Browsing Category

Berita Semasa

Perjuangan ulama
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Hayati perjuangan ulama silam, berusahalah sambung legasi mereka

SESUNGGUHNYA, perjuangan ulama dahulu kala tidak boleh dibiarkan sepi begitu sahaja.

Sebaliknya, jelas Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Farid Mat Zain, adalah menjadi tanggungjawab para agamawan selepas merdeka untuk menyambung perjuangan ulama terdahulu.

Baik dalam bidang pendidikan mahupun perjuangan Islam, katanya, kedua-duanya perlu berkembang dan bergerak seiring.

“Selain itu, bangunkan masyarakat dengan kefahaman Islam yang jelas, jauhkan mereka daripada fahaman terpesong dan elakkan umat Islam daripada ajaran yang boleh membuatkan masyarakat keliru hingga membawa kepada perpecahan,” ungkapnya.

DR FARID

Kepada masyarakat pula, ahli akademik itu menitipkan pesanan agar kita mengenali dan memahami ulama serta tokoh yang berjuang berhabis-habisan hingga kita mengecapi nikmat kemerdekaan pada hari ini.

“Ia boleh dilakukan melalui kajian atau pembacaan menerusi media misalnya. Selain membaca kitab, wujudkan pertanyaan siapakah pengarangnya?

“Dengan cara tersebut, kita akan lebih menghargai jasa ulama dan akan menimbulkan semangat bangga terhadap usaha dilakukan.

“Satu lagi, kerap adakan aktiviti yang boleh menimbulkan semangat mencintai ulama seperti ziarah ke makam mereka sebagaimana dilakukan di Indonesia. Mereka mengajak keluarga dan masyarakat berziarah ke pusara ulama di kawasan sekitar dan jauh di luar kampung halaman,” ungkapnya.

Senada dengan Dr Farid, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar menjelaskan, para ulama sememangnya kelompok masyarakat yang memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan.

Sebagai masyarakat bertamadun, jelas beliau, menjadi tanggungjawab untuk mengambil tahu dan mengkaji ketokohan mereka khususnya yang terlibat dalam aspirasi menentang penjajah agar menjadi sumber ilham bagi membina kecintaan terhadap negara.

Bangkit semangat juang

Malah, segala gerakan nasionalisme yang dimainkan kelompok berkenaan perlu diberikan perhatian penting untuk membangkitkan semangat juang dalam kehidupan, sekali gus berkhidmat demi pembangunan negara, memelihara budaya dan warisan, terangnya.

“Benar, jasa ulama amat signifikan. Mereka banyak memberi pengaruh kepada perubahan sosial dan politik dalam kalangan masyarakat menerusi ceramah, khutbah, penulisan dan pemikiran yang memberi kesedaran terhadap prinsip-prinsip nilai agama.

“Melalui tokoh agamawan tersebut, masyarakat dapat memahami kepentingan menjaga maqasid ad-din dan membantu membentuk identiti kebangsaan yang ampuh dan membangkitkan semangat patriotisme,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

USTAZAH NURZAHIDAH

Jelas ahli akademik itu lagi, kehebatan ulama dalam menghubungkan ruang lingkup agama dan geopolitik tidak dapat disangkal lagi.

Sejak dahulu, katanya, ulama telah menjadi rujukan dalam setiap perkara khususnya dalam hal kehidupan beragama.

“Namun mereka turut berperanan merancang strategi politik. Bagi tokoh seperti Haji Hassan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) misalnya, semangat jihad dalam dirinya telah memberi aspirasi kepada masyarakat dalam menentang British di Kelantan.

Baca juga Tok Ku Paloh ulama hebat dalam ilmu tasawuf sehingga mencapai darjat al-Kashaf

“Selain itu, tokoh seperti Ustaz Abu Bakar al-Baqir di Perak mempunyai suara yang lantang dalam menuntut kemerdekaan telah memberi impak dan kesedaran ke atas masyarakat Melayu dalam menuntut kemerdekaan,” terangnya panjang lebar.

Usah terlalu selesa

Walaupun negara kini bebas dari cengkaman penjajah, Ustazah Nurzahidah mengingatkan agar rakyat tidak terlalu selesa dan hanya berpeluk tubuh.

Ini kerana menjadi tugas bangsa merdeka untuk terus meningkatkan keharmonian terhadap agama.

“Masyarakat berperanan menimba ilmu agama, selain mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan, menyertai kegiatan sosial dalam masyarakat menghormati kepelbagaian agama, menampilkan imej masyarakat berintegriti dan mengambil berat tentang kebajikan sosial serta membantu menunjukkan kepedulian terhadap masyarakat.

“Hal ini telah dikenal pasti pada kepimpinan tokoh ulama di Kelantan iaitu Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim (Tok Ku Paloh) yang banyak menyuntik semangat watan dengan menentang tentera Jepun pada perang dunia kedua.

“Beliau meneruskan usahanya menyatukan rakyat dan mendorong pemimpin politik untuk memperjuangkan kemerdekaan dan berjaya menghalau tentera British pada akhir Perang Dunia kedua,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, pensyarah itu menegaskan, setiap masyarakat perlu mengambil iktibar dengan perjuangan ulama dan pemimpin kemerdekaan terdahulu yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab terhadap negara dan bangsa.

“Setiap masyarakat perlu memiliki sifat toleransi dan menghormati perbezaan antara agama, etnik dan budaya. Kemampuan bertolenrasi perlu dipupuk dengan ilmu, pemahaman dan dialog yang berterusan bagi mengelakkan prejudis dan diskriminasi kaum.

Perjuangan ulama

JANGAN sia-siakan pengorbanan pemimpin dan perjuangan ulama dalam membebaskan negara dari belenggu penjajah. -Foto: 123rf

“Sifat ini boleh dicontohi daripada ulama Johor terdahulu seperti Haji Mohd Salleh Haji Karim (Kiyai Haji Salleh) yang tulus dalam berdakwah, cakna dengan kebajikan masyarakat dan mendukung kepentingan pendidikan dan persatuan.

“Beliau cukup bijak dan berdiplomasi dalam menguruskan isu-isu agama dan sosial,” katanya.

Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Kenali 5 ulama dan agamawan pejuang kemerdekaan negara

JIKA diteliti, ramai pejuang kemerdekaan negara yang menentang penjajah Inggeris itu sebenarnya terdiri daripada golongan alim ulama dan agamawan. Malangnya, tidak ramai yang mengetahuinya.

Baca juga Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

Malah, ada nama figura berkenaan kurang dikenali ramai dek kerana fakta tentangnya tidak didendangkan. Sedangkan merekalah antara individu penting yang meniup semangat jihad dan patriotik untuk membebaskan negara daripada cengkaman musuh.

Dilabel pemberontak

Ketika diminta mengulas lanjut, Pensyarah Pusat Kajian Bahasa Arab & Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Farid Mat Zain menjelaskan, golongan ulama kurang dikenali kerana mereka digambarkan sebagai pemberontak.

DR FARID

Menyoroti historiografinya, jelas beliau, pada zaman British, para agamawan sering kali dilabelkan dengan pelbagai istilah. Antaranya termasuklah pemberontak, komunis dan golongan kiri.

“Contohnya, Tok Janggut (Haji Hassan bin Panglima Mat Munas) digambarkan sebagai pemberontak yang tidak mahu membayar cukai kepada pemerintah, sedangkan figura itu bangkit kerana mempertahankan hak masing-masing lantaran tanah mereka diceroboh oleh pihak penjajah British.

“Begitu juga dalam kes Abdul Rahman Limbong dan juga Datuk Bahaman (Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh),” terangnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini

Hakikatnya, jelas pakar dalam bidang Tamadun Malaysia dan Nusantara itu, ulama sebenarnya bertindak sebagai pencetus kemerdekaan. Sejak awal lagi, katanya, kelompok itu berasa marah dengan penjajah.

“Sebenarnya, sejak zaman Melaka lagi, sudah ada usaha dari Kerajaan Aceh untuk menguasai semula Melaka dari Portugis. Beberapa kali mereka mengadakan serangan.

“Namun, setelah menyedari kekurangan senjata, mereka meminta bantuan daripada Kerajaan Turki Uthmaniyah.

“Malah, dalam satu serangan ke atas Portugis, golongan ulama turut terlibat. Antaranya termasuklah Sheikh Shamsuddinal-Sumatrai (Sheikhul Islam yang juga Mufti Besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil), yang akhirnya meninggal di Melaka,” ungkapnya.

Andai mahu diulas satu persatu, terlalu banyak tokoh agamawan yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Namun begitu, Dr Farid yang juga penulis buku berjudul Peranan Tokoh Agama Dalam Sejarah Perjuangan Kemerdekaan Malaysia itu menyenaraikan lima tokoh yang perlu diketahui ramai:

1. Husain Che Dol.

HUSAIN

Tempat kelahiran: Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah
Tahun lahir: 1904
Tahun meninggal dunia: 1967

Watak Haji Husain begitu menyerlah ketika Malayan Union (MU) diperkenalkan oleh British demi meluaskan pengaruhnya. Ternyata gagasan MU yang menggabungkan negeri-negeri di Semenanjung mendapat tentangan hebat. Antaranya daripada tokoh ulama asal Kedah itu.

Beliau yang juga pengasas pondok Guar Cempedak sememangnya sudah lama memendam amarah kepada pihak penjajah. Pada 19 Januari 1946, kira-kira 50,000 orang berkumpul di padang Court, Alor Setar menentang MU yang memuncak di Kedah.

Ketika itulah sekumpulan ulama di negeri itu merancang untuk menubuhkan permuafakatan menentang MU. Maka pada sebelah petang hari yang sama, pakatan dikenali sebagai Persatuan Ulama Kedah (PUK) mula tertubuh dan Haji Husain yang juga seorang tenaga penaja dilantik sebagai Yang Dipertuanya.

Bermulalah perjuangan PUK menjadi pertubuhan penting membela nasib umat Islam Kedah dan Malaysia. Malah, ia juga berperanan dalam menjaga kefahaman Islam agar tidak tergelincir daripada landasan.

Buat pertama kalinya, PUK pada tahun 1950 menghantar perwakilan ke persidangan alim ulama se-Malaya anjuran Umno yang berlangsung di Muar. Pada masa itu, PUK mengusulkan agar sebuah lembaga mubaligh Islam se-Malaya diwujudkan bagi mengembangkan Islam.

Semasa kongres ulama ketiga di Butterworth setahun kemudian, PUK menghantar perwakilan. Persidangan tersebut telah melahirkan Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

2. Dr Burhanuddin Helmi.

DR BURHANUDDIN

Tempat kelahiran: Kota Bharu, Gopeng, Perak
Tahun lahir: 1911
Tahun meninggal dunia: 1969 

Bukan sahaja terkenal sebagai pejuang kemerdekaan dengan jolokan ‘Bapak Kebangsaan Melayu’, Dr Burhanuddin juga merupakan ahli tafsir al-Quran dan hadis yang ulung serta mahir dalam sastera Arab.

Malah, landasan perjuangannya banyak menentang imperialisme dan penindasan terhadap masyarakat Islam di dunia dan nusantara.

Pemilik nama penuh Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor begitu terkenal dengan konsep Melayu Raya iaitu gagasan kesatuan politik Malaya-Indonesia.

Jika diteliti, perjuangan politik Dr Burhanuddin mula terserlah ketika mengemudi Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas Jepun menyerah kalah. Bahkan, beliau juga pernah memimpin Pas pada tahun 1956 hingga 1969.

Meskipun dilabel sebagai ‘nasionalis radikal dan pemikir Islam’, namun sumbangan beliau terhadap kemerdekaan negara tidak boleh dinafikan.

Ketika memegang pimpinan parti politik dan anggota Parlimen, Dr Burhanuddin membawa gagasannya ke dalam perjuangan Islam dan pendidik negara. Kecintaannya kepada ilmu pengetahuan menjadikan beliau begitu prihatin dengan perkembangan sekolah agama di seluruh negara.

Di samping itu, tokoh berkenaan sering kali menekankan aspek ukhrawi sehingga akhir hayatnya.

3. Sheikh Abdullah Fahim.

SHEIKH ABDULLAH FAHIM

Tempat kelahiran: Kampung Sha’ab Ali berhampiran Masjidil Haram di Makkah/ Kampung Kubur Panjang, Kedah (2 versi berbeza menurut sejarah)
Tahun lahir: 1869
Tahun meninggal dunia: 1961

Baca juga Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

Nama Mufti Pulau Pinang yang pertama itu memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia sentiasa meniti pada bibir masyarakat sebagai antara ulama yang memperjuangkan kemerdekaan negara secara langsung.

Selain menjadi tokoh penting dalam menentukan tarikh keramat negara merdeka pada 31 Ogos 1957, banyak lagi rupanya jasa beliau sebagai pejuang kemerdekaan.

Salah satu ‘warisan’ peninggalannya adalah membangunkan masyarakat melalui pendidikan. Bayangkan, bermula sebagai guru di Madrasah Arabiah Limbung Kapal, Kedah, beliau kemudian mengasaskan madrasahnya sendiri, Madrasah Dairatul Maarif al-Wataniah pada tahun 1926 sebelum berkhidmat di Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar.

Pada zaman beliau mengemudi Madrasah Idrisiah sebagai mudir selama 16 tahun sejak 1932, jumlah pelajar semakin bertambah dan melahirkan ramai murid memegang jawatan-jawatan penting sama ada sebagai mufti mahupun pengembang ajaran Islam seantero Malaysia.

Selepas melepaskan jawatannya sebagai mudir di madrasah itu, figura hebat tersebut dilantik menjadi Mufti Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, beliau juga dipilih untuk mempengerusikan bahagian agama ketika Persatuan Melayu Seberang Prai dihidupkan semula pada Mac 1946.

Pada tahun yang sama, Umno ditubuhkan dalam Kongres Melayu yang diadakan di Kuala Lumpur, bertujuan untuk menggabungkan semua tenaga Melayu menentang Malayan Union.

Sheikh Abdullah Fahim kemudian mendaftarkan diri sebagai ahli pertama Umno di Seberang Prai.

4. Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

ABU BAKAR

Tempat kelahiran: Gunung Semanggol, Perak
Tahun lahir: 1907
Tahun meninggal dunia: 1974

Beliau merupakan anak didik kepada Sheikh Abdullah Fahim, tokoh ulama terkenal dan pejuang kemerdekaan tanah air.

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar bin Mohd Said. Tidak hanya sekadar membangunkan Maahad al-Ehya Assyarif, agamawan itu juga begitu menitik beratkan masyarakat di sekelilingnya terutama melibatkan isu pendidikan dan ekonomi.

Di samping itu, beliau tidak pernah lelah mengingatkan masyarakat tentang kewajipan umat Islam iaitu dengan meneruskan kembali tradisi perjuangan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan tanggungjawab umat Islam.

Pendek kata, beliau cuba memperbetulkan masyarakat menerusi kemajuan pendidikan dengan mendirikan maahad yang diharap mampu mendidik masyarakat kembali kepada Islam.

Ketika era perkembangan menuntut kemerdekaan begitu kuat melanda negara seperti Indonesia, India dan Mesir sekitar awal abad ke-20, pada masa itulah Ustaz Abu Bakar dilihat aktif mengundang guru-guru yang mempunyai latar belakang aliran pendidikan Timur Tengah, India dan Sumatera Barat. Mereka terkenal dengan fahaman islah (beraliran Kaum Muda).

Secara tidak langsung, guru-guru yang bersama-sama dalam gerakan kemerdekaan tersebut menyemarakkan semangat berkenaan kepada anak-anak muridnya di Maahad al-Ehya Assyarif.

Disebabkan itulah Ustaz Abu Bakar dianggap sebagai tokoh ulama Kaum Muda atau reformis di Tanah Melayu ketiza zamannya. Bahkan, beliau juga dianggap mendorong pengembangan aliran tersebut di maahad berkenaan hingga menjadi pusat pengkaderan pejuang-pejuang kemerdekaan.

5. Prof Datuk Dr Zulkifli Muhammad.

DR ZULKIFLI

Tempat kelahiran: Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak
Tahun lahir: 1927
Tahun meninggal dunia: 1964

Ramai yang mengenai nama Zulkifli sebagai tokoh pendidik dalam membangunkan pendidikan negara. Di sebalik kemasyhuran ilmuan hebat itu, beliau sebenarnya memainkan peranan signifikan dalam politik tanah air tidak kiralah sebelum merdeka mahupun selepas pasca kemerdekaan. Bahkan, beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris.

Jika diselak biografinya, tokoh pejuang kemerdekaan tersebut bukan calang-calang pendidikannya. Beliau hampir pernah melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Maahad Ilya’ al-Syarif Gunung Semanggul pada tahun 1947, tetapi tidak kesampaian.

Pun begitu, beliau berjaya ke Universiti al-Azhar, Mesir. Bertitik tolak dari situ, beliau terdedah dengan persatuan pelajar dan menyertai Jami’iyyah al-Syubban al-Muslimin, di samping menjadi Presiden Lembaga Pembela Malaya pada Januari 1948.

Ketika kembali ke tanah air pada tahun 1952, Zulkifli dilihat begitu aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan politik serta menyertai Umno. Lantaran kepetahannya berbicara, beliau sering menjadi jurucakap dalam banyak perhimpunan rapat umum yang diadakan.

Malah, dalam satu program rapat umum yang turut dihadiri oleh Dato’ Onn dan Haji Abdul Wahab bin Abdul Aziz (Panglima Bukit Gantang), Zulkifli peernah memberikan ucapan ‘berapi-api’ dan penuh bersemangat menentang dasar Malayan Union.

>Selepas berhijrah kepada Pas, Zulkifli bertanding di Parlimen Bachok dan menang. Beliau kemudian mengambil peluang tersebut dalam perjuangan bangsa Melayu, menyebabkan namanya sentiasa sentiasa memenuhi dada-dada akhbar.

Bukan itu sahaja, beliau juga lantas memperjuangkan hak dan nasib masyarakat Melayu serta agama Islam di Parlimen.

***Foto: https://ms.wikipedia.org/, https://www.hijau.fm/, https://pekhabar.com/ & 123rf

Al-Quran ritual
Berita Semasa, Uncategorized,

Amal al-Quran bukan sekadar ritual, bahkan segenap aspek kehidupan

AL-QURAN bukan sekadar untuk diamalkan secara ritual, tetapi ia merupakan panduan hidup kepada semua masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff menjelaskan, andai perkara itu dihayati dan difahami oleh semua orang, masyarakat akan dapat menghayati hidup beragama dengan lebih baik lagi.

HAKIMAH

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour kali ke-9 bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar, yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya pada Rabu.

Mengulas lanjut tentang program itu, Hakimah menyifatkan, acara tersebut semakin meriah dan tidak hanya memfokuskan kepada pengajian al-Quran sahaja, tetapi turut menampilkan mengetengahkan kempen-kempen nilai murni yang membina sebagaimana ditonjolkan menerusi temanya pada edisi kali ini.

“Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu sokongan kepada hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina Malaysia Madani supaya masyarakat kita bukan sahaja membaca al-Quran.

“Namun, pada masa sama, mentadabbur, mengambil iktibar, mendalami, menghayati dan mempraktikkan isi kalamullah itu sendiri dalam kehidupan,” katanya.

Harapan sama turut diluahkan oleh Adun Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet) yang juga bekas penyanyi rap terkemuka.

SYED AHMAD

“Diharapkan program ini boleh mencetuskan lebih ramai orang beristiqamah membaca al-Quran,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengajak rakyat menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat kemerdekaan dikecapi negara dengan terus berdoa agar Malaysia dilimpahi keamanan dan keharmonian.

“Siapa yang rasa dia membesar atau hidup dalam Malaysia yang ‘best’, seeloknya dia bersyukur dan berdoa supaya anak serta cucunya dapat hidup dalam negara yang lagi ‘best’ daripada yang pernah dilaluinya,” ungkapnya.

Program berinteraksi dengan al-Quran pada kali ini turut menjemput orang bukan Islam menyertainya untuk mendapatkan input daripada al-Quran.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang antara individu yang hadir memeriahkan majlis.

UNCLE KENTANG

Ketika ditemu bual, Uncle Kentang berkata, kehadirannya adalah untuk menimba ilmu hidup dan mati.

Meskipun berbeza agama, namun menurut perspektifnya, manusia yang disayangi Tuhan ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Itu jualah yang diajar oleh agama Islam kepada penganutnya.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan buat semua termasuk non-Muslim.

Beliau menyarankan agar masyarakat meneliti dan mempelajari al-Quran.

“Jangan takut pada ‘nota-nota’ yang dikeluarkan sesetengah pihak bahawa orang Islam kejam dan tidak adil.

“Pelajari dulu sebelum kita memberikan apa-apa komen dalam Facebook dan sosial media. Ingatlah, kita harus berlaku adil bukan sahaja pada diri kita, tetapi juga diri orang lain,” katanya.

Malaysia #QuranHour kali ke-9 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas mengajak semua rakyat berbilang kaum dan pemimpin untuk membina negara yang maju, sejahtera dan progresif. berpandukan solusi al-Quran.

Acara kali ini mengangkat tiga surah dalam al-Quran iaitu al-Fatihah, al-Insan dan al-Asr.

***Artikel ditulis oleh Nurulfatiha Muah dan Sarrah Mohsein

Kemerdekaan
Berita Semasa,

Usah isi kemerdekaan dengan perkara yang cemarkan kesucian Islam

HARI Kemerdekaan yang bakal disambut pada Khamis ini tidak seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang mencemar kesucian Islam.

Demikian peringatan Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi artikel bertajuk Kemerdekaan dan Islam yang disiarkan dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Saban tahun, katanya, acap kali acara-acara melalaikan seperti konsert nyanyian dan tarian, pesta, pertunjukan serta seumpamanya diadakan, sedangkan ia menatijahkan impak negatif kepada masyarakat yang akhirnya semakin terpesong daripada landasan syariat.

Baca juga Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

“Sewajarnya perkara-perkara yang melalaikan dan jahiliyah sebegini perlu dihentikan selaras dengan kemajuan yang ada,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila lambakan anak luar nikah disinonimkan dengan sambutan kemerdekaan disebabkan pasangan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk demi memuaskan nafsu masing-masing ketika sambutan berkenaan.

Perkara itu, kata Jabatan Mufti Negeri Perak, ia boleh memberikan kesan negatif falam pembangunan masyarakat dan negara.

Kemerdekaan

BERSYUKURLAH dengan nikmat kebebasan yang dikecapi pada hari ini dan isi kemerdekaan dengan aktiviti bermanfaat. Marilah sama-sama kita melakukan anjakan dari pemikiran kufur kepada syukur demi mencapai masyarakat berakhlak. -Foto: 123rf

“Tatkala negara sedang mengejar arus kemodenan, kita pula dicemari dengan kes-kes keruntuhan akhlak masyarakat, sekali gus merencatkan pembangunan akhlak masyarakat negara yang mana ia perlu seiring dengan agenda pembangunan negara,” ungkapnya.

Sekalipun Malaysia bebas dari cengkaman penjajah, namun Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan, kita masih lagi dibelenggu dengan pemikiran Barat terutama dalam aspek sosial, intelektual dan normalisasi kehidupan.

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Mengambil contoh dari sudut sosial, katanya, sebahagian besar masyarakat masih lagi tidak menjaga batas pergaulan dan amalan muamalah sesama manusia.

“Keadaan ini merencatkan proses pembinaan modal insan yang mengikuti telunjuk syarak.

“Dalam aspek intelektual pula, masyarakat kita terpengaruh dengan ideologi-ideologi dibawa oleh Baat seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, literalisme dan banyak lagi.

“Begitu juga dengan normalisasi kehidupan masa kini yang cuba mengubah nilai-nilai yang dibawa oleh Islam. Misalnya, masyarakat tidak lagi mementingkan keperluan amar makruf nahi mungkar, sebaliknya bersikap mengutamakan diri sendiri berbanding orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menitipkan pesan agar kita tidak memandang ringan kemerdekaan kurniaan ALLAH SWT.

Sebaliknya, ia perlu dinikmati dan disyukuri dengan kaedah paling baik. Dengan kata lain, setiap Muslim perlu melaksanakan perintah ALLAH SWT di dalam negara ini sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kemerdekaan.

Baca juga Jernihkan pemikiran kufur kepada syukur, antara formula ampuh bentuk masyarakat berakhlak mulia

“Ini termasuklah memberikan kesedaran dan peringatan tentang makna kemerdekaan dan makna diri seorang Muslim itu sendiri kerana manusia sememangnya sering lupa dan alpa ketika dilimpahi kenikmatan.

Kemerdekaan

SEMATKAN makna kemerdekaan dan erti diri seorang Muslim kerana manusia sering lupa serta alpa apabila dilimpahi kenikmatan. -Gambar hiasan/ Foto: Bernama

“Seperkara lagi, kesyukuran kepada Tuhan itu tidak hanya terikat pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu dilaksanakan pada setiap ketika dan keadaan mahupun apa jua situasi. Begitu juga halnya dengan kemerdekaan, jangan hanya mengenangnya ketika hari sambutan sahaja,” titipnya.

Jabatan Mufti Negeri Perak turut mengingatkan agar setiap masyarakat menikmati kemajuan yang mampu memberikan keselesaan kepada mereka tanpa mengetepikan aspek syarat.

Kepada pihak berwajib pula, gunakalah kemerdekaan itu demi membangunkan negara sebaik mungkin dengan cara menawarkan peluang pendidikan dan pekerjaan lebih baik.

“Ia supaya dapat melahirkan masyarakat bertamadun dan membasmi kemelesetan kemiskinan.

“Pada masa sama, pihak berwajib juga perlu menyediakan infrastruktur dan prasarana yang lengkap, seiring tanggungjawab dipikul.

“Ketahuilah, mereka yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab berteraskan prinsip integriti, maka ALLAH SWT pasti akan melimpahkan rahmat-NYA dan kebaikan kepada negara yang tercinta,” katanya.

Ia sebagaimana dinyatakan jelas dalam firman ALLAH SWT: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah KAMI akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul KAMI), lalu KAMI timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Konsert lagha
Berita Semasa,

Isu anak tahfiz di jemput ke konsert lagha, praktikkan seperti latihan kebakaran ‘bangun dan terus tinggalkan majlis’

LULUH hati melihat pelajar tahfiz yang penuh ilmunya di dada dengan al-Quran tiba-tiba kelihatan berada di sebuah konsert yang melalaikan mereka.

Apatah lagi dengan imej mereka yang berjubah dan berserban itu, tempat tersebut seolah memberikan persepsi negatif kepada mereka.

Rentetan isu yang hangat ini, ramai agamawan bersuara dan menyarankan agar setiap undangan sebelum menjemput mana-mana individu ke sebuah majlis perlulah ditapis terlebih dahulu.

Antaranya adalah Pendakwah Bebas, Fakhrurrazi Hussin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Fakhrul agar setiap asatizah dan pelajar tahfiz mempraktikkan konsep ‘bangun dan terus meninggalkan majlis’ apabila berdepan dengan situasi seperti ini.

Baca Juga “Isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai,” ini jawapan padu Ustaz Azhar Idrus

Ujarnya, terbakar hati tengok gambar ini. Bila tengok videonya lagi tersiat-siat! Konsert maksiat. “Terbakar” ayat-ayat al-Quran yang ada dalam kepala anak-anak ini hilang jauh-jauh.

“Susah-susah mereka hafal. Ada manusia yang bebal nak hilangkan hafalan dan jiwa al-Quran dalam dada mereka. Saya yakin mereka terperangkap.

“Saranan saya pada para asatizah sekolah-sekolah tahfiz. Boleh mula buat latihan praktikal “BANGUN DAN MENINGGALKAN MAJLIS” jika tiba-tiba terperangkap dalam situasi seperti ini.

ANAK-ANAK tahfiz tak sepatutnya dibawa apatah lagi pergi ke konsert nyanyian.

“Saya juga salah seorang pengurus pusat tahfiz. Memang anak-anak tahfiz selalu saja dijemput pelbagai majlis atas alasan meraikan anak-anak tahfiz dan membuat kerja-kerja amal,” ungkapnya.

Tegas Imam Muda Fakhrul lagi, banyak juga yang tiba-tiba terperangkap dengan situasi majlis yang bercampur dengan maksiat. Kadang-kadang kenduri kahwin panggil anak-anak tahfiz, tiba-tiba tuan tumah buat karaoke dan tarian dengan perempuan lelaki bercampur,”

Baca Juga Isu konsert Port Fest 2023, Ustazah Asma’ gesa garis panduan hiburan dikawal

Turut Disyorkan Halal haram konsert hiburan… Hadam dahulu pandangan ulama tentang muzik dalam Islam

“Bila berlaku macam ni biasanya anak-anak tahfiz ini akan terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. Guru pengiring pun turut sama terkejut bingung tak tahu nak buat apa. Nak bangun segan, takut tuan rumah terasa. Sedangkan mereka tak segan pun dengan kita!

“Jadi seperti mana di sekolah-sekolah kita, kita buat latihan untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran. Kita juga perlu buat latihan menyelamatkan diri jika berlaku “kebakaran” hafalan dan hati jika terlibat dengan majlis-majlis maksiat seperti ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial Facebook.

Imam Muda Fakhrul turut berkongsi dua tip tentang bagaimana untuk mempraktikkan perkara tersebut.

IMAM MUDA FAKHRUL

Al-Quran yang kita semua hafal mengajar kita :

1.Jauhkan diri segera

Dan orang-orang yang beriman itu) ialah mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan yang sia-sia”. (Surah al-Mu’minun ayat 3)

– Bangun minta izin pada yang menjemput untuk beransur pulang jika terjebak. Jika tuan rumah atau penganjur itu jauh atau tidak kelihatan. Hubungilah sahaja melalui mesej atau telefon dan maklumkan kita perlu beransur segera.

2.Bangunlah dengan rasa kemuliaan (jangan segan) dan membersihkan diri daripada majlis tersebut.

“(Dan para hamba ar-Rahman itu) ialah mereka yang tidak menghadirkan diri ke tempat-tempat yang melakukan perkara yang terlarang dan apabila bertembung dengan perkara yang sia-sia itu, mereka melaluinya dengan cara “kiraama” (membersihkan diri dan termulia tanpa perlu segan silu),” ( Surah al-Furqan ayat 72)

“Latihan ini sebenarnya bukan untuk sekolah tahfiz sahaja. Tetapi untuk semua Muslim yang mengaku beriman” – Imam Muda Fakrul

UAI
Berita Semasa,

“Isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai,” ini jawapan padu Ustaz Azhar Idrus

ISTERI pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai”

Demikian, kenyataan seorang pempengaruh TikTok yang agak hangat namanya diperkatakan baru-baru ini selepas memuat naik content mengenai poligami.

Rata-rata netizen yang membaca ungkapan berkenaan tidak bersetuju dengan apa yang disiarkan oleh pempengaruh itu kerana seolah menafikan hak isteri pertama.

Berkaitan isu tersebut, baru-baru ini ada seorang individu telah bertanya kepada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam satu ceramahnya pada Jumaat mengenai ‘isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai’.

Baca Juga Sentuh isteri tidak batal wuduk, digelar puak wahabi? Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…

Tegasnya, perkara itu sememangnya tiada di dalam mana-mana hadis dan al-Quran yang menyatakan isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai.

“Oh sedap gamok. Ini (ungkapan itu) hari-hari kita buat status dalam Facebook, pandai-pandai buat status.

“Ada yang betul, ada yang mengarut. Yang mengarut pun lima likes dapat. Kerana apa, nak tunjuk pandainya menulis status,” katanya.

USTAZ AZHAR IDRUS

Ustaz Azhar turut menjelaskan tidak salah untuk membuat status setiap hari namun ia perlulah betul dan bersandar kepada agama dan syarak.

“Zaman dahulu, sebelum memuat naik sesuatu perkara di media sosial satu penelitian akan dijalankan namun kini tidak ramai yang peduli tentang itu dan hanya memuat naik sesuka hati.

Baca Juga Antara taat pada ibu dan nafkah untuk isteri, jangan sampai suami jadi anak derhaka

“Sekarang kita mempunyai media sosial, tulis dan tekan hantar, maka satu dunia dapat membaca apa yang disiarkan itu, tetapi jika salah, sampai akhiratlah menanggung dosa itu”.

Suami yang baik adalah suami yang berbuat baik kepada isteri

Dalam pada itu, UAI juga mengatakan kenyataan yang dikeluarkan itu boleh menyakiti hati isteri pertama.

“Siapa yang menjadi isteri pertama dia terasa hati. Betul tak? Terasa hati orang.

Baca Juga Suami isteri bergurau pasal cerai? Awasi 3 perkara ini tak boleh ‘buat main’ dalam rumah tangga

“Sebenarnya, kedua-dua sama ada isteri pertama dan kedua adalah tanggungjawab kita (suami) dan kita akan ditanya di akhirat,” katanya.

UAI juga mengambil peluang menerangkan bahawa suami yang baik, adalah mereka yang berbuat baik kepada isteri.

zihar

SUAMI yang baik bukanlah mereka yang mempunyai ramai isteri, tetapi suami yang baik adalah yang paling banyak berbuat baik kepada isteri. Foto: Pexels

Menurutnya, disebabkan itu, si suami digalakkan untuk mengatakan perkara yang baik-baik kepada isteri tanpa menyakitkan hatinya.

“Nabi kata suami yang baik bukanlah mereka yang mempunyai ramai isteri, tetapi suami yang baik adalah yang paling banyak berbuat baik kepada isteri.

Maksudnya “Sebaik-baik daripada kalangan kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya. Dan aku adalah yang terbaik terhadap isterinya”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Turut Disyorkan Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

“Jadi kalau ucapan kita menyebabkan isteri kita sakit hati, adakah kita yang terbaik?,” ujar agamawan itu.

Beliau kemudiannya menjelaskan tentang kepentingan buat seseorang itu berpegang dengan dua tali atau dua perkara sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah hadis.

Maksudnya “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab ALLAH (al-Quran) dan sunah Nabi-NYA (Sunah Nabi SAW)”. (Hadis Riwayat Malik)

KPM
Berita Semasa,

KPM tegaskan Modul Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk guru dan pelajar Islam

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan hanya guru dan murid beragama Islam sahaja terlibat dalam pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh KPM, apabila baru-baru ini Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Baca Juga Rupanya hadis ‘talak menggegarkan Arasy’ tidak sahih

Kumpulan itu berkata kerajaan dan Menteri Pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Rentetan isu tersebut, KPM menegaskan tujuan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah adalah untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.

PROGRAM rintis bagi pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 hanya melibatkan beberapa buah sekolah terpilih di Malaysia setakat ini.  

Selain itu, modul ini turut membantu guru dan murid beragama Islam untuk mengukuhkan kefahaman dalam agama.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti.

“KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya.,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN 

Menurut KPM lagi, program rintis bagi pelaksanaan modul terbabit hanya melibatkan beberapa buah sekolah terpilih di Malaysia setakat ini.

Melibatkan 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KETUA Aktivis PPIM, Nadzim Johan. 

“Bukan Islam jangan campur” – PPIM

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya.

Turut Disyorkan Cekalnya bapa tunggal urus empat anak sambil bekerja. Ini ganjaran bila kita didik anak dan penat cari rezeki halal

Nadzim menegaskan lagi bahawa mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

“Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!” katanya dalam kenyataan semalam.

Qari OKU
Berita Semasa,

Kejayaan qari OKU sebagai johan tilawah peringkat antarabangsa 2023 jentik hati warganet

KEJAYAAN qari orang kurang upaya (OKU) dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi menjadi johan kategori tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023 menjadi bualan hangat di media sosial.

Rata-rata warganet dilihat begitu kagum dengan kehebatan pemuda berusia 25 tahun itu meskipun diuji dengan masalah cacat penglihatan.

Tinjauan Sinar Islam Plus menerusi laman sosial Facebook mendapati, ramai netizen bukan sahaja merakamkan ucapan tahniah atas kemenangannya, tetapi pencapaiannya turut menjentik hati mereka bahawa al-Quran sememangnya mencelikkan jiwa manusia.

Baca juga Qari Malaysia, Qayyim Nizar rangkul juara Tilawah Antarabangsa ke-63

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilihat antara pemimpin yang tidak melepaskan peluang mengekspresikan penghargaan kepada qari asal Kelantan itu.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya, susulan pencapaian tersebut, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha memartabatkan generasi al-Quran sebagai panduan hidup seharian.

Qari OKU

MOHD NASSURUDDIN (kanan) merakamkan ucapan tahniah kepada qari OKU asal Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar atas kejayaan menjadi johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2023. -Foto: Facebook Mohd Nassuruddin Haji Daud

“Kejayaan Muhammad Qayyim Nizar merupakan detik bersejarah kepada negara dan negeri Kelantan dengan keistimewaan membaca al-Quran menerusi naskhah Braille.

Baca juga Hilang penglihatan bukan halangan Qayyim jadi juara

“Ini menunjukkan ketinggian mukjizat al-Quran yang sentiasa dijaga oleh ALLAH SWT,” katanya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya KAMI benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Seorang pengguna akaun Facebook Muhammad Nor Affandi berkata, cacat penglihatan bukan penghalang kepada Muhammad Qayyim Nizar meraih kecemerlangan.

Jelas beliau, manusia yang bisu sangat berharap untuk membaca al-Quran, manakala kelompok pekak pula begitu mengimpikan untuk mendengar bait-bait suci kalamullah itu.

“Orang buta pula sangat menginginkan untuk melihatnya, tetapi kita yang sempurna ini telah dilalaikan dengan kesibukan dunia,” tulisnya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook Siti Aini pula melahirkan rasa kagum atas kejayaan diraih qari OKU tersebut.

“Masya-ALLAH, OKU penglihatan juara qari antarabangsa. Dia buta penglihatan, tapi celik hati, masya-ALLAH Allahuakbar.

Qari OKU

ANTARA hantaran yang dibuat oleh pengguna akaun di laman sosial Facebook atas kejayaan qari OKU, Muhammad Qayyim Nizar merangkul johan qari tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2023. Turut merakamkan ucapan tahniah ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin.

“(Ia) Jentik hati kita semua…celik sempurna penglihatan, al-Quran baca tak setiap hari?,” tulisnya sebagai muhasabah diri dan pedoman untuk semua agar bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH SWT.

Baca juga Cacat penglihatan, tapi celik al-Quran. Kisah adik Muhammad Adib Iskandar wajar jadi inspirasi buat kita

Bagi Syahr Musafir, dirinya seakan ‘kerdil’ apabila melihatkan kekurangan Muhammad Qayyim Nizar sebagai OKU, tetapi berupaya mengaji dengan baik dan begitu sedap pada halwa telinga.

“Rendah diri saya melihatkan qari Qayyim yang diuji masalah penglihatan ini boleh mengaji, masya-ALLAH sedap sangat. Malu saya,” tulisnya di laman sosial Facebook miliknya.

Sesungguhnya, benarlah al-Quran itu mencelikkan kehidupan manusia dan mendamaikan jiwa sesiapa sahaja.

Semakin dibaca, semakin bercambah cinta. Apabila ditelaah pula, bertambah banyak ilmu yang ditimba.

Urus harta
Berita Semasa,

Jom rancang urus harta dan pewarisan bersama MAINS

Jom rancang urus harta dan pewarisan bersama MAINS

HARTA merupakan keperluan asasi kepada manusia. Tanpa harta, seseorang itu sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memungkinkan hidupnya menjadi melarat. Tetapi sekiranya seseorang itu memiliki harta, mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mengecap kebahagiaan.

Umat Islam amatlah digalakkan membuat perancangan dan pengurusan harta kerana dalam rezeki seseorang ada hak orang lain dan setiap manusia perlu mengelakkan dirinya daripada memakan harta secara haram.

Perancangan harta yang bijak mampu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada waris atau mereka yang menikmati harta tersebut. Jika tiada perancangan atau tidak diurus dengan bijak, ia akan menimbulkan kesulitan kepada waris-waris terutama dalam keadaan pemilik harta meninggal dunia dan mempunyai liabiliti yang belum dilangsaikan sebelum kematiannya.

Baca juga WAKAF: Hebatnya Erti Memberi

MAINS berperanan menjalankan pengurusan Zakat, Kaunseling, Wakaf dan Mal di Negeri Sembilan secara profesional dan teratur. Sejajar dengan matlamat dan objektif MAINS dalam memantapkan lagi Institusi Pengurusan Harta di Negeri Sembilan supaya dapat membentuk, membina dan menjana sistem ekonomi umat Islam di Malaysia secara amnya dan di Negeri Sembilan secara khususnya agar lebih kukuh dan memberi manfaat kepada semua.

Urus dan rancang agar tidak dibazirkan

Perkhidmatan Mal yang disediakan oleh MAINS adalah melibatkan pengurusan harta Orang Islam khususnya yang merangkumi Pengurusan serta Pelaksanaan Hibah dan Wasiat, Runding Cara Faraid, Pengurusan Tuntutan Harta Pusaka, Penyerahan dan Penyaluran Wang Tidak patuh Syariah, Harta Luqatah (iaitu harta yang dijumpai), Penyerahan Wang Infaq dan Wang Orang Berhutang.

Urus harta

URUS harta bersama MAINS yang menyediakan pengurusan harta orang Islam, merangkumi pengurusan serta pelaksanaan hibah dan wasiat, runding cara faraid, pengurusan tuntutan harta pusaka dan banyak lagi. -Gambar hiasan

Usaha dilaksanakan MAINS bagi pengurusan harta dan perancangan pewarisan amat di tekankan dalam memberi kefahaman konsep pengurusan harta berasaskan syariah dan undang-undang Malaysia serta meningkatkan kemahiran berkenaan kaedah pengendalian harta yang tepat dan efisien.

Harta yang dimiliki pada hari ini seharusnya diurus dan dirancang dengan baik dan sempurna agar ia tidak dibazirkan dan dibelanjakan dengan cara yang bertentangan dengan syarak.

Perancangan harta yang dimaksudkan adalah seseorang itu perlu merancang perjalanan hartanya semasa hidup dan selepas kematiannya. Jadi, seseorang itu boleh menentukan perjalanan hartanya dan kepada siapakah hartanya patut diberikan untuk dimanfaatkan dan perlu memastikan pemberian tersebut sah dari sudut undang-undang terpakai. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Ayat ini menjelaskan bahawa antara perhiasan di dunia adalah tarikan terhadap lelaki dan perempuan, keinginan untuk berpasangan dan beranak-pinak atau sebagainya. Apa-apa yang disebut sebagai harta.

Baca juga (LIVE) WAKAF : Hebatnya Erti Memberi

Agihan dana secara tepat

Islam telah menentukan beberapa instrumen dalam perancangan harta pusaka iaitu wasiat, faraid, hibah, infaq, wakaf dan sebagainya. Jadi, kita sebagai umat Islam yang berpengetahuan haruslah mula merancang aset dan liabiliti dalam pemilikan kita supaya urusan pusaka selepas kematian dapat diuruskan dengan lancar oleh waris-waris kita selepas kematian.

Urus harta

RANCANGLAH aset dan liabiliti dalam pemilikan kita supaya urusan pusaka selepas kematian dapat diuruskan dengan lancar oleh waris-waris kita selepas kematian. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Bagi agihan dana pengurusan harta orang Islam di MAINS telah disalurkan kepada:

  1. Wang Fidyah: Program MAINS CARE melibatkan bantuan makanan tengah hari kepada pelajar penerima rancangan makanan tambahan (RMT) untuk sekolah-sekolah terpilih di Negeri Sembilan.
  2. Wang Tidak Patuh Syariah:Pembinaan gazebo di sekolah dan masjid untuk ruangan menunggu. Selain itu, MAINS turut akan membina tempat ruang rehat dan solat di kawasan peranginan terpilih.

Sehingga Julai 2023 untuk hibah jumlah permohonan ialah 74 pemohon. Manakala wasiat sebanyak 19 permohonan dan bagi faraid sebanyak 156 permohonan.

Peningkatan jumlah ini menjadi sebahagian sasaran utama MAINS agar lebih ramai masyarakat peka terhadap urusan pengurusan harta dan perancangan pewarisan.

Permohonan yang diterima semakin meningkat saban tahun. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita telah ramai membuka mata dalam menyelesaikan isu serta membuat perancangan awal terhadap harta-harta mereka.

Oleh yang demikian, MAINS menyediakan perkhidmatan pengurusan harta orang Islam khususnya kepada seluruh masyarakat di Negeri Sembilan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang diuruskan dengan baik dan fi yang rendah.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Mal (pengurusan harta orang Islam) MAINS, layari www.mains.gov.my atau hubungi talian 013-7743662.

***Artikel ditulis oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf MAINS, Ahmad Naim Azlan

peluk Islam
Aqidah, Berita Semasa,

Hak mengislamkan saudara baharu adalah hak mana-mana Muslim, usah babitkan politik

Hak mengislamkan saudara baharu adalah hak mana-mana Muslim, usah babitkan politik…

BARU-BARU ini tular di media sosial berita berkenaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajar ucapan kalimah syahadah kepada seorang lelaki yang baru memeluk Islam.

Acara itu dijalankan di Masjid Ar-Rahimiah, Klang selepas beliau menunaikan solat jumaat bersama jemaah di sekitar kawasan itu.

Perkara itu bagi memenuhi permintaan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Klang yang kebetulan ketika itu berada di masjid berkenaan.

Video yang hanya berdurasi 1 minit 26 saat tersebut telah mengundang pelbagai persepsi daripada setiap lapisan masyarakat.

Baca Juga Muslim berdoa bersama bukan Islam dalam satu majlis, apa hukumnya?

Antara respon yang diutarakan oleh sebahagian pihak kurang bersetuju tindakan tersebut ialah mereka mempertikaikan YAB Dato’ Seri dengan menyebut beliau gagal mengambil kira sensitiviti orang bukan Islam.

Selain itu, mereka turut memperakui bahawa tindakan tersebut tidak bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Tetapi mereka berpandangan perkara tersebut tidak wajar dilakukan.

Berkaitan isu ini, mantan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan pencerahan bahawa hak mengislamkan saudara baharu adalah hak untuk mana-mana individu yang beragama Islam termasuk Perdana Menteri.

 

 

Jelasnya, tindakan mengislam saudara baharu itu juga pernah dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

“Pengislaman itu sah di sisi syarak, dan tidak bercanggah dengan perlembagaan. Apatah lagi akta atau enakmen berkaitan,” katanya menerusi satu ciapan di laman X.

Dalam pada itu, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, setiap lapisan masyarakat di dalam negara seharusnya lebih tenang dalam menanggapi isu tersebut.

“Dalam berinteraksi dengan peristiwa ini masyarakat Malaysia seharusnya berlapang dada dan tidak memperbesarkan lagi perkara ini sehingga menjadi polemik baharu dalam negara.

Artikel Berkaitan 

“Hal ini kerana, ia bukanlah tindakan yang berbentuk hasutan apatah lagi ancaman kepada saudara berlainan agama.

“Sedangkan, perkara ini menggambarkan keunikan tersendiri bagi negara Malaysia, walaupun rakyatnya berbilang bangsa, kaum dan agama tetapi masih dapat hidup dengan harmoni dalam satu negara,” ujar kenyataan itu lagi.

Menerusi hantaran sama, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsikan mengenai pandangan Islam berkenaan perbuatan mengislamkan saudara baharu.

LELAKI warganegara Malaysia berusia 27 tahun itu dikenali sebagai Muhamad Anwar Karthiban selepas memeluk Islam.

Menurutnya, menuntut umatnya bagi menyeru manusia masuk ke dalam Islam dan ia merupakan satu pekerjaan yang amat berat.

Jelas kenyataan itu, ALLAH juga menjanjikan ganjaran pahala yang amat besar kepada orang yang berjaya mengislamkan atau membantu mengislamkan seseorang.

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) ALLAH, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada ALLAH)” (Surah al-Fussilat ayat 33)

Turut Disyorkan Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

Sementara itu, terdapat juga hadis yang menceritakan mengenai galakan menyeru manusia kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperoleh.

Menerusi satu hadis Riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Demi ALLAH, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”

Sebahagian ulama mentafsirkan makna hadis ini dengan makna bahawa mengislamkan seseorang itu lebih baik berbanding memiliki unta yang terbaik atau menyedekahkannya.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah