

Subhanallah, begitu besar imbalannya kepada mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan berselawat.

Sedangkan ALLAH SWT sebagai pemilik kerajaan langit dan bumi pun turut mengucapkan selawat, begitu juga dengan para malaikat, inikan pula kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Seharusnya kita perlu perbanyakkan selawat ke atas baginda. Amalan tersebut bukan sahaja menjadikan kita lebih dekat dengan Rasulullah SAW, bahkan dosa kita juga berupaya diampunkan. 

Selawat

MEREKA yang melazimkan diri berselawat akan diampunkan oleh ALLAH SWT.

2. Dicukupkan keperluan.

Perkara tersebut ada direkodkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW dalam kisah Ubai bin Ka’ab.

Beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku ingin memperbanyak berselawat ke atasmu. Berapa banyak aku harus berselawat kepadamu dalam doaku?” Lalu baginda SAW bersabda: “Terserah kepadamu wahai Ubai.”
Ubai menyebutkan beberapa bilangan dan Rasulullah hanya menjawab: “Terserah kepadamu” sehinggalah di hujung dialog tersebut Ubai bertekad untuk menjadikan seluruh doanya mengandungi selawat kepada baginda Nabi.
Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Jika demikian, ALLAH akan mencukupkan segala keperluanmu dan mengampunkan dosamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

3. Doa lebih mudah dimakbulkan.

Ketahuilah, mereka yang memulakan doa dengan bacaan selawat akan menyebabkan doa lebih mudah diterima.
Dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Semua permohonan doa akan dihijab (terhalang) sehinggalah dibacakan selawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad SAW.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

4. Dekat dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat.

Sesungguhnya, mereka yang melazimkan ibadah berselawat akan berada dalam kedudukan yang dekat dengan Rasulullah SAW pada hari kiamat.

Sabda baginda SAW: “Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atasku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

5. Melapangkan jiwa.

Selawat

BUKAN sahaja berupaya mendamaikan jiwa, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW juga akan memudahkan urusan kehidupan kita dengan dicukupkan segala keperluan.

Menurut al-Imam Ibn al-Jauzi, amalan memperbanyakkan selawat berupaya menerangkan hati, mengampunkan dosa, melapangkan dada dan dipermudahkan urusan.

Masakan tidak, ibadah berkenaan yang disempurnakan secara bersungguh-sungguh merupakan manifestasi kecintaan seseorang kepada Rasulullah SAW. Sesungguhnya, perbuatan tersebut sebenarnya membawa kecintaan manusia kepada ALLAH SWT.

Jiwa yang dilimpahi kasih kepada baginda SAW akan menyebabkan seseorang itu berupaya menikmati kelazatan dan kemanisan iman.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang barang siapa memilikinya akan merasai kemanisan iman, (yang pertama) menjadikan ALLAH dan rasul perkara yang paling dicintai buat dirinya melebihi segala-galanya…” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Justeru, Dr Ahmad Sanusi mengajak umat Islam untuk hanyut dan tenggelam dengan kecintaan pada ALLAH SWT dan Rasul-NYA.

“Caranya adalah dengan menjadikan hati dijauhi kekotoran dosa dan meningkatkan ketakwaan.

“Jiwa yang tunduk akan dekat kepada ALLAH SWT dan DIA akan mempermudahkan urusan hamba yang bertakwa,” katanya.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels

Jauhi maksiat dan dosa
Gaya Hidup,

Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Oleh AZHARI HAMZAH

KEHIDUPAN Muslim di era digital sangat mencabar iman dan amal. Namun mahu atau tidak, ia tetap perlu didepani. Tidak sedikit yang terjerumus ke lembah maksiat kerana termakan godaan syaitan.

Benarlah seperti yang pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW bahawa ujian umat akhir zaman umpama kegelapan malam. Mereka tidak mampu membezakan perkara hak dan batil. Kesemuanya bercampur aduk.

Tidak kurang juga ramai yang setelah bermaksiat, ingin bertaubat dan mahu hidup tenang setenang air di sumur desa. Ingin mendakap reda ALLAH SWT dan masuk ke syurga.

Justeru, mereka meraba mencari tali untuk berpaut. Ada yang bermula dengan solat dan belajar al-Quran. Segelintir daripada mereka pula mengikut jemaah tabligh dan sebagainya.

Berzikir dekatkan diri kepada ALLAH

Sheikh Dr Khaleel Ismail Elyas, seorang ulama tafsir dan ahli sufi dari Iraq memberi nasihat tentang tiga perkara jika ingin kembali kepada ALLAH SWT. Tiga perkara tersebut adalah berzikir, bersuhbah (berdamping) dengan ulama serta menghadiri majlis ilmu.

Jauhi maksiat dan dosa

LAZIMKAN diri membasahkan lidah dengan zikrullah kerana ia amalan paling mudah dan berpahala besar.

Imam al-Ghazali RH turut menyebut, andai tiga perkara ini diamalkan dengan konsisten akan mengubah diri daripada kemaksiatan kepada ketaatan, dengan izin ALLAH kehidupan Muslim akan sentiasa di dalam perlindungan-NYA dan tidak lagi ingin bermaksiat.

Jika ingin bertaubat, meninggalkan maksiat dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, mulakanlah dengan berzikir atau dengan istilah lain, berwirid. Ia amalan paling mudah dan ringan untuk dibuat. Sekadar menggerakkan lidah, maka zikir dapat dimulakan.

Ramai yang tidak tahu kepentingan berzikir kerana tidak sedar keberkesanannya yang mampu mengubah diri dan menjauhkan hawa nafsu daripada terdorong melakukan maksiat. Sebagaimana firman ALLAH SWT: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang tenteram dengan mengingati ALLAH, ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang, tenteram.” (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Pasti syaitan tidak mampu menguasai hati orang yang istiqamah berzikir dengan menyebut nama-nama ALLAH atau membaca zikir-zikir yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan berzikir, jiwa menjadi damai dan syaitan akan menjauhkan diri. Secara tidak langsung, godaan untuk bermaksiat dapat dihindar.

Ada banyak hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang kepentingan zikir. Bahkan, baginda SAW pernah menyebut, tidak ada amalan yang dapat menyelamatkan manusia daripada azab neraka melainkan dengan berzikir kepada ALLAH SWT. Antara zikir yang popular di Malaysia ialah al-Ma’thurat. Bacalah dan amalkan dengan istiqamah.

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Bersuhbah dengan orang soleh

Amalan kedua yang perlu diamal adalah bersuhbah dengan para ulama. Bersuhbah bermaksud berdamping dan bersahabat. Jelas Sheikh Dr Khaleel, jika melihat ulama yang beramal dengan ilmunya, maka bersuhbahlah dengan beliau.

Jauhi maksiat dan dosa

SENTIASALAH menggali ilmu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan sebagainya.

Orang yang istiqamah berdamping dengan ulama pasti mendapat tempias daripada nilai-nilai positif yang ditunjukkan. Selain ulama, bersuhbah dengan para auliya’ dan orang soleh juga amat digalakkan. Mendampingi mereka sudah pasti membangkitkan rasa ingin bertaubat dan mendekatkan diri kepada YANG MAHA ESA.

Pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW, ketika para ahli syurga sedang berbahagia, mereka akan mencari sahabat yang pernah didampingi semasa di dunia.

Apabila melihat sahabat mereka diseksa di neraka, mereka akan berdoa kepada ALLAH agar diselamatkan. Lalu ALLAH kabulkan dan semuanya dimasukkan ke syurga.

Hadiri majlis ilmu

Perkara ketiga yang perlu dilakukan adalah menghadiri majlis ilmu secara konsisten. Majlis ilmu merupakan taman-taman syurga dan dapat menghidupkan hati yang mati, mencergaskan minda yang buntu dan merangsang jiwa untuk beribadah. 

Carilah majlis ilmu yang membicarakan tentang ilmu Tauhid (Sifat 20 atau sifat-sifat ALLAH), hal ini kerana untuk mendekatkan diri kepada ALLAH perlulah terlebih dahulu mengenali zat ALLAH.

Selain itu, perlahan-lahan mantapkan pula diri dengan ilmu fiqh, al-Quran dan hadis. Antara cabang ilmu fiqh adalah memperbaiki cara beribadah agar setiap amalan menjadi sah dan diterima ALLAH.

Menerusi pengajian al-Quran dan hadis, anda dapat mengikuti huraian tafsir al-Quran dan hadis. Ilmu-ilmu ini akan mendidik jiwa menjadi lebih tenang seterusnya memberi kesedaran tentang hakikat hidup yang fan aini.

***Azhari Hamzah ialah Pensyarah Akademik, Jabatan Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman

Foto: Pexels & Freepik

Tanda mati jiwa
Gaya Hidup,

Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

TAHAP kedudukan manusia sering kali dikaitkan dengan nafsu. Masakan tidak, ‘keinginan yang keras‘ itu berperanan mempengaruhi setiap tingkah laku dan hati manusia.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Mohamad Firdaus Pazim@Fadzim menjelaskan, andai nafsu gagal dikawal dengan ilmu dan iman, maka ia boleh mengakibatkan seseorang tergelincir ke lembah kehinaan.

“Hanya mereka yang berjaya menundukkan nafsu akan dapat menghargai nikmat yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepadanya.

“Individu itu juga akan dilorongkan untuk melakukan sesuatu kebaikan yang mencerminkan tanda kesyukurannya sebagai hamba ALLAH SWT yang taat,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Pendakwah itu menambah, terlalu banyak dampak negatif seandainya kita tersilap langkah jika menuruti hawa nafsu secara membuta tuli.

“Apa tidaknya, sikap atau perilaku itu boleh menyebabkan mereka terjerumus ke kancah kesesatan yang akhirnya membawa penyesalan.

“Ketahuilah, seseorang yang terjebak dengan dosa gara-gara lupa kepada ALLAH SWT atas dorongan hawa nafsunya yang berpunca daripada kegelapan hati, dia akan sering kali melakukan maksiat dalam kehidupannya.

MOHAMAD FIRDAUS

“Paling mendukacitakan apabila menyesal pada hari akhirat kelak, saat semua manusia dihitung amalannya satu persatu dengan seadil-adilnya di mahkamah ALLAH,“ ujarnya.

Baca juga Ubati Kemurungan Dengan Pendekatan Anjuran Agama

Firman ALLAH SWT: “Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata: Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan kami sendiri); (dengan ini) kami mengakui kepada-MU bahawa kami berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah KAMI yang mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan mentaati hawa nafsu mereka sendiri).“ (Surah al-Qasas, ayat 63)

Justeru, Mohamad Firdaus menegaskan agar seluruh umat Islam tidak menuruti hawa nafsu yang cenderung mengarah manusia kepada keburukan.

“Amat penting seseorang Muslim ‘menjinakkan‘ nafsunya dengan bersungguh-sungguh agar keinginan buruknya dapat dikawal daripada terjebak ke dalam perkara yang boleh membinasakan diri,“ katanya.

Sebelum menoktahkan perkongsian ilmunya, beliau berkongsi sepotong hadis untuk kita renungi bersama. Dalam Hadis Riwayat at-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang dapat membinasakan manusia (hamba) iaitu sikap bakhil yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti dan kekaguman seseorang kepada diri sendiri.“

Foto: Unsplash